Protes massa di Iran: Kelas pekerja, anak muda dan golongan wanita bangkit menentang rejim penindas

Tragedi kematian Mahsa Amini, seorang wanita yang didapati tidak berpakaian sopan ketika berurusan di pejabat kerajaan kemudian mati dalam tahanan ‘polis moral’ telah mencetuskan protes menentang rejim kerajaan di Iran. Namun, protes yang tercetus bukan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Situasi ekonomi yang semakin parah sejak sekatan ekonomi oleh AS pada tahun 2015 telah menyebabkan kehidupan rakyat miskin dan kelas pekerja semakin melarat. Pengangguran, krisis harga barang akibat inflasi, dan korupsi melatari protes yang sedang bangkit di Iran pada waktu ini. Rejim pemerintah Iran sedang cuba untuk menggunakan isu hijab untuk memecah belahkan perjuangan akar umbi rakyat terhadap kerajaan.

Hanya kuasa rakyat yang independen, iaitu satu penyatuan rakyat anti-kapitalis, kepimpinan yang berani memimpin kerajaan alternatif yang demokratik, serta bersenjatakan program yang dapat memisahkan rakyat dari agenda imperialis akan dapat mengakhiri penindasan terhadap wanita yang wujud secara sistemik dan membebaskan semua golongan miskin dan kelas pekerja yang ditindas di Iran. 

Krisis ekonomi yang merosot di Iran

Perjanjian nuklear antara AS dan Iran sentiasa dirujuk sebagai punca kemelesetan ekonomi di Iran. Namun, kemelesatan ekonomi ini sebenarnya telah menjadi satu adat apabila tadbir urus kerajaan yang hanya menumpukan perhatian terhadap perkembangan pasaran bebas, iaitu sistem kapitalisme yang bersifatkan persaingan. Ini telah memangsakan kelas pekerja dan rakyat dari negara-negara miskin apabila tiba krisis global seperti perang, krisis iklim dan krisis kesihatan seperti pandemik. Kemelesetan ekonomi dan sosial di Iran bermula apabila kepimpinan kelas pekerja semasa Revolusi Iran 1979 gagal untuk mengambil alih kerajaan dan memberikan laluan kepada kuasa sayap kanan dan kapitalis untuk bermaharajalela.

Iran pernah melalui fasa perkembangan ekonomi untuk jangka masa yang pendek di dalam sejarah mereka. Tetapi perkembangan ini adalah berdasarkan ekspot minyak dalam pasaran global dan dibawah kepimpinan kerajaan neo liberal yang tidak menjanjikan kestabilan. Persaingan untuk memonopoli sumber minyak asli dan kemunculan tenaga baru untuk menggantikan bahan ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ini meletakkan ekonomi Iran dalam keadaan yang tidak stabil dan berisiko untuk gagal sepenuhnya.

Masyarakat miskin dunia sedang berhadapan dengan krisis seperti kekurangan bekalan makanan, inflasi, kemudahan infrastruktur seperti hospital, krisis perumahan, dan krisis mata wang seperti di Sri Lanka, Lebanon, dan Turki. Krisis-krisis yang sama juga sedang dihadapi oleh rakyat Iran yang sedang bergerak untuk menentang kerajaan. Oleh itu, pihak kerajaan yang juga mewakili kepentingan para kapitalis sedang cuba untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu ekonomi yang sedang memberi kesan besar kepada kehidupan mereka. Kerajaan Iran, sama seperti kerajaan-kerajaan lain, sedang mempergunakan isu-isu sensitif seperti agama untuk menghalalkan pemerintahan kuku besi mereka yang menindas dan tidak berjaya memenuhi keperluan rakyat.  

Kerajaan Indonesia contohnya telah memperkenalkan sebuah undang-undang baru (Omnibus Law) yang membawa polisi-polisi yang menindas golongan wanita diatas nama agama dan pada masa yang sama menghakis hak kelas pekerja yang sedia ada. Kerajaan Presiden Jokowi cuba untuk membawa sentimen agama bagi menyembunyikan agenda sebenar yang mengurangkan hak-hak pekerja di dalam undang-undang untuk menarik lebih banyak pelabur asing. Pada masa yang sama, Omnibus Law juga mengandungi polisi-polisi pro-kapitalis seperti mengurangkan regulasi untuk menoreh hutan, penswastaan tanah dan pelbagai habuan lain untuk kelas pemodal kaya. 

Cubaan untuk memperkenalkan Omnibus Law kemudian mencetuskan protes yang besar dikalangan anak muda dan pelajar universiti. Namun isu wanita, pekerja dan alam sekitar disambut sebagai isu yang berasingan. Disebabkan tiada tuntutan dan slogan yang jelas untuk menyatukan rakyat dan menentang taktik ‘pecah dan perintah’, parti dan pemimpin nasionalis seperti Prabowo (Menteri Pertahanan), figura konservatif Islam seperti pemimpin Nahdlatul Ulama Ma’ruf Amin (Naib Presiden Indonesia) dan sebagainya telah mendapat ruang untuk bergerak dengan aktif. 

Ketiadaan alternatif seperti program dan slogan yang jelas untuk memberi kepimpinan yang jelas kepada kebangkitan massa akan sentiasa memberikan ruang kepada idea-idea ‘reaksioner’ dan ‘kontra revolusi’ seperti pecah dan perintah untuk mendapat sokongan. Sejarah revolusi Iran sendiri menceritakan bagaimana kelas monarki yang bekerjasama dengan imperalis AS untuk kekal berkuasa selama lebih 20 tahun telah digulingkan dengan perjuangan kelas pekerja, namun diambil alih oleh kepimpinan Ayottalah Khomeini yang menggunakan retorik agama untuk merebut kuasa politik. Parti Tudeh yang mewakili perjuangan kelas pekerja telah melakukan kesilapan politik dan gagal untuk memimpin rakyat massa dan memberikan laluan kepada kuasa-kuasa sayap kanan untuk mengambil alih kerajaan. Ini telah membawa padah kepada masyarakat Iran yang telah berhadapan dengan perang, krisis ekonomi dan penindasan dari rejim kuku besi secara berterusan. 

Kerajaan yang berasaskan sistem pasaran bebas tidak boleh mengelak dari agenda pecah dan perintah. Keuntungan sentiasa menjadi objektif utama. Penghapusan etnik Rohingya di Myanmar yang majoriti berbangsa Islam adalah satu contoh bagaimana nyawa sanggup dikorbankan demi keuntungan. Kawasan Arakan di Myanmar merupakan satu penempatan etnik Rohingya yang kaya dengan sumber alam semula jadi dan sering menjadi rebutan para kapitalis tempatan dan antarabangsa. Kerajaan Myanmar menggunakan isu etnik dan agama untuk memecah belahkan harmoni di kalangan rakyat dan mengusir penghuni Rohingya miskin untuk merebut tanah mereka. Rakyat Myanmar, terutamanya golongan beragama Buddha di negeri Rakhine digalakkan oleh kerajaan untuk melakukan kekejaman ke atas masyarakat Rohingya dan mempengaruhi rakyat melalui naratif-naratif palsu yang menimbulkan kesangsian terhadap mereka. Rumah mereka dibakar, mereka dibunuh dengan kejam, dan wanita menjadi mangsa rogol dan keganasan seksual. 

Sepertimana sistem kapitalisme tidak dapat mengelak dari agenda pecah dan perintah, manusia juga tidak boleh elak dari bangkit memberanikan diri untuk berjuang melalui protes atau melalui aksi-aksi industri apabila kehidupan mereka menjadi terlalu tertekan. Justeru, pecah dan perintah menggunakan identiti bangsa, agama, bahasa, perbezaan status kewarganegaraan dan jantina yang ampuh untuk mematahkan perjuangan massa. Ia melewatkan kesedaran massa untuk membuat penyatuan dan menuntut kerajaan yang lebih adil dan saksama. 

Pastinya setiap isu yang telah dijadikan contoh merupakan isu yang mustahak seperti isu penindasan wanita yang masih perlu diperjuangkan sehingga ke kesudahan. Tetapi, setiap isu yang wujud ini tidak muncul secara berasingan. Ia semuanya berpunca daripada sistem ekonomi kapitalisme yang diatur secara tidak adil dan sentiasa memberikan keutamaan kepada keuntungan segelintir golongan kaya dalam masyarakat. Meskipun rakyat di setiap negara menghadapi bentuk penindasan yang berbeza disebabkan perkembangan sejarah dan aparatus kerajaan yang tidak sama, asas kepada semua penderitaan manusia adalah berpunca dari sistem kapitalisme yang mengutamakan keuntungan untuk segelintir berbanding kesejahteraan umat manusia.   

Protes di Iran memberikan inspirasi kepada rakyat tertindas sedunia

Protes di Iran mendapat liputan media yang luas, terutamanya apabila protes yang baru-baru ini mengangkat hak kebebasan wanita. Tidak diragukan isu wanita adalah isu yang sangat popular. Namun, terdapat garis yang membezakan antara pihak opportunis yang ingin menggunakan kebangkitan wanita untuk melangsungkan agenda neoliberal kapitalisme dan pihak yang melihat kebangkitan wanita sebagai satu peluang untuk menyatukan perjuangan kelas dengan semua rakyat tertindas.

Kelas pekerja dan rakyat Iran pernah menunjukkan semangat kental dalam menerajui pembantahan terhadap polisi-polisi kerajaan. Kelas pekerja Iran seperti pekerja di kilang gula Haft Tappeh merupakan antara kuasa kepimpinan di dalam protes-protes massa yang berlaku di sepanjang 2017 ke 2020 apabila pandemik menghentikan momentum perjuangan tersebut. Akan tetapi, rakyat Iran sudah mula kembali ke medan pertempuran walaupun pihak kerajaan melancarkan tindak balas yang kejam yang sudahpun menelan ribuan nyawa. 

Bukan sahaja Iran, tetapi seluruh rantau Timur Tengah sedang berada di dalam situasi krisis dan keruntuhan ekonomi. Termasuk Iran, masyarakat tertindas yang sedang bergelut dengan kerajaan rakus di negara-negara lain juga memerlukan sebuah kepimpinan yang jelas dan bebas dari pengaruh kelas kapitalis. Kesatuan-kesatuan sekerja yang sedang mengambil bahagian di dalam protes massa ini harus ke hadapan dan mengambil peranan kepimpinan dengan meluaskan tuntutan dan program mereka. Ini boleh bermula dengan seruan untuk melancarkan mogok umum dan menubuhkan jawatankuasa kelas pekerja dan rakyat yang boleh mengatur strategi perjuangan yang berkesan. Bermula dengan langkah ini, jawatankuasa atau majlis rakyat yang ditubuhkan secara demokratik boleh terlibat dalam usaha untuk membina sebuah alternatif yang jelas kepada sistem kapitalisme.   

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top