PRN Sabah 2025: Krisis Politik Elit dan Keperluan Pembinaan Kuasa Politik Kelas Pekerja di Malaysia

Keputusan PRN Sabah 2025 mencerminkan keretakan kestabilan kerajaan Madani dan menjadi sebahagian daripada faktor-faktor penentu bagi penyusunan politik kelas elit di Malaysia. Runtuhnya hegemoni Barisan Nasional membuka ruang autonomi yang lebih buat kepimpinan elit di Borneo.


Buat pertama kali, keputusan PRN Sabah yang berlangsung pada 29hb November yang lepas telah menyaksikan sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung tanpa majoriti mudah dan tanpa mana-mana parti berjaya memperoleh 37 kerusi. Koalisi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok tunggal terbesar dengan 29 kerusi (daripada 55 kerusi yang ditandingi), disusuli Warisan dengan 25 kerusi (daripada 73 kerusi yang ditandingi). Barisan Nasional kehilangan lapan kerusi daripada 14 kerusi pada 2020 kepada hanya 6 kerusi, daripada keseluruhan 45 kerusi yang ditandingi. Tokoh-tokoh kuat Barisan Nasional seperti Salleh Said Keruak, Anifah Aman dan Pandikar Amin tewas di kawasan masing-masing, manakala Bung Mokhtar hanya menang tipis dengan majoriti 153 undi. UPKO mengekalkan 3 kerusi dan calon-calon bebas memenangi 5 kerusi. Bagi parti dari Semenanjung, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional masing-masing hanya memenangi satu kerusi, manakala DAP disingkirkan sepenuhnya dan gagal memenangi sebarang kerusi di kawasan yang ditandingi.

Jika kita melihat dari segi peratus pengundi pula, jumlah pengundi berdaftar di Sabah melonjak daripada sekitar 1.12 juta pada 2020 kepada 1.78 juta pada 2025, yang peningkatannya itu merupakan hasil pelaksanaan UNDI18 dan juga pendaftaran yang dilakukan secara automatik. Namun begitu kadar keluar mengundi sedikit menurun — daripada 66.6% kepada 64.35%. Penurunan ini jelas, dengan kadar keterlibatan pengundi bagi PRN jika mengikut pecahan negeri, yang hanya berjumlah dalam lingkungan yang sama, iaitu antara 60% hingga 70%. Bahkan dari segi kawasan pengundian pula, GRS masih berjaya memperolehi sokongan pengundi luar bandar walaupun terpalit dengan isu video skandal rasuah sepanjang tahun 2025. Ini termasuk lapan individu yang telah dikenal pasti terlibat di dalam skandal tersebut — namun hanya dua individu sahaja yang didakwa — manakala yang lain masih bertanding dan memenangi kerusi masing-masing.

Keputusan PRN Sabah telah mendedahkan kelemahan parti-parti persekutuan, baik di pihak pembangkang mahupun di pihak kerajaan — yang masing-masing hanya memenangi satu kerusi. Pada masa yang sama, kejayaan PAS yang telah memenangi sebuah kerusi buat pertama kalinya dan mulai memasuki gelanggang politik di Borneo pula menandakan perubahan yang signifikan di dalam dinamika politik di Sabah. Walaupun ketika ini, wakil PAS mengambil posisi untuk tidak menyertai kabinet kerajaan negeri, namun sokongan tetap diberikan kepada kepimpinan GRS dan Hajiji Musa. Pada masa yang sama, ini tidak bermakna Datuk Aliakbar Gulasan, calon PAS yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai akan bersepakat dengan PH di Semenanjung, terutamanya dalam menghadapi PRU akan datang.

Krisis Kemiskinan Penduduk di Sabah dan Ketiadaan Politik Alternatif

Kemenangan GRS di kawasan luar bandar berbanding kemenangan Warisan yang telah memperolehi majoriti undi di bandar menunjukkan bagaimana persoalan-persoalan asas seperti soal infrastruktur, sosial, kebajikan pekerja dan ekonomi masih menjadi tumpuan dan keutamaan rakyat. Walaupun calon-calon dari parti GRS sudah terpalit dan terdedah dengan isu skandal, namun ianya tidak menghalang mereka daripada memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi oleh mereka. Namun ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa GRS adalah satu-satunya harapan kepada rakyat negeri Sabah di luar bandar, melainkan pengundian kepada mereka menandakan bahawa tidak ada pilihan alternatif parti dari mana-mana pihak yang dapat sebenarnya menyelesaikan masalah asas yang dibelenggu oleh rakyat negeri Sabah. Skandal kepimpinan GRS yang mendedahkan kebusukan politik wang — iaitu melalui jenayah rasuah dalam mendapatkan projek-projek besar telahpun berjaya ditenggelamkan dengan janji-janji manis, untuk memberi dana kepada rakyat, supaya masalah-masalah ekonomi yang begitu membebankan rakyat miskin dapat diselesaikan dengan cepat.

Sabah adalah salah sebuah negeri yang terbesar, yang bersama-sama Sarawak telah bergabung dengan semenanjung Tanah Melayu dalam membentuk sebuah kerajaan persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Namun begitu, walaupun 63 tahun telah berlalu — Sabah masih dikirakan sebagai sebuah negeri yang termiskin dan mundur, yang ironinya mempunyai rezeki sumber alam yang tersebar luas. Pada tahun 2024, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bagaimana Sabah mempunyai insiden kemiskinan mutlak yang tertinggi di Malaysia iaitu setinggi 17.7% berbanding negeri-negeri lain, walaupun peratus tersebut telah menurun 2% berbanding dua tahun sebelumnya. Begitu juga 38% daripada keseluruhan isi rumah golongan miskin tegar berada di negeri Sabah; bahkan pada tahun 2020, dua daerah di Sabah iaitu Tongod dan Pitas telah mencatatkan peratus kemiskinan mutlak melebihi paras 50%. Kawasan-kawasan pendalaman dan luar bandar, yang dieksploitasi dan dijarah sebagai hasil-hasil sumber alamnya adalah kawasan-kawasan yang mundur dan tidak mempunyai apa-apa akses kepada infrastruktur yang berkualiti dan memuaskan untuk rakyat tempatan. Kedua-dua daerah ini tersebut dimenangi oleh calon daripada GRS. Sama ada terpalit dengan skandal rasuah mahupun tidak, persoalan utama terutamanya berkenaan keperluan asas — yang ketika ini disajikan oleh GRS telah dilihat sebagai satu-satunya pilihan buat rakyat, selagi mana tidak ada parti alternatif yang berjaya dan berkebolehan dalam menembusi kawasan luar bandar yang meyakinkan mereka dengan program-program yang bertepatan dengan keperluan mereka dan pada masa yang sama, mendedahkan kemuflisan dan hipokrasi kepimpinan parti elit sedia ada yang tidak menyentuh punca sebenar yang menjurus kepada kedaifan rakyat di negeri Sabah itu sendiri.

Pendedahan akan ketidakmampuan kepimpinan kerajaan Madani untuk terus memperkukuhkan posisi mereka tidak hanya terdedah melalui keputusan PRN di Sabah semata-mata; sebaliknya keputusan tersebut adalah sebuah corak yang berterusan melalui perbandingan PRN yang berlaku di negeri-negeri yang lain. Enam PRN yang telah berlangsung dalam jangka masa dua tahun mendedahkan situasi kerajaan Madani ketika ini. Meskipun koalisi kerajaan masih berjaya mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala PN pula masih mengekalkan Kedah, Kelantan dan juga Terengganu, namun jika kita telusuri dengan cermat, peratus pengundian PN telah melonjak daripada 35% kepada 60% daripada jumlah kerusi keseluruhan — melakukan kemaraan besar di negeri-negeri di bawah kerajaan sedia ada, serta memotong kuasa majoriti kerajaan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Makanya, tidak dapat dinafikan bagaimana corak yang menandakan peningkatan undian terhadap PN setakat ini dan begitu juga, dengan corak pengundian yang bakal terlihat pada PRN yang akan datang di Melaka, Johor serta Sarawak akan mempengaruhi kedudukan kerajaan Madani dalam rencana perangkaan strategi mereka pada pilihanraya umum yang akan datang. Begitu juga, dengan kemenangan yang dapat juga dikatakan sebagai sebuah kemenangan yang signifikan bagi parti Warisan — akan mempengaruhi parti tersebut untuk terus mengambil langkah yang lebih aktif dan agresif. Sepertimana Naib Presiden Warisan, Junz Wong menyatakan bahawa PRN Sabah hanyalah “satu pertempuran” berbanding “perang” dalam tempoh dua tahun akan datang. Laporan Malaysiakini juga turut merakamkan bagaimana Warisan berhasrat memanfaatkan momentum ini untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di Sabah serta mula “menyelaraskan” dirinya dengan parti-parti berpangkalan di Sarawak bagi membentuk kuasa persekutuan.

Konsesi Wilayah sebagai Alat Pengurusan Krisis Elit

Berhubungan dengan rentak ketidakstabilan ini juga — yang tergugat terus melalui kekalahan yang signifikan di Sabah turut membuka kemungkinan akan ruang tuntutan konsesi bagi wilayah Sabah yang lebih luas — sepertimana yang berlaku di Sarawak baru-baru ini. Contohnya, tuntutan hak 40% yang sebelum ini tidak pernah dibangkitkan secara lantang dan serius, khususnya ketika Barisan Nasional masih menjadi kuasa hegemoni di negara kita — kini dijadikan sebagai senjata yang ampuh buat lapisan kepimpinan borjuis di Sabah. Ini secara langsung memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan untuk terus mengawal dan mengetatkan lagi hal ehwal perbelanjaan negara, meneruskan langkah penjimatan dan terus melakukan pemotongan kebajikan atas alasan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara. Bahkan, kerajaan Madani ada menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada dividen Petronas, berikutan pendapatan dividen yang semakin berkurangan. Dalam situasi sebegini rupa, tuntutan pembahagian hasil tersebut tidak akan dapat diselesaikan melalui pengagihan kekayaan oleh kelas kapitalis dengan menyusun semula sumber-sumber yang wujud dalam belanjawan negara itu sendiri. Ini menghasilkan sebuah situasi di mana pemberian konsesi di negeri ataupun wilayah lain akan dilaksanakan melalui pemotongan belanjawan di tempat lain — yang seringkali membebankan dan memangsakan kelas pekerja dan rakyat miskin.

Darihal ini kami menjangkakan bahawa persoalan nasional akan menjadi semakin penting dalam tahun-tahun yang akan datang. Sentimen kenegerian dan nasionalisme embrionik di Borneo akan terus dimanipulasi oleh kepimpinan elit, yang kini memperoleh ruang melalui saluran perundangan apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan serta membayar semula tuntutan 40% hasil bersih yang diperoleh dari Sabah. Namun begitu, kami menegaskan bahawa sentimen yang dimanipulasi ini sama sekali tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada rakyat miskin dan kelas pekerja di Sabah; bahkan ia akan terus digunakan bagi memperkukuhkan sekelompok golongan elit yang oportunis, demi mengukuhkan posisi kelas mereka di dalam kedinamikan politik negara. Punca asas kepada permasalahan rasuah dan kemiskinan yang membelenggu rakyat miskin dan kelas pekerja di Sabah tidak dapat diselesaikan melalui sentimen perjuangan yang sedang mereka tunggang ketika ini.

Borneo: Pembangunan Tidak Sekata dan Penjarahan Sumber oleh Kelas Kapitalis

Persoalan Sabah dan Sarawak boleh dijejaki sejak 1963 melalui Perjanjian Malaysia — satu persetujuan antara golongan elit, melalui Suruhanjaya Cobbold — bagi membentuk sebuah negara-bangsa baharu daripada bekas jajahan British. Namun 63 tahun selepas Perjanjian Malaysia, tiada apa perubahan mahupun pembangunan yang signifikan, baik dari segi keberadaan material infrastruktur mahupun kuasa ekonomi. Sebaliknya perkembangan negara-bangsa Malaysia menghasilkan keadaan pembangunan yang tidak sekata sifatnya, dengan pembangunan perindustrian dan infrastruktur tertumpu di beberapa titik utama di Semenanjung, berbanding Sabah dan Sarawak yang lebih tertumpu kepada sektor-sektor lain.

Apatah lagi, pada masa yang sama juga, eksploitasi yang maksimum terhadap sumber-sumber alam khususnya kayu-kayu balak, petroleum serta ladang sawit pula telah berlangsung tanpa henti demi kepentingan pemerintahan persekutuan di Semenanjung. Negeri Sabah, dalam erti kata yang mudah, dianaktirikan demi pembangunan dan penumpukan kekayaan yang tertumpu di semenanjung. Ketidakadilan yang berlarutan lebih enam dekad ini kini telah mencapai tahap kemuncaknya dan mulai menampakkan konflik, yang pada peringkat awalnya bermula dalam kalangan borjuis sendiri, dengan menggunakan retorik persoalan nasional yang sama sekali bukannya untuk kepentingan kelas proletar. Pada ketika ini jua, kejatuhan Barisan Nasional yang berlaku pada tahun 2018 telah membuka ruang kuasa yang lebih luas, sekaligus mengundang elemen-elemen yang kini menggugat hegemoni nasional yang selama ini distabilkan dan diperkukuhkan oleh borjuis kebangsaan. Di bawah restu rejim Barisan Nasional, parti-parti kenegerian Sabah dan Sarawak menjarah kekayaan sumber alam, membina dinasti serta empayar ekonomi — yang kesemuanya ini merupakan prasyarat untuk terus menyokong parti dominan di Semenanjung. Sosok elit di Borneo seperti Musa Aman dan juga Taib Mahmud telah berjaya menjadi “raja tanpa tengkolok” — sementara kelas proletariat terus terperangkap ke dalam lembah kemiskinan, tanpa mobiliti sosial yang mampu menyelesaikan masalah struktur sedia ada. Bahkan, sehingga hari ini, golongan miskin tegar terus dijadikan justifikasi dan angka statistik bagi mengekalkan hegemoni tindakan afirmatif berteraskan ‘bumiputera’ dan melebarkan lagi jurang kekayaan di dalam setiap kategori kaum itu sendiri.

Ketiadaan Politik Berteraskan Kepentingan Kelas dan Krisis Elit Politik

Kekalahan Barisan Nasional menyaksikan kemunculan parti-parti kenegerian yang lebih lantang, lebih autonomi dan lebih tertumpu kepada kekuatan tempatan berbanding kebergantungan kepada kuasa persekutuan. Krisis politik dan beban ekonomi yang semakin menekan rakyat telah membuka ruang bagi sebuah proses politik yang lebih demokratik sifatnya dan tidak lagi mengabsahkan sebuah hegemoni status quo semata-mata. Kebangkitan Warisan sebagai sebuah parti alternatif buat rakyat di Sabah boleh difahami melalui konteks sebegini. Parti Warisan mulai memasuki arena politik ketika dominasi parti-parti yang sekian lama bersekongkol dengan Barisan Nasional mula melemah. Ianya berkembang seiring dengan kesedaran dan kematangan politik penduduk tempatan, lalu mengukuh sebagai salah sebuah parti yang besar. Ini ternyata dapat dilihat melalui mandat politik yang diberikan oleh komuniti Cina pada PRN yang lepas dan juga ini merupakan satu amaran jelas kepada DAP — yang diterjemahkan melalui penolakan yang kini semakin ketara jadinya.

Parti Warisan, yang pada peringkat awalnya bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional, kini bergerak secara berdikari dan bebas meluaskan pengaruhnya di Sabah. Ini mendedahkan hakikat bahawa politik Sabah tidak semestinya mencerminkan hubungan politik di Semenanjung. Kerusi yang dikategorikan sebagai ‘urban voters’ secara konsisten menolak parti-parti persekutuan, yang sejak memimpin kerajaan gagal menyelesaikan persoalan asas di Sabah seperti soal kemunduran infrastruktur, pembangunan dan kebajikan. Walaupun analisis arus perdana seringkali menekankan MA63 dan hak 40% sebagai isu utama, persoalan kebajikan asas juga tidak pernah diselesaikan secara tuntas di bawah kerajaan Madani. Sekalipun MA63 dan tuntutan 40% berjaya diselesaikan sepenuhnya, tetaplah persoalan jurang kekayaan yang kian lama tidak pernah dibendung itu, akan kekal berterusan. Begitu juga persoalan bagaimana segelintir elit terus merompak hasil kekayaan Sabah tidak juga terjawab. Pemberian hak 40% tidak memberi sebarang jaminan kepada kelas pekerja; sebaliknya, ia hanya memperhebatkan lagi perebutan sesama kelas elit terhadap lebihan nilai negara.

Negeri Sabah pada tahun yang lepas telah menjadi tumpuan berita nasional: isu ketiadaan air di Universiti Malaysia Sabah, pembakaran rumah Bajau Laut, penggusuran penduduk kampung, skandal rasuah dan kaitannya dengan lesen perlombongan semuanya berkait rapat dengan ketidakadilan yang dieksploitasi oleh kelas penguasa yang sekian lama bersekongkol dengan Barisan Nasional — yang kini turut diteruskan pula di bawah kepimpinan Madani. Namun, seteruk mana pun keadaan ini, tiada jaminan bahawa parti Warisan mampu menyelesaikannya selagi asas sistem ekonomi kapitalis tidak disentuh. Selagi mana politik kelas yang berpaksikan kepentingan kelas pekerja dan rakyat miskin belum dibina dan diperkasakan, selagi itulah soal punca ketidakadilan dan jurang kekayaan yang melebar ini akan terus berlarutan. Tugas pembinaan kuasa politik ini juga, pada masa yang sama, perlu dihubungkan jua dengan pembinaan gerakan di semenanjung — bersatu di bawah gerakan massa menentang kelas pemodal secara umumnya.

Makanya darihal ini, adakah keputusan PRN di Sabah mencerminkan kelemahan kerajaan Madani secara menyeluruh? Walaupun kerajaan Madani berjaya menstabilkan ekonomi dan begitu juga telah menarik pelaburan yang besar jumlahnya — namun ini sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada krisis kapitalisme semasa. Ketidakstabilan kapitalisme global akan sentiasa mewujudkan keadaan yang rapuh bagi kepimpinan Anwar Ibrahim. Pelbagai faktor di luar kawalan kerajaan berpotensi menggugat dasar-dasar Madani. Tambahan lagi, dengan krisis kapitalisme di era baru yang sedang kita saksikan pada tahun ini adalah sebuah bayang-bayang hitam yang hanya menunggu masa untuk membungkam kestabilan yang selama ini cuba dilakukan oleh kepimpinan kerajaan. Bukan hanya itu sahaja, krisis dalaman kerajaan sedia ada, terutamanya di kalangan elit politik semakin memperlihatkan perbalahan yang jelas.

Susulan kekalahan DAP di Sabah, kita telah menyaksikan tindakan kepimpinannya yang sudah mulai memberi tekanan yang berperanan seakan sebuah ‘ultimatum’ yang dapat saja menjurus kepada sebuah perpecahan koalisi tersebut. Lim Guan Eng telah memberi amaran bahawa “Anwar tidak boleh mengabaikan suara pengundi Sabah”, manakala Anthony Loke mengeluarkan “janji reformasi enam bulan” atau DAP akan menilai semula peranannya. Kendatipun begitu, Anthony Loke masih menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak bererti bahawa DAP akan menarik sokongan terhadap koalisi politik sedia ada, tetapi tidak jelas sejauh mana kepimpinan tersebut akan kekal setia di dalam sebuah koalisi yang merangkumi parti UMNO yang merupakan seteru kepada partinya. Manakala PKR juga menghadapi retakan yang serupa, di mana perletakan jawatan menteri yang dipegang oleh Rafizi Ramli dan juga Nik Nazmi terus membuka pekung parti tersebut — yang didakwanya telah mengkhianati agenda reformasi yang telah diperjuangkan selama ini.

Namun di sudut yang bertentangan pula, di pihak pembangkang iaitu Perikatan Nasional juga telah menatijahkan ketidakstabilan yang sama. Krisis perbalahan yang telah berlanjutan dan telah mencapai titik kritikalnya melalui krisis kepimpinan di Perlis telah memparahkan lagi pergaduhan yang berlaku di antara Parti Bersatu dan PAS — yang kemudiannya pula diterukkan lagi dengan pemecatan dan perpecahan kepimpinan di dalam Parti Bersatu. Ketika artikel ini ditulis, hanya beberapa parti besar seperti UMNO, Amanah serta PAS masih belum memperlihatkan konflik dalaman yang besar walaupun mereka merupakan sebahagian daripada koalisi-koalisi yang semakin tidak stabil sifatnya. Tetapi tidak pula ia memberi apa-apa jaminan bahawa hal ini tidak akan berubah dalam masa-masa yang akan datang. Segala hal ini lah, yang dari sifat permukaannya, merupakan cerminan kepada sebuah situasi objektif yang semakin tajam krisisnya.

Keperluan Pembinaan Politik Kelas Pekerja yang Berdikari

Kami, organisasi Sosialis Alternatif melihat keputusan PRN di Sabah sebagai penanda ataupun simptom kepada krisis yang lebih meluas, yang kini menajamkan lagi sebuah percanggahan lama yang sebelum ini terpendam diam di bawah pemerintahan Barisan Nasional — sebuah rejim autoritarian yang berfungsi di bawah ekonomi kapitalisme yang tidak stabil. Kini, struktur tersebut mula runtuh dan membuka ruang kepada sebuah pembinaan politik alternatif sebagai titik permulaan bagi mendobrak status quo yang kian lama dikongkong oleh kepentingan kelas pemodal — baik di Borneo mahupun di semenanjung. Permasalahan kelas pekerja di Sabah dan Sarawak, malah di seluruh Borneo, tidak dapat diselesaikan melalui konsesi kepada elit tempatan yang masih meneruskan agenda pro-kapitalisme. Sentimen “Borneo untuk Borneo” mencerminkan penolakan terhadap dominasi persekutuan, namun kejelasan terhadap punca sistemik penindasan masih belum wujud.

Pendedahan ini pula tidak bermakna bahawa kami menyokong aspirasi kelas elit dan kelas kapitalis. Persoalan nasional yakni penindasan dan eksploitasi persekutuan terhadap kekayaan Sabah dan Sarawak hanya boleh diselesaikan melalui pembinaan kuasa politik berdikari dalam kalangan kelas pekerja di Borneo dan Semenanjung, malah di seluruh rantau, termasuk Indonesia. Persoalan di Sabah dan Sarawak berkait secara langsung dengan Indonesia dan tidak terhad dalam kerangka negara-bangsa semata-mata. Pembebasan kelas pekerja di Borneo mesti dihubungkan dengan pembebasan kelas pekerja di seluruh rantau. Kami menggalas tanggungjawab untuk mendedahkan ketempangan dan kebusukan ini serta mengemukakan perspektif anti-kapitalis yang berasaskan solidariti politik kelas pekerja. Bahkan dalam kalangan aktivis Sabah anak muda, mahasiswa dan veteran — persoalan nasional serta hubungannya dengan perjuangan menumbangkan kapitalisme masih kabur.

Sosialis Alternatif berdiri di atas program yang berpaksikan kepentingan kelas pekerja dan menghubungkannya dengan keperluan untuk menggantikan sistem kapitalisme dengan sistem yang lebih egalitarian yang berpaksikan kepentingan majoriti kelas pekerja, iaitu Sosialisme. Namun ini membawa erti bahawa sebuah orientasi perjuangan yang berpaksikan kepimpinan kelas pekerja harus dibina atas kuasa solidariti di rantau ini. Kesatuan-kesatuan utama yang telah ditubuhkan di Sabah, Sarawak dan juga Indonesia perlu bersatu dalam menggerakkan aspirasi politik yang berpihakkan kepentingan kelas mereka, menentang eksploitasi yang selama ini telah menjarah sumber buruh dan alam di kepulauan Borneo dan darihal ini juga, bergabung tenaga bagi melaksanakan program Sosialisme — sebuah aturan masyarakat yang adil untuk semua kelas pekerja di rantau kita. Usaha ke arah pembinaan sebuah parti politik massa kelas pekerja, yang berakar dalam gerakan buruh dan rakyat tertindas di seluruh rantau, menjadi titik permulaan yang tidak dapat dielakkan dalam perjuangan untuk menumbangkan kapitalisme dan menggantikannya dengan sosialisme.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik
2026 03 08 hari wanita antarabangsa kenyataan sosialis alternatif PRN Sabah 2025: Krisis Politik Elit dan Keperluan Pembinaan Kuasa Politik Kelas Pekerja di Malaysia Sosialis Alternatif
Situasi krisis geopolitik yang menyebabkan perang sedang menyaksikan krisis pelarian, kemusnahan harta benda juga keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Peperangan di Palestin sedang mendedahkan kekejaman Israel mempergunakan tubuh...
BACA
5 Reports of Rape Every Day: What is to be done while Parliament laments low prosecution rate?
2026 03 03 womens march 2020 against rape sexual violence sosialis alternatif PRN Sabah 2025: Krisis Politik Elit dan Keperluan Pembinaan Kuasa Politik Kelas Pekerja di Malaysia Sosialis Alternatif
Between 2015 and 2025, Malaysia witnessed a staggering 17,609 reported rape cases — an average of five rape reports every single day… Only 7,090 of these cases, or roughly 40%, resulted in charges being filed… in an earlier decade only...
BACA
Mesyuarat Nasional Sosialis Alternatif (SA) Malaysia 2026, Berlangsung Dengan Jayanya
2026 02 21 mesyuarat nasional 2026 sosialis alternatif PRN Sabah 2025: Krisis Politik Elit dan Keperluan Pembinaan Kuasa Politik Kelas Pekerja di Malaysia Sosialis Alternatif
Sosialis Alternatif (SA) Malaysia, CWI di Malaysia, telah diadakan dari 16 hingga 18 Januari 2026 di Pulau Pangkor, di luar pesisir Perak di Selat Melaka. Perbincangan melibatkan beberapa anak muda yang baru serta sebagai ahli dan menandakan...
BACA

PRN Sabah 2025: Krisis Politik Elit dan Keperluan Pembinaan Kuasa Politik Kelas Pekerja di Malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *