PRK Cameron Highland: Pakatan Harapan tidak mampu memihak kepada keperluan rakyat biasa dan miskin

PRK Cameron Highland: Pakatan Harapan tidak mampu memihak kepada keperluan rakyat biasa dan miskin

Posted by

Politik kelas pekerja dan Alternatif Sosialis perlu dibina untuk menghalang perkembangan politik ultra-kanan yang berlandaskan politik perkauman dan sentimen agama yang berniat untuk memecahbelahkan rakyat biasa.

PRU (plihanraya umum) ke-14 pada bulan Mei 2018, menyaksikan kejatuhan BN dan UMNO daripada tampuk pemerintahan selepas 60 tahun, dan kemenangan Pakatan Harapan. Tetapi, UMNO dan PAS masih mampu mengekalkan sokongan terutamanya daripada rakyat biasa dan miskin dan masyarakat Melayu di kawasan luar bandar dengan terus mempergunakan politik perkauman. Manakala, PH pula berjaya mendapatkan sokongan daripada masyarakat bandar dan separa-bandar dengan agenda populis terutamanya dalam isu-isu ekonomi, sosial dan hak demokrasi yang memberikan impak dalam kehidupan seharian mereka. Sokongan masyarakat bandar kepada PH tidak akan berkekalan lama sekiranya, keadaan ekonomi dan sosial semakin merosot dan, PH gagal menanganinya dan tidak mampu menurunkan kos hidup sehingga memberikan impak yang besar kepada kehidupan rakyat biasa. PRK (plihanraya kecil) semenjak PRU menampakkan trend ini di mana segolongan rakyat hilang keyakinan dengan PH apabila janji-janji manifesto tidak dikotakan, dan ini jelas dengan kejatuhan drastik dalam peratus pengundi yang keluar mengundi.

Keputusan PRK Cameron Highland menyaksikan bahawa Pakatan Harapan masih tidak mampu meningkatkan sokongan daripada masyarakat luar bandar, dan ini telah memberikan ruang kepada UMNO dan PAS untuk terus mempermainkan politik perkauman dengan menghubungkaitkan dengan kegagalan PH untuk memenuhi janji-janji untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dalam manifesto PRU-14. PSM yang meletakkan calon ketika PRU14, kali ini tidak meletakkan calon, dan gagal mempergunakan peluang untuk berkempen serta membina alternatif kepada BN dan PH dengan membawa program dan politik berlandaskan kelas pekerja dan sosialisme yang memihak kepada aspirasi dan keperluan rakyat tertindas dan miskin.

Mendemokrasikan beberapa institusi dan jentera kerajaan dan membawa kes mahkamah terhadap penyelewangan dan skandal kerajaan BN sebelum ini sahaja tidak mencukupi untuk meyakinkan kelas pekerja, petani atau peladang miskin dan rakyat tertindas yang lain sama ada di kawasan luar bandar atau di kawasan bandar. Bagi mereka, peningkatan keperluan dan hak ekonomi dan sosial yang nyata dalam kehidupan seharian adalah lebih penting. Najib Razak masih mampu mendapat sokongan daripada masyarakat orang asal, peneroka FELDA dan petani miskin walaupun dia diselubungi dengan skandal dan penyelewengan 1MDB. Masyarakat orang asal, peneroka FELDA dan petani miskin yang masih dilanda dengan kos hidup yang tinggi tidak nampak perubahan yang nyata dalam kehidupan mereka walaupun selepas 7 bulan PH mengambil alih kerajaan. Najib pula mampu mempergunakan kegagalan janji-janji manifesto PH untuk mendedahkan bahawa kehidupan rakyat yang masih tidak berubah di bawah PH atau lebih baik di bawah pemerintahan BN.

Tetapi, hanya dengan pemilihan wakil rakyat yang datang dari masyarakat orang asal juga tidak akan mampu menyelesaikan isu-isu seperti hak tanah dan sebagainya, sama seperti semua wakil-wakil rakyat BN yang pernah menang di Cameron Highland sebelum ini. Begitu juga sekiranya calon PH memenangi PRK ini. Selagi tanah dilihat sebagai komoditi dan diperjudikan untuk keuntungan untuk pelabur dan elit kaya, selagi itu hak demokratik masyarakat orang asal akan terus dianaktirikan. Begitu juga di banyak kawasan di mana wakil rakyatnya berlatarbelakang Melayu dan Islam, tetapi masyarakat Melayu miskin masih terus miskin dan dipinggirkan, ketika golongan kaya-raya termasuk daripada latarbelakang Melayu semakin kaya dan hidup mewah. Penindasan ekonomi dan sosial yang sama juga dialami oleh masyarakat India dan Cina yang miskin di kawasan pendalaman mahupun di bandar. Golongan tertindas, tidak kira apa latarbelakang kaum, agama atau budaya, mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk mendapatkan hak ekonomi dan sosial yang adil dan saksama. Manakala golongan penindas yang kaya-raya daripada berbagai kaum dan merentasi sempadan negara sanggup bersatu dengan matlamat mengongkong sebagagian besar ekonomi dan terus mengeksploit tenaga buruh serta menidakkan keperluan rakyat terbanyak iaitu kelas pekerja dan rakyat miskin semata-mata untuk kemewahan segelintir. Ketika pemerintahanya, BN menjadi pak turut kepada kehendak golongan segelintir ini yang kurang daripada 1% daripada populasi negara. PH pada masa ini masih dalam kongkongan segelintir ini dan tidak mahu berganjak untuk memihak kepada keperluan rakyat biasa.

Polarisasi kaum berdasarkan ekonomi terutamanya masyarakat Cina yang digambarkan sebagai menguasai sebahagian kekayaan, dan masyarakat Melayu yang majoriti masih miskin terutama di luar bandar, akan terus menjadi landasan untuk politik perkauman termasuk untuk kerajaan PH sepertimana dapat dilihat dalam posisi-posisi politik mereka misalnya dalam isu ICERD.

Untuk mengelakkan situasi atau jurang ekonomi yang melebar di antara kaum atau di antara kawasan bandar atau luar bandar, polisi-polisi alternatif kepada agenda yang memihak kepada keuntungan maksimum pemodal dan pelabur kaya perlu dibina. Tetapi PH sepertimana BN sebelum ini masih dikongkong oleh golongan ini memandangkan politik mereka yang bersifat pro-kapitalisme, dan bukannya pro-keperluan rakyat .

Malaysia adalah sebuah negara yang berorientasikan perindustrian, di mana kelas pekerja menjadi tulang belakang kepada penjanaan keuntungan melalui tenaga buruh mereka, dan sekaligus memainkan peranan utama dalam pembangunan ekonomi negara. Kelas pekerja dengan kuasa ekonomi mereka mampu membawa perubahan yang nyata termasuk dalam mempertahankan hak dan keperluan masyarakat orang asli, petani dan peladang miskin di kawasan luar bandar. Tetapi Malaysia masih tiada satu parti massa pekerja yang mampu menyatukan rakyat biasa dan golongan tertindas tanpa mengira latarbelakang kaum, agama di bandar dan luar bandar berdasarkan keperluan ekonomi, sosial dan hak demokrasi yang nyata dalam kehidupan mereka.

MTUC dan kepimpinan pekerja mempunyai peranan penting untuk membina gerakan pekerja yang bersatu untuk menangani politik dan polarisasi perkauman yang sedang dirancakkan oleh ahli-ahli politik ultra-kanan. Ini kerana, melalui kesatuan, semua pekerja tanpa mengira kaum dan latarbelakang mampu disatukan berdasarkan tuntutan ekonomi dan sosial serta melawan politik pecah dan perintah. Pada masa yang sama kesatuan juga boleh mendapatkan sokongan daripada pekerja daripada masyarakat tertindas di kawasan luar bandar terutamanya peladang, nelayan, petani, peneroka FELDA dan orang asal dengan memberikan sokongan kepada keperluan dan perjuangan mereka. Dengan ini satu gerakan yang lebih besar mampu dibina dengan kepimpinan pekerja untuk membawa perubahan politik yang memihak kepada rakyat terbanyak. Pada masa yang sama gerakan ini perlu membina landasan politik massa kelas pekerja dan rakyat tertindas untuk memberikan politik alternatif berdasarkan program sosialisme dan untuk membina sebuah kerajaan yang beraspirasikan kehendak rakyat terbanyak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*