POLITIK KETIGA PERLU BERLANDASKAN HARAPAN DAN HAK KELAS PEKERJA DAN ANAK MUDA

POLITIK KETIGA PERLU BERLANDASKAN HARAPAN DAN HAK KELAS PEKERJA DAN ANAK MUDA

Posted by

Muafakat Nasional merupakan satu gabungan di antara parti UMNO dan PAS yang telah diumumkan dalam perhimpunan Penyatuan Ummah yang dihadiri oleh kepimpinan kedua-dua parti tersebut pada September lalu. Agenda utama perhimpunan tersebut adalah untuk mewujudkan kerjasama antara dua parti yang berasaskan bangsa Melayu-Islam terbesar di Malaysia, terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 bagi menentang kerajaan PH. Setakat ini, kerjasama antara UMNO dan PAS dalam ‘Muafakat Nasional’ telah membawa beberapa kemenangan dalam pilihanraya kecil bagi gabungan tersebut, seperti baru-baru ini di parlimen Cameron Highlands dan Tg. Piai di mana calon BN telah menang dengan majoriti besar hasil sokongan daripada kedua-dua pemimpin UMNO dan PAS.

Walaupun pada awal penubuhan, Muafakat Nasional hanya tertumpu untuk menarik sokongan rakyat Melayu sahaja dengan membawa retorik-retorik berbentuk ketuanan bangsa dan agama, akhir-akhir ini, agenda dan hala tuju gabungan tersebut telah berkembang ke arah mengatur strategi untuk menghadapi PRU ke-15 nanti. Kepimpinan UMNO dan PAS sedar bahawa bagi memenangi pilihan raya umum, ianya mustahil untuk dicapai hanya dengan sokongan satu kaum sahaja, biarpun kaum tersebut merupakan majoriti. Tambahan pula, ramai juga di kalangan masyarakat Melayu sendiri terutama di kawasan bandar yang akan menolak sebuah gabungan yang dibina dengan agenda satu kaum sahaja yang boleh dilihat sebagai tidak adil bagi kaum-kaum lain di dalam masyarakat yang berbilang latar belakang seperti Malaysia.

Oleh itu, kepimpinan UMNO sedang berusaha untuk menarik masuk komponen-komponen BN bukan Melayu yang lain seperti MIC dan MCA ke dalam gabungan Muafakat Nasional. Bermula dengan PRK Tg. Piai, di mana ketiga-tiga kepimpinan PAS, UMNO dan MIC telah memberikan sokongan penuh kepada calon dari MCA, dan telah bersetuju untuk menyertai gabungan Muafakat Nasional secara rasmi. Walhal pelbagai pihak dari dalam dan luar parti UMNO seperti ketua pemuda UMNO Asyraf Wajdi, sudah menggesa pihak kepimpinan untuk menginstitusikan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai usaha untuk meninggalkan BN dan ke arah membina sebuah koalisi baru yang lebih mantap dengan kerjasama PAS, MCA, MIC dan komponen BN yang lain. Dengan pengumuman ketua UMNO Zahid Hamidi baru-baru ini, Muafakat Nasional dijangka akan diinstitusikan dan didaftarkan secara rasmi sebelum bulan Mei tahun hadapan. Ini mendedahkan strategi pilihanraya parti-parti pembangkang yang akan cuba membentuk sebuah koalisi baru dengan harapan ia dapat memulihkan sokongan mereka dari kalangan rakyat umum.

Agenda Muafakat Nasional

Apabila rakyat majoriti mengundi untuk kepimpinan PH pada PRU ke-14, mereka benar-benar menaruh harapan kepada pihak PH untuk memperbaiki ekonomi dan social rakyat, memberikan lebih banyak hak demokrasi dan untuk mengubah struktur politik negara yang berdasarkan pada perpecahan kaum-kaum yang berbeza. Malah, perkara itu telah tercermin di dalam manifesto PH yang telah menabur pelbagai janji untuk memperbaiki kondisi rakyat yang sedang merosot. Tetapi, selepas lebih setahun setengah memerintah, kerajaan PH telah gagal untuk melaksanakan janji-janji mereka dan kondisi kehidupan bagi rakyat biasa dan terutamanya bagi yang miskin sedang semakin merosot. Rakyat biasa yang kecewa dengan kerajaan baru dan pada masa yang sama tertekan dengan beban ekonomi yang teruk, mula menjadi mangsa kepada propaganda yang berbentuk perkauman daripada ahli-ahli politik.

Situasi ekonomi dan politik yang tidak stabil ini dipergunakan oleh ahli-ahli politik bagi mewujudkan kesangsian di antara satu sama lain di kalangan rakyat berbilang kaum. Propaganda rasisme yang diwujudkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan ini menjadi racun yang tersebar di kalangan rakyat biasa yang sedang mencari-cari sebuah solusi untuk membaiki keadaan sosial dan ekonomi mereka yang sedang merosot. Oleh itu, situasi di Malaysia sedang semakin tidak stabil dengan ancaman rasisme dan pertelingkahan antara kaum-kaum berbeza.

Pada awalnya, Muafakat Nasional merupakan salah sebuah usaha untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Melayu dengan hujah bahawa segala permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat Melayu adalah disebabkan oleh agenda parti pemerintah yang lebih mementingkan kaum lain. Walaupun unsur-unsur rasisme juga wujud di kalangan komponen parti pemerintah, tetapi, kedua-dua BN dan PH didapati hanya mementingkan agenda golongan kaya dan korporat besar tanpa mengira kaum dan agama. Di bawah pemerintahan BN sebagai kerajaan dan juga dibawah negeri-negeri naungan PAS, masih lagi golongan kaya dari pelbagai latar belakang menjadi semakin kaya dan rakyat biasa yang terdiri daripada pelbagai kaum sama-sama ditindas dan dieksploitasi oleh mereka. Dalam isu ini, tidak mempunyai perbezaan yang ketara di antara BN, PH dan mahupun PAS yang sama-sama mendokong sistem ekonomi kapitalis yang mementingkan golongan kapitalis dan elit kaya 1%.

Politik perkauman merupakan alat bagi kelas atasan untuk memecahkan perpaduan di kalangan rakyat biasa.

Oleh itu, hujah Muafakat Nasional bahawa hak kaum Melayu sedang dicabar oleh kerajaan baru bagi memberi kelebihan kepada kaum lain tidak berlandaskan kepada isu asas dan keperluan rakyat biasa, tetapi ianya semata-mata bertujuan untuk menarik sokongan dengan mempergunakan sentimen perkauman dan agama. Ini kerana kedua-dua BN dan PH adalah pendokong sistem kapitalisme dan di bawah pemerintahan mereka, majoriti rakyat tertutama kelas pekerja dan anak muda pelbagai kaum dan agama akan terus ditindas dari segi keperluan ekonomi dan sosial. Hujah-hujah perkauman dipergunakan hanyalah untuk mengelakkan rakyat biasa daripada bersatu tanpa mengira kaum dan agama yang mampu melancarkan sebuah perjuangan menentang politik dan sistem yang tidak adil di bawah pemerintahan BN atau PH. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, kedua-dua BN dan PH mempergunakan struktur politik negara tinggalan penjajah British yang menegaskan perbezaan antara kaum, bagi menjamin posisi politik masing-masing dengan melontarkan propaganda berunsur perkauman dan agama.

Kerajaan PH juga boleh dilihat sebagai mempergunakan rasisme sebagai senjata untuk merebut sokongan kaum-kaum tertentu. Misalnya pada Oktober lalu, seramai 10 orang lelaki India termasuk 2 orang wakil rakyat daripada parti DAP telah ditahan oleh pihak polis bagi tuduhan menyokong LTTE. Hakikatnya, organisasi tersebut sudah tidak beroperasi selama hampir satu dekad dan tidak menampakkan sebarang ancaman bagi keamanan negara pada waktu ini. Tambahan pula, tiada sebarang bukti bahawa individu tersebut telah menyertai organisasi LTTE dan hanya ditahan berdasarkan kehadiran mereka di dalam beberapa acara yang dianjurkan oleh penyokong perjuangan rakyat Tamil di Sri Lanka. Dengan jelas, tindakan parti pemerintah ini mendedahkan motif politik yang ingin menggambarkan bahawa kerajaan PH tidak takut untuk menghukum kaum-kaum lain yang didapati bersalah (walaupun dari dalam koalisi sendiri) dan tidak berat sebelah atau sedang menghakis hak kaum Melayu.

Semua parti politik arus perdana dan koalisi politik terbesar seperti PH, BN dan Gagasan Sejahtera akan memainkan politik perkauman dan pada masa yang sama mengetepikan aspirasi rakyat biasa bagi memenuhi kewajipan mereka kepada golongan penguasa sistem iaitu golongan kapitalis kaya yang merupakan minoriti yang jumlahnya kurang daripada satu peratus daripada rakyat keseluruhannya. Sebarang pembentukkan koalisi atau gabungan baru di kalangan mereka masih akan membawa agenda yang sama dan tidak akan mampu untuk memuaskan hati majoriti daripada rakyat biasa yang sedang ditindas oleh sistem kapitalisme setiap hari. Walaupun Muafakat Nasional menjadi sebuah koalisi yang rasmi dengan sokongan daripada MIC dan MCA sekalipun, ia hanyalah sebuah pertubuhan yang akan mempertahankan sistem kapitalisme dan tidak akan membawa faedah kepada majoriti iaitu rakyat biasa, anak muda dan kelas pekerja.

Adakah Muafakat Nasional dapat menjamin kejayaan BN dan PAS di PRU15?

Walaupun calon-calon BN telah menang dalam beberapa PRK yang telah berlangsung, ini hanya mencerminkan kemarahan rakyat terhadap kepimpinan PH yang mengecewakan. Ini tidak bermakna bahawa BN, UMNO ataupun PAS telah berjaya mendapat keyakinan daripada rakyat biasa. Kegagalan BN untuk menambah baik kondisi rakyat biasa dan menghapuskan rasuah yang berleluasa telah menjadi sebab utama kepada kemenangan PH yang cuba mempamerkan sebuah program alternatif berserta janji-janji yang munasabah di mata rakyat. Akibat kegagalan pihak PH untuk menunaikan janji-janji dan program tersebut, rakyat yang merasakan tidak mempunyai pilihan yang wajar, akan mempergunakan undi mereka untuk menyuarakan kekecewaan mereka terhadap pihak kerajaan baru sepertima yang dapat dilihat dalam beberapa PRK baru-baru ini. Ia tidak membawa makna bahawa rakyat sudah mula memulihkan kepercayaan mereka kepada BN yang dianggap sebagai korup sebelum ini.

Oleh itu, ianya bukanlah sebuah jaminan bahawa Muafakat Nasional akan menjadi sebuah kuasa politik yang besar di masa hadapan. Tetapi dengan kegagalan pihak PH untuk mentadbir ekonomi dan sosial negara selari dengan harapan rakyat, pihak pembangkang akan terus mengisi vakum politik yang ada untuk menonjolkan diri mereka sebagai pilihan yang lebih baik. Akan tetapi, hakikatnya, kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang tidak mempunyai sebarang solusi kepada persoalan-persoalan yang benar-benar menghantui pemikiran rakyat seperti peningkatan harga barang, peningkatan jurang kekayaan, kos kehidupan, kesihatan dan pendidikan yang tinggi, peluang pekerjaan yang kekurangan dan pelbagai masalah sosio-ekonomi yang lain.   Menyedari kegagalan BN dan PH memenuhi harapan dan kehendak rakyat, segolongan anak muda dan NGO cuba mempopularkan idea untuk membina Kuasa Politik Ketiga sebagai alternatif kepada BN dan PH. Tetapi, sekiranya kuasa politik ketiga ini juga berdasarkan politik pro-kapitalisme dan tanpa politik alternatif yang konkrit, maka sepertimana BN dan PH, kuasa ketiga ini juga tidak akan mampu memenuhi hasrat rakyat sekiranya mengambil kuasa kerajaan.

Bina kuasa politik ketiga yang membawa program rakyat dan di sertai oleh kelas pekerja dan rakyat massa.

Masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa hanya boleh ditangani dengan melancarkan penjuangan terhadap sistem ekonomi kapitalisme yang mengawal kehidupan semua dan juga mendominasi agenda ekonomi, sosial dan politik negara. Untuk itu, kepimpinan politik pro-kapitalisme yang sedia ada langsung tidak boleh diharapkan, dan sebuah kuasa politik baru haruslah dibina dengan penyertaan kelas pekerja, anak muda dan rakyat tertindas yang lain. Parti politik massa yang terdiri daripada kelas pekerja dan rakyat tertindas haruslah berlandaskan kepada sebuah program sosialis iaitu berasaskan demokrasi, hak dan keperluan rakyat terbanyak. Kuasa politik sebegini mampu meraih sokongan majoriti dan menyatukan semua rakyat berbilang kaum dan agama. Hanya dengan sebuah program sosialis yang menentang sistem kapitalisme dan melalui penyertaan rakyat terbanyak, agenda perkauman daripada ahli politik kapitalis akan dapat dikalahkan dan sebuah struktur politik dan ekonomi yang berteraskan kepada aspirasi rakyat mampu di bina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*