Politik dari Penjara: Titah addendum untuk Najib

Sistem perundangan tidak pernah bebas daripada campur tangan pihak eksekutif dan kelas borjuis.

Situasi dengan Najib kini sekadar mencerminkan rebut kuasa antara elit bourjuis yang memangsa dan menghimpit politik rakyat — ia harus dihentikan melalui pembinaan politik kelas pekerja sebagai alternatif.

Pada 23 Ogos 2022, bekas PM Malaysia, Najib Razak, telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan juga denda sebanyak RM 210 juta kerana didapati bersalah di dalam salah satu kes tuduhan. Melalui titah addendum, hukuman ini kemudiannya dikurangkan kepada 6 tahun dan denda RM 50 juta. Tetapi ini hanya satu kes – yakni pecah amanah, salah guna RM 42 juta dana SRC International. Ketika ini masih ada kes-kes yang lain yang dituduh. Antaranya terdapat 2 tuduhan yang sedang dalam proses menunggu perbicaraan iaitu wang 1MDB berjumlah RM 2.3 bilion dan dana SRC berjumlah RM 27 juta.

Tidak lupa isterinya, Rosmah Mansur yang turut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM 970 juta atas 12 pertuduhan wang haram melibatkan lebih RM 7 juta dan lima pertuduhan mengelak cukai tetapi telah dibebaskan dan dilepaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya telah dibenarkan dibuat atas alasan ia tidak berasas dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.

Namun begitu, dia juga masih mempunyai rayuan akan kes sabitan yang lain iaitu kes rasuah projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM 1.25 bilion di Mahkamah Rayuan.

Titah addendum

Titah addendum merujuk kepada kenyataan tambahan atau penjelasan rasmi yang dikeluarkan oleh seorang raja atau pemerintah berkenaan sesuatu perkara tertentu. Dalam kes Najib, ia merujuk kepada satu dokumen yang didakwa sebagai perintah daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16. Ia kononnya memberi izin kepada Najib untuk menjalankan baki hukuman penjaranya di rumah, dan menggantikan hukuman penjara fizikal di Penjara Kajang. Najib seharusnya menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula pada Ogos 2022 dalam kes SRC International, tetapi dikurangkan kepada 6 tahun oleh Lembaga Pengampunan.

Permohonan telah dibuat kepada Mahkamah Tinggi pada Julai 2024, tetapi ditolak kerana affidavit yang menyokong permohonan tersebut dianggap sebagai khabar angin. Kemudian pada Januari 2025, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan 2-1, membenarkan rayuan Najib. Peguam Najib mendedahkan bahawa surat Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4hb Januari 2025 yang sahkan wujudnya titah addendum mengenai tahanan di rumah. Ini turut disahkan oleh Istana Pahang mengenai addendum diraja selepas affidavit yang difailkan oleh anak Najib, Nizar pada 5hb Disember.

Walaubagaimanapun, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan pula mengesahkan bahawa ia tidak menerima sebarang dokumen tambahan atau addendum daripada pihak Istana Negara.

Pertikaian titah atau permainan politik?

Wujud pelbagai pertikaian sama ada dokumen tersebut benar-benar wujud, dengan pelbagai kenyataan daripada pihak-pihak berkepentingan. Istana Pahang dilaporkan mengesahkan kewujudan dokumen itu, tetapi perinciannya masih diperdebatkan. Menurut Khairy Jamaludin, selaku bekas Ketua Pemuda UMNO – telah mengkritik kepimpinan UMNO yang lain kerana ‘melewatkan’ dan tidak ‘mendedahkan’ titah addendum yang dikatakan telah ditulis sejak Januari 2024. Juga wujud tekanan akan ketiadaan undang-undang khusus bagi membolehkan banduan dipenjara di rumah.

Kemudian Anwar akhirnya mengakui bahawa peguam negara menerima surat berhubung dengan titah tambahan diraja yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah – tapi kemudian surat itu diberikan kepada istana negara bagi membolehkan Agong yang baru, Sultan Ibrahim untuk membuat keputusan.

Anwar menambah dalam satu mesyuarat yang dihadirinya, Peguam Negara telah menasihatkan Agong terdahulu bahawa baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk membuat keputusan, tetapi keputusan itu mesti dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, bukan di luar mesyuarat tersebut.

Terdapat juga artikel The Star (yang telah dipadamkan) yang menyatakan bahawa Anwar Ibrahim lah yang mencadangkan bahawa Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. Malah dalam ucapan Anwar pada Oktober yang lalu mengatakan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Politik dari penjara

Sebelum dijatuhkan hukuman penjara, Najib berjaya meraih sokongan di kalangan penyokong UMNO dan masih mempunyai pengaruh walaupun telah meringkuk di dalam penjara.

Sokongan dan permainan ‘politik dari penjara’ ini turut diterjemahkan melalui Himpunan Solidariti Najib yang ditunggang oleh kepimpinan Perikatan Nasional baru-baru ini di Putrajaya. Himpunan turut disertai oleh beberapa individu yang menentang kepimpinan Madani dan kononnya pejuang keadilan dan pempertahan undang-undang serta kesucian diraja. Tetapi himpunan Solidariti Najib sebenarnya telah mendedahkan kedangkalan dan kemuflisan parti-parti pembangkang untuk membawa sebarang tuntutan yang mengangkat tuntutan rakyat. Keterlibatan mereka bagi rakyat menunjukkan bagaimana kesanggupan parti-parti elit untuk menyokong penjenayah dan individu korup.

Krisis eksistensial UMNO

Dalam permainan politik elit borjuis, pemenjaraan Najib tidak menandakan bahawa dia adalah satu-satunya individu pimpinan kelas borjuis atau bangsawan yang bersalah dan korup – tetapi dia hanyalah salah satu figura yang telah dikambing hitamkan bagi menyelamatkan golongan kepimpinan borjuis yang lain. Hal ini mencetuskan konflik dalaman di kalangan kepimpinan UMNO itu sendiri dan menyebabkan perpecahan ke beberapa faksi yang ingin menyelamatkan kedudukan sendiri dan kekuasaan politik masing-masing.

Seperti Zahid Hamidi yang ketika ini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri telah berjaya mengukuhkan kuasanya di dalam kerajaan Madani dan berjaya menyingkirkan kepimpinan UMNO yang lain yang mencabar kepimpinannya. Kini, kepimpinan UMNO merupakan parti yang kecil dan tidak lagi mencerminkan kekuasaan yang pernah dimiliki oleh parti tersebut. Kepimpinan UMNO telah berpecah belah ke pelbagai penubuhan parti yang lain.

UMNO di bawah kepimpinan Zahid Hamidi sedang mengalami krisis eksistensial. Kini UMNO mendambakan gabungan dan perikatan yang stabil bagi terus mendapatkan kelebihan-kelebihan yang selama ini dimiliki sepenuhnya oleh mereka.

UMNO sebagai parti elit borjuis melihat Najib sebagai salah satu harapan bagi memastikan kebangkitan semula dan autoritinya diangkat dan dijunjung sebagai simbol pengukuhan semula hegemoni borjuis Melayu yang pada asasnya tidak stabil dan masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

Sistem perundangan dalam masyarakat kelas kapitalisme

Sistem perundangan tidak pernah bebas daripada hal politik dan campur tangan dari luar. Sejarah menunjukkan bagaimana pihak eksekutif kerajaan telah berkali-kali campur tangan di dalam hal ehwal perundangan dan memastikan bahawa kepentingannya selari dengan kepentingan kelas pemerintah.

Ini merupakan salah satu reformasi yang ingin diperjuangkan oleh golongan liberal – yakni dengan memastikan bahawa sistem perundangan negara adalah bersifat mandiri dan tidak dapat dipengaruhi bagi mencapai kepentingan sesetengah pihak. Atas persoalan ini juga, kepimpinan kerajaan Madani telah mendapat kritikan bertubi-tubi oleh kepimpinan masyarakat sivil. Seperti NGO Bersih, yang sebelum ini turut ditunggang dan diambil kesempatan oleh pihak pembangkang telah mengkritik pihak kepimpinan Madani.

Namun hal ini berbeza dengan pendirian Marxis dan bagaimana persoalan ini bersangkut paut dengan persoalan kenegaraan dan kepentingan kelas. Krisis politik yang sedang berlaku ketika ini tidak dapat dibincangkan tanpa mengambil kira situasi krisis ekonomi. Krisis politik dan keretakan di kalangan kelas borjuis merupakan natijah kepada krisis ekonomi. Mereka sedang bergelut merebut kekuasaan sesama sendiri. Lazimnya, pelbagai bentuk krisis dalam pemerintahan dan akhirnya mempengaruhi kemampuan kelas borjuis untuk mengurus pemerintahan secara efektif.

Misalnya perpecahan faksi di antara Mahathir dan Anwar yang tercetus ketika berlakunya krisis kewangan Asia pada tahun 1998 dan mencapai kemuncaknya dengan kejatuhan Barisan Nasional yang ketika itu merupakan salah satu perikatan politik yang paling lama memegang kuasa di dunia pada PRU ke-14.

Perubahan signifikan ini menandakan bahawa koalisi kelas penguasa yang selama ini stabil berikutan situasi ekonomi yang memberangsangkan, tidak berjaya meredakan kemarahan rakyat yang telah terasak dan terhimpit dengan situasi ekonomi yang lebih parah dari yang sebelumnya.

Walaupun pihak pembangkang yang dipimpin oleh Pakatan Harapan menyediakan manifesto yang berteraskan hal ehwal kebajikan – namun ianya merupakan janji kosong dan mendedahkan hipokrasi dan pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka. Kos kehidupan dan harga barangan yang semakin meningkat, jurang kekayaan dan pelaksanaan gaji minimum yang rendah, kadar hutang isi rumah yang melebihi 60% – kesemuanya menandakan ketidakmampuan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan untuk menyelesaikannya. Ini diparahkan lagi dengan pelbagai maneuver politik seperti rampasan kuasa melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan pertukaran kepimpinan kerajaan.

Tidak itu sahaja, krisis pandemik juga telah memainkan peranan dalam keretakan krisis politik yang pada waktu itu turut mendedahkan ketidakmampuan kepimpinan borjuis untuk menyelesaikan masalah nasional yang terdesak ketika itu. Kedua-dua pihak kepimpinan baik pembangkang mahupun pihak kerajaan, merupakan pilihan yang tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat ketika ini. Ini disebabkan kedua-duanya merupakan perwakilan kepada kepentingan kelas pemodal ataupun seperti mana yang dinyatakan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels di dalam Communist Manifesto – kerajaan hanyalah lapisan eksekutif yang mengurus hal ehwal golongan borjuis.

Selain itu, melalui perspektif kelas dan anti kapitalisme, dapat kita ambil pendirian bahawa pihak perundangan dan juga institusi negara yang lain tidak berupaya untuk memainkan peranan yang neutral, kerana sifat kenegaraan di bawah kerangka masyarakat kelas itu sendiri bermakna negara moden seperti realiti hari ini merupakan sebuah susunan struktur sosial yang mengangkat kepentingan kelas kapitalis dan mengutamakan motif keuntungan sebagai dasarnya.

Adalah naif buat para liberal dan golongan reformis memikirkan bahawa institusi perundangan ini dapat dipelihara sebaik-baiknya di bawah sistem kapitalisme. Persoalan akan jaminan ketelusan pihak perundangan tidak dapat dilaksanakan secara penuh selagi ianya berada di bawah kawalan kelas kapitalis. Reformasi perundangan yang ingin memastikan bahawa ianya kekal mandiri tanpa apa-apa campurtangan pihak eksekutif tidak akan berjaya dilaksanakan dan tambahan lagi, hal perlembagaan dan juga kuasa mutlak yang diletakkan di bawah kuasa Agong untuk memberi pengampunan juga merupakan hal yang tidak dapat diasingkan daripada persoalan kenegaraan yang wujud di negara kita.

Ketika ini, pihak pembangkang sebagai kelas borjuis elit sedang mengambil kesempatan akan isu titah addendum ini melalui Perhimpunan Solidariti Najib untuk merebut kedudukan sebagai pejuang keadilan di kalangan rakyat. Tetapi Najib sendiri daulunya didakwa di bawah kepimpinan Bersatu iaitu bekas perdana menteri Mahathir Muhyiddin Yassin.

Perjuangan politik kelas pekerja untuk sistem perundangan yang demokratik

Persoalan dan kedudukan Najib ketika ini, tidak dapat tidak, akan dilihat sebagai cerminan kepada ketidakmampuan kepimpinan kerajaan Madani untuk memastikan golongan kleptokrat dan perasuah untuk kekal berada di dalam penjara. Jaminan untuk memastikan para kleptokrat dan golongan perasuah ini kekal ditahan hanya dapat dilaksanakan secara telus dan demokratik. Iaitu jika institusi perundangan dan juga negara berada di bawah kawalan kelas pekerja secara demokratik dan bergerak berdasarkan kepentingan rakyat majoriti.

Jenayah yang melibatkan harta negara dan salah guna kuasa dalam kerajaan harus dipandang serius dan si pelaku seharusnya bukan saja ditahan, tetapi langkah-langkah yang lebih kukuh seperti eskpropriasi harta dan memastikan ianya diagihkan semula secara demokratik dan adil mengikut keperluan asas rakyat juga harus dilakukan. Namun ini memerlukan sebuah pembinaan gerakan kelas pekerja yang mandiri dan di bawah autoriti kepimpinan kelas pekerja untuk memastikan jenayah mencuri hasil kekayaan rakyat untuk kepentingan kelas borjuis elit dapat dielakkan.

Dan selagi mana institusi-institusi kenegaraan itu berada di bawah pengurusan lapisan golongan elit yang mengangkat kepentingan kelas pemodal, selagi itulah kita tidak dapat mengharapkan akan sebuah proses yang telus dan adil mengikut kepentingan kelas pekerja. Isu perundangan yang melibatkan golongan monarki dan elit politik tidak terpisah daripada persoalan kapitalisme itu sendiri. Kita tidak melihat hal ini dari sudut moral semata-mata, tetapi dengan mengakui akan kecenderungan institusi-institusi negara yang tidak bebas daripada kepentingan kelas yang diwakilinya.

Situasi krisis ketika ini akan lebih membusuk dan akan menjadi lebih kritikal tanpa sebuah penentangan dari kelas pekerja yang tersusun. Justeru, kita selaku organisasi Marxis juga menyeru kepada kelas pekerja, anak muda dan golongan tertindas yang lainnya untuk mula bergerak dan menyusun tenaga dan gerakan bagi memastikan bahawa segala punca penindasan sedia ada – yang kesemuanya berpunca daripada ketidakadilan masyarakat kelas dan juga kapitalisme ketika ini dapat dihancurkan sepenuhnya.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ): Bak kata pepatah ‘beri betis hendak peha’
2025 02 02 js sez zon ekonomi khas singapura malaysia sosialis alternatif Politik dari Penjara: Titah addendum untuk Najib Sosialis Alternatif
Laman Utama » Berita & Analisa » Nasional Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ): Bak kata pepatah ‘beri betis hendak peha’ OlehZ pada02/02/2025 suntingan terkini02/02/2025 Antara hal yang dibincangkan antara PM Lawrence...
BACA
Protes Mahasiswa dan Anak Muda: Rakyat Benci Rasuah
2025 01 24 protes mahasiswa anak muda sidang media rakyat benci rasuah sosialis alternatif Politik dari Penjara: Titah addendum untuk Najib Sosialis Alternatif
Dengan perubahan PM lebih dari 3 kali dalam tempoh kurang dari 2 tahun sejak PRU ke-15 sementara penindasan terhadap rakyat dan politik rasuah masih berterusan, bermakna anak muda dan mahasiswa sudah tidak percayakan politik elit dan memaksa...
BACA
Public Health for Profits: Malaysian healthcare at the crossroads
2025 01 22 wbb shift system healthcare at crossroads contract doctors picket sosialis alternatif Politik dari Penjara: Titah addendum untuk Najib Sosialis Alternatif
The Madani state's reform agenda has since its rise to power in 2022 turned out to include not only intensifying the exploitation of public health workers via its brutal imposition of one austerity policy after another, but also its continued...
BACA

Politik dari Penjara: Titah addendum untuk Najib

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *