Pinjaman PTPTN Cecah Hampir RM40 Billion Awal 2025: Penyelesaian Reformis Gagal Menangani Akar Krisis

Adam Adli (Ketua AMK) memegang sepanduk bantah PTPTN. Kini timbalan Menteri Belia dan Sukan, dahulunya merupakan aktivis popular dalam menggerakkan kempen bantah PTPTN pada tahun 2012. Setelah berada dalam kerajaan, beliau menjadi alat reformis PKR. Hujah beliau bahawa “mansuh PTPTN sukar untuk dilaksanakan disebabkan faktor ekonomi”.


Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mencecah hampir RM40 bilion sejak awal 2025, dengan RM11 bilion diklasifikasikan sebagai tertunggak, menurut laporan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radhi. Beliau mencadangkan agar PTPTN mengetatkan kaedah kutipan bagi meningkatkan kadar bayaran balik pinjaman.

Pada 11 April 2025 dalam sesi “Temu Anwar” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa isu ini boleh ditangani jika keluarga berpendapatan tinggi dikenakan cukai yang lebih besar. Namun beliau mengakui bahawa langkah ini akan ditentang tetapi menegaskan bahawa Malaysia menawarkan subsidi antara yang paling murah hati di rantau ASEAN dan beliau tidak mahu terus mensubsidi golongan kaya Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim mencadangkan beberapa langkah seperti potongan gaji automatik dan penyiaran nama peminjam culas untuk memberi tekanan dengan mewujudkan rasa malu.

Namun, penyelesaian menangani hutang yang membebankan ini gagal memahami situasi sebenar permasalahan krisis ini — iaitu sistem kapitalisme yang menjadikan keperluan masyarakat dan naluri sebagai manusia untuk mengembangkan idea, pemikiran, dan kemahiran dalam bentuk pendidikan dieksploitasi sebagai satu komoditi di dalam pasaran – bersama ilusi semakin tinggi tahap pendidikan, semakin baik jaminan pekerjaan dan taraf kehidupan. Bagi mereka yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi, pinjaman pendidikan PTPTN adalah jawapan selain meminta pinjaman dari keluarga ataupun kenalan terdekat.

Ditubuhkan pada tahun 1997 di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566), PTPTN bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi melalui pinjaman dan skim simpanan. Ia wujud sejajar dengan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang membenarkan perkembangan pesat sektor pendidikan tinggi swasta. Ketika itu, PTPTN dipasarkan sebagai alat untuk menjadikan pendidikan tinggi lebih mudah diakses. Dengan peningkatan bilangan pelajar di institusi awam dan swasta, PTPTN berubah menjadi mekanisme utama untuk kerajaan mengelak daripada melabur secara langsung dalam pendidikan tinggi. Daripada memperluas pendidikan awam percuma, kerajaan menggalakkan generasi muda menanggung hutang peribadi demi membiayai pengajian mereka — sekaligus menyokong sistem pendidikan yang semakin dipacu pasaran dan diswastakan.

Perbincangan semasa mengenai PTPTN kini hanyalah sekadar wayang politik tanpa perubahan struktur. Dalam kajian bertajuk “Gaji Cukup Makan” Economy: When Higher Education Becomes an Economic Risk, didapati lebih 65% pemegang ijazah di Malaysia memperoleh kurang daripada RM3,000 sebulan, manakala lebih 70% graduan terpaksa bekerja dalam sektor separa mahir atau berkemahiran rendah. Bank Dunia turut melaporkan bahawa lebih satu perempat pemegang ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan pembelajaran mereka.

Ini membuktikan dengan jelas bagaimana pendidikan telah dikomodifikasikan dan dijadikan alat pengumpulan modal kapitalis. Dengan merendahkan peruntukan kepada pendidikan awam dan mewujudkan PTPTN, kelas kapitalis mengaut keuntungan — pertama melalui pemotongan perbelanjaan kerajaan dalam institusi awam, kemudian melalui hutang pelajar yang dikenakan faedah, dan akhirnya graduan memenuhi pasaran buruh sebagai “pelatih” dengan gaji yang rendah. Ini diburukkan lagi dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menjadi halangan kepada mahasiswa dan ahli akademik dalam menyuarakan kesengsaraan mereka secara bebas. PTPTN adalah antara faktor yang menjadi punca masalah kewangan di kalangan anak muda – ia mempunyai akar dalam masalah politik yang berasaskan kehendak segelintir elit kapitalis.

PTPTN adalah hasil daripada dasar reformis selama beberapa dekad yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding rakyat. Untuk menamatkan kitaran hutang di kalangan anak muda yang akan menjadi sebahagian dari kelas pekerja, ia memerlukan sebuah gerakan politik yang berasaskan kepimpinan yang secara objektif mempunyai kemahuan politik untuk berjuang menghapuskan agenda kelas kapitalis dalam memansuhkan agenda keuntungan dalam sistem pendidikan. Kepimpinan seperti ini hanya wujud di kalangan kelas pekerja yang secara objektif berada dalam kondisi penindasan sistemik oleh kelas kapitalis. Isu hutang pada dasarnya merupakan isu sistemik di kalangan kelas pekerja di dalam sistem kapitalisme. Belenggu hutang seperti hutang isi rumah terutamanya merupakan isu yang tidak asing bagi kelas pekerja – justeru isu hutang PTPTN bukan saja harus diperjuangkan sebagai perjuangan kelas pekerja tetapi perjuangan itu sendiri harus dipimpin di kalangan mereka sendiri.

Kerajaan Madani yang dipimpin Anwar telah melupakan janji mereka ketika menjadi pembangkang – ini menunjukkan kepimpinan yang reformis seperti Anwar Ibrahim patuh pada kehendak elit kapitalis untuk meneruskan PTPTN walaupun mengkhianati janji mereka sendiri. Sebuah perjuangan politik untuk menghapuskan segala jenis beban hutang ke atas kelas pekerja harus diangkat semula oleh organisasi akar umbi seperti mahasiswa dan anak muda pada awal 2010, sebelum Anwar menjadi pemerintah dalam protes seperti “Occupy Dataran”, “Mansuh PTPTN” dan lain-lain. Ini harus dijalankan bersama jalinan solidariti pekerja dan mengangkat kepimpinan mereka secara demokratik. Termasuk usaha untuk membina parti politik pekerja massa sebagai platform perjuangan yang dapat menyatukan perjuangan kelas pekerja menentang agenda kelas kapitalis seperti meningkatkan gaji minimum dan memiliknegarakan institusi pendidikan swasta serta menghapuskan akta-akta yang menindas gerakan massa.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Menuntut Keadilan untuk Zara Qairina melalui Solidariti Pekerja
2025 08 13 keadilan untuk zara qairina kenyataan solidariti pekerja foto 2 sosialis alternatif Pinjaman PTPTN Cecah Hampir RM40 Billion Awal 2025: Penyelesaian Reformis Gagal Menangani Akar Krisis Sosialis Alternatif
Laman Utama » Berita & Analisa » Nasional Menuntut Keadilan untuk Zara Qairina melalui Solidariti Pekerja OlehSosialis Alternatif pada13/08/2025 suntingan terkini13/08/2025 Himpunan solidariti untuk Zara Qairina dilaporkan...
BACA
Kecoh di Pameran Kerja Bekasi Indonesia: Ketidakpastian Kerja di Bawah Kapitalisme
2025 07 11 kecoh pameran kerja bekasi indonesia perserikatan sosialis sosialis alternatif Pinjaman PTPTN Cecah Hampir RM40 Billion Awal 2025: Penyelesaian Reformis Gagal Menangani Akar Krisis Sosialis Alternatif
Lebih dari sebulan yang lalu, tepatnya tanggal 27 Mei 2025 Pemerintahan Kabupaten Bekasi melaksanakan acara bursa kerja yang bernama “Job Fair Bekasi Pasti Kerja”. Bursa kerja yang dilaksanakan di President University Convention Center,...
BACA
“Suara yang Dibisukan”: Lebih 1,000 pekerja bank dan ahli kesatuan NUBE berhimpun di Putrajaya menuntut keadilan sempena Hari Pekerja
2025 07 08 nube protes hari pekerja foto 1 sosialis alternatif Pinjaman PTPTN Cecah Hampir RM40 Billion Awal 2025: Penyelesaian Reformis Gagal Menangani Akar Krisis Sosialis Alternatif
Tema yang dibawa dalam perhimpunan bukan sekadar simbolik, tetapi satu ekspresi yang menunjukkan penindasan majikan menggunakan taktik kotor untuk membisukan suara pekerja yang menuntut dan melampaui batas hak berkesatuan. Ini turut mendedahkan...
BACA

Pinjaman PTPTN Cecah Hampir RM40 Billion Awal 2025: Penyelesaian Reformis Gagal Menangani Akar Krisis

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *