Dalam kemelut politik negara yang berpanjangan, Pilihan Raya Negeri Melaka yang bakal diadakan pada 20 November ini merupakan episod terbaru. Pada 4 Oktober lalu, speaker DUN Melaka telah membubarkan Dewan tersebut setelah 4 orang ahli DUN telah menarik balik sokongan mereka kepada Idris Haron yang merupakan Ketua Menteri Melaka pada waktu itu. Pada Mac tahun lalu, seramai 4 orang ADUN telah lompat parti daripada PH dan menggulingkan kerajaan negeri tersebut dan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional. Sekarang, akibat permainan politik dan kelakuan ‘lompat parti’, kerajaan negeri Melaka telah jatuh sekali lagi dan terpaksa menghadapi Pilihan Raya Negeri, walaupun di dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum menemui kesudahan.

PRN Melaka mencerminkan situasi politik negara

Kemelut politik di Melaka merupakan sambungan kepada krisis politik negara yang bermula pada Februari tahun lepas apabila kerajaan PH digulingkan oleh Bersatu, BN dan PAS dan diambil alih oleh Perikatan Nasional. Akan tetapi, Perikatan Nasional bukanlah sebuah koalisi politik yang kukuh dan hanya dibentuk untuk tujuan merebut kuasa kerajaan dan pangkat politik oleh beberapa entiti yang saling bermusuhan. Kerjasama antara BN di bawah pimpinan Zaid Hamidi dan Bersatu di bawah Muhyiddin telah mewujudkan pelbagai tanda tanya dari awal lagi. 

Sejak PRN Sabah di mana PN dan BN telah bertanding dengan bendera yang berasingan dan telah bertembung di beberapa kerusi secara terbuka, perpecahan dalaman PN sudah mula kelihatan. Tetapi pada PRN Melaka kali ini, BN dan PN akan bertembung di semua 28 kerusi yang dipertandingkan. Walaupun di peringkat Federal, UMNO, Bersatu dan PAS bekerjasama untuk memegang kuasa kerajaan untuk mengelakkan PH daripada kembali berkuasa, rebutan kuasa terus berlangsung di peringkat negeri. PRN Melaka ini merupakan medan pertarungan yang penting untuk menyukat kekuatan parti masing-masing dalam mengatur strategi ke arah menghadapi PRU yang akan datang.   

Pertarungan pelbagai penjuru

Seramai 112 calon akan bertanding di PRN Melaka dan terdapat situasi 6 penjuru di 3 DUN. Ketiga-tiga BN (UMNO, MCA, MIC), PN (BERSATU, PAS, GERAKAN) dan PH (PKR, AMANAH, DAP) akan bertanding di semua kerusi. Parti Putra yang tidak memberi sokongan kepada BN atau PN telah meletakkan calon mereka di 5 kawasan mengundi. Selain itu, satu lagi parti baru yang berdasarkan kaum, Parti Perikatan India Muslim (IMAN) akan meletakkan calon di satu kawasan. Parti Pejuang, MUDA dan Parti Kuasa Rakyat tidak meletakkan calon dan berundur daripada bertanding. 

Perkara yang menarik di PRN Melaka kali ini adalah, terdapat sebanyak 22 calon bebas mendaftarkan diri untuk bertanding tanpa sebarang afiliasi dengan mana-mana parti politik lain. Sebahagian besar daripada mereka, seramai 13 calon bebas juga telah bergabung dan berkongsi manifesto dalam menghadapi PRN ini. Walaupun motif gabungan bebas ini dan hala tuju politik mereka masih belum jelas, mereka mendakwa bahawa mereka mewakili aspirasi rakyat Melaka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan PH, BN ataupun PN, dan mencalonkan diri untuk mencabar parti-parti arus perdana yang mengecewakan rakyat. 

Ramai di kalangan penganalisa politik menganggarkan bahawa perpecahan di antara BN dan PN akan memecahkan undi etnik Melayu dan ini akan memberikan kelebihan kepada PH yang mempunyai lebih banyak sokongan golongan bukan Melayu. Tetapi, sepertimana yang berlaku di PRN Sabah pada September 2020, walaupun BN dan PN bertembung di PRN, mereka masih boleh menjalinkan kerjasama untuk memastikan bahawa PH tidak dapat mengawal kerajaan negeri tersebut. Situasi yang hampir sama juga sedang berlaku di peringkat Federal di mana UMNO dan Bersatu sedang berkompromi semata-mata untuk menafikan kerajaan kepada PH dan calon PM mereka Anwar Ibrahim. Situasi ini juga boleh berulang jika satu lagi PRU baru diadakan di peringkat nasional. Akibat perpecahan dalaman di kalangan parti-parti besar, kemungkinan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh selepas PRU seterusnya nampak malap. 

Pilihan untuk rakyat?

Walaupun pelbagai parti-parti berbeza bertanding dalam PRN yang penuh dengan pertembungan pelbagai penjuru, malangnya, kelas pekerja dan rakyat biasa negeri Melaka tidak mempunyai sebarang pilihan yang munasabah. PH yang di pilih pada PRU yang lalu telah mengecewakan rakyat dan gagal untuk menunaikan sebarang janji-janji Pilihan Raya mereka. Rakyat Melaka, sama dengan rakyat di seluruh negara, telah kecewa dengan pemerintahan PH yang tidak berbeza dengan BN dimana keuntungan para korporat besar diutamakan dan rakyat massa dipinggirkan dalam keadaan beban ekonomi yang melampau dan tekanan kehidupan yang teruk. 

Pada masa yang sama BN, PN dan parti-parti arus perdana yang lain juga tidak membentangkan sebarang program ataupun manifesto yang merujuk kepada keadaan rakyat Melaka pada waktu ini. Melaka sebagai negeri yang bergantung dengan industri pelancongan telah mendapat kesan yang mendalam akibat pandemik Covid-19 yang telah melumpuhkan industri tersebut. Oleh itu, program kebajikan dan hak asasi merupakan sesuatu yang amat diperlukan oleh kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang merana. 

Kedua-dua kerajaan BN dan PH tidak berjaya menonjol sebagai pendukung aspirasi rakyat biasa. Pembangunan pesat yang tidak dirancang di Melaka sedang mendatangkan kesukaran untuk meneruskan kehidupan bagi masyarakat miskin. Projek tambak laut di Melaka sedang mengancam alam sekitar dan periuk nasi para nelayan yang bergantung dengan perairan tersebut. Tambahan pula, pembangunan yang pesat dan tidak teratur di bandar Melaka sedang mengancam para peniaga kecil yang sedang menggulung tikar dan terpaksa menutup operasi akibat persaingan dari korporat-korporat besar. 

Kerajaan negeri selama ini juga telah membenarkan gentrifikasi di mana korporat-korporat besar seperti H&M dan Hard Rock Cafe membeli kedai-kedai tradisi dan membuka perniagaan dengan menggunakan modal yang besar. Akibatnya, ia sedang mengubah landskap bandar Melaka yang bersejarah yang hampir kehilangan status Bandar Warisan Dunia dari UNESCO. Bagi rakyat negeri Melaka, mereka sedang kehilangan identiti mereka berserta dengan punca pendapatan dan merasai peningkatan eksploitasi oleh para pemodal besar. Situasi ini sedang merosot dari tahun ke tahun, tidak kira di bawah kepimpinan PN, BN ataupun PH. 

Calon-calon bebas yang bertanding juga setakat ini belum membawa sebuah perspektif perjuangan yang jelas bagi membela nasib rakyat Melaka dan negara. Tetapi, pada masa yang sama, kemunculan calon-calon bebas yang mencabar kuasa-kuasa politik arus perdana merupakan sesuatu yang harus di beri sokongan dan ia boleh menjadi titik tolak kepada pembinaan sebuah alternatif yang munasabah. 

Bina kepimpinan politik yang berasaskan demokrasi dan perjuangan rakyat tertindas

Parti-parti arus perdana yang sedang mencalonkan diri sebagai kepimpinan di negeri Melaka akan sentiasa mengecewakan rakyat biasa yang membuang undi ke arah mereka. Ini adalah kerana, semua parti tersebut merupakan pendokong sistem kapitalisme yang sedang berada dalam sebuah krisis global yang berpanjangan. Tambah dengan pandemik Covid-19 yang menggegarkan ekonomi dunia, sistem ekonomi ini berada dalam keadaan yang lemah dan menuju ke arah kejatuhan. Oleh itu, ia adalah mustahil untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat biasa apabila sistem ekonomi itu sendiri tidak bergerak dengan lancar. Hutang dunia sedang menjunam naik dan akhirnya hutang ini akan ditanggung oleh rakyat biasa, termasuk hutang yang diambil untuk menghadapi pandemik Covid-19. 

Ahli-ahli politik dari parti-parti utama seperti BN, PN dan PH mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan kelas kapitalis yang mengawal aliran ekonomi negara dan dunia. Oleh itu, adalah sangat naif untuk menganggap bahawa ahli-ahli politik ini akan mencabar aturan sistem ekonomi kapitalisme yang sedang membawa kemudaratan kepada kehidupan jutaan rakyat tertindas. Juga termasuk calon daripada parti-parti baru dan calon bebas, masing-masing tidak merujuk kepada sistem ekonomi kapitalisme yang menjadi punca kepada segala kesengsaraan rakyat biasa dan tidak menawarkan alternatif yang boleh membawa penyelesaian.

Kelas pekerja dan rakyat biasa tidak boleh menaruh harapan kepada kepimpinan politik yang sudah terbukti tidak ikhlas dan rakus. Sebaliknya, rakyat harus menaruh harapan terhadap semangat perjuangan massa dan mula membina perjuangan di tempat kerja dan di kalangan masyarakat akar umbi untuk membawa aspirasi kita ke hadapan. Kelas pekerja yang memegang kuasa ekonomi haruslah melancarkan aksi-aksi industri di tempat kerja, bukan sekadar untuk memperjuangkan tuntutan ekonomi diri sendiri, tetapi juga untuk menuntut kebajikan dan hak demokrasi bagi rakyat biasa. 

Melalui jalan perjuangan, kelas pekerja dan rakyat biasa boleh membina sebuah kepimpinan politik yang terdiri daripada rakyat massa, bersatu di bawah perspektif yang jelas untuk melawan kelas kapitalis dan mengangkat martabat kelas pekerja dan rakyat tertindas di bawah aturan ekonomi sosialisme. Hanya sebuah kepimpinan politik yang membawa program sosialis dan hak demokrasi yang kukuh boleh menyatukan rakyat tertindas dari pelbagai latar belakang dan membina perjuangan sosial dan politik yang tersusun untuk merampas kuasa politik dari tangan kelas kapitalis.