Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Selepas ditangguh dari tahun lepas akibat pandemik Covid-19, Perhimpunan Agung Umno telah akhirnya berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu. Berbeza dengan perhimpunan-perhimpunan sebelum ini, perhimpunan kali ini telah dinanti-nantikan oleh 3.3 juta ahli UMNO dan rakyat Malaysia yang sedang keliru dengan hala tuju parti tersebut di dalam situasi politik terkini. Antaranya adalah berkenaan dengan peranan UMNO di dalam koalisi Perikatan Nasional,  hubungan UMNO dan Parti Bersatu, kerjasama dengan parti-parti pembangkang PKR dan DAP dan masa depan koalisi Muafakat Nasional bersama PAS. 

Sejak PM Muhyiddin dan Parti Bersatu berjaya merampas kuasa Parlimen dengan bantuan parti UMNO dan PAS dan menubuhkan kerajaan pada tahun lepas, hubungan diantara dua komponen utama dalam koalisi Perikatan Nasional telah menjadi semakin renggang. UMNO dan Bersatu telah beberapa kali bertelingkah dalam isu-isu seperti pemilihan Ketua Menteri Negeri dan pengagihan kerusi di dalam Pilihan Raya. Ini dilihat dengan jelas dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang berlangsung pada 26 September tahun lepas di mana UMNO dan Bersatu telah bertanding di bawah bendera yang berbeza, bertembung di 17 buah kerusi dan tidak sepakat dalam isu pemilihan Ketua Menteri. Sejak PRN tersebut, hubungan antara UMNO dan Bersatu telah bertambah masam dan kini sudahpun retak. 

Pada Januari lalu, pertelingkahan diantara UMNO dan Bersatu telah memuncak apabila sebilangan ketua cabang UMNO telah mengeluarkan usul untuk hentikan kerjasama dengan parti Bersatu. Berikutan, Setiausaha Agung UMNO pada waktu itu, Annuar Musa juga dipecat kerana dilihat sebagai ingin menghalang pecahan UMNO dan Bersatu. Seruan-seruan untuk menggulingkan pemerintahan PN dengan undi tidak percaya di Parlimen dan memaksa sebuah Pilihan Raya baru juga telah kedengaran daripada kepimpinan UMNO. 

Tetapi, situasi kecemasan kesihatan akibat pandemik Covid-19 telah dipergunakan oleh Muhyiddin dan Parti Bersatu untuk mendeklarasi darurat dan menolak sebarang usaha untuk mengubah kerajaan pada waktu ini. Walaupun deklarasi darurat ini mengundang kritikan daripada parti-parti pembangkang, terutamanya UMNO, situasi kecemasan yang sedang dilalui oleh seluruh dunia berjaya meyakinkan rakyat biasa dengan langkah kerajaan PN. Tetapi, dengan peningkatan tekanan kehidupan bagi jutaan rakyat biasa akibat kemerosotan ekonomi, sokongan untuk PN juga sedang semakin luntur akhir-akhir ini.

Di dalam upacara PAU, para pemimpin UMNO telah secara terang-terangan mengkritik langkah kerajaan untuk menangguh persidangan Parlimen dan Pilihan Raya Umum yang seharusnya di adakan pada bulan Mac lalu mengikut penetapan Perlembagaan Negara. Majoriti daripada pucuk pimpinan dan delegasi yang hadir telah menyokong sebuah resolusi untuk memutuskan segala hubungan dengan Parti Bersatu dan kerajaan PN dan bersiap sedia untuk menghadapi sebuah Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat. 

Para pemimpin UMNO berhujah bahawa Parti Bersatu telah hanya mempergunakan UMNO untuk mendapatkan kuasa kerajaan dan sebenarnya mempunyai agenda tersendiri untuk menggantikan UMNO sebagai parti etnik Melayu yang dominan. Kepimpinan UMNO sangat tidak berpuas hati apabila Bersatu telah menarik seramai 15 orang ahli Parlimen dari UMNO ke dalam parti mereka sejak PRU ke 14 lalu. Bersatu yang pada asalnya merupakan pecahan daripada UMNO kini sedang menggugat posisi politik UMNO sebagai parti terbesar dan mewakili etnik majoriti yang terbesar di negara. 

Pada masa yang sama, PAU telah memilih untuk meneruskan kerjasama politik dengan PAS bagi mendapatkan kemenangan di PRU melalui koalisi Muafakat Nasional. Koalisi tersebut telah dapat berjaya menandingi kerajaan PH di sepanjang pemerintahan mereka di beberapa Pilihan Raya Kecil dan mendapat kejayaan. Oleh itu, Muafakat Nasional dilihat sebagai sebuah jalan untuk memulihkan dominasi UMNO dan BN dalam politik tempatan. 

Hakikatnya, UMNO tidak boleh bertanding di PRU dan berharap untuk mendapatkan majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan tanpa melakukan koalisi ataupun aliansi dengan parti-parti lain. Tambahan pula dengan Parti Bersatu yang sedang berada di tampuk kekuasaan dan sedang cuba untuk mengukuhkan posisi mereka, undi rakyat Melayu akan berpecah dan tidak akan membawa kepada satu pemenang yang jelas. Pada masa yang sama, undi dari etnik-etnik yang lain juga akan diperlukan untuk memegang kuasa kerajaan. Muafakat Nasional yang pernah mendapat sokongan daripada parti-parti komponen BN lain seperti MIC dan MCA juga telah cuba untuk menggambarkan diri mereka sebagai perwakilan rakyat yang adil untuk semua kaum. 

Tetapi, PAS yang mempunyai agendanya tersendiri nampak sebagai tidak bersedia untuk menyertai UMNO dalam membawa kembali Muafakat Nasional sebagai satu blok politik. PAS yang selesa menduduki kerajaan pada masa ini mempunyai hubungan rapat dengan beberapa ahli politik daripada Bersatu dan sedang memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan PM Muhyiddin. Ketua Parti PAS, Hadi Awang juga menyatakan rasa kesal dengan keputusan PAU untuk memutuskan segala hubungan dengan Bersatu di PRU yang akan datang. 

Keadaan ini dengan jelas mendedahkan bahawa sejak kekalahan di PRU-14, UMNO sedang semakin lemah dengan perpecahan dalaman. UMNO dan BN bukan sekadar kalah di PRU lepas, mereka juga telah didedahkan sebagai sebuah organisasi politik yang sangat korup dan memakan berbilion-bilion ringgit sebagai duit suapan kroni-kroni mereka. Oleh itu, parti UMNO dengan kepimpinan lama mereka dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang tidak akan berjaya mendapatkan keyakinan daripada rakyat biasa. Parti Bersatu pula mempergunakan peluang ini untuk cuba menonjolkan diri mereka sebagai pejuang bangsa yang tulen dan tidak korup. 

PAS yang tidak selesa untuk berkerjasama dengan UMNO melihat Bersatu sebagai rakan politik yang lebih selamat dan lebih mudah diterima oleh penyokong dan ahli mereka yang dikatakan menjangkau 1 juta orang. Ini merupakan percaturan politik yang mengambil kira posisi UMNO yang sedang semakin lemah.

Malah, ramai juga di kalangan ahli UMNO sendiri yang sedang tidak bersetuju dengan hala tuju UMNO yang masih mengekalkan kepimpinan lama yang mempunyai pelbagai kes-kes rasuah di mahkamah. Ada beberapa suara daripada dalam UMNO yang sedang menggesa ahli parti mereka untuk melakukan sebuah reformasi dalaman dan menggantikan kepimpinan lama mereka dengan muka-muka baru yang tidak mempunyai rekod yang buruk. 

Pada waktu ini, semua pihak pembangkang PKR, DAP, AMANAH, PTA dan MUDA belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menjelaskan strategi atau koalisi politik mereka jika sebuah PRU diadakan dalam masa terdekat. Tetapi, pada waktu yang sama, mereka juga tidak menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk UMNO dan BN jika keadaan mendesak mereka. Walaupun di PAU, Ketua parti Zahid Hamidi telah berhujah : tidak kepada Bersatu, tidak kepada DAP dan tidak kepada Anwar, perbincangan dengan parti-parti pembangkang masih diteruskan di belakang tabir. Oleh itu, walaupun belum ada kepastian, pelbagai koalisi-koalisi politik yang tidak pernah di bayangkan boleh wujud di PRU yang akan datang. 

Dengan perpecahan di kalangan undi Melayu, kekecewaan terhadap pihak pembangkang yang tidak menawarkan sebarang kepimpinan dalam waktu pandemik dan dengan ketidaktentuan politik yang dialami oleh rakyat jelata, tidak ada kepastian bahawa sebuah kerajaan yang stabil mampu dibentuk walaupun sebuah PRU diadakan dalam masa terdekat. Rakyat biasa yang sedang menyaksikan semua gelagat ahli-ahli politik arus perdana yang asyik merebut pangkat dan kerusi apabila rakyat biasa sedang merana, sememangnya tidak akan teruja untuk menyertai proses politik seperti PRU. Apatah lagi jika ia diadakan dalam keadaan pandemik Covid-19 belum dikawal sepenuhnya. 

Pada waktu ini, hampir semua pertubuhan politik yang pernah wujud untuk berdekad-dekad lamanya sedang berpecah, hancur dan pelbagai parti dan pembentukan politik baru sedang mula muncul. Berlatar belakangkan krisis pandemik dan ekonomi sistem kapitalisme, keadaan politik negara sedang huru-hara tanpa sebarang kepastian. Tambahan pula dengan keadaan ekonomi global yang sedang merudum, mana-mana pihak yang membentuk kerajaan tidak akan berjaya mendapat sokongan dan keyakinan rakyat biasa yang sedang semakin miskin setiap hari. 

Sistem politik dan ekonomi kapitalisme sudah tidak boleh menawarkan sebarang jalan keluar daripada kekusutan politik dan krisis ekonomi yang bakal di hadapi. Dalam waktu pandemik yang sedang mengancam nyawa dan kesihatan jutaan rakyat, para kapitalis kaya dan ahli politik sedang menjadi semakin kaya dan meningkatkan keselesaan kehidupan mereka. Ini merupakan percanggahan sistem kapitalisme yang hanya mengutamakan keinginan segelintir minoriti kaya yang memiliki segala harta dan mengawal segala hala tuju kerajaan. Tidak kira kerajaan mana, BN, PH ataupun PN yang pernah memerintah selama ini. 

Rakyat biasa harus berhenti mempercayai segala janji dan retorik daripada ahli-ahli politik yang hanya mewakili kepentingan segelintir kaya dan tolak kepimpinan mereka. Sebaliknya rakyat memerlukan perwakilan politik yang mewakili kepentingan rakyat massa dan terdiri daripada kelas pekerja dan masyarakat tertindas. Tanpa sebuah kepimpinan politik yang mampu melawan sistem kapitalisme dan menawarkan sistem sosialisme sebagai alternatif, rakyat biasa tidak boleh mengharapkan sebarang perubahan yang nyata bagi kehidupan mereka. Sistem sosialisme yang mendahulukan kepentingan rakyat dan di pimpin secara demokratik dengan penyertaan massa merupakan satu-satunya peluang bagi rakyat untuk melepaskan diri dari belenggu kapitalisme yang rakus.   

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *