Perjanjian RCEP : Solusi kepada kemelesetan ekonomi?

Selepas hampir 8 tahun dalam rundingan, sebuah Perjanjian Perdagangan yang dinamakan sebagai Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) telah dipersetujui oleh 15 buah negara di Summit ASEAN ke 37 yang berlangsung di atas talian akibat kekangan pandemik Covid19. Perjanjian RCEP merangkumi 10 negara ASEAN (Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Philippines, Singapore, Thailand, Vietnam) dan 5 daripada rakan dagang utama iaitu Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand. Ini merupakan perjanjian perdagangan yang paling besar di dunia dan merangkumi 30% daripada KDNK dunia. 

Perbincangan untuk memperkenalkan RCEP telah bermula pada Summit ASEAN 2012 yang berlangsung di Cambodia. Walaupun semua negara ASEAN mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan China, RCEP akan meluaskan perjanjian ini kepada kuasa-kuasa ekonomi besar di rantau Asia Pasifik seperti Jepun dan Australia. Bagi negara Jepun yang merupakan pesaing utama negara China, ini merupakan perjanjian perdagangan yang pertama antara dua kuasa ekonomi gergasi di rantau ini. 

Perjanjian RCEP adalah tertumpu pada pengurangan tarif bagi mengalakkan pertumbuhan pasaran ekspot di rantau Asia Pasifik. Dengan keadaan ekonomi global yang merudum dan kejatuhan dalam pasaran permintaan, RCEP dianggap sebagai sebuah perjanjian yang akan memulihkan aktiviti ekonomi yang sedang menyusut. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Azmin Ali berkata bahawa RCEP merupakan sebuah langkah yang positif dan akan menyelamatkan ekonomi negara daripada tenggelam di dalam krisis berkembar, iaitu krisis pandemik Covid19 dan krisis kemelesetan ekonomi dunia. Pertubuhan Majikan-majikan Malaysia juga telah menerima RCEP dengan sangat baik dan memuji pihak kerajaan atas langkah tersebut. 

Pemimpin dari negara-negara lain yang menyertai RCEP juga sedang merujuk kepada perjanjian ini sebagai solusi kepada segala masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara tersebut. Akibat pandemik Covid19 yang telah melumpuhkan sektor servis dan pelancongan di semua negara ASEAN, rantau ini sedang menghadapi krisis pengangguran, kemuflisan dan isu-isu sosial yang sangat parah. Kelas pekerja dan rakyat biasa yang semakin tersepit dengan beban ekonomi sedang marah dengan pihak kerajaan yang gagal untuk menguruskan krisis ini dengan efisien. Oleh itu, pihak kerajaan yang tidak mempunyai sebarang solusi yang munasabah untuk menangani krisis yang sedang berkembang, berharap bahawa RCEP akan memulihkan ekonomi tempatan dan meningkatkan pertumbuhan negara.

Adakah RCEP akan memulihkan ekonomi rantau Asia Pasifik?

Dakwaan pihak kerajaan negara-negara yang menyertai RCEP bahawa perjanjian ini akan memulihkan ekonomi yang sedang merudum adalah sangat tidak munasabah dan gagal untuk mengambil kira beberapa butiran yang penting. 

Pertama sekali, perjanjian ini belum muktamad dan hanya akan berjalan jika 9 daripada 15 negara tersebut meluluskan perjanjian ini di dalam struktur politik negara mereka. Misalnya, walaupun kerajaan Malaysia sudahpun menandatangani perjanjian ini, ia masih akan dibahaskan dan di undi di dalam Parlimen bagi mendapatkan kelulusan. Proses pengesahan (ratification) ini boleh mengambil masa lebih dari 2 tahun untuk selesai dan dengan krisis politik di negara-negara berbeza seperti di Thailand, Indonesia dan Malaysia, adalah tidak jelas pada waktu ini jika perjanjian RCEP akan mendapat kelulusan untuk dikuat kuasakan. 

Walaupun ianya diluluskan dengan cepat sekalipun, kebanyakan pakar-pakar ekonomi menganggarkan bahawa RCEP tidak akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara-negara individu dalam jangka masa yang singkat. Kebanyakan daripada negara yang terlibat di dalam RCEP sudahpun mempunyai perjanjian perdagangan dengan China dan sudahpun menjalankan aktiviti perdagangan dengan tarif yang sangat rendah. Sebuah kajian dari Universiti John Hopkins mendedahkan bahawa setiap negara di bawah RCEP boleh mengharapkan pertumbuhan KDNK tidak lebih dari 0.2% setiap tahun sebagai faedah daripada perjanjian ini.  

Pada masa yang sama, ada juga pihak yang mendakwa bahawa perjanjian ini akan hanya memberi manfaat kepada China yang sedang berdepan dengan masalah di dalam sektor pembuatan mereka akibat kekurangan permintaan global. Perjanjian ini akan memberi ruang kepada industri-industri yang besar dari ekonomi gergasi seperti China dan Jepun untuk membeli bahan mentah daripada negara pengeluar komoditi seperti Malaysia dan Indonesia dengan kos yang rendah akibat pengurangan tarif. Pada masa yang sama, RCEP juga akan membuka peluang kepada ekonomi besar untuk mencari pasaran di negara-negara yang lebih kecil dan bersaing dengan industri pembuatan tempatan. 

Oleh itu, walaupun negara-negara besar boleh mendapat manfaat daripada RCEP, ianya masih tidak jelas bagaimana perjanjian ini akan mewujudkan pekerjaan, memulihkan ekonomi dan memberi kestabilan kepada negara-negara yang lebih kecil di rantau ASEAN. 

Kesan RCEP di rantau ASEAN

Walaupun pihak kerajaan beriya-iya untuk menjayakan RCEP, ia tidak semestinya akan membawa faedah kepada majoriti daripada kelas pekerja dan rakyat biasa. Jika pasaran tempatan di buka tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan kejatuhan industri pembuatan tempatan yang terpaksa bersaing dengan barangan daripada China yang boleh dihasilkan dengan kos yang lebih murah. Ini boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan bagi jutaan rakyat yang bergantung dengan industri pembuatan dan berulang alik ke kilang-kilang yang memproduksi barangan untuk mencari gaji. 

RCEP juga tidak semestinya akan mengembangkan sektor perkhidmatan disebabkan oleh akses kepada barangan yang murah daripada China sepertimana yang didakwa oleh pihak kerajaan. Di dalam situasi hari ini, di mana sebahagian besar daripada sektor servis sedang beralih ke digital dan tidak memerlukan tenaga kerja yang banyak, ianya tidak memberi keyakinan bahawa lebih banyak pekerjaan akan diwujudkan di dalam sektor tersebut.

Malah, kebanyakan daripada kerja yang wujud akibat perkembangan sektor servis seperti penghantar barangan dan makanan, pekerja am seperti juruelektrik atau tukang paip, pereka laman web dan sebagainya adalah pekerjaan ‘gig’ yang tidak membawa sebarang jaminan kerja. Jutaan pekerja yang telah kehilangan kerja yang stabil akibat penutupan kilang sedang menjadi pemandu ‘Grabcar’, ‘Foodpanda’ dan sebagainya dan terpaksa menunggu arahan dari aplikasi untuk mendapatkan nafkah seharian. Mereka tidak mempunyai perjanjian kerja, perlindungan daripada Akta Kerja dan tidak mempunyai pihak majikan untuk mengemukakan sebarang keluhan atau bantahan. 

Kedai-kedai tradisional juga sedang diganti dengan kedai digital yang tidak memerlukan pekerja tetap dan juga akan mendapat persaingan daripada negara-negara yang lain. Walaupun perjanjian RCEP ini akan memberi sedikit peluang kepada perkembangan perniagaan kecil yang berdasarkan kepada penjualan barangan, akibat digitalisasi, kebanyakan perniagaan ini akan dibuat melalui talian dengan menggunakan laman web ataupun aplikasi tertentu. Barangan akan dijual terus kepada pelanggan dan dihantar menggunakan khidmat penghantaran pekerja-pekerja ekonomi ‘gig’ dengan kos yang murah. Hasilnya, jutaan para pekerja yang mempunyai kerja yang stabil dan terjamin sebelum ini akan dialihkan ke kerja-kerja di dalam ekonomi ‘gig’ yang tidak memberi sebarang jaminan kerja dan ditindas tanpa sebarang perlindungan. 

Bagi kelas pekerja dan rakyat biasa di ASEAN, perjanjian RCEP tidak membawa sebarang harapan untuk memperbaiki taraf kehidupan yang sedang merosot. Jutaan pekerja kilang akan kehilangan kerja akibat penutupan kilang-kilang pembuatan dan jutaan pekedai dan peniaga kecil akan menghadapi persaingan dari segi barangan murah yang akan membanjiri pasaran tempatan. Tambahan pula dengan transformasi ekonomi servis ke alam digital, ini juga akan memberikan ruang kepada para kapitalis dari negara-negara besar untuk memasuki pasaran tempatan dan menghancurkan pesaing-pesaing kecil mereka. 

China meningkatkan dominasi ekonomi dan politik di dunia

Melihat kepada butiran RCEP yang merangkumi lebih dari 500 muka surat, banyak pakar-pakar ekonomi sedang menafikan bahawa ia akan membawa sebarang manfaat yang ketara kepada mana-mana negara yang terlibat dan mendakwa bahawa ini merupakan sebuah langkah yang bermotifkan politik, bukan ekonomi. Walaupun jika perjanjian ini tidak membawa sebarang faedah ekonomi, bagi negara China, ini merupakan sebuah perjanjian yang menegaskan dominasi mereka di rantau Asia Pasifik. 

Apabila Amerika Syarikat menarik diri daripada menandatangani Trans Pacific Partnership (TPP) dengan negara-negara di rantau Asia Pasifik pada 2016 selepas kemenangan Trump sebagai presiden, China mengambil peluang ini untuk meningkatkan pengaruh ekonomi dan politik mereka di rantau ini. Tambahan pula dengan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berkembang akibat persaingan yang sengit di antara dua gergasi ekonomi tersebut, perjanjian RCEP mencerminkan usaha China untuk menjamin pasaran-pasaran baru bagi meneruskan cita-cita mereka untuk menggantikan Amerika Syarikat sebagai pemimpin ekonomi dunia.   

Dalam satu dekad lalu, pengaruh ekonomi China telah mencecah ke tahap bersejarah apabila mereka berjaya mengembangkan projek Belt and Road Initiative ‘BRI’ (pembinaan laluan atas tanah yang menghubungkan seluruh dunia untuk perdagangan) ke setiap benua di dunia. China juga telah berjaya memasuki Amerika Selatan dan sedang menjadi rakan dagang utama bagi beberapa negara seperti Argentina dan Brazil yang selama ini telah didominasi oleh Amerika Syarikat. Tambahan pula, China juga meningkatkan aktiviti ketenteraan dan menceroboh atau menuntut kawasan-kawasan baru bagi meluaskan sempadan mereka. 

Pada April tahun ini, China telah membina dan memberikan nama rasmi kepada 80 buah pulau tiruan di Lautan Cina Selatan bagi menuntut lebih banyak kawasan di lautan ini. Beberapa negara seperti Phillipines, Vietnam dan Malaysia telah mengutarakan kerisauan mereka dengan aktiviti ketenteraan China yang sedang menghampiri atau melintas sempadan maritim negara mereka. Perkara ini juga menjadi antara tajuk perbincangan yang utama di dalam Summit ASEAN ke 36 yang berlangsung pada pertengahan tahun ini. Tetapi, walaupun dengan kesangsian, semua negara ASEAN kini amat bergantung dengan China untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan sebagai rakan dagang utama mereka. Oleh itu, walaupun kurang selesa dan bimbang, kebanyakan negara ASEAN tidak mempunyai sebarang pilihan selain untuk menjalinkan hubungan ekonomi yang lebih rapat dengan China memandangkan situasi ekonomi global yang tidak menggalakkan. 

Begitu juga dengan Jepun dan Korea Selatan yang selama ini menjadi pesaing utama China dan bersekutu penuh dengan blok Amerika Syarikat. Kemunculan China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia selepas Amerika dan paling besar di Asia tidak boleh di ambil ringan oleh kelas kapitalis Jepun. Semakin banyak industri pembuatan Jepun sudahpun memindahkan operasi mereka ke China untuk menikmati kos pengeluaran yang lebih murah. China juga sudah mengembangkan industri-industri pengeluaran mereka dan sudah mampu bersaing dengan negara-negara maju dalam mengeluarkan barangan berteknologi tinggi dan yang memerlukan kemahiran yang khusus. Oleh itu, pasaran negara Jepun juga menjadi sasaran bagi kapitalis China untuk menjana keuntungan. 

Jepun yang sudahpun mengalami kejatuhan pasaran ekspot sebelum ketibaan pandemik Covid-19, telah mengharapkan sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan untuk berlangsung di Tokyo tahun ini untuk menjana aktiviti ekonomi mereka. Tetapi akibat  Covid-19, sukan Olimpik itu terpaksa ditangguhkan dan sektor pelancongan dan servis di Jepun telah mengalami kehancuran yang sangat teruk. Oleh itu, para kapitalis di Jepun tidak mempunyai sebarang pilihan selain untuk cuba mewujudkan sebuah perjanjian perdagangan dengan China untuk pertama kali dalam sejarah mereka. Walaupun kapitalis di Jepun masih mengharapkan sebuah perjanjian perdagangan baru yang diketuai oleh Amerika Syarikat seperti TPP, pada waktu ini, mereka terpaksa mencuba nasib dengan China dan RCEP untuk membantu memulihkan ekonomi mereka. 

India yang merupakan ekonomi yang besar dengan populasi yang mampu bersaing dengan China telah mengundurkan diri daripada menyertai perjanjian RCEP. Jika India menjadi sebahagian daripada perjanjian ini, RCEP akan merangkumi hampir 40% daripada populasi dunia. Tetapi, India enggan untuk membuka pasaran mereka kepada China dan ingin mengembangkan industri pembuatan tempatan dengan slogan ‘Make in India’ (Hasilkan di India) yang didendangkan oleh PM Modi. Pada masa yang sama, India juga enggan untuk membenarkan pasaran agrikultur mereka diceroboh oleh pesaing-pesaing seperti Australia dan New Zealand yang mempunyai industri agrikultur, tenusu, pemprosesan makanan dan sebagainya yang besar dan moden. Selain itu, pertelingkahan sempadan yang sedang berlaku antara India dan China juga menghalang sebarang kerjasama ekonomi di antara mereka. 

Sistem kapitalisme tidak menawarkan solusi

Sistem kapitalisme yang tidak berupaya untuk menghadapi krisis-krisis seperti pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan kemerosotan alam semula jadi, belum lagi menawarkan sebarang jalan keluar kepada umat manusia yang sedang menghadapi kemusnahan. Sifat persaingan yang merupakan asas kepada sistem ini sedang menghalang kerjasama dan sedang memecah belahkan dunia mengikut kehendak para kapitalis dari negara-negara yang mempunyai kuasa ekonomi dan tentera. Pada waktu-waktu krisis seperti ini, negara-negara dunia harus menjalinkan kerjasama dan berkongsi sumber dan pengetahuan untuk memerangi ancaman pandemik yang sedang memberi kesan kepada rakyat di setiap pelosok dunia. Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga harus mengemudi ekonomi supaya ia memberi kebajikan dan manfaat kepada kehidupan jutaan rakyat miskin yang sedang menghadapi kesukaran. 

Tetapi, walaupun jutaan rakyat sedang merana dan memerlukan bantuan, pihak kerajaan langsung tidak mengendahkan seruan tersebut. Sebaliknya, semua polisi-polisi ekonomi yang dibuat hanya mendatangkan keuntungan kepada kelas kapitalis kaya yang sedang menggandakan kekayaan mereka pada waktu majoriti daripada rakyat sedang menghadapi pembuangan kerja, pemotongan gaji dan masalah ekonomi yang parah. Apakah fungsi kerajaan yang hanya meletakkan kepentingan segelintir individu kaya di atas dan menafikan bantuan bagi majoriti daripada rakyat miskin yang tertindas? Kelas majikan kaya yang mempunyai pengaruh ke atas kerajaan pula sedang mempergunakan pandemik Covid-19 untuk memaksimumkan keuntungan mereka dan pada masa yang sama mencantas pesaing-pesaing kecil yang wujud. Hasilnya, walaupun di dalam pandemik yang mengakibatkan kemerosotan ekonomi, para kapitalis yang paling kaya sedang terus mengaut keuntungan bernilai berbilion-bilion ringgit apabila rakyat biasa sedang hidup merempat. 

Perjanjian-perjanjian perdagangan bebas seperti RCEP merupakan sebuah alat untuk meningkatkan penindasan terhadap kelas pekerja dan rakyat biasa sebagai cara untuk menampung beban krisis ekonomi dan pandemik. Walaupun krisis ekonomi ini telah berlaku akibat kegelojohan pihak kapitalis itu sendiri, apabila berhadapan dengan krisis, segala beban dan kos untuk menampung krisis itu akan dipindahkan ke bahu kelas pekerja dan rakyat biasa yang tidak bersalah. Dengan hutang dunia melebihi 250 trilion Dolar AS, akhirnya jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang akan terpaksa mengorbankan tenaga kerja, masa dan kehidupan mereka demi kestabilan ekonomi kapitalis yang tidak membawa sebarang faedah kepada mereka. 

Sistem ekonomi alternatif

Perjanjian RCEP ini haruslah ditentang sehabis-habisnya oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Perjanjian ini bukan sahaja tidak akan mampu untuk memulihkan ekonomi negara atau dunia, malah ia akan mendedahkan kelas pekerja dan rakyat biasa kepada eksploitasi daripada para kapitalis multi-nasional dari negara-negara yang lebih besar. Pada waktu masyarakat sedang berhadapan dengan masa depan yang malap akibat kemelesetan ekonomi, perjanjian RCEP gagal untuk memberi keyakinan bahawa sistem ekonomi ini akan pulih dan taraf kehidupan rakyat akan meningkat. 

Adalah sangat jelas bahawa sistem kapitalisme sendiri yang menjadi penyebab utama kepada krisis yang sedang dihadapi tidak menawarkan sebarang jalan keluar yang munasabah. Bagi membawa kelas pekerja dan rakyat biasa keluar daripada krisis-krisis ini, sistem kapitalisme haruslah ditentang dan digantikan dengan sistem ekonomi yang berteraskan kepada kehendak rakyat majoriti. Tetapi, perkara ini tidak boleh berlaku tanpa sebuah penyusunan rakyat biasa ke dalam aksi protes massa besar-besaran yang menuntut perubahan. Gerakan rakyat memerlukan sebuah kepimpinan yang terdiri daripada pertubuhan demokratik kelas pekerja dan organisasi akar umbi rakyat, yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk mencabut kuasa kerajaan daripada pegangan kelas kapitalis dan meletakkan kuasa itu di bawah naungan rakyat tertindas.    

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top