PM Ismail Sabri baru baru ini mengumumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan gaji minimum para pekerja dari RM 1200 ke RM 1500 bermula 1 Mei 2022. Ini merupakan peningkatan yang banyak jika dibandingkan dengan penyelarasan gaji minimum yang di kuat kuasa selama ini. Walaupun PH yang pada awalnya menjanjikan gaji minimum RM1500, kerajaan PH sendiri hanya meningkatkan gaji minimum ke RM1100. Itupun hanya dilaksanakan selepas para pekerja dan organisasi pekerja seperti Kesatuan Sekerja terpaksa turun beramai-ramai ke perkarangan Parlimen dan menuntut peningkatan yang munasabah. Tetapi kini, kerajaan yang di pegang oleh BN yang telah menerajui peningkatan gaji minimum ke RM1500. 

Walaupun jutaan pekerja bergaji rendah akan bersyukur dan gembira dengan peningkatan gaji minimum ini, masih lagi sebahagian besar daripada tenaga kerja akan dikecualikan. Sejurus selepas pengumuman berkenaan peningkatan gaji minimum dari PM, Menteri Pembangunan Noh Omar mengeluarkan kenyataan bahawa Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan diberi penangguhan dalam melaksanakan gaji minimum untuk pekerja mereka. Juga terdapat desas-desus mengatakan bahawa pelaksanaan gaji minimum baru akan diadakan secara berperingkat dan tidak akan dilaksanakan pada 1 Mei nanti untuk semua pekerja di Malaysia secara serentak. 

Tambahan pula, para pekerja ekonomi ‘gig’ seperti pemandu servis penghantaran barang atau makanan tidak di anggap sebagai ‘pekerja’ dan tidak mendapat perlindungan di bawah Akta Kerja 1955, termasuk perintah gaji minimum. Dalam keadaan ekonomi tempatan di mana penutupan kilang-kilang dan syarikat besar sedang berleluasa, semakin banyak di kalangan rakyat terpaksa menjadi pekerja ‘gig’, ‘freelance’, pekerja informal dan sebagainya untuk mendapatkan mata pencarian. Perintah gaji minimum ini tidak merujuk kepada sebahagian besar daripada tenaga kerja yang ditindas dengan teruk oleh pihak majikan. 

Kempen PRU BN

Walaupun perintah gaji minimum baru mempunyai kelemahan-kelemahan yang ketara, masih lagi ia merupakan sebuah peningkatan yang signifikan. Ramai di kalangan pihak pembangkang dan pihak kerajaan sendiri pastinya terkejut mendengar pengumuman ini yang sudahpun membawa cemuhan dan tekanan dari organisasi majikan seperti MEF. Tetapi, BN yang terdesak untuk mengukuhkan posisi mereka menjelang PRU nanti terpaksa membawa polisi-polisi yang mampu meraih sambutan dari rakyat terbanyak. 

Pada masa ini, walaupun BN telah berjaya menawan beberapa Pilihan Raya Negeri, kemenangan di PRU masih belum terjamin. Rakyat Malaysia, terutamanya golongan anak muda dari Pantai Barat, sedar akan korupsi yang berleluasa di kalangan kepimpinan BN dan tidak akan memberi sokongan mereka dengan mudah. Masyarakat Pantai Timur juga masih setia dengan PAS dan selagi PAS tidak menjadi sekutu dengan BN, ia juga akan menjadi sukar untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah. Tambahan pula, hala tuju masyarakat Sabah dan Sarawak juga belum dapat dikenal pasti dengan krisis politik di kedua-dua negeri tersebut. 

Oleh itu, BN akan terus cuba membawa polisi-polisi yang dapat memikat hati dan undi rakyat dalam bulan-bulan akan datang. Akta Anti Lompat Parti akan dibentang di Parlimen pada April ini. Beberapa pindaan juga telah dibuat ke atas Akta Kerja 1955 yang akan meningkatkan sedikit hak pekerja berbanding sebelum ini. Selepas meminggirkan rakyat yang berada dalam keadaan kecemasan kesihatan dan ekonomi selama 2 tahun, kerajaan BN sedang cuba untuk meredakan kemarahan rakyat dan membina kembali sokongan mereka di PRU nanti. Menurut ucapan PM Ismail Sabri dan Presiden UMNO Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung UMNO lepas, kemungkinan besar PRU ke 15 akan diumumkan dalam masa terdekat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kelas Kapitalis

Satu persoalan yang muncul adalah apakah reaksi para kelas majikan dan bagaimana BN akan menghadapi tekanan daripada pihak kapitalis kaya yang membantah peningkatan gaji minimum ini. Pada waktu ini, kelas kapitalis sudahpun mula membuat pelbagai rungutan dan bantahan. Mereka mendakwa bahawa peningkatan gaji akan memberi kesan negatif kepada ekonomi yang sedang pulih selepas menghadapi pandemik yang berpanjangan. 

Pertubuhan politik arus perdana seperti BN, PN, dan PH sangat bergantung dengan kelas kapitalis kaya yang memberikan dana kepada parti-parti politik tersebut. Malah, salah satu faktor kemenangan PH di PRU lepas adalah sokongan dan dana yang diberikan oleh kelas kapitalis kaya seperti Robert Kwok dan Tun Daim. PH juga sentiasa mengikut kehendak kelas kapitalis dan enggan untuk meningkatkan gaji minimum ke RM1500 semasa mereka memegang kerajaan, walaupun itu merupakan sebahagian daripada janji PRU yang popular. 

BN yang terdesak untuk membawa polisi-polisi yang popular di kalangan rakyat, akan menghadapi tekanan daripada kelas kapitalis yang bercanggah dengan kemahuan majoriti rakyat biasa. 

Kelas kapitalis, walaupun dalam bilangan yang sedikit, iaitu kurang daripada 0.1% daripada populasi, mempunyai kuasa ekonomi dan politik yang luar biasa. Sistem ekonomi kapitalisme memberikan keutamaan kepada keuntungan segelintir para peniaga dan pemodal dan membelakangkan keperluan rakyat majoriti. Ini terdedah dengan lebih jelas pada waktu pandemik di mana kerajaan telah sanggup mengosongkan rizab negara, semata-mata untuk menanggung kerugian yang dialami oleh segelintir kelas kapitalis yang sudahpun kaya-raya. Malangnya, kelas pekerja dan rakyat biasa yang bertanggungjawab untuk menjana rizab tersebut hanya mendapat konsesi yang sedikit dan diarahkan untuk mengikat perut demi negara!

Kerajaan juga tidak mengenakan cukai tambahan kepada syarikat-syarikat kaya yang membuat keuntungan yang luar biasa pada waktu pandemik untuk meningkatkan kebajikan bagi rakyat. Sebaliknya, kerajaan mengosongkan rizab awam dan terus meningkatkan hutang negara dengan sewena-wena untuk menampung perbelanjaan pandemik Covid-19. Akhirnya, rakyat biasa juga yang akan menanggung segala hutang yang diwujudkan oleh kerajaan demi melindungi keuntungan kelas kapitalis kaya. 

Kelas kapitalis yang mempunyai kuasa ekonomi juga sudah mula mengugut kerajaan bahawa mereka akan menutup operasi dan pindah ke negara lain jika kerajaan meneruskan dengan perancangan untuk meningkatkan gaji minimum. Pada waktu ini, syarikat-syarikat besar yang mengupah jutaan pekerja seperti Sony, Silverstone, IBM dan banyak lagi sudahpun menutup operasi mereka dan berpindah ke negara yang mempunyai buruh yang murah seperti Indonesia dan Vietnam. 

Keperluan Rakyat

Perintah Gaji Minimum Rm1500, walaupun sebuah peningkatan yang besar, tetapi ia masih tidak akan meringankan beban yang sedang dihadapi oleh rakyat, terutamanya rakyat miskin. Dalam sebuah kajian yang dikendalikan oleh Bank Negara pada 2018, didapati bahawa seorang bujang yang hidup di bandar seperti Kuala Lumpur, memerlukan sekurang kurangnya RM2700 sebulan untuk membiayai semua keperluannya. Berdasarkan piawaian yang digariskan oleh badan kerajaan sendiri, gaji minimum yang diumum itu masih jauh daripada gaji yang mampu menjamin kehidupan yang bermaruah bagi jutaan rakyat.

Selepas pandemik global Covid 19, ekonomi tempatan dan dunia pula mula dilanda dengan krisis inflasi. Harga barangan termasuk makanan dan minyak sedang melambung tinggi tanpa kawalan. Para kapitalis yang tidak membuat keuntungan yang lumayan di sepanjang pandemik mula mengambil kesempatan dan meningkatkan harga komoditi dan servis mereka. Ini sedang mencetuskan peningkatan inflasi yang juga menjurus kepada lebih banyak penutupan PKS dan peningkatan kadar pengangguran. 

Kerajaan BN tidak boleh menyelesaikan isu-isu ekonomi hanya dengan meningkatkan gaji minimum dan membawa beberapa reformasi lain. Jika benar-benar ingin menjamin kebajikan untuk rakyat, maka kerajaan ini harus membawa polisi-polisi seperti : kawalan harga barangan, termasuk perumahan, peningkatan cukai keatas keuntungan kapitalis kaya, milik negara syarikat syarikat besar bagi menjamin pekerjaan dan kebajikan rakyat, peningkatan hak kelas pekerja dan kesatuan sekerja dan banyak lagi. 

Tetapi malangnya, perintah gaji minimum ini hanyalah sebuah langkah populis dari BN yang ingin menjamin kedudukan politik mereka di PRU kelak. BN, sama dengan PN dan PH merupakan pendokong sistem kapitalisme dan akan sentiasa dikawal oleh para kapitalis kaya. Walaupun dengan peningkatan gaji minimum, hakikatnya, rakyat biasa akan terus merana di bawah aturan sistem ekonomi ini yang bukan sahaja berat sebelah terhadap kehendak kelas kapitalis, tetapi juga sedang menghadapi krisis global yang mencetuskan huru hara di banyak negara dunia hari ini.

Kuasa Kelas Pekerja

Walaupun kelas kapitalis memegang kuasa ekonomi dan politik di bawah aturan sistem kapitalisme, kuasa sebenar berada di tangan kelas pekerja. Tanpa kelas pekerja, bukan sahaja kelas majikan tidak akan menjana sebarang keuntungan, malah segala tugasan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat juga akan tergendala. Sepertimana yang terdedah pada waktu pandemik, kelas pekerja berkebolehan untuk melaksanakan tugasan mereka dengan berkesan walaupun tanpa penglibatan dari pihak majikan di banyak tempat kerja. Tetapi, pihak majikan tidak boleh wujud jika tidak mendapat restu daripada kelas pekerja yang bertungkus lumus setiap hari untuk menjana segala keuntungan mereka. 

Kelas pekerja yang memegang kuasa produksi juga memegang kuasa ekonomi. Jika suara pekerja dapat disatukan, kerakusan dan kelemahan kelas majikan akan terdedah. Jika kelas pekerja dapat menyatukan kuasa dan melanjutkan perjuangan ke arena politik, tidak ada pertubuhan kapitalis yang akan berjaya menghalang mereka. 

Kelas pekerja dan rakyat biasa tidak boleh menaruh harapan terhadap pertubuhan kapitalis sedia ada yang korup dan sudah banyak kali menghampakan rakyat biasa. Sebaliknya, kita harus mengusahakan sebuah pertubuhan politik massa yang terdiri daripada kelas pekerja dan rakyat biasa dan berpandukan kepada program dan perjuangan rakyat. Pertubuhan ini harus memimpin gerakan massa yang mencabar kuasa politik dan ekonomi kelas kapitalis dan membawa perspektif untuk menggantikan sistem kapitalisme dengan sosialisme. 

Sosialisme akan meletakkan segala kuasa pentadbiran dan kuasa ekonomi di tangan kelas pekerja dan rakyat biasa. Rakyat majoriti akan memiliki segala kuasa untuk mengambil keputusan penting untuk masyarakat dan negara, bukan segelintir kapitalis kaya. Di bawah aturan sosialisme, bukan sahaja kebajikan dan hak rakyat boleh dipelihara, malah ia boleh ditingkatkan. Ini adalah kerana sistem sosialisme merupakan sebuah sistem ekonomi dan politik yang berpandukan kepada keperluan semua rakyat, bukan untuk keuntungan bagi segelintir kapitalis.    

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *