Pengusiran Paksa di Pulau Pinang, Kerajaan PH sama dengan BN!

Pengusiran Paksa di Pulau Pinang, Kerajaan PH sama dengan BN!

Posted by

Kes pengusiran paksa banyak berlaku semasa pemerintahan Kerajaan BN. Pasti ramai yang masih ingat kes Kampung Chubadak di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Kezaliman ini nampaknya berulang lagi walaupun kerajaan telah berubah. Dua bulan menjelang setahun penggantian kerajaan, Kerajaan PH semakin menunjukkan sikap tidak menyebelahi rakyat biasa. Terbaru, dalam masa serentak, dua kes pengusiran paksa dan perobohan rumah sedang terjadi di Pulau Pinang.

Hari ini, rumah-rumah di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Butterworth dirobohkan oleh pihak berkuasa kerana ingin membangunkan kawasan itu. Penduduk-penduduk 22 unit Flat PPR Kampung Manggis, Georgetown pula terpaksa bermalam di KOMTAR kerana tiada rumah setelah diusir. Alasannya ialah mereka telah menghuni lebih dari 5 tahun dan tidak membayar tunggakan sewa. Pengusiran paksa dan perobohan rumah ini pula menyaksikan pergelutan antara penduduk dengan pihak polis.

Perumahan ialah masalah yang serius di Pulau Pinang. Negeri ini tersenarai antara harga rumah termahal di Malaysia. Harga rumah yang terlalu mahal dan sewa rumah yang tinggi sudah tentu mengakibatkan ramai orang tidak mampu untuk membayarnya. Kebanyakan mereka terdiri daripada kelas pekerja dan golongan berpendapatan rendah. Rata-rata penduduk tiada rumah kedua dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mendapatkan rumah baharu atau membayar sewa rumah meskipun flat biasa. Apatah lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan gaji yang tidak setimpal untuk kehidupan yang lebih berkualiti. Wang habis digunakan untuk membayar keperluan-keperluan lain seperti makanan dan persekolahan.

Agenda dan dasar-dasar neoliberal BN dan PH meminggirkan rakyat biasa. Rakyat biasa tidak dapat mendiami rumah yang selayaknya untuk diri mereka dan keluarga mereka. Perumahan terjejas kerana dasar perumahan neoliberal yang menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan rumah yang mampu dimiliki. Padahal, rumah ialah hak asasi setiap manusia. Salah satunya ialah dengan membina perumahan awam yang dipantau secara demokratik oleh rakyat biasa dan kelas pekerja. Kerajaan juga mesti mesra rakyat, bukannya mesra pemaju yang mementingkan keuntungan semata-mata.

Rakyat biasa dan kelas pekerja harus bersatu berjuang untuk perumahan yang mampu dimiliki dan gaji yang lebih baik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*