Pelarian Rohingya : Mangsa Penindasan Sistem Kapitalisme dan Krisis Kemanusiaan

Pelarian Rohingya : Mangsa Penindasan Sistem Kapitalisme dan Krisis Kemanusiaan

Posted by

Baru-baru ini, isu pelarian Rohignya yang di cemuh dengan kata-kata keras oleh pengguna media sosial di Malaysia telah mendapat perhatian ramai. Isu ini juga mencetuskan perdebatan yang hangat di kalangan rakyat yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza. 

Di satu sudut, propaganda dari ahli-ahli politik dan NGO-NGO agama telah mengangkat isu pelarian Rohignya sebagai isu perjuangan agama Islam dan telah mempergunakan isu ini untuk mendapatkan sokongan rakyat biasa. Pada masa yang sama, beberapa NGO dan pertubuhan yang mengangkat sentimen patriotik dan kenegaraan pula melabel pelarian Rohingya sebagai pendatang haram yang membuat kecoh dan mencuri pekerjaan rakyat Malaysia. Dalam keadaan krisis kesihatan akibat pandemik Covid19, rakyat biasa yang sedang mengalami kehilangan kerja dan kesempitan ekonomi sedang mula termakan dengan beberapa propaganda yang dilontarkan dan mula mengecam komuniti Rohignya. 

Isu pelarian Rohingya ini mula bangkit selepas pihak berkuasa Malaysia menghantar beberapa bot yang dipenuhi dengan pelarian Rohignya di Teluk Nibong selepas hampir 2 bulan tersadai di perairan Malaysia tanpa sebarang bantuan. Berikutan insiden itu, beberapa NGO dan organisasi hak asasi yang menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan kerajaan telah mula mendapat cemuhan daripada pengguna media-media sosial ataupun di kenal sebagai ‘netizen’. Cemuhan-cemuhan tersebut dengan cepat berubah menjadi kempen sosial media besar-besaran yang menyemai kebencian terhadap komuniti Rohingya yang sedang hidup sebagai pelarian di Malaysia. Pelbagai khabar angin dan fitnah telah di sebarkan berkenaan dengan tingkah laku, gaya hidup dan aktiviti komuniti Rohignya di Malaysia yang sebahagian besar merupakan penipuan dan rekaan semata-mata.  

Asal-usul masyarakat Rohingnya dan perjuangan pembebasan mereka

Masyarakat Rohingya merupakan penduduk wilayah Arakan (ditukar nama ke Rakhine oleh pemerintahan junta tentera) yang menduduki kawasan tersebut sejak abad ke-8 lagi. Pada waktu itu, Burma (dikenali sebagai Myanmar pada masa ini) bukanlah sebuah negara bersekutu dan ianya terdiri daripada pelbagai pemerintahan yang berbeza mengikut kawasan. Ketibaan penjajah British pada tahun 1824 sebagai kempen jajahan Asia Tenggara telah bertanggunjawab untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan sebagai British Burma. Beberapa wilayah yang enggan menerima jajahan British seperti Arakan dan Tenasserim telah dijajah melalui peperangan yang mengorbankan ribuan rakyat di kawasan tersebut. 

Negara yang dibentuk oleh pihak British telah melonggokkan negara-negara yang berbeza ke dalam satu negara bagi memudahkan pemerintahan mereka. Oleh itu, negara Burma pada hari ini mengandungi lebih dari 8 kumpulan etnik yang sedang berjuang demi pembebasan negara mereka. Apabila pihak British meninggalkan British Burma pada 1948, rantau ini menjadi rebutan pihak-pihak yang berbeza yang akhirnya gagal untuk menyatukan semua masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Akibatnya, kerajaan-kerajaan yang bersifat nasionalis telah memulakan penindasan mereka terhadap wilayah-wilayah yang menginginkan pembebasan dan hak untuk menubuhkan pemerintahan sendiri. Hasil bumi yang kaya di rantau-rantau ini menjadi tumpuan kerajaan yang mengambil alih dari British.

Apabila pihak tentera mewujudkan pemerintahan junta di Burma pada 1962, penindasan terhadap etnik minoriti juga meningkat mendadak. Dari tahun 1962, dilaporkan seramai 1.5 juta warga Rohingya telah di usir keluar dari wilayah Arakan oleh kerajaan junta. Pada masa yang sama, sebagai usaha untuk menghapuskan budaya rakyat Rohingya yang kebanyakkannya beragama Islam, kerajaan Burma juga memasukkan jutaan masyarakat penganut Buddha dan mewujudkan perpecahan di kalangan mereka. Akibatnya, pelbagai rusuhan kaum yang berlaku telah berakhir dengan kehilangan nyawa dan kehidupan bagi jutaan rakyat Rohingya yang kini merupakan penduduk minoriti. 

Pada tahun 1982, kerajaan meluluskan Undang-undang Kewarganegaraan Burma yang tidak menyenaraikan etnik Rohingya sebagai penduduk yang sah. Tanpa sebarang kewarganegaraan, penduduk Rohingya menjadi sasaran penindasan dan pengusiran paksa oleh pihak berkuasa. Pemimpin-pemimpin nasionalis juga menyemarakkan propaganda perkauman dan menyerang komuniti Rohingya yang terdedah tanpa sebarang hak asasi. Akibat kesengsaraan yang tidak terhingga, jutaan rakyat Rohingya terpaksa menjadi pelarian untuk melindungi diri dan keluarga mereka daripada menjadi mangsa keganasan atau pembersihan etnik. 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyenaraikan masyarakat Rohingya di kalangan golongan yang paling teruk ditindas di dunia. Jutaan pelarian dan pencari suaka Rohingya yang keluar mencari kehidupan baru telah ditolak oleh semua negara. Terdapat ratusan ribuan pelarian Rohingya yang terkandas di kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh, di lautan dan di kem-kem hamba abdi. Tanpa sebarang kewarganegaraan di mana-mana negara dan ditindas di semua tempat yang mereka pergi untuk mencari perlindungan, jutaan warga Rohingya sedang menghadapi masa hadapan yang sangat malap.

Walaupun Malaysia merupakan sebahagian dari Sekretariat ASEAN, tetapi kepimpinan kerajaan tidak pernah menggunakan posisi mereka untuk menekan pihak kerajaan Myanmar untuk membawa keadilan bagi etnik-etnik minoriti yang sedang ditindas di negara itu. Sebaliknya, isu pelarian Rohingya ini hanya dipergunakan sebagai alat politik dan perkara ini terdedah apabila UMNO dan PAS telah menganjurkan himpunan Solidariti Rohingya yang menyeru kepada rakyat Muslim untuk mempertahankan warga se-agama yang ditindas. Sebagai kerajaan yang berkuasa, UMNO ataupun PH dan sekarang PN, tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk memelihara hak asasi sebarang etnik minoriti yang sedang ditindas oleh mana-mana pihak. Tumpuan mereka adalah terhadap kekayaan hasil bumi yang ada di negara itu sahaja.   

Aung Sang Suu Kyi yang digelar sebagai pejuang rakyat oleh kerajaan-kerajaan dunia pula meneruskan penindasan terhadap etnik minoriti apabila mengambil alih pemerintahan kerajaan dari pihak tentera Myanmar. Myanmar yang mempunyai hasil alam yang bernilai tinggi sedang menjadi sasaran pemodal kaya dunia, termasuk kerajaan Malaysia yang langsung tidak mengendahkan penindasan dan pembersihan etnik kejam yang sedang berlaku di negara itu. 

Latar belakang isu pelarian Rohingya di Malaysia

Pada masa ini pelarian Rohingya merangkumi lebih 60% daripada jumlah pelarian dan seramai lebih 101 ribu rakyat Rohignya ditempatkan di Malaysia melalui program UNHCR (program yang disediakan oleh PBB untuk menempatkan para pelarian). Masyarakat Rohingya hanya di berikan kad UNHCR yang membenarkan mereka tinggal di Malaysia tetapi tidak memberikan kebenaran untuk berkerja dan menampung kehidupan harian mereka. Dengan bantuan daripada UNHCR yang amat sedikit dan tidak boleh menampung kos kehidupan di Malaysia, ramai di kalangan pelarian Rohingya terpaksa mencari kerja tanpa sebarang permit dan seringkali di eksploitasi dengan teruk oleh pihak majikan. Tambahan pula, pihak berkuasa Malaysia seperti pihak polis dan pegawai imigresen seringkali menyasarkan golongan pelarian untuk memeras ugut dan merompak mereka dengan sesuka hati. Golongan pelarian mendapat layanan yang buruk dan segala hak asasi mereka dicabul tanpa sebarang jalan untuk mendapatkan keadilan. 

Walaupun pekerja Rohingya selalu ditangkap oleh pihak berkuasa kerana berkerja tanpa permit, pihak majikan yang mengeksploitasi kedudukan pelarian dan mengambil pekerja tersebut secara tidak sah seringkali di lepas tanpa sebarang hukuman. Majikan tersebut bebas untuk teruskan penindasan mereka ke atas komuniti Rohingya yang sudahpun hidup tersepit dengan beban-beban ekonomi dan perlu menghadapi stigma sosial. Puluhan ribu kanak-kanak komuniti ini membesar di kem-kem pelarian tanpa sebarang jaminan kehidupan.

Kubur-kubur massa yang di temui di sempadan Thailand-Malaysia beberapa tahun lalu telah mendedahkan bahawa pelarian Rohingya sering didagangkan sebagai hamba abdi dan di kerjakan sehingga mati di tempat-tempat rahsia. Pelarian yang tidak mempunyai sebarang tempat yang akan menerima mereka seringkali menjadi mangsa perdagangan hamba dan ditindas oleh sindiket penyeludup manusia yang kejam. 

Dikatakan bahawa setiap pelarian akan dikenakan sebanyak RM8 000 ke RM10 000 oleh sindiket penyeludup yang menjanjikan kehidupan yang baik di Malaysia. Tetapi, sepertimana yang telah di dokumentasi dengan menyeluruh, sindiket ini seringkali memungkiri janji mereka dan membiarkan para pelarian terdampar di lautan, ataupun menjual mereka di pasaran hamba. Bayangkan kehidupan seorang pelarian Rohingya yang terpaksa menjual segala harta pusaka dan meninggalkan kampung halaman mereka untuk mencari kehidupan yang lebih baik, akhirnya menjadi hamba atau buruh paksa di negara asing, tanpa sebarang jaminan untuk mencari kehidupan baru. Tambahan pula, akibat propaganda dan fitnah dari beberapa pihak yang berkepentingan, komuniti ini juga terpaksa menghadapi stigma masyarakat Malaysia yang memandang rendah terhadap mereka.   

Isu hak asasi manusia dan bukan isu agama

Isu pelarian Rohingya merupakan isu hak asasi manusia dan bukan isu agama sepertimana yang dihebohkan oleh beberapa pihak. Walaupun ia benar bahawa kerajaan Myanmar sedang mempergunakan institut agama untuk menyemarakkan sentimen perkauman sehingga tercetus beberapa rusuhan di kalangan rakyat, perkara ini dilakukan bagi kepentingan golongan kapitalis kaya dan bukannya demi kepentingan mana-mana satu agama. Kerajaan Junta Myanmar sebelum ini telah mempergunakan perpecahan etnik yang diwujudkan oleh penjajah British untuk memegang kuasa kerajaan dan kini disambung oleh kerajaan NLD (Liga Nasional untuk Demokrasi) dibawah kepimpinan Aung Sang Su Kyi. Kaedah ‘pecah dan perintah’ yang diwariskan oleh pihak penjajah British telah digunakan juga oleh kerajaan Myanmar untuk mencantas gerakan demokrasi rakyat dan menduduki kuasa kerajaan secara paksa. Walaupun tidak seteruk negara Myanmar, kaedah-kaedah yang serupa juga digunakan oleh kerajaan Malaysia semenjak kemerdekaan dan dicerminkan dengan struktur politik yang berasaskan kepada perpecahan dari segi kaum dan etnik yang berbeza. 

Apabila rakyat miskin dan tertindas dilagakan dengan menggunakan sentimen perkauman, ia akan membawa manfaat kepada golongan pemerintah yang menggunakan situasi ini untuk terus merompak sumber alam milik semua dan tenaga kerja kelas pekerja demi keuntungan. Maka, untuk menjelaskan perkara ini dan untuk menaikkan kesedaran rakyat, adalah penting bagi kepimpinan perjuangan hak masyarakat Rohingya dan pertubuhan lain untuk melihat isu ini sebagai isu hak asasi yang merangkumi semua etnik minoriti yang ditindas termasuk pekerja migran, komuniti orang asal dan masyarakat yang tidak mempunyai status warganegara. Malah, terdapat juga dikalangan populasi Rohingya yang bukan Muslim yang juga ditindas oleh kerajaan, sepertimana wujudnya juga pelaraian-pelarian dari etnik berbeza dari Myanmar.

Dengan mengangkat hujah dari sisi agama, kepimpinan perjuangan Rohingya akan hanya memecahkan pertalian yang wujud dikalangan rakyat biasa yang secara kolektif sedang menjadi mangsa penindasan kerajaan kapitalis Myanmar dan dunia. Perjuangan yang hanya berdasarkan kepada agama akan menyumbang dalam mengukuhkan agenda kelas pemerintah Myanmar yang inginkan perpecahan yang lebih mendalam dikalangan rakyat biasa. Sebaliknya, perjuangan itu haruslah dibina berdasarkan perjuangan semua rakyat yang tertindas tanpa mengira kaum atau agama untuk melancarkan sebuah gerakan yang mampu mencabar pemerintahan golongan minoriti elit dan mampu mempertahankan nasib majoriti rakyat biasa.

Dasar ekonomi

Kewujudan pelarian dan pekerja migran di negara ini tidak mengancam kedudukan pekerja tempatan sepertimana yang di gembar gemburkan oleh beberapa pihak. Hakikatnya, sebahagian besar daripada tenaga kerja yang menjana kekayaan negara datang dari golongan pekerja migran dan termasuk golongan pelarian perang dan ekonomi yang tidak mempunyai permit kerja. Kelas kapitalis kaya di Malaysia telah menambah kekayaan mereka dengan mengeksploitasi tenaga buruh yang murah dan pihak kerajaan juga telah menyediakan ruang untuk penindasan ini berlaku. Adalah mustahil bagi pihak majikan kaya untuk menikmati kemewahan yang berlimpah-limpah tanpa sumbangan daripada pekerja-pekerja yang digelar sebagai ‘tidak formal’.

Tetapi, apabila berlakunya krisis, pihak majikan dan kapitalis kaya bukan sahaja mengabaikan mereka, malah seringkali menuduh pekerja ini sebagai penyebab masalah. Mereka juga mewujudkan persaingan di kalangan kelas pekerja tempatan dan pekerja asing dan mempergunakan situasi ini untuk mengurangkan gaji bagi semua pekerja. Akibatnya, ini juga mewujudkan perpecahan dan meningkatkan sentimen kebencian terhadap pekerja asing, migran dan golongan pelarian yang dianggap sebagai pesaing mereka. 

Dalam situasi ini, kelas pekerja harus menyedari muslihat pihak majikan yang sengaja memecah belahkan perpaduan di kalangan kelas pekerja semata-mata untuk mengurangkan gaji pekerja dan meningkatkan keuntungan mereka. Hasilnya, golongan kaya di Malaysia pada waktu ini sedang memiliki sebahagian besar daripada kekayaan negara dan menggunakan pengaruh politik untuk memenuhi kemahuan mereka dan memanipulasi sentimen rakyat. 

Pihak majikan dan kelas kapitalis kaya yang selama ini menikmati keuntungan yang lumayan hasil pengorbanan dari semua kelas pekerja haruslah memikul tanggung jawab dan mengagihkan sebahagian daripada keuntungan mereka untuk menampung kebajikan rakyat biasa. Terutamanya pada waktu-waktu krisis sepertimana yang sedang dihadapi pada waktu ini, sudah tiba masanya untuk menggunakan harta yang dikumpul oleh kelas kapitalis kaya selama ini untuk menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat biasa. Kelas pekerja yang sedang mengorbankan diri mereka bagi menampung segala keperluan masyarakat haruslah dinilai dengan adil dan mendapat kebajikan dan keperluan hidup yang mencukupi.  

Perjuangan ke arah Sosialisme dan peranan kelas pekerja

Pertubuhan kelas pekerja seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kesatuan pekerja, organisasi hak buruh dan hak asasi haruslah bersatu dan memainkan peranan kepimpinan dalam memperjuangkan hak masyarakat Rohingya di Malaysia dan di Burma. Bersama, organisasi ini harus memainkan peranan dalam menyedarkan masyarakat biasa mengenai nasib yang sedang dihadapi oleh komuniti Rohingya dan pada masa yang sama untuk menjalinkan hubungan solidariti dengan perjuangan kelas pekerja tempatan dan pekerja asing. Punca penindasan terhadap etnik-etnik minoriti adalah berdasarkan kepada aturan sistem ekonomi kapitalisme yang memberi kuasa kepada segelintir minoriti kaya yang ingin mengaut segala kekayaan negara.

Kerajaan yang hanya berpihak kepada kehendak kelas kapitalis kaya haruslah ditekan dengan gerakan-gerakan kelas pekerja untuk mengangkat polisi-polisi yang berpihak kepada rakyat tertindas, tidak kira kaum atau latar belakang. Melalui perjuangan ini, sebuah organisasi politik yang mewakili kepentingan semua rakyat tertindas dapat diwujudkan dan digerakkan ke arah perjuangan untuk menggantikan sistem ekonomi kapitalisme kepada sosialisme yang memelihara aspirasi kelas pekerja dan rakyat biasa. 

Pada waktu ini, dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak stabil dan dihadapi dengan krisis kesihatan Covid19 telah membawa kepada bilangan pelarian yang semakin meningkat untuk mencuba dan mencari keselamatan di negara lain. Rejim yang menindas, peperangan dan konflik, krisis kesihatan, krisis ekonomi dan bencana alam sekitar adalah di antara kondisi-kondisi yang mewujudkan pelarian yang terpaksa mencari jalan keluar daripada krisis yang dihadapi. Pengajaran yang penting disini adalah bahawa kondisi-kondisi tersebut wujud akibat sistem kapitalis yang berasaskan eksploitasi, persaingan dan keuntungan peribadi bagi segelintir minoriti elit.

Sosialis berjuang untuk penghapusan kapitalisme dan untuk pembangunan sosialisme pada skala dunia. Hanya atas dasar ini ia menjadi mungkin untuk memanfaatkan sains dan teknik untuk membina sebuah masyarakat yang dapat memenuhi keperluan semua umat manusia. Dalam dunia sosialis tidak ada orang yang perlu untuk melarikan diri daripada kelaparan atau perang. Pada masa yang sama, sebahagian daripada perjuangan demi sosialisme adalah untuk hak manusia untuk bergerak. Pasport dan kawalan imigresen digambarkan oleh pihak kapitalis sebagai kekal dan tidak berubah tetapi ia merupakan ciptaan para kapitalis yang ingin melindungi harta peribadi mereka. Di bawah sistem kapitalisme, walaupun modal ataupun ‘kapital’ adalah bebas untuk merentasi dunia, rakyat biasa pula dianggap penjenayah jika mereka cuba meninggalkan negara asal mereka (kecuali, jika mereka diperlukan sebagai buruh murah). Hanya atas dasar sosialisme ia akan menjadi mungkin untuk mempunyai pergerakan bebas yang tulen merentasi sempadan negara dan pada masa yang sama sebuah dunia yang bebas dari penindasan, peperangan dan kemusnahan alam sekitar. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*