Lebih Kurang 190 Pekerja Migran Bangladesh Mediceram Dipecat Kerana Menuntut Hak Pekerjaan yang Adil

Kenyataan Umum Jaringan Solidariti Pekerja, Sosialis Alternatif dan AKSI (Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis)

Pekerja Mediceram telah beberapa kali mengadakan mogok bagi menuntut bayaran yuran pengambilan dan gaji yang tertunggak. Mereka bekerja dalam keadaan seperti hamba — pasport dirampas, gaji lewat, visa tidak diperbaharui dan sering diugut oleh majikan. Walaupun berulang kali memprotes, majikan tidak menunaikan janji dan pihak berkuasa gagal mengambil tindakan tegas.

Read the English version of our public statement here.

Logo Sosialis Alternatif, merah, latar belakang telus
aksi_logo-red

Kepada pihak awam yang selama ini telah mengikuti perkembangan kami di sosial media dan begitu juga di saluran media-media lain, telahpun kami jelaskan dan laporkan mengenai tindakan mogok yang dilakukan oleh 190 pekerja migran dari Bangladesh yang bekerja di syarikat pembuat bentuk sarung tangan Mediceram. Kini pihak kami mendapat laporan bahawa kesemua pekerja migran telah dipecat kerana berjuang menuntut hak pekerjaan yang bermaruah.

Mediceram Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuat acuan seramik untuk industri sarung tangan yang menjadi pembekal kepada pelbagai jenama multinasional seperti Ansell, YTY dan juga Top Glove, telah didakwa mengeksploitasi pekerja migran sejak tahun 2017. Para pekerja ini direkrut melalui sindiket pemerdagangan manusia, sebagaimana yang telah disahkan dalam pelbagai laporan media dan badan antarabangsa termasuk PBB.

Ketika kami menulis kenyataan solidariti pada tempoh hari, pekerja telah pun melakukan mogok buat kali ketiga sebagai tindakan bagi menuntut pembayaran penuh yuran pengambilan yang membebankan pekerja.

Pekerja migran di Mediceram terpaksa menjalani kehidupan yang tidak ubah seperti hamba — iaitu sebuah keadaan yang tidak menentu di mana passport mereka dirampas, gaji tidak dibayar secara konsisten, tidak menyediakan visa pekerjaan, tindakan ugutan dengan menggunakan pihak berkuasa, keadaan tempat tinggal yang teruk dan seumpamanya.

Hampir lapan ataupun sembilan tindakan protes telah dilakukan oleh mereka dan setiap kali pekerja bertindak, setiap kali itu lah majikan berjanji akan melangsaikan hutang-hutang mahupun tuntutan-tuntutan yang diperjuangkan oleh pekerja. Bahkan keterlibatan agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga Kerja dalam mengendalikan kes ini juga tidak berjaya memberi tekanan ataupun melakukan tindakan yang lebih tegas dalam memastikan bahawa kesemua tuntutan dapat dilangsaikan.

Situasi menjadi lebih teruk apabila pada 30hb September yang lepas, Jabatan Imigresen datang menyerbu premis kilang dan menggari hampir 90 pekerja yang tidak mempunyai visa yang sah. Walhal pada awalnya kesemua pekerja merupakan pekerja yang sah, namun visa tidak diperbaharui oleh pihak majikan. Kami juga telah menerima laporan-laporan sebelum ini, di mana sudah ramai pekerja Mediceram dihantar pulang hanya kerana terlibat di dalam perjuangan menuntut hak mereka.

Kini, walaupun tuntutan pembayaran yuran pengambilan telah dibayar pada 27hb Oktober, namun sehingga kini passport dan visa masih tidak dipulangkan oleh pihak majikan. Malah lebih teruk lagi, pada 31hb Oktober 2025 — pekerja telah menerima surat pemecatan dan memaksa menghantar kesemuanya pulang balik ke Bangladesh. Majikan menggunakan alasan bahawa pekerja tidak menghadirkan diri tanpa alasan yang kukuh, walhal dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka — kesemua pekerja memberikan justifikasi yang menjelaskan akan penindasan dan juga penipuan yang dilakukan oleh pihak majikan.

Mogok pekerja merupakan senjata paling ampuh untuk melawan penindasan majikan dan membuktikan bahawa kuasa sebenar dalam keuntungan syarikat dan ekonomi terletak di tangan pekerja. Namun begitu, setiap tindakan mereka pasti akan ditentang habis-habisan oleh pihak majikan dan kelas kapitalis. Oleh itu, sokongan daripada organisasi buruh lain — terutamanya organisasi anak muda dan pekerja tempatan — amat diperlukan bagi memastikan mogok ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sehingga segala tuntutan asas mereka dipenuhi dan dipertanggungjawabkan oleh pihak majikan.

Kami menyatakan solidariti sepenuhnya dalam menyokong tindakan pekerja yang sedang mogok demi menuntut hak mereka. Perjuangan pekerja migran di Malaysia perlu disokong dan diperkukuhkan oleh organisasi pekerja tempatan — khususnya kesatuan sekerja yang kuat dan berprinsip. Melalui kenyataan solidariti ini kami menyeru organisasi kesatuan sekerja dan juga anak muda – untuk turut membantu menyebarluaskan berita penindasan ini dan juga menekan pihak berkepentingan seperti Jabatan Tenaga Kerja mahupun Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Pada pagi 3hb November 2025, kami dimaklumkan bahawa kelas pekerja yang dipecat telah pun cuba untuk membuka kes di Jabatan Tenaga Kerja dan juga Perhubungan Perusahaan — namun menghadapi beberapa kerumitan dan tidak berjaya untuk membukanya. Bahkan kami mendapat berita bahawa para pegawai bersikap acuh tidak acuh dalam membantu mereka.

Kami, organisasi Jaringan Solidariti Pekerja, Sosialis Alternatif dan AKSI (Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis) berpandangan bahawa tindakan majikan yang berterusan mengkhianati persetujuan sedia ada menunjukkan sikap acuh tak acuh pihak pengurusan terhadap tuntutan asas para pekerja. Sebaliknya, pengurusan hanya mementingkan keuntungan syarikat semata-mata, sehingga sanggup bertindak secara sesuka hati dan memanipulasi pekerja yang sedang berjuang. Tidak hanya dengan itu, pihak kerajaan juga perlu mengambil tindakan yang lebih tegas dan telus dalam menjalankan tugas mereka — terutamanya dalam mengangkat martabat kelas pekerja yang berjuang bagi mendapatkan hak mereka secara adil.

Kami melihat perjuangan pekerja Mediceram sebagai sebahagian daripada perjuangan kelas yang lebih meluas — yakni sebagai perjuangan menentang kerakusan ekonomi kapitalisme itu sendiri. Hanya dengan membina gerakan kelas pekerja yang menjangkaui batas negara, etnik, bahasa dan agama — sebuah perjuangan yang seutuhnya dapat dibina — menukar sistem kapitalisme dan ke arah sebuah sistem sosialisme.

Pihak kami menuntut supaya:

  1. Tolak sebarang pemaksaan penghantaran pulang secara tidak sah — para pekerja yang telah dipecat ingin terus bekerja secara telus di Malaysia, mengikut undang-undang sedia ada, serta hanya menuntut dan memperjuangkan hak mereka daripada majikan yang jelas menindas.
  2. Pemindahan kerja serta-merta bagi semua pekerja yang telah dipecat secara tidak adil ke syarikat-syarikat yang dapat memberikan jaminan pekerjaan yang sah dan selamat, agar mereka dapat terus melangsungkan kehidupan.
  3. Pemulangan semua pasport dan pembaharuan visa kerja bagi setiap pekerja yang terlibat — pihak Mediceram mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kewajipan undang-undang.
  4. Tuntut campur tangan pihak kerajaan, termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, dan Kementerian Sumber Manusia, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekerja migran — golongan yang selama ini menyumbang kepada keuntungan kelas kapitalis tempatan.
  5. Hentikan serta-merta segala bentuk ancaman dan ugutan daripada pihak majikan — agar semua pekerja Mediceram dapat hidup dan bekerja dengan maruah, tanpa rasa takut terhadap pemecatan, gangguan, atau tindakan balas dendam.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik
2026 03 08 hari wanita antarabangsa kenyataan sosialis alternatif Lebih Kurang 190 Pekerja Migran Bangladesh Mediceram Dipecat Kerana Menuntut Hak Pekerjaan yang Adil Sosialis Alternatif
Situasi krisis geopolitik yang menyebabkan perang sedang menyaksikan krisis pelarian, kemusnahan harta benda juga keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Peperangan di Palestin sedang mendedahkan kekejaman Israel mempergunakan tubuh...
BACA
5 Reports of Rape Every Day: What is to be done while Parliament laments low prosecution rate?
2026 03 03 womens march 2020 against rape sexual violence sosialis alternatif Lebih Kurang 190 Pekerja Migran Bangladesh Mediceram Dipecat Kerana Menuntut Hak Pekerjaan yang Adil Sosialis Alternatif
Between 2015 and 2025, Malaysia witnessed a staggering 17,609 reported rape cases — an average of five rape reports every single day… Only 7,090 of these cases, or roughly 40%, resulted in charges being filed… in an earlier decade only...
BACA
Mesyuarat Nasional Sosialis Alternatif (SA) Malaysia 2026, Berlangsung Dengan Jayanya
2026 02 21 mesyuarat nasional 2026 sosialis alternatif Lebih Kurang 190 Pekerja Migran Bangladesh Mediceram Dipecat Kerana Menuntut Hak Pekerjaan yang Adil Sosialis Alternatif
Sosialis Alternatif (SA) Malaysia, CWI di Malaysia, telah diadakan dari 16 hingga 18 Januari 2026 di Pulau Pangkor, di luar pesisir Perak di Selat Melaka. Perbincangan melibatkan beberapa anak muda yang baru serta sebagai ahli dan menandakan...
BACA

Lebih Kurang 190 Pekerja Migran Bangladesh Mediceram Dipecat Kerana Menuntut Hak Pekerjaan yang Adil

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *