Pandemik Coronavirus dan Kapitalisme Sedang Membinasakan Kehidupan Manusia : Berjuang Demi Sosialisme Untuk Memelihara Masa Depan Semua!

Pandemik Coronavirus dan Kapitalisme Sedang Membinasakan Kehidupan Manusia : Berjuang Demi Sosialisme Untuk Memelihara Masa Depan Semua!

Posted by

Ketibaan pandemik Covid19 telah menggegarkan sistem ekonomi kapitalisme yang sudahpun berada di ambang sebuah kemelesetan yang teruk. Dasar-dasar neo-liberalisme kapitalis yang diimplimentasi selama ini telah mewujudkan sebuah masyarakat yang tidak mampu untuk melindungi dirinya daripada ancaman seperti Covid19 dan pada masa yang sama terdedah dengan krisis ekonomi yang akan memberi kesan yang mendalam. Dalam situasi kecemasan sebegini, ketempangan dan kerakusan sistem ini sedang terdedah sepenuhnya. 

Kegagalan industri kesihatan swasta

Walaupun sektor kesihatan swasta mendapat keuntungan yang lumayan setiap tahun, tetapi, apabila berlaku krisis kesihatan seperti pandemik Covid19, mereka tidak mampu untuk menghulurkan sebarang bantuan. 

Ini adalah kerana industri kesihatan swasta yang bernilai berbilion ringgit adalah dimiliki oleh segelintir pemodal kaya yang hanya mengutamakan keuntungan diri sendiri. Bagi golongan kapitalis kaya yang memiliki sebahagian besar daripada kekayaan negara, sebarang usaha untuk meningkatkan kebajikan rakyat miskin akan menghakis keuntungan mereka dan oleh itu akan ditentang sehabis-habisnya. Sektor kesihatan swasta yang beroperasi demi keuntungan dan bukannya kesihatan rakyat tidak akan menawarkan sebarang khidmat dengan sukarela untuk menyelamatkan rakyat. Tambahan pula, industri kesihatan swasta juga dibina dengan penuh kemewahan hanya untuk memberi khidmat kepada segelintir orang kaya yang mampu menampung kos perubatan yang sangat mahal. Oleh sebab itu, walaupun mempunyai rizab yang besar dan kemudahan yang mencukupi, sektor kesihatan swasta memang tidak pernah membuat sebarang persediaan untuk menghadapi krisis-krisis kesihatan dalam skala yang besar. Ini dicerminkan dengan kekurangan bekalan kesihatan kritikal di hospital-hospital swasta yang sedang menafikan khidmat perubatan kepada pesakit Covid19. 

Semua beban untuk menampung dan mengawal krisis kesihatan ini di alihkan ke atas kerajaan yang tidak mempunyai dana, infrasruktur dan peralatan yang mencukupi. Kakitangan hospital kerajaan sedang terpaksa memakai beg plastik di luar baju mereka untuk melindungi diri daripada Coronavirus akibat kekurangan peralatan perlindungan di institut-institut kesihatan awam. Kekurangan alat penguji virus juga sedang menafikan penyaringan bagi ratusan ribuan rakyat yang mempunyai simtom-simtom selsema. Tambahan pula, kekurangan ventilator dan ruang-ruang untuk menampung pesakit yang makin meningkat sedang mengancam nyawa ratusan ribuan rakyat.

Pada masa yang sama, bagi golongan yang berada, mereka boleh mendapatkan saringan Covid19 mereka di pusat-pusat perubatan yang mewah pada harga RM700. Harga yang mahal itu dikatakan berpatutan kerana ujian saringan Covid19 membawa risiko kepada kakitangan hospital tersebut kerana boleh terdedah dengan virus itu. Tetapi, adakah kakitangan hospital itu mendapat sebarang faedah seperti elaun tambahan ataupun ianya sekadar menjadi keuntungan pihak majikan dan pemilik kaya? Di kebanyakan situasi, majikan kaya sedang mempergunakan situasi kecemasan kesihatan ini untuk mengambil kesempatan dan meningkatkan keuntungan mereka. Di dalam dunia persaingan kapitalisme, pihak kapitalis akan sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan pesaing-pesaing mereka di dalam semua situasi, termasuk pada waktu-waktu krisis yang parah seperti yang sedang dialami pada masa ini.  

Kontradiksi kapitalisme terdedah

Patuh pada dasar-dasar neo-liberalisme sebelum ini, kedua-dua kerajaan BN dan PH telah menggiatkan penswastaan aset-aset awam dan memberikan pelepasan cukai dan insentif kepada pihak pemodal kaya untuk mengembangkan sektor-sektor swasta yang sedang mendominasi ekonomi negara. Hari ini, industri-industri swasta yang ada bukan sahaja sedang menghadkan usaha pembendungan pandemik Covid19, malah sedang memburukkan lagi keadaan dengan peningkatan persaingan dan memaksa para pekerja untuk melanggar arahan kerajaan dan pergi ke kerja. Nyawa pekerja pun sanggup digadaikan dalam keasyikan merebut saki baki keuntungan yang ada. 

Sistem kapitalisme yang selalunya berpihak kepada sesiapa sahaja yang mempunyai harta yang lebih akan sentiasa meminggirkan rakyat miskin. Kontradiksi ini semakin terdedah apabila krisis kesihatan Covid19 dan krisis ekonomi menjadi semakin parah. Dalam situasi ini, golongan berada yang mempunyai kekayaan harta benda dilihat sedang bertenang dan mempunyai jaminan kewangan dan akses kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti. Mereka boleh memperoleh alat-alat perlindungan seperti penutup hidung/muka yang bernilai tinggi dan bekalan-bekalan perubatan yang mencukupi. Bagi kelas pekerja biasa yang terpaksa bergantung dengan pusat perubatan kerajaan yang sudahpun berada dalam krisis kerana peningkatan kes Covid19 yang mendadak, tiada sebarang jaminan untuk masa depan mereka. Tambahan pula, ramai di antara pihak majikan yang tidak bertanggung jawab sedang memaksa para pekerja untuk berkerja tanpa peralatan perlindungan diri yang mencukupi. 

Pihak kerajaan yang dikawal oleh golongan kapitalis juga tidak berupaya untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk membendung penyebaran pandemik ini di Malaysia. Terlalu banyak kelonggaran diberikan kepada syarikat-syarikat swasta demi menjaga keuntungan mereka dan dibenarkan untuk beroperasi dalam keadaan yang merbahaya. Keluhan dan keresahan para pekerja yang terpaksa mendedahkan diri mereka kepada bahaya Covid19 semata-mata untuk menjamin keuntungan pihak majikan sedang semakin kedengaran di media-media sosial di sepanjang tempoh kawalan pergerakan. Kilang-kilang besar yang sedang beroperasi setiap hari hanya dihentikan jika salah seorang pekerja kilang tersebut disahkan positif untuk Covid 19. Ini bukan sahaja membahayakan nyawa pekerja tersebut malah ia tidak akan menyumbang ke arah usaha untuk mencantas penyebaran wabak ini. 

Langkah-langkah kerajaan kapitalis dunia

Berhadapan dengan sebuah krisis kesihatan yang dahsyat dan krisis kemelesetan ekonomi yang sangat parah, kerajaan-kerajaan dunia sedang menolak segala prinsip-prinsip pasaran bebas dan aturan neo-liberalisme yang ingin menghadkan penglibatan kerajaan dalam hal ehwal ekonomi. Pada waktu ini, kerajaan-kerajaan negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah sedang dalam proses menyediakan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang gergasi. Di negara-negara seperti Amerika, Hong Kong dan New Zealand, kerajaan sedang memberikan sejumlah wang berbentuk pendapatan bulanan kepada semua rakyat tanpa sebarang syarat. Perbincangan untuk memperkenalkan langkah ini juga sedang hangat diperbincangkan di negara-negara lain seperti di UK, German dan sebagainya. Amerika Syarikat misalnya akan melaburkan sebanyak 10% daripada GDP mereka sebagai dana untuk pakej ransangan ekonomi. Di beberapa negara Eropah, kerajaan sudahpun mengambil alih kawalan ke atas beberapa syarikat atau sektor swasta yang sedang muflis atau kerugian akibat krisis Covid19. Di Spain misalnya, seluruh industri kesihatan swasta telah di milik negara dan sedang diuruskan oleh pihak kerajaan.

Walaupun dengan perbelanjaan yang bernilai bertrilion sedang dilakukan untuk menyediakan kebajikan kepada jutaan rakyat, pada masa yang sama, ia juga merupakan langkah-langkah untuk menyelamatkan sistem kapitalisme ini daripada runtuh sepenuhnya. Segala kebajikan dan bantuan yang disediakan kepada kelas pekerja yang kehilangan kerja akibat krisis ini dan kepada yang tersepit dengan kekangan ekonomi pada waktu ini adalah hanya untuk meningkatkan daya beli rakyat dan untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi daripada rakyat. Bantuan ini merupakan sekadar rangsangan untuk menghidupkan kembali ekonomi kapitalis yang sedang tersungkur dan di hadapi krisis dari pelbagai penjuru. 

Tambahan pula, jika diteliti, semua pakej-pakej rangsangan ekonomi yang sedang diperkenalkan juga merangkumi bantuan-bantuan kepada sektor-sektor swasta yang tidak mampu untuk mengekalkan kadar keuntungan mereka pada waktu krisis ini. Berbanding dengan jumlah peruntukkan yang diterima oleh sektor-sektor swasta, apa yang diberikan kepada para pekerja dan rakyat miskin adalah sekadar cebisan yang kecil. Di Malaysia misalnya, daripada peruntukkan bernilai RM 250 bilion, hampir separuh daripadanya akan disalurkan kepada sektor-sektor swasta dan korporat besar. Di negara-negara lain juga, krisis ini menjadi alasan untuk meningkatkan kebajikan para kapitalis kaya, termasuk mereka-mereka yang menjadi penyebab utama kepada krisis ekonomi yang sedang dihadapi, sambil melenyapkan kekayaan dan simpanan rakyat biasa dan menghancurkan para peniaga kecil. Di AS, rakyat yang sedang menyaksikan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang paling besar dalam sejarah, juga sedang menyaksikan pemindahan kekayaan dari rakyat biasa ke kelas kapitalis yang paling banyak dalam sejarah!

Sistem politik kapitalisme gagal

Walaupun kerajaan-kerajaan dunia sedang mengambil langkah-langkah yang dianggap radikal untuk menangani krisis ini, masih lagi ianya tidak akan mampu untuk memulihkan keadaan ekonomi yang sangat terdedah kepada krisis-krisis baru. Jika pandemik Covid19 terus merebak dan menular ke negara-negara dunia, termasuk ke negara-negara neo-kolonial di benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan yang tidak mempunyai dana dan kemudahan asas yang mencukupi, kesan yang akan dirasai oleh ekonomi global akan menjadi berganda-ganda. Seperti sedia ada, pakar-pakar ekonomi kapitalis sudahpun memberikan amaran bahawa krisis Covid19 berserta dengan krisis ekonomi yang sedang menyusul akan mengakibatkan peningkatan pengangguran yang mendadak. Angka konservatif mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 25 juta orang akan kehilangan kerja mereka di seluruh dunia hanya disebabkan oleh krisis ekonomi yang sedang berkembang. 

Krisis ini juga sedang mendedahkan sifat persaingan dan ketamakkan sistem kapitalisme yang sedang menganaktirikan kehidupan rakyat biasa. Apabila Italy menyeru dan meminta bantuan kecemasan daripada negara-negara Eropah, tidak ada satu negara pun yang menghulurkan sebarang bantuan. Malah, negara-negara seperti German sedang menyekat pemasaran bekalan perubatan dan peralatan kesihatan ke luar negara. Amerika Syarikat yang sedang kononnya ingin berkerjasama dengan negara-negara lain untuk membendung wabak ini sedang meneruskan sekatan-sekatan ekonomi ke negara Iran dan Venezuela untuk memelihara kepentingan politik mereka. Kekurangan bekalan makanan dan perubatan akibat sekatan-sekatan tersebut akan menyumbang kepada penyebaran wabak Covid19 dan akan menyukarkan usaha untuk menghapuskan virus ini sama sekali. Di beberapa negara yang mempunyai kerajaan sayap kanan dan rasis seperti di Poland, ahli-ahli politik sedang mempergunakan peluang ini untuk mengecam golongan pelarian perang dan imigran sebagai penyebar virus dan sedang mendendangkan propaganda berbentuk perkauman untuk mencapai kepentingan politik masing-masing.  

Krisis Covid19 ini juga sedang berlangsung dengan latar belakang perang dagang di antara kuasa-kuasa besar, kebangkitan massa di beberapa negara yang menentang kerajaan dan kekecohan di beberapa rantau seperti di Timur Tengah yang sedang dilanda perang imperialis. Pada masa yang sama, di atas semua itu, dunia juga sedang menghadapi perubahan iklim dan pencemaran ekologi yang sedang mengancam kehidupan semua manusia. Walaupun krisis seperti Coronavirus boleh terjadi di bawah mana-mana sistem sekalipun, tetapi, sistem kapitalisme sudah mendedahkan bahawa ia bukanlah sebuah sistem yang mampan dan berupaya untuk menjamin kesinambungan kehidupan bagi jutaan penghuni dunia. 

Masa depan kelas pekerja dan rakyat biasa

Menilai daripada skala kemerosotan ekonomi, kecemasan sosial dan juga respon dari kerajaan-kerajaan dunia, kita sedang melalui pengalaman-pengalaman yang mirip dengan generasi yang hidup pada 1930an – di mana dunia dilanda dengan krisis ekonomi dan disusuli dengan perang-perang dunia. Walaupun sifat persaingan para kapitalis besar boleh mengheret dunia ke arah cetusan perang dunia, tetapi, memandangkan kewujudan senjata-senjata nuklear yang mampu membawa kemusnahan yang terlalu banyak kepada semua pihak yang terlibat, para kapitalis dunia akan seboleh-bolehnya mengelakkan keadaan tersebut. Tetapi ini tidak bermakna bahawa krisis ekonomi ini tidak akan membawa kehancuran kepada jutaan kehidupan rakyat miskin. Sebaliknya, kelas pekerja dan rakyat biasalah yang akhirnya akan menjadi mangsa yang menanggung segala perbelanjaan dan terpaksa berkorban untuk mengatasi kedua-dua krisis Covid19 dan krisis kemelesetan ekonomi. Segala langkah yang sedang diambil oleh pihak penguasa pada waktu ini mencerminkan komitmen mereka untuk menyelamatkan sistem ini daripada tenggelam dan bukannya untuk memelihara kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat biasa. Pihak penguasa sistem, iaitu para kapitalis merupakan golongan yang mendapat paling banyak kebajikan dan tumpuan dari pihak kerajaan dari seluruh dunia. 

Melihat balik pada sejarah, setiap kali terjadinya sebuah krisis pada skala yang besar, ia akan menghasilkan pergolakkan-pergolakkan massa yang akan memberi impak yang besar dan mendadak. Di satu sudut, pernah berlaku kebangkitan kuasa-kuasa sayap kanan yang rasis dan nasionalis yang menghasilkan pemimpin-pemimpin yang bersifat diktator dan bersedia untuk mencetuskan peperangan demi melindungi kepentingan kapitalis nasional mereka. Tetapi di sudut yang positif, krisis-krisis seperti ini juga telah menjurus kepada pencetusan gerakan-gerakan massa, perjuangan kelas pekerja yang berjaya, penubuhan kesatuan-kesatuan sekerja yang radikal dan mencabar sistem dan kemunculan kepimpinan-kepimpinan politik yang mengangkat perjuangan kelas pekerja dan rakyat tertindas. Gerakan-gerakan massa ini bukan sahaja telah berjuang untuk mengakhiri kepimpinan-kepimpinan sayap kanan, ia juga bertanggung jawab untuk membawa pelbagai kemenangan bagi perjuangan kelas pekerja. Kebanyakkan daripada faedah seperti perlindungan undang-undang untuk kebajikan kelas pekerja, program sosial rakyat, hak untuk berkesatuan dan banyak lagi kelebihan yang wujud untuk rakyat pada hari ini adalah hasil perjuangan kelas pekerja dan rakyat biasa yang berlangsung dengan latar belakang krisis-krisis yang besar seperti sekarang.

Berjuang demi sosialisme sedunia

Oleh itu, kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa haruslah mengambil teladan dan pengajaran daripada perjuangan-perjuangan yang lepas dan menyusun diri kita untuk menghadapi krisis ini. Walaupun perjuangan rakyat yang lepas telah memberikan kita faedah-faedah yang tertentu, tetapi, sistem kapitalisme akan sentiasa mencari jalan untuk menghakis segala hak kita sebagai rakyat biasa. Sepertimana yang sedang berlaku pada waktu ini, krisis-krisis yang sedang mengancam nyawa manusia juga sedang dipergunakan untuk meneruskan agenda para kapitalis untuk menggondol lebih banyak keuntungan. 

Bagi memastikan bahawa kebajikan, keselamatan dan kepentingan kelas pekerja akan sentiasa terjamin, sistem kapitalisme yang menentang aspirasi rakyat biasa ini haruslah dicabut dari akarnya dan digantikan dengan sistem yang berpihak kepada kehendak rakyat biasa. Sistem sosialisme yang berteraskan kepada perancangan ekonomi melalui kawalan ke atas industri-industri besar oleh kelas pekerja, akan menegaskan kepentingan dan kehendak rakyat biasa di belakang semua keputusan atau polisi-polisi ekonomi yang dilaksanakan. Di bawah sistem sosialisme, semua alat-alat produksi komoditi yang utama akan berada dalam kawalan awam, diketuai oleh kelas pekerja yang disusun secara demokratik. Semua keputusan penting seperti pengagihan kekayaan negara dan hala tuju ekonomi dan politik akan ditetapkan dengan persetujuan daripada rakyat majoriti dan massa. Melalui teknologi perisian komputer dan komunikasi, komuniti-komuniti setempat boleh disusun ke dalam majlis-majlis yang demokratik untuk melibatkan diri dalam proses pembangunan di kawasan setempat. Bercanggah dengan sistem kapitalisme yang berdasarkan kepada pemilikan persendirian ke atas segala industri dan aturan pasaran bebas, sistem sosialisme akan mengagihkan segala sumber dan tenaga kerja rakyat dengan adil, mengikut sumbangan dan keperluan masing-masing. Sebuah sistem yang dirancang secara aktif oleh rakyat majoriti akan berjaya menangani krisis-krisis kesihatan seperti yang sedang di hadapi, ataupun krisis-krisis bencana alam dan sebagainya dengan sangat cekap dan efisyen. Sistem sosialisme yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat biasa majoriti juga akan cuba memastikan bahawa umat manusia akan dapat menyediakan diri untuk menghadapi apa sahaja jenis ancaman yang boleh berlaku pada masa depan. 

Kepimpinan perjuangan rakyat

Walaupun sudah terdapat pelbagai jenis gerakan-gerakan massa yang sedang tercetus di seluruh dunia semenjak berlakunya krisis ekonomi dunia yang lepas pada akhir tahun 2007, masih lagi ia belum menghasilkan sebuah perjuangan ke arah perubahan sistem ekonomi. Ini adalah kerana kekurangan kepimpinan kelas pekerja dan rakyat biasa yang dapat memberikan sebuah perspektif yang jelas dan untuk memimpin perjuangan rakyat massa ke arah konklusi untuk menggantikan sistem kapitalisme dengan sosialisme. Kebanyakkan daripada kepimpinan kelas pekerja sudah menjadi lesu, melupakan pengorbanan pejuang-pejuang kelas pekerja yang lepas dan seringkali berpihak kepada golongan majikan dan memainkan peranan untuk melemahkan perjuangan pekerja biasa. Tambahan pula, juga wujudnya pelbagai ahli politik yang menaburkan janji-janji manis untuk meraih undi di PRU, tetapi langsung tidak mempunyai sebarang solusi kepada rakyat biasa malah pada waktu-waktu krisis sebegini di mana rakyat amat memerlukan sebanyak mungkin bantuan. Keadaan ini telah mewujudkan ketidakpercayaan rakyat dan kelas pekerja terhadap kepimpinan mereka yang tidak membawa aspirasi golongan rakyat yang tertindas. 

Oleh itu, anak muda dan kelas pekerja, terutamanya mereka yang sedar dengan kepincangan yang sedang berlaku di dalam sistem kapitalisme, haruslah berganding bahu untuk mewujudkan sebuah kepimpinan yang benar-benar mewakili kepentingan mereka. Sebuah parti kelas pekerja, yang berakar dari pertubuhan-pertubuhan pekerja seperti kesatuan sekerja yang disusun secara demokratik merupakan bentuk kepimpinan yang diperlukan pada masa ini. Kepimpinan ini haruslah membawa program-program sosialis seperti peningkatan gaji minimum, pendidikan percuma, pengagihan kekayaan yang adil, peningkatan cukai terhadap golongan kaya bagi menampung kebajikan rakyat miskin dan sebagainya. Sebuah program yang berpaksikan kepada kehendak rakyat dan sebuah hala tuju politik yang jelas akan mampu menyatukan pelbagai perjuangan yang ada di bawah satu kuasa dan akan menarik penyertaan daripada rakyat massa.      

Hanya sebuah kepimpinan politik yang wujud dari penyertaan massa, dibina melalui  perjuangan rakyat biasa dan membawa hala tuju yang jelas akan dapat memberikan solusi kepada semua masalah yang sedang dihadapi oleh penghuni dunia hari ini. Sistem kapitalisme sedang mengheret dunia ke arah kemusnahan yang besar. Ianya merupakan tanggung jawab bersama untuk kita sebagai anak muda, kelas pekerja, rakyat tertindas untuk melancarkan perjuangan dan kempen politik menentang sistem ini dan menggantikannya dengan sistem sosialisme demi kepentingan dunia dan kesinambungan umat manusia. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*