“Suara yang Dibisukan”: Lebih 1,000 pekerja bank dan ahli kesatuan NUBE berhimpun di Putrajaya menuntut keadilan sempena Hari Pekerja
Di hadapan KESUMA, Putrajaya sempena Hari Pekerja 1 Mei lepas, perhimpunan NUBE bertema “Suara yang Dibisukan” (“Voice of the Voiceless”) disertai lebih 1,000 pekerja bank menuntut hak kesatuan dan rundingan kolektif.
Tema yang dibawa dalam perhimpunan bukan sekadar simbolik, tetapi satu ekspresi yang menunjukkan penindasan majikan menggunakan taktik kotor untuk membisukan suara pekerja yang menuntut dan melampaui batas hak berkesatuan. Ini turut mendedahkan bahawa kelas majikan gelisah jika perjuangan pekerja tersebar lebih luas.
Jumlah penyertaan sehingga 1,000 ahli kesatuan dalam perhimpunan 1 Mei sememangnya signifikan. Usaha yang dibawa oleh kepimpinan melalui siri piket dan protes yang disertai oleh 100–250 orang pekerja sebelum ini telah menunjukkan peningkatan sokongan terhadap tuntutan kesatuan dan kesedaran pekerja untuk berjuang walaupun ditindas oleh pihak syarikat. Penindasan syarikat dan situasi ekonomi yang semakin membebankan seperti kos sara hidup menjadi antara faktor peningkatan sokongan terhadap kesatuan sebagai “payung” perjuangan. Justeru pentingnya kesatuan sekerja terus disokong dan dibina.
Antara tuntutan yang diangkat dalam perhimpunan NUBE adalah:
- “Mengembalikan hak kesatuan yang telah dicabuli;
- “Menamatkan campur tangan dalam urusan kesatuan;
- “Menghentikan diskriminasi terhadap 15,000 ahli B40 dan M40 yang dinafikan bantuan perayaan sejak 2024;
- “Menangani aduan gangguan seksual yang diabaikan;
- “Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan 17 CEO bank yang didakwa melanggar undang-undang buruh tempatan dan piawaian antarabangsa.”
Setakat ini (awal bulan Julai), secara keseluruhan tuntutan NUBE terhadap syarikat masih tergantung. Pihak kerajaan terutamanya KESUMA telah menggunakan pelbagai birokrasi untuk menangguh tuntutan pekerja beserta janji-janji kosong, malah terus bersekongkol dengan pihak majikan untuk menyekat gerak kerja kesatuan dan melemahkan perjuangan pekerja melalui pelbagai taktik kotor mahupun haram.
Menurut laporan terkini, Steven Sim telah berunding terus dengan Majlis Majikan Bank Malaysia (MCBA) tanpa melibatkan NUBE. “Ini bukan kecuaian, ini pengkhianatan,” kata wakil akar umbi dan ahli jawatankuasa NUBE Perak yang biasa dikenali Bro Mohd Ariff. Menteri Sim juga didakwa mencabul hak rundingan Perjanjian Kolektif ke-20 (CA20) dengan merujuknya terus ke Mahkamah Perusahaan tanpa proses perundingan sebelumnya untuk mempercepat kehendak majikan, serta membatalkan MoU antara NUBE dan MCBA secara tidak sah.
Tindakan-tindakan union-busting dan anti-buruh yang datangnya dari kerajaan itu sendiri bukan sahaja melanggar Akta Perhubungan Perusahaan 1967, malah bertentangan dengan Konvensyen Organisasi Buruh Internasional (ILO) No. 98 yang menjamin kebebasan berunding secara kolektif, tanpa campur tangan kerajaan mahupun majikan di sebalik pekerja dan kesatuan.
Lantaran itu, Mohd Ariff menggesa bagi pihak NUBE untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ataupun Royal Commission of Inquiry (RCI), selari dengan tuntutan ke-5 tersebut. “Menteri bukan pengadil,” katanya. “Beliau kini sebahagian dari masalah.”
Kami menyahut dan menyokong kesedaran ini. Sememangnya kerajaan bukan entiti neutral dalam tuntutan untuk menyebelahi hak pekerja. Misalnya dalam proses menentukan peningkatan gaji minimum, kerajaan lebih mementingkan kehendak kelas majikan atau kapitalis dalam menentukan gaji pekerja, sementara tiada satu pun perwakilan dari pekerja untuk menyuarakan gaji yang seadilnya, sedangkan isu gaji adalah berkaitan dengan periuk nasi pekerja.
Kesedaran ini amat mustahak bagi perjuangan kelas pekerja hari ini. Pengalaman NUBE membuktikan bahawa institusi negara, termasuk kementerian yang sepatutnya melindungi hak pekerja, sebenarnya tunduk kepada kepentingan modal dan berfungsi sebagai alat untuk mencengkam kekuatan kesatuan.
Sementara realiti ketidakadilan sistemik ini terus didedahkan oleh perjuangan NUBE yang masih sedang berlangsung, bukan sahaja pekerja-pekerja bank yang selama ini dibisukan suaranya. Hal ini serupa dalam kalangan pekerja di sektor-sektor lain seperti media dengan pengenalan teknologi AI yang menyaksikan lebih 600 pekerja syarikat TikTok dibuang kerja baru-baru ini tanpa sebarang pembelaan yang adil. Begitu juga dengan pekerja dalam sektor kesihatan, dan juga pekerja migran yang ditindas dengan teruk melalui jerat hutang kepada agen, kerja yang panjang, sukar, bahaya, dan kotor disebabkan syarikat ingin mengurangkan kos dan enggan melengkapkan operasi syarikat dengan teknologi untuk mengurangkan risiko bahaya di tempat kerja.
Penindasan yang dihadapi pekerja NUBE dalam menuntut hak, realitinya mempunyai banyak persamaan dengan penindasan pekerja yang turut bangkit berjuang. Terlalu banyak contoh kes-kes union-busting yang wujud di seluruh negara. Penswastaan, penstrukturan syarikat, mahupun pengenalan-pengenalan akta kesatuan yang bersifat bertindih sengaja diwujudkan untuk melemahkan sebarang gerakan pekerja dan kesatuan.
Pada waktu ini, perjuangan pekerja NUBE terus dibisukan kelas majikan. Ini harus ditentang melalui seruan solidariti dan kerjasama kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang sedang aktif berjuang atas dasar membantah union-busting, dan menuntut perwakilan pekerja yang dipercayai serta secukupnya dalam kerajaan.
Perjuangan NUBE bukan perjuangan terpencil. Yang dihadapinya adalah masalah sistemik berpunca dari sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan persaingan merebut kekayaan dan pekerja adalah mangsa eksploitasi untuk keuntungan majikan. Adalah penting bagi kesatuan yang berjuang untuk menghubungkan tuntutan pekerja dari pelbagai sektor dalam satu rangka perjuangan agar memperluas dan menyatukan perjuangan pekerja sebagai satu kelas yang menentang sistem kapitalis yang hanya menguntungkan kelas majikan. Sepertimana yang diseru oleh NUBE sempena Hari Buruh: “Kami tidak hadir sebagai individu — kami hadir sebagai satu gerakan pekerja yang bersatu!”
Namun, perjuangan kesatuan tidak harus terbatas atas tuntutan-tuntutan yang berasaskan reform seperti gaji yang sesuai mengikut kadar inflasi, waktu kerja yang adil, dan hak berkesatuan — walaupun tuntutan ini amat penting, tetapi kelas pekerja sebagai satu-satunya kelas yang menggerakkan ekonomi secara kolektif, namun secara sistemik diasingkan oleh kelas kapitalis untuk menentukan pembahagian ekonomi, bermakna tuntutan yang berasaskan reform tidak mencukupi untuk memecahkan rantaian penindasan yang berpunca daripada sistem kapitalis itu sendiri. Apa yang diperlukan ialah satu perjuangan menuntut kuasa ekonomi dan perjuangan politik kelas pekerja, di mana kelas pekerja bukan sahaja menuntut tetapi membina kuasa sendiri untuk mencabar dominasi kapital dan perkakas-perkakas kerajaan yang melindunginya.
Ini bermakna kita mesti menghubungkan tuntutan semasa seperti RCI, hak kesatuan, dan kenaikan gaji kepada persoalan kuasa politik pekerja. Wajar kita membina sebuah parti massa yang berasaskan prinsip kelas pekerja, bebas daripada kawalan kapitalis, birokrat kesatuan, mahupun parti-parti elit yang tunduk kepada logik pasaran. Parti pekerja ini perlu berakar di tempat kerja secara demokratik, disokong oleh kesatuan yang berjuang, serta komuniti miskin bandar dan desa. Ia harus memperjuangkan satu program peralihan yang mampu menyatukan semua lapisan tertindas ke arah pengambilalihan kuasa kerajaan oleh kelas pekerja. Inilah landasan bagi membina kuasa alternatif — yakni kuasa pekerja — yang mampu menggantikan sistem kapitalis, yang kini sedang runtuh dari dalam, dengan sistem sosialis yang dipimpin secara demokratik oleh kelas pekerja.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan



Berita & Analisa Terkini




