Pemenjaraan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang disabit atas pertuduhan korupsi telah akhirnya menjadi kenyataan. Selain penjara 12 tahun dan denda sebanyak 210 juta Ringgit, Najib masih sedang menghadapi pertuduhan-pertuduhan lain yang boleh membawa hukuman yang lebih berat daripada apa yang dialami sekarang. Malah isterinya Rosmah Mansor juga baru-baru ini disabit kesalahan di Mahkamah Tinggi dan akan mencuba nasib di mahkamah rayuan selepas ini. 

Berita ini mendapat liputan antarabangsa sebagai bekas perdana menteri pertama di Malaysia yang telah memasuki penjara. Ia juga datang secara mengejut di kalangan rakyat yang tidak menaruh sebarang harapan ke atas sistem perundangan negara yang selalunya dikawal oleh parti pemerintah. Walaupun Najib masuk ke penjara di bawah pemerintahan Perdana Menteri yang datang dari UMNO/BN, pihak pembangkang PH juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua kepada usaha mereka dalam mengheret Najib ke mahkamah di waktu pemerintahan mereka. 

Tetapi haruslah diingatkan kepada semua ahli-ahli politik bahawa sebab utama kenapa bekas PM Najib sedang menghadapi hukuman ke atas semua penyelewengan adalah kerana perjuangan rakyat biasa dan anak muda yang telah melancarkan protes-protes besar-besaran dan telah mengangkat pihak PH menjadi parti dengan majoriti terbanyak di Pilihan Raya lepas. Tanpa usaha dan pengorbanan daripada rakyat biasa, ahli-ahli politik yang korup tidak akan menghadapi muka pengadilan sampai bila-bila masa.

Agenda UMNO/BN

Walaupun sistem kehakiman berada di kawalan Parti Pemerintah, UMNO/BN tidak menikmati kedudukan politik yang kukuh. Pada waktu ini, Ismail Sabri iaitu wakil UMNO terpaksa berkompromi dengan parti Bersatu dan PAS untuk mendapat mandat dan terus menjadi PM. Sementara itu, kedua-dua kepimpinan tertinggi UMNO dan Bersatu saling membenci antara satu sama lain dan sering bertembung di pilihanraya negeri di sepanjang 2 tahun ini. Oleh itu, kedudukan UMNO/BN sebagai Parti Pemerintah tidak kukuh dan mereka tidak berdaya untuk bertindak dengan kebebasan mutlak. 

Tambahan pula, sepertimana yang terdedah di PRU lepas, UMNO/BN telah ditolak majoriti rakyat biasa di peti undi dan kes mahkamah Najib juga telah mencemarkan imej mereka di kalangan populasi negara. Jika ahli-ahli politik BN, terutamanya UMNO ingin membersihkan imej mereka, maka mereka terpaksa mengorbankan sebilangan daripada kepimpinan mereka yang sudahpun terbukti korup dan sedang menjalani kes mahkamah. Pemenjaraan Najib merupakan sekadar pengorbanan yang kecil demi memulihkan sokongan rakyat terhadap BN.

Pada waktu ini, beberapa figura UMNO yang sedang menghadapi kes mahkamah termasuk pengerusi parti sendiri berada dalam keadaan cemas memandangkan mereka juga boleh dikorbankan demi kesinambungan parti. Oleh itu, Zahid Hamidi sering kelihatan mengkritik PM Ismail Sabri secara terbuka kerana enggan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU baru. Harapan Zahid adalah bahawa PRU ke 15 boleh membawa kemenangan kepada koalisi UMNO/BN dan dengan mandat tersebut, mereka yang tertuduh boleh menggunakan posisi politik untuk membebaskan diri daripada hukuman penjara. 

Tetapi, tidak ada sebarang jaminan bahawa kepimpinan UMNO akan mendapat sokongan rakyat di PRU yang akan datang. Parti pemerintah sedang gagal untuk mengawal kenaikan harga barangan dan inflasi yang sedang menjadi tumpuan utama masyarakat pada waktu ini. Pada masa yang sama, pendedahan kes-kes korupsi dari majlis tertinggi parti UMNO juga akan memberi kesan yang buruk kepada keputusan PRU kelak. Oleh itu, dikalangan kepimpinan BN yang belum lagi diheret ke mahkamah dan didedahkan sebagai korup, mereka tidak bersedia untuk menghadapi PRU selagi mereka dapat membersihkan imej parti dan meraih kembali sokongan rakyat. 

Ini merupakan punca pertelingkahan yang sedang berlaku di dalam parti UMNO pada waktu ini. Kepimpinan UMNO yang mempunyai agenda yang berbeza sedang cuba mengheret parti tersebut mengikut arah yang paling menguntungkan diri sendiri. Hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Najib hanya mendalamkan lagi perpecahan yang wujud di mana desakan untuk mengadakan PRU sedang meningkat. Adakah tekanan ini akan memaksa PM Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen sejurus membentangkan Belanjawan 2023? Ataupun adakah lebih banyak ‘kleptokrat’ yang terkenal akan dimasukkan ke penjara dahulu sebelum PRU 15 diumumkan? Pastinya persoalan ini akan terjawab tidak lama lagi. 

Adakah UMNO dan BN dapat memulihkan sokongan rakyat?

Dalam keadaan kenaikan inflasi dan pemulihan ekonomi selepas pandemik yang tidak lancar, BN sedang cuba menonjolkan diri sebagai calon yang paling baik untuk pembangunan negara. Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan gaji minimum yang baru, membuat pindaan ke atas Akta Kerja 1955 (penguatkuasaan ditangguh ke tahun hadapan) dan kononnya sekarang telah memastikan bahawa sistem perundangan negara bebas dari pengaruh parti pemerintah. 

Hakikatnya, parti pemerintah sedang masih mempergunakan kuasa kerajaan dan sistem perundangan negara untuk kepentingan mereka sendiri. Cuma, parti pemerintah yang memegang kerajaan pada waktu ini tidak mempunyai kesepakatan antara satu sama lain dan sedang melalui krisis perpecahan dalaman yang parah. Oleh itu, ia mewujudkan ilusi bahawa sistem perundangan negara adalah bebas apabila ketua hakim masih dilantik oleh Perdana Menteri dan kerajaan mempunyai pengaruh yang luar biasa ke atas institusi kehakiman. 

Selain daripada itu, beberapa reformasi yang dilaksanakan oleh PM Ismail Sabri dan kerajaan waktu ini merupakan reformasi yang lemah dan tidak mendatangkan kelebihan yang besar kepada rakyat biasa. Tambahan pula ia langsung tidak merujuk kepada keadaan kelas pekerja dan rakyat miskin yang sedang semakin terbeban dengan peningkatan kos kehidupan yang mendadak dan gaji yang tidak melihat sebarang kenaikan. Bagi yang hanya menerima gaji minimum, mereka akan melihat sedikit peningkatan kepada gaji bulanan mereka. Tetapi bagi jutaan kelas pekerja lain, ataupun majoriti daripada kelas pekerja yang bergaji RM2000 ke bawah, tidak melihat sebarang peningkatan gaji.  

Pada masa yang sama, harga rumah, sewa bulanan, tarif elektrik, barangan asas, kos pendidikan, kos pengangkutan, minyak dan semua keperluan harian rakyat biasa sedang melihat peningkatan harga dengan mendadak. Kerajaan pula hanya menafikan kenyataan ini dan terus memotong subsidi yang amat diperlukan oleh rakyat biasa. Dalam keadaan ini, UMNO dan BN harus melakukan lebih banyak reformasi yang bermakna untuk meraih sokongan padu daripada rakyat jelata. Hanya dengan memenjarakan Najib dan beberapa ahli politik yang korup, ia tidak bermakna bahawa rakyat biasa akan berpuas hati dengan pemerintahan BN dan akan terus mengangkat mereka di PRU.

Tambahan pula, pendedahan kes korupsi yang baru seperti projek Kapal LCS dan sebagainya mendedahkan bahawa masih ramai lagi di kalangan kepimpinan UMNO yang korup dan harus dibawa ke muka pengadilan.

Adakah pembangkang boleh menyelamatkan rakyat?

Pada masa yang sama, BN juga boleh kembali ke kuasa hanya kerana tidak ada pilihan lain di arena politik dan kelemahan di kalangan parti pembangkang PH. Sama seperti BN, PH juga sedang melalui perpecahan dalaman yang telah mengakibatkan kehilangan kuasa kerajaan 2 tahun lalu. Tetapi lebih utama, PH telah gagal untuk menunaikan janji-janji PRU dan meraih kemarahan rakyat biasa dalam 2 tahun pemerintahan mereka. Ini merupakan punca utama kepada kejatuhan PH dari kuasa kerajaan. Malah, ada juga di kalangan ahli-ahli politik PH sendiri yang didapati korup dan tidak beramanah. PH juga telah mempergunakan institusi kehakiman negara untuk melindungi ahli-ahli mereka daripada pertuduhan korupsi dan mempergunakan sistem perundangan untuk menyerang golongan pembangkang dan musuh politik. 

Pada waktu ini, ahli-ahli politik PH hanya mendendangkan retorik anti korupsi dan mempergunakan skandal korupsi BN sebagai kempen PRU. Sepanjang pandemik sehingga ke hari ini, ahli politik PH masih belum berupaya untuk membawa program dan perjuangan yang merujuk kepada keadaan ekonomi rakyat biasa yang sedang merosot. Tidak ada kempen tuntutan rakyat sepertimana yang dilakukan sebelum PRU 14 dan tiada sebarang cadangan untuk memulihkan ekonomi negara yang sedang tenggelam dengan hutang. Kepimpinan PH masing-masing sedang masih mencari jalan pintas untuk menduduki kuasa kerajaan dan sedang asyik dengan permainan politik. 

Dalam situasi ini, hanya kelas majikan kaya, kroni-kroni besar, pemilik syarikat kaya dan para CEO-CEO perusahaan dapat mengekalkan kekayaan mereka dengan sangat selesa. Majoriti daripada kelas pekerja dan rakyat yang membanting tulang menghasilkan segala kekayaan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat pula sedang bertambah miskin dan beban ekonomi mereka meningkat mendadak. Ini berlaku di bawah pemerintahan BN, PN dan juga PH dan semua ahli politik arus perdana sudah pun mendedahkan bahawa kesetiaan mereka adalah hanya kepada para kapitalis kaya dan bukan rakyat biasa. Oleh itu segala polisi-polisi ekonomi yang dibawa oleh mana-mana parti yang pernah memerintah kerajaan sentiasa berpihak kepada kelas majikan kaya dan seringkali menindas para pekerja biasa. 

Parti Kelas Pekerja dan Massa

Hari ini, semua pertubuhan yang ada di Parlimen sedang leka dengan permainan politik apabila suara jeritan rakyat biasa yang sedang merana dipinggirkan begitu sahaja. 

Adalah jelas bahawa kelas pekerja dan rakyat biasa tidak mempunyai sebarang pilihan yang munasabah di PRU yang akan datang. Oleh itu, rakyat biasa haruslah membina perwakilan politik mereka sendiri yang boleh membawa tuntutan-tuntutan ekonomi dan politik yang menjadi keutamaan kepada majoriti daripada populasi negara. 

Semua parti-parti arus perdana, termasuk yang baru ditubuhkan seperti MUDA, merupakan pertubuhan yang dibina oleh golongan elit bagi menjaga kepentingan kelas kapitalis dan golongan berada. Walaupun sering membawa retorik perjuangan rakyat, rata-rata pertubuhan ini tidak melakukan sebarang perubahan yang membawa kebaikan kepada rakyat jelata tanpa tekanan dan gesaan daripada rakyat biasa. Sama seperti yang sering berlaku di kilang-kilang industri, para pekerja terpaksa melancarkan aksi-aksi seperti pikat dan mogok untuk memaksa para majikan untuk memberikan hak dan kebajikan yang berpatutan. Juga, tanpa perjuangan dan gerakan rakyat biasa, ahli-ahli politik yang wujud tidak akan bergerak walau se inci untuk membela nasib rakyat miskin. 

Oleh itu, pertubuhan yang benar-benar boleh mewakili kepentingan rakyat haruslah ditubuhkan oleh rakyat sendiri, tanpa sebarang dana atau campur tangan dari golongan elit dan kelas majikan. Pertubuhan ini haruslah di bina dari bawah ke atas dengan tunas-tunas demokrasi dan dengan program dan kempen yang boleh membawa penyertaan dari massa. Pada masa yang sama, kepimpinan ini tidak boleh hanya bergantung dengan Pilihan Raya dan Parlimen yang dikawal oleh kelas kapitalis dan haruslah sentiasa bersedia untuk melancarkan aksi-aksi protes dan mogok untuk mengangkat tuntutan rakyat. 

Pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja merupakan titik permulaan yang sangat sesuai untuk membina pertubuhan politik yang mewakili kepentingan rakyat dan pada masa yang sama sanggup menentang agenda kelas kapitalis yang mempunyai kuasa kewangan. Kelas pekerja secara semula jadi sedar mengenai liku-liku perjuangan melalui pengalaman mereka di tempat kerja yang terpaksa berhadapan dengan kelas majikan yang menindas mereka setiap hari. Tambahan pula, kelas pekerja merupakan tangan yang memegang tuas ekonomi negara dan mempunyai kuasa yang luar biasa.

Jika kelas pekerja dapat menyatukan tenaga mereka dan melancarkan aksi-aksi industri seperti mogok umum, ia akan menggegarkan para kapitalis dan kerajaan yang dipengaruhi oleh mereka untuk memenuhi tuntutan rakyat. Pada masa yang sama, penyatuan kelas pekerja di bawah satu pertubuhan politik juga akan mencabar kekuasaan politik para perwakilan kelas kapitalis dan mengutamakan politik kelas pekerja dan rakyat biasa. Dengan kuasa politik, rakyat boleh membawa polisi-polisi ekonomi yang akan mendatangkan kelebihan kepada masyarakat umum dan bukan hanya tertumpu kepada keuntungan kelas kapitalis yang segelintir. 

Alternatif Sosialisme untuk Menggantikan Kapitalisme

Masyarakat dunia sedang dibelenggu dengan sistem kapitalisme yang sedang dalam kemelesetan yang berpanjangan. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi rakyat dari setiap penjuru dunia kini sedang menghadapi kemerosotan dalam taraf kehidupan akibat sistem ekonomi global yang tidak mampan. Sistem kapitalisme telah menghasilkan kekayaan yang luar biasa, tetapi kekayaan ini hanya dinikmati oleh segelintir individu yang memiliki segala harta (kapitalis). Pada masa yang sama ia juga menghasilkan kesengsaraan dan keperitan hidup bagi kelas pekerja dan rakyat miskin. 

Akibat krisis hutang global, inflasi yang tidak terkawal dan pertumbuhan yang terbantut, beberapa negara dunia sudahpun terpaksa mendeklarasi diri mereka sebagai muflis dan mengalami keruntuhan ekonomi. Malah negara-negara maju juga sedang menghadapi masa depan yang kabur. 

Situasi ini sedang mewujudkan tanda soal di kalangan rakyat biasa berkenaan dengan kesahihan sistem ekonomi kapitalis yang sanggup mengorbankan majoriti daripada rakyat demi kesejahteraan golongan minoriti kaya. Daripada kesedaran itu, dan melalui pengalaman perjuangan demi hak mereka, kelas pekerja dan rakyat biasa akan mula mencari satu alternatif yang boleh menggantikan sistem kapitalisme. 

Sistem sosialisme merupakan sistem ekonomi yang meletakkan segala pemilikan ke atas produksi ataupun ekonomi negara di tangan kelas pekerja dan rakyat biasa secara demokratik. Ia akan merancang ekonomi berdasarkan kepada keperluan rakyat dan tidak akan menurut penetapan di bawah pasaran bebas kapitalisme yang bukan sahaja berat sebelah, malah menggalakkan pembaziran. Di bawah sosialisme, pengagihan kekayaan akan berlangsung secara demokratik dan berdasarkan kepada keperluan dan kebajikan rakyat yang bertujuan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat. 

Kelas pekerja dan rakyat biasa yang berjaya membina sebuah perwakilan politik massa yang mengangkat tuntutan rakyat, haruslah juga melengkapkan diri dengan perspektif politik yang jelas. Hanya dengan menakluk Parlimen, tidak semestinya rakyat biasa akan dapat membebaskan diri daripada cengkaman para kapitalis yang memiliki segala harta, infrastruktur dan kekayaan dunia. Bagi memastikan kesejahteraan rakyat biasa, segala institusi kerajaan kapitalis haruslah dilucutkan kuasa dan diganti dengan badan-badan demokratik yang dikawal oleh rakyat biasa. Pada masa yang sama, kelas pekerja juga perlu mengambil alih semua kilang dan industri utama negara untuk digerakkan mengikut kehendak majoriti rakyat. 

Tugasan ini hanya boleh dilaksanakan dengan kepimpinan yang mempunyai perspektif politik yang jelas untuk menentang kelas kapitalis dan sistem kapitalisme, dan menggantikan sistem ini dengan sosialisme yang demokratik dan adil.