Mampukah Perdana Menteri baru membawa penyelesaian kepada krisis kesihatan dan ekonomi?

Menjelang hampir 2 tahun bertarung dengan pandemik Covid-19, keadaan ekonomi rakyat Malaysia sedang bertambah teruk seiring dengan ekonomi negara dan global. Semakin ramai kelas pekerja sedang menjadi penganggur dan para majikan kaya pula sedang menikmati pelbagai bantuan dana daripada kerajaan. Wang bernilai berbilion-bilion ringgit sudahpun dilesapkan daripada rizab awam bagi membantu perniagaan yang tersungkur. Rakyat biasa pula dipinggirkan untuk berhadapan dengan bahang pandemik tanpa sebarang bantuan.

Krisis politik yang berakar dari krisis ekonomi pula sedang semakin menjadi-jadi. Rakyat telah menyaksikan penukaran kerajaan dan Perdana Menteri sebanyak 2 kali dalam tempoh hanya 3 tahun. Walaupun di bawah kondisi Darurat atau ‘lockdown’ yang mengekang pergerakkan rakyat, dan dengan kadar vaksinasi yang tinggi, kerajaan masih gagal untuk mengurangkan jangkitan Covid-19, memulihkan ekonomi negara, membekalkan kemudahan kesihatan yang mencukupi kepada rakyat dan memberikan kebajikan kepada rakyat yang terkesan.

Krisis ekonomi dan politik yang sedang disaksikan pada waktu ini tidak berpunca daripada pandemik Covid-19 semata-mata tetapi disebabkan oleh kemelesetan ekonomi kapitalisme global yang sedang berpanjangan sejak 2007. Covid-19 hanya mempercepatkan proses kemerosotan sistem ini yang sememangnya menjurus ke arah kemusnahan dari awal lagi. Malah, sistem ini juga telah memainkan peranan untuk menolak ratusan jutaan rakyat ke arah kemiskinan dan kesengsaraan dalam waktu pandemik yang ngeri. 

PM baru dapat menyelesaikan masalah rakyat?

PM baru, Ismail Sabri juga merupakan calon yang tidak mempunyai sokongan yang kukuh di kalangan ahli Parlimen yang ada pada waktu ini, sama seperti bekas PM Muhyiddin. Kedua-dua Bersatu dan faksi Zahid Ibrahim dari UMNO hanya memberikan sokongan kepada Ismail Sabri secara bersyarat dan bertujuan untuk mengelakkan Anwar Ibrahim daripada mengambil kuasa kerajaan. Calon PM baharu merupakan calon kompromi yang belum tentu dapat melaksanakan pemerintahan yang lancar dan tanpa bantahan. Pada masa yang sama, Ismail Sabri juga merupakan bekas Menteri di bawah PM Muhyiddin sebelum ini yang telah gagal untuk memulihkan kes Covid-19 dan juga ekonomi negara sehingga hari ini. Di bawah kepimpinan yang sama, kita hanya boleh menganggarkan bahawa rakyat miskin akan terus dipinggirkan dan keadaan ekonomi rakyat akan terus binasa.  

Antara usaha awal Ismail Sabri selaku PM adalah untuk menandatangani sebuah memorandum persetujuan dengan parti-parti pembangkang PKR, DAP dan Amanah. Memorandum tersebut kononnya bertujuan untuk mengeratkan kerjasama dengan semua pihak bagi menubuhkan kerajaan yang kukuh untuk menangani pandemik Covid-19 dan isu kemerosotan ekonomi. Walaupun para pemimpin PH bersama dengan pemimpin PN telah hadir untuk menandatangani memorandum tersebut, parti-parti pembangkang lain yang telah memberikan sokongan kepada calon PH Anwar Ibrahim untuk menjadi PM ke-9 sebelum ini tidak kelihatan. Terdapat beberapa rungutan daripada pihak pembangkang seperti Parti Pejuang bahawa PH hanya mempergunakan parti-parti pembangkang untuk cuba mendapatkan kuasa kerajaan dan tidak menjemput mereka untuk berbincang sebelum menandatangani memorandum tersebut. 

Walaupun Anwar Ibrahim mendapat sokongan daripada 105 ahli Parlimen sebagai calon PM, tetapi PH masih gagal untuk membentuk satu gabungan pembangkang yang kuat. Perpecahan di kalangan parti-parti pembangkang adalah sangat ketara pada waktu ini, sama seperti parti pemerintah PN. Dengan perpecahan dalaman yang parah di kalangan kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang, ia adalah sangat sukar untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil. 

Walaupun Agung menegaskan supaya ahli-ahli Parlimen harus menjalinkan kerjasama dan sebuah memorandum telah ditandatangan oleh sebilangan besar parti pembangkang dan kerajaan, masih lagi ia tidak menjamin sebuah pemerintahan yang berkeupayaan untuk membawa negara keluar dari krisis yang sedang dihadapi. Malah di persidangan Parlimen yang pertama di bawah kerajaan baru, rakyat dapat menyaksikan kekecohan dan huru-hara akibat perkelahian di antara kerajaan dan pihak pembangkang. Sesi Parlimen di penuhi dengan cemuhan, tuduh-menuduh dan kegagalan Speaker Parlimen untuk melaksanakan tugasan secara demokratik. Usul-usul yang dianggap mencabar kuasa kerajaan masih ditolak tanpa memberi timbangan kepada demokrasi Parlimen dan ahli-ahli Parlimen yang mencabar keputusan itu di tendang keluar dari Dewan Rakyat. 

Sistem politik parlimen gagal, kerajaan gagal.

Sepanjang krisis politik yang bermula dengan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari tahun lepas di mana kerajaan PH di gulingkan oleh PN, kelas pekerja dan rakyat biasa sedang memperhatikan gelagat semua ahli-ahli politik arus perdana dan kegagalan sistem Parlimen yang tidak mewakili kepentingan rakyat biasa. Walaupun rakyat biasa sedang merana akibat ancaman pandemik Covid-19, ahli-ahli Parlimen langsung tidak membawa sebarang perjuangan kehadapan dan leka dengan rebutan kuasa politik. Pihak pembangkang yang tidak henti mengkritik kerajaan juga belum lagi mengemukakan sebarang jalan untuk memulihkan kesihatan ekonomi rakyat biasa. 

Langkah-langkah seperti menandatangani memorandum untuk membentuk kerjasama di antara pembangkang dan kerajaan adalah sekadar persembahan politik yang bertujuan untuk mengembalikan keyakinan rakyat biasa terhadap sistem Parlimen negara yang secara jelas tidak berfungsi. Pihak pembangkang dan kerajaan yang langsung tidak mempunyai program untuk menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan yang di hadapi ingin menerampilkan diri sebagai sanggup bekerjasama dengan musuh politik demi kesejahteraan rakyat. Tetapi, sambil bermesra di hadapan kamera, masing-masing sedang berkomplot untuk menggulingkan satu sama lain bagi merebut kuasa kerajaan.  

Apa sahaja memorandum dan janji yang ditaburkan adalah tidak mencukupi bagi menyelesaikan masalah kehidupan rakyat miskin yang sudahpun berada dalam keadaan yang teruk. Kadar pengangguran sedang meningkat dan kebanyakkan rakyat sudahpun mengosongkan simpanan hari tua mereka bagi menampung kecemasan Covid-19. Walau apa sahaja jenis kerajaan yang dibentuk, ia harus dengan segera merujuk kepada keperluan ekonomi rakyat dan meningkatkan cukai terhadap golongan kaya dan syarikat besar bagi menampung kebajikan rakyat biasa. 

Setakat ini, semua kerajaan di bawah kepimpinan ahli-ahli Parlimen yang sama, biarlah BN, PH ataupun PN, telah gagal untuk memenuhi keperluan asas rakyat biasa dan pada masa yang sama telah menjamin keuntungan yang lumayan kepada kelas atasan. PH yang pernah diberikan mandat oleh rakyat berdasarkan janji-janji PRU juga telah mengecewakan apabila mereka juga didapati mengutamakan kepentingan kelas majikan kaya berbanding kelas pekerja dan rakyat miskin. Tidak ada sebarang petanda bahawa kerajaan baru yang dibentuk melalui ahli-ahli politik yang korup dan tidak beramanah akan membawa sebarang pembaharuan dalam pentadbiran hal ehwal negara. 

Alternatif politik rakyat

Jika kita sebagai rakyat hanya menghadkan pilihan kita kepada ahli-ahli Parlimen yang wujud pada hari ini, sememangnya tidak mempunyai sebarang pilihan yang wajar bagi rakyat biasa. Sebahagian daripada ahli Parlimen yang wujud pada hari ini merupakan korup, dan sebahagian yang lain merupakan tidak kompeten. Persamaan yang menyatukan semua ahli-ahli Parlimen ini adalah mereka merupakan pendukung sistem ekonomi yang hanya mementingkan kepentingan kelas kapitalis kaya. Malah, kebanyakan daripada MP merupakan individu yang kaya raya dan memiliki harta yang lumayan hasil kesetiaan mereka kepada kelas atasan. 

Di bawah aturan ini, rakyat biasa tidak mempunyai sebarang pilihan. Jika PRU diadakan sekalipun, rakyat biasa tidak akan terasa teruja untuk mengangkat mana-mana parti yang dilihat sebagai harapan. Tidak kira parti mana yang memerintah, mereka ditakdirkan untuk merana sambil menyaksikan kekayaan kelas kapitalis terus meningkat.

Jika aturan ini ingin diubah kepada aturan ekonomi yang lebih adil, maka pengaruh kelas kapitalis ke atas kuasa politik haruslah dicabar dan dilemahkan. Pada masa ini, semua parti-parti arus perdana merupakan pertubuhan yang mewakili kelas kapitalis dan akan sentiasa menyokong polisi-polisi ekonomi yang akan memastikan kesinambungan sistem kapitalisme. Oleh itu, pertubuhan-pertubuhan ini haruslah di cabar dengan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa. 

Kelas kapitalis mempunyai berpuluh-puluh parti politik yang memperjuangkan kepentingan mereka tetapi kelas pekerja dan rakyat biasa tidak mempunyai sebarang perwakilan politik. Keadaan ini harus diubah dengan membina sebuah organisasi massa sebagai kepimpinan politik kelas pekerja dan rakyat biasa. Organisasi tersebut haruslah menggalakkan penyertaan dari semua rakyat tertindas, disusun secara demokratik dan membawa tuntutan-tuntutan yang mengangkat aspirasi rakyat biasa. Di bawah program sosialis yang menekankan supaya kelas pekerja dan rakyat biasa mengambil alih kawalan ekonomi dari tangan kapitalis, sebuah pertubuhan yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat biasa dapat dibina. 

Pertubuhan-pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja, bersama dengan organisasi akar umbi anak muda dan rakyat tertindas merupakan titik tolak yang berpotensi untuk memulakan gerakan ke arah membina kepimpinan politik rakyat yang kukuh dan berkuasa. Kelas pekerja yang mempunyai kuasa untuk membantutkan ekonomi kapitalisme merupakan kuasa utama yang boleh melemahkan kelas kapitalis dan pada masa yang sama memimpin rakyat biasa ke arah sebuah aturan sosial yang lebih adil dan saksama. Oleh itu, beban untuk menyusun sebuah gerakan bagi membela nasib rakyat tertindas terletak di atas bahu kepimpinan kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa yang sedar akan peranan mereka. 

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top