Pakatan Harapan meneruskan agenda ekonomi kapitalisme sepertimana Barisan Nasional…Politik alternatif berlandaskan program sosialisme perlu untuk membina ekonomi dan sosial alternatif yang berlandaskan harapan rakyat

Belanjawan 2020 yang di bentangkan oleh kerajaan PH pada awal Oktober 2019 jelas meneruskan agenda neo-liberalisme dan ekonomi pasaran bebas yang telah diperkembangkan oleh BN ketika menerajui kerajaan lebih 60 tahun. Sebelum dipilih menjadi kerajaan pada bulan Mei 2018, ahli-ahli politik PH telah menaburkan pelbagai janji seperti penghapusan tol, kenaikan gaji minimum ke RM1500, pengurangan harga minyak, pengurangan kos sara hidup dan banyak lagi janji yang masih belum ditunaikan.

Secara purata, belanjawan ini juga melihat penurunan peruntukkan dana sebanyak 5.57 peratus berbanding belanjawan tahun lepas. Kebanyakan daripada peruntukkan dana kebajikan sosial dilihat sebagai masih tidak mencukupi dan tidak berupaya untuk meningkatkan taraf sosial jutaan kelas pekerja yang sedang menghadapi masalah peningkatan kos sara hidup. Tidak ada usaha untuk meningkatkan taraf sistem kesihatan sosial atau meningkat fasiliti perubatan awam yang menjadi pergantungan bagi lebih 75% daripada rakyat. Di samping itu, tidak ada usaha untuk mencantas keuntungan para pemodal swasta dengan cukai-cukai progresif yang boleh meringankan beban kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang menanggung hutang negara yang sedang semakin bertambah.

Ini jelas menunjukkan kerajaan PH hanya menjadi alat tungangan elit dan kapitalis untuk memastikan agenda ekonomi pasaran bebas yang berlandaskan keuntungan maksimum melalui eksploitasi dan persaingan mampu diteruskan. Tanpa pembinaan politik alternatif kepada kapitalisme, polisi dan agenda ekonomi dan sosial yang akan berpihak kepada rakyat biasa tidak mampu dibina.

Pengangguran semakin meningkat

Beberapa langkah kerajaan untuk menangani masalah pengangguran bagi anak muda dan para graduan juga dilihat sebagai memberikan kelebihan kepada syarikat-syarikat swasta yang akan meneruskan polisi upah murah ke atas pekerja mereka. Kerajaan akan memberikan insentif sebanyak RM 500 sebulan selama 2 tahun bagi graduan yang mendapat pekerjaan selepas lebih setahun menganggur dan pada masa yang sama syarikat yang mengambil pekerja baru itu akan menerima sebanyak RM 300 sebulan untuk jangka masa yang sama. Langkah ini akan memberikan ruang kepada syarikat swasta untuk mendapat keuntungan yang lebih dengan mengurangkan gaji pekerja di samping menikmati pembayaran tambahan dari dana kerajaan yang diperoleh melalui mencukaikan rakyat biasa. Tambahan pula, walaupun syarikat swasta tersebut akan menerima insentif tersebut dengan serta-merta, insentif sebanyak RM 500 kepada para anak muda dan graduan tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung simpanan KWSP mereka dan tidak boleh dinikmati sehingga mencapai usia tua. Aturan yang sama juga di perkenalkan kepada para wanita yang menganggur untuk lebih setahun dan bagi para pekerja yang menggantikan kerja yang sedang dilakukan oleh pekerja migran.

Sistem insentif ini hanya akan memberikan lebih banyak keuntungan kepada para majikan dan tidak berupaya untuk memulihkan masalah pengangguran di kalangan rakyat Malaysia yang sedang meningkat ataupun meringankan beban ekonomi mereka. Masalah gaji yang tidak mencukupi sedang memaksa para pekerja, terutamanya dari kalangan anak muda untuk melakukan pelbagai kerja informal yang tidak mempunyai jaminan kerja bagi meneruskan hidup mereka. Sistem ini akan hanya memburukkan keadaan yang semakin kritikan tanpa sebarang solusi yang kukuh daripada pihak kerajaan. Para majikan yang sedang menikmati keuntungan yang berlimpah-limpah hasil tenaga buruh yang murah di negara ini akan meneruskan eksploitasi mereka dengan ruang-ruang penindasan baru yang disediakan oleh kerajaan sendiri.

Selagi, tiada ekonomi terancang yang demokratik dengan penglibatan rakyat dalam perancangan ekonomi dan sosial, masalah seperti pengangguran dan kemiskinan akan terus membelenggu masyarakat.

Kerajaan melindungi kepentingan pihak pemaju perumahan

Seperti yang diketahui umum, masalah peningkatan harga rumah di Malaysia sedang mengakibatkan jutaan rakyat tidak dapat memiliki rumah dan sedang menanggung kos perumahan yang tinggi. Pada masa yang sama, walaupun jumlah nilai rumah yang tidak terjual sudah melebihi RM 20 billion, para pemaju perumahan sedang meneruskan pembinaan rumah-rumah pada kos yang tinggi dan tidak mampu dimiliki oleh majoriti daripada rakyat. Berikutan itu, langkah-langkah kerajaan yang diumumkan pada belanjawan 2020 hanya bertujuan untuk membantu para pemaju kaya dan tidak membuat sebarang usaha untuk mengurangkan kos perumahan atau meregulasi keuntungan golongan pemaju.

Skim ‘Rumah Sewa Beli’ yang bakal di perkenalkan akan meringankan beban para pemaju perumahan yang tidak dapat menjual aset hartanah mereka disebabkan oleh harga spekulasi yang tinggi bagi rumah-rumah yang di bina. Dengan skim ini, rakyat biasa diberikan pilihan untuk menyewa rumah dan membayar sewa kepada para pemaju selama lima tahun dan kemudiannya akan diberikan peluang untuk membeli rumah itu selepas tamat tempoh tersebut. Tanpa sebarang regulasi dan kawalan harga perumahan, skim ini hanya akan meningkatkan keuntungan para pemaju yang akan meneruskan pembinaan rumah dengan harga yang tinggi dan memaksa rakyat biasa untuk menduduki rumah-rumah yang tidak terjual sambil menikmati bayaran sewa yang lumayan.

Pada masa yang sama, had harga pembelian rumah bagi pelabur dan pembeli luar negara juga dikurangkan dari RM 1 juta sebelum ini ke RM 600 ribu. Ini akan menggalakkan penjualan rumah kepada pembeli luar negara walaupun rakyat Malaysia tidak dapat memiliki rumah-rumah tersebut akibat harga yang tinggi. Langkah ini sekali lagi mendedahkan hasrat kerajaan untuk melindungi para pemaju dan tidak ada sebarang usaha untuk mengawal harga rumah atau untuk menyediakan perumahan kos rendah bagi rakyat terbanyak.

Selagi, syarikat-syarikat pemaju ini tidak dimiliknegarakan dan pembinaan perumahan dirancang berdasarkan keperluan rakyat, hak perumahan akan terus menjadi komoditi untuk mengaut keuntungan.

Kebajikan kelas majikan di pentingkan dan kelas pekerja terus dianaktirikan

Mulai tahun ini gaji minimum akan di tingkatkan ke RM1200 di beberapa bandar utama di seluruh negara. Ini merupakan peningkatan yang amat sedikit berbanding dengan kos kehidupan dan inflasi yang sedang melambung tinggi. Kelas pekerja yang berada di luar kawasan bandar utama juga terus dipinggirkan tanpa sebarang jalan keluar daripada beban ekonomi yang sedang dihadapi. Pada masa yang sama, kerajaan telah mengumumkan pelbagai langkah untuk memastikan peningkatan keuntungan bagi para pelabur kaya di atas nama ‘mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara’. Para pemodal dan pelabur besar akan menikmati pengecualian cukai bernilai jutaan ringgit mulai tahun ini yang akan menjamin keuntungan para jutawan. Manakala, pekerja miskin dijangka akan semakin tertekan tanpa sebuah gaji yang adil dan dana kebajikan sosial yang semakin menyusut setiap tahun.

Kerajaan juga menyediakan pakej galakkan pelaburan istimewa yang bernilai 1 billion ringgit setahun untuk jangka masa 5 tahun yang akan datang. Tambahan pula, kerajaan juga akan memperkenalkan pengecualian cukai selama 10 tahun kepada syarikat swasta dalam sektor elektronik dan akan meneruskan Elaun Cukai Pelaburan Khas bagi syarikat-syarikat yang sudah tidak lagi menerima elaun tersebut kerana sudahpun tamat tempoh. Di samping itu, banyak lagi insentif khas bagi pihak korporat kaya telah dijanjikan dan akan ditunaikan pada masa-masa yang akan datang.

Kelas pekerja yang merupakan majoriti rakyat negara ini adalah nadi kepada ekonomi dan pembangunan negara, tetapi hak dan keperluan mereka terus dipinggirkan demi menjamin keuntungan dan kemewahan segelintir golongan kaya-raya.

Rakyat memerlukan alternatif sosialis bagi melawan agenda kapitalis

Agenda dan polisi ekonomi jelas mendedahkan watak sebenar kerajaan PH yang hanya berpaksikan kepada kepentingan golongan elit kaya minoriti dan tidak mengendahkan keperitan hidup rakyat miskin. Walaupun rakyat memilih kerajaan ini untuk melepaskan diri daripada penindasan yang berlaku di bawah kerajaan BN, rakyat biasa mendapati diri mereka masih berada dalam situasi yang sama seperti sebelum ini. Di setiap belanjawan dan di semua polisi-polisi kerajaan, kepentingan golongan jutawan dan pemilik syarikat swasta diutamakan dan aspirasi rakyat biasa dipinggirkan.

Dengan peningkatan kos sara hidup, pengangguran di kalangan anak muda, kemudahan kesihatan dan pendidikan awam yang merosot setiap hari, kelas pekerja dan rakyat biasa memerlukan sebuah jalan keluar kepada masalah ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi oleh mereka. Bukan sahaja di Malaysia, ekonomi kapitalis global yang juga berpihak kepada golongan kaya 1% ini sedang mengakibatkan bencana alam sekitar, krisis sosial, politik dan ekonomi di setiap pelosok dunia. Masyarakat kelas pekerja dan rakyat miskin amat memerlukan sebuah alternatif sosialis kepada sistem ekonomi kapitalis yang rakus dan hanya berfungsi bagi kepentingan segelintir orang kaya yang sedang mendominasi kehidupan semua manusia.

Kelas pekerja dan organisasi pekerja yang wujud mempunyai tanggung jawab untuk membawa aspirasi mereka ke hadapan melalui perjuangan-perjuangan yang tersusun. Tanpa memperjuangkan nasib rakyat biasa, institusi kerajaan dan ahli-ahli politik arus perdana akan meneruskan agenda mereka untuk memangsakan rakyat biasa demi menjamin keuntungan segelintir para kapitalis. Pada masa yang sama, perjuangan tersebut juga harus berbekalkan sebuah alternatif yang wajar bagi sistem kapitalisme yang sedang menindas jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa. Sebuah sistem ekonomi sosialis yang berteraskan kepada kepentingan rakyat biasa dan mampu melawan agenda para kapitalis haruslah didirikan dengan nyata dan melalui kepimpinan rakyat yang disusun secara demokratik.