Malapetaka Iklim Melanda Dunia : Perancangan Ekonomi Sosialis Diperlukan

Malapetaka Iklim Melanda Dunia : Perancangan Ekonomi Sosialis Diperlukan

Posted by

Pada akhir tahun lepas, sebuah kajian oleh IPCC (badan yang ditubuh oleh PBB untuk menyelidik krisis iklim yang sedang melanda dunia) telah mengejutkan dunia dengan menganggarkan bahawa jika keadaan sekarang berterusan untuk 12 tahun lagi, teknologi dan kemampuan manusia tidak akan dapat menghentikan kemerosotan alam sekitar dan iklim dunia. Jika umat manusia tidak mengubah hala tuju mereka secara umum atau tidak mengubah cara produksi mereka secara spesifik dalam jangka masa yang pendek, bumi ini tidak akan mampu menampung penghuninya, terutamanya perkembangan sosial manusia.

Kesan pencemaran alam dan perubahan iklim bukanlah sesuatu yang baru didengari pada zaman ini. Perbincangan mengenai kesan buruk aktiviti manusia yang sedang merosakkan kesihatan alam sekitar sudahpun di bincangkan di media media arus perdana dan di institusi pendidikan sejak 20 ke 30 tahun lalu. Walaupun begitu, peradaban manusia sedang menghadapi prospek kepupusan tanpa sebarang solusi untuk mencari jalan keluar daripada krisis ini. Kerajaan kerajaan dunia sudah membuat pelbagai perjanjian dan mewujudkan macam-macam sekatan untuk cuba mengurangkan kesan negatif terhadap alam semula jadi akibat aktiviti manusia seperti pembalakan berleluasa, pencemaran karbon, pembaziran air bersih, pembuangan sisa toksik dan banyak lagi. Tetapi, sistem ekonomi kapitalisme yang berasaskan kepada persaingan demi penjanaan keuntungan peribadi tidak membenarkan sebarang usaha untuk mengurangkan degradasi alam sekitar ini untuk berjaya.

Sistem kapitalisme bukanlah dengan sengaja sedang memacu dunia ini ke arah kemusnahan alam, tetapi mekanisme yang membentuk sistem ini tidak direka bentuk untuk meletakkan kesejahteraan majoriti manusia di hadapan keuntungan peribadi segelintir minoriti yang memiliki segala kekayaan. Sistem ini akan mengheret kapital (modal) ke arah keuntungan tanpa mengira jika pelaburan itu akan memudaratkan kesihatan alam sekitar atau tidak. Keuntungan jangka masa pendek menjadi nadi yang menggerakkan sistem ini dan di bawah cengkaman kapital, sebarang usaha yang ikhlas dari jutaan manusia tidak akan membuahkan sebarang hasil. Buktinya adalah kebuntuan yang sedang dihadapi oleh negara-negara dunia di persidangan-persidangan antarabangsa seperti Perjanjian Iklim Paris baru-baru ini yang gagal untuk mencapai sebarang kata sepakat di kalangan pemimpin dunia. Motif keuntungan syarikat peribadi di negara masing-masing menjadi tumpuan utama dan persaingan antara negara ini untuk memonopoli kekayaan dunia sedang menghambat sebarang kerjasama untuk menangani isu ini bersama.

Kapitalisme Tidak Mampu Menangani Krisis Iklim

Tidak ada kesangsian lagi bahawa sistem kapitalisme bukan sahaja sudah merosakkan sebahagian besar daripada alam sekitar dan kini sedang mengancam umat manusia dengan menggiatkan aktiviti yang memberi kesan buruk kepada perubahan iklim dunia. Hanya 100 syarikat besar dilaporkan sebagai bertanggung jawab untuk 71% daripada pelepasan karbon yang berlaku sejak tahun 1988.  Satu lagi kajian mendedahkan bahawa lebih dua pertiga daripada punca pemanasan global sejak tahun 1760 an boleh dijejak ke hanya 90 buah syarikat besar. Kajian demi kajian seperti ini sudah banyak dilakukan dan mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada pencemaran alam seperti pelepasan karbon ke udara, pembuangan sisa toksik ke laut, pembalakan dan sebagainya adalah dilakukan oleh syarikat multinasional yang bersaing diantara satu sama lain untuk mengejar keuntungan dan monopoli.   

Tidak ada negara di dunia ini yang terlepas dari cengkaman sistem kapitalisme yang merupakan sebuah sistem ekonomi global yang mengawal segala aspek kehidupan kita. Kelas pekerja dan rakyat biasa yang bertungkus lumus untuk mewujudkan kekayaan bagi kelas jutawan menjadi hamba kepada gaji dan tidak diberikan sebarang suara untuk mempertikaikan kegelojohan majikan mereka yang sedang merosakkan kehidupan semua. Seiring dengan susunan itu, sistem politik kita juga dikawal sepenuhnya oleh golongan kapitalis yang memberikan tekanan kepada kerajaan untuk melaksanakan polisi-polisi yang akan menjamin penjanaan keuntungan mereka. Pastilah polisi-polisi yang menguntungkan kelas majikan selalunya akan merugikan kelas pekerja yang akan dibenarkan untuk dieksploitasi sesuka hati.

Kemerosotan Alam Sekitar di Malaysia

Di Malaysia juga, semenjak sistem kapitalisme diperkenalkan oleh penjajah kapitalis dari luar negara, rakyat tidak pernah bebas daripada cengkaman sistem tersebut. Semua kepimpinan kerajaan yang wujud dan pernah wujud telah memastikan bahawa sistem kapitalisme akan berkembang subur di negara ini dengan membenarkan kapitalis dari dalam dan luar negara untuk mengeksploitasi sumber alam dan sumber tenaga kerja negara ini. Hasilnya, hari ini, bukan sahaja kelas pekerja iaitu majoriti daripada rakyat Malaysia berada dalam keadaan yang miskin dan tertindas, malah alam semula jadi kita yang menjadi kebanggaan negara sebelum ini sudah merosot ke tahap yang membimbangkan.

Isu keracunan sungai, laut dan punca minuman sedang berleluasa di seluruh negara. Akibat pembuangan sisa toksik yang tidak terkawal oleh pihak kapitalis, berjuta-juta rakyat biasa sedang menghadapi kehidupan yang terancam setiap hari. Pihak kapitalis yang telah membuat segala keuntungan pula akan hidup senang di persekitaran yang bersih dan jauh daripada tempat yang di cemar olehnya. Begitu juga dengan kes-kes penumpahan minyak di perairan yang bukan sahaja mengganggu kehidupan para nelayan dan masyarakat yang hidup di tepi pantai, malah mengancam kehidupan jutaan kehidupan marin. Selain itu, pembalakan dan pembersihan hutan yang tidak terkawal sedang menimbulkan masalah banjir, tanah runtuh, pencemaran sungai dan kemusnahan tempat tadahan air yang sedang menjahanamkan kehidupan jutaan rakyat miskin. Isu-isu berkaitan dengan pencemaran sungai dan air akibat bahan galian seperti pencemaran bauksit dan sebagainya belum lagi selesai walaupun sudah bertahun-tahun ia didedahkan kepada masyarakat umum.

Kerajaan PH Menyumbang kepada Krisis Ekologi Dunia

Kondisi alam sekitar sedang merosot pada kadar yang membimbangkan di Malaysia, dan negara ini juga menjadi salah sebuah penyumbang kepada degradasi iklim dunia dan pemanasan global. Walaupun dari segi retorik, pihak kerajaan baru telah berjanji untuk memelihara alam sekitar, tetapi selepas setahun menduduki tampuk pemerintahan negara, didapati bahawa ia adalah sekadar omong omong kosong. Parti-parti komponen PH seperti PKR dan DAP yang memegang beberapa negeri sebelum pilihanraya umum lepas tidak pernah menunjukkan sebarang komitmen untuk melindungi alam sekitar di negeri tersebut. Selepas mengambil alih kuasa federal, PH meneruskan agenda mereka untuk memperkukuhkan sistem kapitalisme dengan mengatur polisi-polisi yang memberikan lebih banyak konsesi kepada syarikat kaya berbanding polisi-polisi mesra alam.

Walaupun kepimpinan kerajaan berubah, tetapi penguasaan kapitalisme ke atas ekonomi tidak berubah, malah sedang menjadi bertambah kuat. Para kapitalis terkaya di Malaysia seperti Sime Darby dan One City sedang menimbun keuntungan berbilion-bilion ringgit setiap tahun dengan menggondol sebahagian besar hutan dan tanah agrikultur. Kerajaan PH juga menggiatkan usaha untuk menyah-gazet hutan simpan di Selangor terutamanya bagi memberi laluan kepada pihak pemaju swasta untuk meratakan hutan tersebut dan membangun infrastruktur. Segala program PH sebelum PRU lepas yang menggalakkan perkembangan sistem pengangkutan awam sudah lama dilupakan, dan sambil itu perdana menteri kita sedang menabur hasrat untuk mewujudkan kereta nasional yang baru.

Kebangkitan Anak Muda Dunia Menyuarakan Bantahan

Krisis alam sekitar dan perubahan iklim merupakan isu yang sangat mustahak dan anak muda dari seluruh dunia sedang bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati dengan hala tuju kepimpinan kerajaan dunia. Pada tahun ini, aksi anak muda dalam ‘Global Climate Strike’ telah menarik berjuta-juta anak muda dari lebih 1000 bandar dan 100 negara untuk melancarkan aksi mogok dan protes di tempat masing-masing. Sebahagian besar daripada anak muda yang menyertai gerakan ini, termasuk di Malaysia, sedang bergerak dengan kesedaran bahawa sistem ekonomi kapitalisme merupakan punca utama kepada krisis ekologi yang sedang kita hadapi. Kesedaran umum rakyat yang berjuang sudah mula meningkat sehingga mempersoalkan kesahihan sistem kapitalisme dan sedang mencari sebuah alternatif yang sesuai untuk menggantikannya.

Anak muda mempunyai peranan yang penting dalam perjuangan ini sebagai lapisan yang sedar akan perkembangan yang sedang berlaku di dunia hari ini. Sudah tidak boleh diragu-ragu lagi bahawa sistem kapitalisme haruslah digulingkan dan digantikan dengan sistem ekonomi yang demokratik, manusiawi, meletakkan isu alam sekitar sebagai isu utama dan membolehkan kerjasama antara golongan berbeza untuk berganding bahu menghadapi krisis ini. Sistem kapitalisme telah gagal sehingga ke hari ini untuk memberikan sebarang solusi yang munasabah bagi krisis alam sekitar dan pada waktu ini sedang melancarkan perang perdagangan di antara kuasa-kuasa besar dunia untuk memaksimumkan keuntungan peribadi masing-masing. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan golongan minoriti kaya ini yang sedang menggadaikan nasib jutaan rakyat biasa.

Hala Tuju Perjuangan dan Alternatif Sosialisme

Anak muda yang sedang berjuang harus mengangkat alternatif sosialisme sebagai solusi kepada permasalahan yang dihadapi, bukan sahaja untuk krisis alam sekitar, juga untuk krisis-krisis lain seperti kemiskinan, kebuluran, perang yang tidak berkesudahan, ancaman degradasi sosial, perkembangan rasisme dan perselisihan dikalangan rakyat dan banyak lagi bencana yang sedang berkembang di dunia hari ini. Sosialisme menawarkan sebuah sistem ekonomi yang berfungsi demi keperluan majoriti rakyat biasa dan bukan demi keuntungan peribadi segelintir minoriti kaya. Di bawah sosialisme, kelas pekerja akan memiliki kuasa produksi secara demokratik dan rakyat biasa akan mendapat suara dalam semua keputusan yang penting yang akan memberikan impak kepada kehidupan harian mereka. Sebuah demokrasi yang tulen, iaitu demokrasi kelas pekerja dapat dicapai demi merancang masa depan kita bersama.

Tanpa sebuah perspektif, iaitu sebuah analisa, alternatif dan hala tuju yang jelas, gerakan alam sekitar ini mempunyai risiko untuk menjadi lesu atau diambil alih oleh institusi kapitalis yang akan memesongkan naratif perjuangan ini untuk menguntungkan pihak mereka. Sebuah kepimpinan dengan perspektif yang jelas adalah sangat penting supaya gerakan ini dapat berkembang dan menjadi sebuah gerakan massa yang mempunyai kuasa untuk mengubah struktur sosial masyarakat.

Kelas Pekerja Sebagai Kuasa Perubahan Sosial

Diantara banyak lapisan masyarakat yang berbeza, kelas pekerja merupakan lapisan yang paling tersusun dan mempunyai kuasa untuk memimpin gerakan-gerakan massa ke arah konklusi yang tepat. Kelas pekerja mempunyai kemampuan untuk merentasi segala garis agama, kaum, gender dan lain-lain identiti yang boleh memecahkan rakyat dan memimpin semua golongan tertindas untuk berjuang bersama. Disebabkan oleh kondisi kelas pekerja yang terikat dengan produksi, sebarang aksi daripada kelas ini walaupun sekadar untuk mempertahankan periuk nasi mereka, mampu memberi kesan yang dalam kepada sistem kapitalisme. Sebab itulah pihak kelas majikan dan kerajaan amat takut dengan aksi mogok daripada kelas pekerja, terutamanya mogok umum yang boleh membantutkan ekonomi negara dengan mudah. Oleh itu, pihak majikan dan kerajaan akan membelanjakan jutaan ringgit dan mewujudkan pelbagai jenis undang-undang yang tidak adil semata-mata untuk mencegah sebarang aksi mogok daripada berlaku.

Anak muda yang sedar mengenai kecemasan ekologi yang sedang dihadapi oleh kita haruslah menyeru kepada kelas pekerja dan organisasi akar umbi lain untuk menyertai dan memimpin gerakan ini ke penghujungnya. Wujudkan sebuah program yang menyeluruh dan menyentuh aspirasi majoriti rakyat, dan bekalkan kelas pekerja dan rakyat biasa dengan sebuah perspektif, hala tuju dan alternatif yang munasabah untuk menangani krisis ini. Melalui program ini, sebuah tindak balas massa yang berkesan boleh dibina, dan gerakan seumpama ini mempunyai potensi untuk mencetuskan gerakan-gerakan kelas pekerja yang boleh mengubah struktur sosial manusia kepada sistem yang lebih mampan, adil dan demokratik.

Sosialis Alternatif menuntut:
  • Hentikan kemusnahan alam sekitar, pembalakan berleluasa dan pembuangan sisa toksik ke perairan.
  • Hentikan penswastaan pesat dan lindungi hutan simpan, tempat tadahan air dan tanah agrikultur.
  • Tingkatkan pelaburan dan kajian dalam tenaga yang boleh diperbaharui dan beralih daripada ekonomi bahan bakar fosil.
  • Wujudkan sistem pengangkutan yang menyeluruh, murah dan milik awam.
  • Tingkatkan cukai orang kaya 1%, multinasional besar dan institusi kapitalis elit bagi meningkatkan kebajikan rakyat seperti peningkatan gaji minimum, pendidikan percuma dan termasuk langkah langkah untuk memulihkan alam sekitar
  • Berikan hak untuk berasosiasi atau berkesatuan dengan bebas kepada kelas pekerja bagi membolehkan mereka menyusun diri mereka untuk berjuang demi krisis krisis sosial yang dihadapi.
  • Untuk pemilikan awam dan pengawalan oleh kelas pekerja secara demokratik bagi syarikat dan industri besar.
  • Wujudkan pelan yang mampan berlandaskan kepada demokratik sosialisme untuk industri pengeluaran yang tidak memusnahkan alam sekitar.
  • Tolak sistem kapitalisme yang membawa motif keuntungan peribadi pihak kapitalis minoriti dan bina sosialisme yang berfungsi untuk memenuhi aspirasi dan keperluan majoriti rakyat biasa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*