Aksi mahasiswa UTM dalam membantah kenaikan yuran pendidikan

Aksi mahasiswa UTM dalam membantah kenaikan yuran pendidikan

MAHASISWA MENENTANG AGENDA PENSWASTAAN PENDIDIKAN

Posted by

Sejak lima tahun yang lepas, kita menyaksikan pengurangan kadar peruntukan pendidikan, di mana secara keseluruhannya bajet Kementerian Pendidikan pada tahun 2017 telah berkurang sebanyak 9.3% daripada tahun sebelumnya manakala peruntukan keseluruhan bagi 20 universiti awam pada tahun yang sama, telah jatuh sebanyak 19.23%. Pengurangan peruntukan ini telah menjadi suatu penghalang yang besar terhadap kesinambungan pengurusan dan kualiti pendidikan tinggi. Lebih diterukkan lagi, pihak pengurusan terpaksa akur dengan hala tuju pengagihan ini dan mulai melakukan perancangan untuk memotong dana secara beransur-ansur. Ini sekaligus menjadikan mahasiswa sebagai mangsa kepada pengurangan bajet ini.

Berhubungan dengan itu, kenaikan kadar yuran secara mendadak telah mendapat tentangan yang kuat daripada golongan mahasiswa, yang telah dimudaratkan lagi dengan peningkatan kos kehidupan yang tinggi, hutang pendidikan yang besar dan ketidaktentuan peluang pekerjaan. Kita dapat lihat bagaimana kenaikan yuran yang dibangkitkan oleh pelajar Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di bawah urus selia telah meningkat secara mendadak iaitu sebanyak 500% – dari RM 945 kepada RM 5000 bagi setiap semester. Dengan menggunakan alasan bagi meningkatkan kualiti aktiviti pelajar, kita juga dapat lihat kenaikan yuran sebanyak 300% oleh pihak pentadbiran Universiti Multimedia (MMU). Pihak pengurusan pentadbiran seperti Universiti Malaya dan juga Universiti Malaysia Kelantan juga tidak terkecuali dalam menaikkan yuran-yuran tertentu bagi mengurangkan beban yang ada dan meletakkannya kepada bahu-bahu mahasiswa.

Oleh itu, tindakan menaikkan yuran secara mendadak menyaksikan tentangan oleh beberapa kumpulan mahasiswa – seperti mana yang berlaku di UTM dan juga di MMU, di mana mahasiswa melakukan himpunan bantahan secara kolektif sebagai tanda tidak setuju. Keupayaan mahasiswa untuk menyusun tenaga dan memobilisasi ke arah sebuah perjuangan yang lebih adil merupakan tindakan yang wajar dan harus dilihat sebagai titik permulaan bagi perjuangan mahasiswa pada krisis yang akan datang.

Sekumpulan mahasiswa AATC (Allied Aeronoutics Training Centre) juga telah melancarkan aksi protes di ibu pejabat institut pengajian mereka pada 26 Ogos lalu. Reaksi pihak majikan adalah untuk memanggil polis dan pihak polis pula telah bertindak untuk mengasari mahasiswa ini dan mengheret seramai 7 orang daripada mereka ke balai polis.

Aksi mahasiswa/i AATC yang mendedahkan kepincangan pihak pengurusan institut pengajian yang di kawal oleh kerajaan

Para penuntut AATC merupakan mangsa penipuan oleh pihak pengurusan institut pengajian yang dimiliki oleh Kementerian Sumber Manusia.

Pihak institut telah menjanjikan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk setiap pelajar di AATC. Tetapi selepas memasuki institut tersebut, mereka di arahkan untuk mengambil pinjaman bank yang mempunyai kadar bunga sebanyak 8%.

Para mahasiswa yang tidak berpuas hati telah membawa isu ini secara individu kepada pihak pengurusan, tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan mereka sendiri bagi membawa isu ini secara kolektif dan dengan suara yang lebih lantang.

Akibat desakan para mahasiswa yang bersatu dan disebabkan oleh layanan buruk pihak polis terhadap para mahasiswa telah tersebar luas dan mendapat cemuhan daripada masyarakat umum, pihak Kementerian telah terpaksa melayan tuntutan mahasiswa bagi menjaga imej mereka.

Kos pendidikan yang meningkat

Kos pendidikan meliputi ketersampaian para penduduk kepada infrastruktur yang mencukupi, teknologi yang membenarkan perkembangan ilmu berjalan lancar, buku rujukan dan material yang komprehensif, dan tenaga pengajar yang bersedia dan terjamin dalam menghasilkan sebuah modul pembelajaran yang benar-benar efektif. Namun, objektif ini tidak terlaksana dengan sepenuhnya, malah kualiti yang wujud berada di bawah paras yang tidak memuaskan. Ini kemudiannya menjurus kepada sebuah krisis yang memuncak, tanpa ada jalan penyelesaian. Kenaikan yuran yang meliputi hampir keseluruhan universiti di seluruh negara merupakan sebahagian daripada krisis ketidakmampuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sedang mencengkam realiti kehidupan rakyat. Perjuangan mahasiswa menentang kenaikan yuran ini menunjukkan kekuatan kolektif mahasiswa yang bangkit menentang ketidakadilan yang ada. Namun, pihak pengurusan yang merupakan sebahagian daripada aparatus kelas penguasa terus membungkam suara-suara anak muda yang tidak berpuas hati dengan krisis keadaan semasa. Pihak pentadbiran tidak berupaya untuk memobilisasi tenaga pengajar, pekerja pihak pengurusan dan juga mahasiswa sendiri bagi menentang dan menuntut sebuah jalan penyelesaian yang lebih adil bagi semua. Keakuran mereka merupakan sebuah pendedahan yang menunjukkan bagaimana institusi pendidikan turut menjadi sebahagian daripada jentera penindasan yang tidak dapat mengubah sistem sedia ada. Malah pihak pentadbiran universiti turut mengugut para mahasiswa yang menentang kenaikan yuran yang membebani mereka, tanpa segan silu menunjukkan kepada siapa mereka berpihak. Harus juga dimaklumkan bahawa pihak kerajaan sedang menuju ke arah penswastaan dan menolak kebergantungan universiti awam. PH yang telah menggantikan BN pada tahun lalu dengan janji-janji yang juga membawa aspirasi para mahasiswa sedang mengecewakan setiap lapisan masyarakat dengan kegagalan untuk menunaikan janji tersebut.

Para mahasiswa bukan sahaja tidak mendapat sebarang harapan untuk pendidikan percuma, malah juga di paksa untuk menanggung beban PTPTN sama seperti kerajaan BN sebelum ini. Ini bermakna bahawa kenaikan yuran dan pengurangan peruntukan akan terus memangsakan mahasiswa jika pihak pentadbiran tidak dapat menjamin kebergantungan dana yang berterusan. Kita juga perlu fahami bagaimana penswastaan akan mengakibatkan hala tuju pendidikan dikawal di bawah kepentingan pihak pemodal dan segala penyelidikan hanya akan diberikan dana, jika objektifnya bersesuaian dengan kepentingan pihak pemodal mahupun korporat yang terlibat.

Penswastaan yang pesat dalam sektor pendidikan sedang memberikan kesan kepada jutaan rakyat miskin yang tidak mampu menanggung kos pendidikan yang sangat tinggi pada masa ini.

Para mahasiswa harus meneruskan perjuangan dan harus terlibat secara aktif dalam membantah sistem neo-liberal yang sedang menghakis hak pendidikan mereka. Kerajaan PH mahupun BN tidak mempunyai sebarang solusi yang terjamin untuk jutaan rakyat tertindas. Dalam Malaysia Baru dan Malaysia Lama, kelas majikan merupakan pemenang dan rakyat miskin akan sentiasa di pinggirkan.

Kita perlu menyeru para mahasiswa dan mahasiswi untuk menyusun tenaga secara kolektif dan berjuang bersama-sama pekerja universiti bagi memastikan institusi pendidikan tinggi tidak dijual kepada pihak pemodal dan memastikan kualiti pendidikan berkembang mengikut kepentingan manusia – iaitu dengan memastikan bahawa institusi pendidikan tinggi perlulah menjurus kepada penyelesaian masalah krisis kemanusiaan yang sedang berleluasa seperti masalah kemiskinan, masalah pembangunan, perang yang berlanjutan dan juga masalah alam sekitar yang tidak terkawal. Tidak lupa juga, perjuangan ini perlu menjadi sebahagian daripada perjuangan yang lebih besar, iaitu dengan melihat ketidakadilan yang menimpa mereka ini sebagai sebahagian daripada punca yang bersifat sistemik, iaitu berpunca daripada struktur ekonomi kapitalisme. Perjuangan ke arah pendidikan percuma dan hala tuju pendidikan yang lebih manusiawi hanya dapat diselesaikan melalui kawalan dan rancangan sepenuhnya oleh rakyat kebanyakan yang terdiri daripada kelas pekerja, dengan memastikan kualiti institusi pendidikan bersesuaian dengan objektif bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*