Mahasiswa/i Universiti Malaya Menentang Rasisme

Mahasiswa/i Universiti Malaya Menentang Rasisme

Posted by

Selepas lebih 40 tahun terpaksa mendiamkan diri kerana dikongkong oleh kerajaan dengan akta-akta yang tidak demokratik, Persatuan Mahasiswa/i Universiti Malaya akhirnya telah kembali ke tradisi mereka untuk menganjurkan sebuah perarakan dan perhimpunan pada minggu orientasi yang berlangsung pada awal September lalu. Aksi ini dijalankan di bawah tema ‘mahasiswa/i menentang rasisme’ dan telah mengutarakan beberapa isu termasuk isu-isu masyarakat untuk membawa kembali budaya politik dan semangat perjuangan di kalangan mahasiswa tempatan.

Mahasiswa Bersama Masyarakat

Mahasiswa/i Universiti di Malaysia pernah pada satu ketika memainkan peranan dalam memperjuangkan isu-isu rakyat dan aktif berpolitik di dalam institusi pendidikan masing-masing. Universiti Malaya misalnya sangat terkenal dengan gerakan-gerakan yang telah memberikan impak yang besar kepada perjuangan mahasiswa/i dan juga dalam isu-isu yang berlaku di luar bilik kuliah. Demonstrasi mahasiswa/i di Tasek Utara, Johor dan demonstrasi Baling merupakan perjuangan-perjuangan yang bukan sahaja mempertahankan hak rakyat biasa, malah telah menggentarkan pihak pemerintah. Perdebatan politik dan perbincangan mengenai masa depan negara merupakan perkara yang tidak asing bagi para mahasiswa/i yang aktif dalam aktivisme sosial dan politik pada tahun 50an sehinggalah mereka di sekat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1971. Akta tersebut di pinda beberapa kali selepas itu sehingga akhirnya berjaya menghakis segala saki baki kebebasan yang dinikmati oleh para mahasiswa/i ketika itu. Beberapa organisasi mahasiswa/i yang sangat aktif seperti Kelab Sosialis di UM juga telah di cantas dengan kejam dan dihancurkan secara paksa oleh pihak kerajaan pada masa itu.

Kejatuhan parti pemerintah BN yang telah mengongkong gerakan rakyat melalui politik perkauman selama lebih 60 tahun telah menaikkan semangat para mahasiswa/i universiti untuk kembali beraksi dan berani tampil untuk menghidupkan kembali api perjuangan yang telah lama dipendam. Seramai 500 orang mahasiwa/i yang menyertai himpunan minggu orientasi ini juga disertakan dengan pebincangan mengenai perjuangan-perjuangan lampau yang menekankan peranan anak muda dalam wacana politik dan gerakan sosial negara.

Pilihan Raya Kampus Persatuan Mahasiswa/i Universiti Malaya 1969

Pemansuhan AUKU

Selepas berpuluh-puluh tahun berjuang menentang AUKU yang menindas, akhirnya para mahasiswa/i Universiti kerajaan dan swasta kini berjaya menekan golongan pemerintah untuk melonggarkan sekatan yang wujud terhadap mereka dengan beberapa penggubalan undang-undang yang dilaksanakan pada akhir tahun lepas. Pada waktu ini, menurut penggubalan AUKU, mahasiswa/i universiti di beri kebebasan untuk terlibat dalam kegiatan politik tanpa sebarang sekatan undang-undang. Pada masa yang sama, kerajaan PH yang mengambil alih daripada BN pada tahun lepas juga telah menjanjikan supaya AUKU akan di hapuskan menjelang tahun 2020.

Tetapi, adakah janji-janji yang ditaburkan oleh parti pemerintah baru ini boleh dipercayai? Adakah hanya dengan pemansuhan AUKU, mahasiswa/i universiti akan bebas untuk melibatkan diri dalam gerakan sosial dan politik yang berkembang di luar kampus?

Para mahasiswa/i harus menyedari bahawa penggubalan undang-undang yang dibuat oleh kerajaan merupakan hasil tekanan yang di lakukan oleh aktivis pelajar dan anak muda itu sendiri dan bukannya atas keikhlasan hati parti pemerintah baru. Perjuangan-perjuangan lampau para mahasiswa/i yang memperjuangkan pemansuhan AUKU tidak harus dilupakan. Haruslah diingati juga bahawa ketika pemerintahan pertama Perdana Menteri Mahathir telah memainkan peranan dalam mencantas gerakan anak muda yang mengakibatkan ratusan aktivis di tahan, di penjara dan masa depan mereka dihancurkan begitu sahaja selama berpulu-puluh tahun.

Kerajaan PH, jaguh demokrasi ?

Kerajaan baru yang ingin tampil sebagai jaguh demokrasi bagi meraih undi anak muda sebenarnya masih terbelenggu dengan aturan politik lampau dan akan mula mencantas kembali kebebasan demokrasi rakyat jika mereka berjaya konsolidasi kuasa mereka sepenuhnya. Hakikatnya, konsesi yang diberikan pada waktu ini hanya berlaku disebabkan oleh kelemahan kerajaan itu sendiri akibat perpecahan dalaman dan ketidakstabilan yang wujud. Begitu juga dengan polisi menurunkan had umur pengundi ke 18 tahun yang sedang diusahakan dengan niat menambat hati pengundi muda pada PRU yang akan datang.

Kegagalan kerajaan PH untuk menunaikan janji-janji ekonomi PRU yang sedang meraih kemarahan rakyat dan pengukuhan parti pembangkang sedang cuba di atasi dengan polisi-polisi populis dengan tujuan mengukuhkan posisi politik mereka sendiri. Hakikatnya, sebarang konsesi yang dimenangi pada waktu ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa jika kerajaan ini dapat mengukuhkan cengkaman mereka terhadap kekuasaan ataupun jika mereka digulingkan oleh parti-parti lain yang membawa agenda populis dalam bentuk-bentuk yang berbeza.

Kerajaan baru di bawah PH setakat ini gagal untuk membawa perubahan yang bermakna bagi kehidupan jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin yang tertindas. Akibatnya, ini membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin yang mempergunakan peluang ini untuk menyelitkan agenda rasisme, konservatisme dan nasionalisme dalam mengukuhkan posisi masing-masing bagi meraih sokongan pada pilihanraya Parlimen atau Negeri. Malangnya, di kalangan komponen parti pemerintah PH juga sudah wujud agenda-agenda yang ingin memecah belahkan perpaduan rakyat mengikut garis kaum dan agama semata-mata untuk mengelakkan daripada membincangkan hal-hal berkenaan dengan ekonomi rakyat yang sedang merosot setiap hari.

Tekanan sosial dan ekonomi

Langkah mahasiswa/i UM yang telah berarak dengan membawa agenda membantah rasisme haruslah digalakkan dan amat diperlukan oleh rakyat Malaysia pada waktu ini. Akan tetapi, mereka tidak boleh berhenti di sini sambil mengharapkan kerajaan PH untuk menunaikan segala janji yang ditaburkan pada PRU sebelum ini. Gerakan para anak muda dan mahasiswa/i haruslah melampaui batas tersebut. Mereka harus menyusunkan diri bagi menekan kerajaan PH untuk bukan sahaja menunaikan tuntutan demokrasi seperti memansuhkan AUKU, tetapi juga harus terlibat dalam memperjuangkan tuntutan-tuntutan ekonomi rakyat seperti pendidikan percuma dan gaji minimum yang lebih adil.

Pengangguran di kalangan graduan tempatan sedang semakin meningkat dan kadar pengangguran di kalangan anak muda sudah melebihi 10%, iaitu lebih 3 kali kadar pengangguran umum. Baru-baru ini, mahasiswa/i dari beberapa universiti seperti UTM dan MMU telah melancarkan protes untuk membantah kenaikan yuran yang mendadak sehingga melebihi 500%. Pemotongan dana pendidikan oleh kerajaan juga melihat lebih ramai para anak muda, terutamanya dari golongan B40 sedang dipinggirkan dan tidak mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya. Anak muda yang terpaksa menuntut ilmu dari institut pendidikan swasta pula dikenakan kos pendidikan yang sangat tinggi sehingga mereka terpaksa menanggung hutang untuk berpuluh-puluh tahun selepas memasuki alam pekerjaan. Peluang pekerjaan dan gaji yang tidak mencukupi sedang menghumban para anak muda ini ke dalam krisis kehidupan. Tambahan pula, kerajaan PH yang telah menjanjikan penghapusan hutang PTPTN dan perkenalan pendidikan percuma sedang menjauhkan diri daripada janji itu dan langsung tidak mengutarakan agenda tersebut sejak mengambil alih kekuasaan daripada BN.

Masyarakat Malaysia terutamanya anak muda dan para mahasiswa/i sedang berdepan dengan prospek yang sangat malap dengan keadaan ekonomi kapitalisme yang sedang merudum di skala global. Pihak kerajaan PH, sama dengan kerajaan BN sebelum ini yang merupakan pendokong sistem ekonomi pasaran bebas kapitalisme langsung tidak bersedia untuk membawa polisi-polisi ekonomi yang memihak kepada rakyat terbanyak. Pada masa yang sama, segala polisi yang di bawa hanya memelihara keuntungan peribadi segelintir ahli korporat dan pelabur kaya dan aspirasi rakyat sering dipinggirkan begitu sahaja.

Pengangguran di Kalangan Anak Muda Semakin Meningkat

Pembinaan alternatif sosialis

Bagi menjamin sebuah masa depan yang terjamin dan saksama, satu alternatif politik yang benar-benar membawa perubahan yang bermakna bagi rakyat biasa haruslah di bina. Para mahasiswa/i, terutamanya yang berada di dalam universiti dan di institusi pendidikan tinggi mampu memainkan peranan yang penting dalam pembinaan alternatif politik tersebut dengan menggunakan kebebasan politik yang dinikmati pada waktu ini walaupun dalam keadaan terbatas. Adalah jelas bahawa kerajaan PH, sama seperti kerajaan BN sebelum ini tidak bersedia untuk menentang agenda sistem kapitalisme untuk membawa aspirasi rakyat biasa ke hadapan. Bagi membawa aspirasi sebenar rakyat, kita memerlukan sebuah kepimpinan politik yang mampu menentang agenda pasaran bebas dengan matlamat ke arah pengambilalihan kekuasaan ekonomi daripada kawalan para kapitalis demi kepentingan dan keperluan rakyat biasa. Sebuah sistem ekonomi sosialis, yang dikawal secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa merupakan satu-satunya solusi yang nyata bagi mengatasi masalah ekonomi global yang sedang dihadapi oleh seluruh dunia.

Anak muda, para mahasiswa/i dan kelas pekerja yang sedar harus mempergunakan ruang demokrasi yang ada untuk membina kepimpinan yang disusun secara demokratik dan membawa program yang berpihak kepada rakyat majoriti. Memandangkan, kelas pekerja merupakan kuasa ekonomi yang mebolehkan golongan kapitalisme terus berkuasa dan mengongkong kekayaan negara, maka adalah penting untuk membina kepimpinan kelas pekerja yang mana juga akan membawa aspirasi rakyat tertindas yang lain termasuk anak muda dan mahasiswa/i. Dengan landasan dan kekuatan kelas pekerja bersama golongan tertindas yang lain, agenda para kapitalis minoriti mampu ditentang sehabis-habisnya dengan membina politik alternatif yang bermatlamat untuk memelihara kepentingan bersama rakyat biasa. Mahasiswa/i dan anak muda harus menggabungkan tenaga dengan kelas pekerja bagi mewujudkan dan memberikan perspektif dan hala tuju politik yang jelas kepada rakyat biasa. Hanya dengan membina sebuah alternatif sosialis di bawah program rakyat yang kukuh dan kepimpinan yang jelas, sebuah dunia tanpa rasisme, eksploitasi dan penindasan dapat didirikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*