[et_pb_section bb_built=”1″][et_pb_row][et_pb_column type=”4_4″][et_pb_text]

MAGERAN ataupun Majlis Gerakan Negara ditubuhkan pertama kali selepas peristiwa 13 Mei 1969 apabila sebuah darurat diumumkan oleh perdana menteri Tunku Abdul Rahman. Akibat Darurat yang diumumkan sejurus selepas PRU, MAGERAN sudahpun diwujudkan sebelum kerajaan dan kabinet baru boleh dibentuk. Walaupun kerajaan baru akan dibentuk dan kabinet baru diumumkan pada 20 Mei 1969, sesi persidangan Parlimen tidak akan berlangsung semula sehingga 2 tahun kemudian pada 23 Februari 1971.

Untuk jangka masa 2 tahun ini, MAGERAN merupakan badan pentadbiran yang paling dominan. Tunku Abdul Rahman yang merupakan PM pada waktu itu mengundurkan diri daripada memegang sebarang posisi di dalam MAGERAN dan memberikan ruang kepada Timbalan PM Abdul Razak Hussein untuk memimpin majlis tersebut. Abdul Razak Hussein yang akan menggantikan Tunku sebagai PM Malaysia pada September 1970 juga menjadi Pengerusi pentadbiran MAGERAN yang terdiri daripada 9 orang anggota. 

Anggota MAGERAN terdiri daripada para menteri dari parti pemerintah Perikatan, ketua institusi pertahan seperti Polis dan Tentera dan kepimpinan sekutu parti pemerintah seperti parti MIC dan MCA. Walaupun dikatakan MAGERAN bergerak di bawah pemantauan PM dan kerajaan, tetapi tanpa persidangan Parlimen, Majlis ini mempunyai kuasa eksekutif yang tidak boleh dibangkang oleh mana-mana pihak.

Mengikut pihak kerajaan, MAGERAN adalah ditubuhkan bagi mengembalikan keamanan dan memulihkan undang-undang negara yang dianggap telah terganggu akibat rusuhan kaum yang berlaku pada peristiwa 13 Mei 1969. Tetapi hakikatnya, ia dipergunakan untuk mengubahsuai struktur politik negara bagi memelihara kepentingan sebahagian pihak sahaja. 

Kenapa MAGERAN ditubuhkan?

Selepas gagal untuk meraih dua pertiga daripada undi Parlimen di PRU dan menghadapi cabaran daripada parti-parti pembangkang yang kuat, Parti Perikatan dan sekutunya mempergunakan Darurat sebagai alasan untuk melemahkan kedudukan politik parti pembangkang disamping menguatkan posisi politik mereka sendiri. MAGERAN menjadi kuasa utama yang menjadi penggerak kepada semua pembentukan undang-undang dan institusi baru yang masih memberi kesan kepada politik negara sehingga ke hari ini.

MAGERAN bertanggung jawab untuk memperkenalkan Rukun Negara dan reformasi kepada sistem pendidikan dan sosial negara yang kononnya menggalakkan keharmonian dan keamanan. Tetapi, pada masa yang sama, reformasi ini juga menyelit propaganda berbentuk perkauman dan memberi keutamaan kepada kepimpinan UMNO dan Perikatan.

MAGERAN telah meminda Perlembagaan Persekutuan dan memasukkan Fasal 4 untuk Perkara 10 bagi menyekat kebebasan bersuara bagi rakyat, terhadap perkara-perkara yang dianggap ‘sensitif’. Tambahan pula pindaan juga dibuat pada Perkara 159 yang memperuntukkan bahawa sebanyak dua pertiga daripada sokongan Parlimen adalah diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan dan pembatalan terhadap Akta Hasutan 1948. Malah, sebarang cadangan daripada mana-mana pihak untuk menghapuskan Akta Hasutan boleh dikira sebagai kesalahan di bawah Seksyen 4(1) selepas pindaan ini. 

Akta Hasutan yang diperkenalkan oleh pihak penjajah British untuk menghapuskan gerakan kemerdekaan negara telah terus dipergunakan oleh parti-parti pemerintah di Malaysia sebagai senjata utama untuk menutup mulut pengkritik mereka. Sepanjang Darurat 1969-71, Akta Hasutan ini dipergunakan untuk membuat ratusan tahan politik dan untuk menyekat perkembangan parti-parti pembangkang. Rusuhan yang berlaku pada 13 Mei menjadi rujukan untuk menakutkan rakyat biasa untuk tidak membantah semua tindakan yang di ambil oleh MAGERAN.

MAGERAN juga bertanggung jawab untuk mewujudkan Dasar Ekonomi Baru pada 1971 yang kononnya memberikan keseimbangan dalam pengagihan kekayaan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tetapi hari ini, kita dapat melihat bagaimana DEB merupakan sekadar sebuah propaganda untuk meraih sokongan daripada majoriti dan majoriti daripada rakyat miskin masih belum mendapat sebarang manfaat daripada DEB. Segelintir minoriti yang kaya raya telah mempergunakan dasar-dasar ekonomi kerajaan seperti DEB untuk menimbun kekayaan peribadi mereka apabila jutaan rakyat biasa terpaksa hidup dalam serba kekurangan.    

Dengan mengimbas kembali butiran sejarah, adalah sangat jelas bahawa MAGERAN merupakan sebuah usaha untuk menghalalkan semua pengubahsuaian politik, ekonomi dan sosial yang dilakukan demi memberi kelebihan politik kepada parti pemerintah. Perikatan yang berubah menjadi Barisan Nasional pada 1973 telah berjaya menggunakan sistem politik perkauman yang dibentuk oleh MAGERAN untuk mendapat kejayaan dalam setiap PRU untuk hampir 4 dekad, sehinggalah jatuh pada 2018. Malah, politik negara hari ini juga masih di belenggu dengan undang-undang dan birokrasi yang dibentuk pada waktu itu. 

Darurat 2021 akan berpanjangan? 

Baru-baru ini, bekas PM Mahathir Mohamad juga telah cuba untuk membawa balik idea MAGERAN untuk situasi negara pada masa ini. Menurutnya, Mahathir telah menawarkan dirinya sebagai pengerusi MAGERAN baru dan telah membawa cadangan tersebut untuk menghadap YDP Agung. Tetapi, cadangan ini bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada rakyat biasa yang sudah semakin marah dengan keadaan Darurat yang berpanjangan, malah ia juga tidak mendapat sambutan ahli-ahli politik pembangkang. 

UMNO dan sekutunya menganggap bahawa Darurat ini sudahpun berpanjangan dan haruslah ditamatkan untuk memberi laluan kepada persidangan Parlimen dan mengadakan PRU jika PM Muhyiddin gagal untuk mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Ramai juga di antara pakar-pakar politik yang berhujah bahawa MAGERAN adalah satu langkah yang tidak diperlukan untuk kecemasan kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi pada waktu ini berbanding kecemasan berbentuk rusuhan pada 1969. 

Oleh itu, cadangan untuk menubuhkan MAGERAN tidak berjaya membawa sebarang kelebihan politik kepada Mahathir dan parti Pejuang. Tetapi, pada masa yang sama, kerajaan PN yang sedang semakin lemah juga tidak mempunyai sebarang jalan untuk keluar daripada krisis politik yang sedang dihadapi untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Rakyat biasa yang menerima pengumuman Darurat dengan berat hati tidak dapat melihat sebarang faedah atau pemulihan kepada situasi yang sedang merosot sehingga kini. Kes Covid sudah meningkat berlipat kali ganda sejak Darurat diumumkan pada 11 Januari dan masih belum berjaya di kawal lagi. Begitu juga dengan kemerosotan ekonomi yang terjejas dengan ‘lockdown’ dan meningkatkan beban ekonomi kepada jutaan rakyat biasa. 

Pada waktu ini, selepas mendapat tekanan daripada pihak pembangkang dan Majlis Raja-raja, PM Muhyiddin telah mewujudkan sebuah Majlis untuk menilai pembukaan semula Parlimen. Menurut PM, ini merupakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan bahawa sesi persidangan Parlimen dapat dijalankan dengan selamat dan mengikut peraturan mesyuarat. Langkah ini juga dilihat sebagai usaha untuk melengahkan persidangan Parlimen yang sudah lama tertunda. Walaupun semua ahli Parlimen sudah pun menerima dos vaksin yang sempurna dan memiliki segala kemudahan untuk menghadiri persidangan Parlimen, biarlah secara fizikal ataupun melalui talian internet, alasan-alasan yang remeh masih dipergunakan untuk melengahkan saki baki proses demokrasi yang ada. 

Walau apa pun yang berlaku, PM Muhyiddin dan kerajaan PN sedang semakin kehilangan kewibawaan untuk terus memerintah. Lambat laun, mereka akan dihadapi dengan persoalan jika Darurat harus ditamatkan ataupun di teruskan sehingga mereka berjaya konsolidasi kuasa politik. Dalam situasi ini, jika krisis kesihatan dan ekonomi ini berterusan, adalah sangat sukar untuk PM Muhyiddin untuk berpegang kepada kuasa untuk jangka masa yang panjang.

Apakah solusi kepada rakyat biasa?

Setakat ini, rakyat biasa belum melihat sebarang bukti bahwa ahli-ahli politik arus perdana akan menyelamatkan mereka daripada kesengsaraan yang dihadapi. Parti-parti pembangkang tidak mempunyai sebarang solusi selain untuk membentuk kerajaan baru melalui Parlimen ataupun membubarkan Parlimen unttuk mengadakan PRU. Selain itu, mereka belum mengemukakan sebarang program untuk membantu rakyat miskin yang terkesan akibat pandemik. Mereka juga tidak mempunyai sebarang solusi kepada krisis ekonomi kapitalisme global yang sedang menekan kehidupan jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa. 

Semua pertubuhan politik arus perdana yang ada sudahpun mendedahkan diri mereka sebagai rakus dan mengecewakan rakyat biasa. Malah pada waktu pandemik Covid yang mewujudkan keadaan huru-hara di seluruh dunia, ahli-ahli politik ini didapati hanya mengutamakan posisi politik masing-masing dan asyik dengan rebutan kerusi politik. Oleh itu, jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang menjadi mangsa pandemik dan krisis ekonomi tidak mempunyai sebarang harapan kepada semua pertubuhan politik yang wujud yang telah mengabaikan kebajikan mereka setakat ini. 

Kelas pekerja dan rakyat biasa sudah tidak boleh bergantung dengan sistem Parlimen yang hanya memberi keutamaan kepada golongan kapitalis yang kaya raya. Kerajaan yang dikawal oleh kapitalis korporat dan terdiri daripada ahli-ahli politik yang korup dan tamak akan sentiasa meletakkan kepentingan golongan kaya di atas kepentingan rakyat biasa.

Satu-satunya harapan rakyat dalam situasi krisis ini adalah untuk mewujudkan perwakilan politik massa yang menentang sistem politik dan ekonomi kapitalisme dan memperjuangkan alternatif sosialisme yang berpandukan kepada demokrasi rakyat biasa. Kelas pekerja dan rakyat biasa harus menyusun tenaga melalui tuntutan-tuntutan rakyat dan membina sebuah gerakan yang mempunyai kuasa yang secukupnya untuk menggantikan segala kerakusan politik dengan demokrasi, pengagihan kekayaan yang adil dan kuasa kepimpinan kepada kelas pekerja dan rakyat yang membanting tulang demi kemajuan negara setiap hari.

[/et_pb_text][/et_pb_column][/et_pb_row][/et_pb_section]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *