Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut Siam-Burma 1942-1945

Pekerja Tamil dari British Malaya merupakan golongan paling tertindas dan dieksploitasi oleh Empayar Jepun. Sebanyak 120,000 pekerja Tamil dipaksa membina landasan maut ini. 60,000 antara mereka terkorban akibat kekejaman imperialis terhadap kelas pekerja dalam perang penaklukan.

Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945 telah meninggalkan banyak kesan politik, ekonomi dan sosial. Salah satu kesan yang sentiasa menjadi ingatan pahit adalah tentang buruh kereta api maut Siam-Burma yang telah melibatkan ramai orang tanpa mengira bangsa. Setelah tentera Jepun berjaya menakluk Pearl Harbour pada 7 Disember 1941, dibawah Jeneral Yamashita mereka juga telah berhasil menakluk Tanah Melayu pada tahun 1942. Rentetan itu, rancangan peluasan penaklukan ke India melalui Burma pula telah dilancarkan. Ia ada kaitannya dengan pembinaan landasan kereta api dari Siam ke Burma. Bahkan, ia juga kerana kepentingan ekonomi dalam aspek pengangkutan dan perdagangan.

Bagi memenuhi kepentingan itu, tawanan perang Jepun yang terdiri daripada 61,000 orang askar British, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan Belanda, serta 200,000 orang dari seluruh Asia termasuklah orang-orang Melayu, China dan India telah dikerahkan sebagai buruh untuk memulakan projek landasan kereta api itu yang sejauh 415 km dari Nong Pladuk, Kanchanaburi, Siam sehingga ke Thanbyuzayat, Burma. Sebelum ini British sebenarnya telah menjalankan projek landasan kereta api ini tetapi telah dibatalkan kerana masalah-masalah kawasan tanah yang bergunung-ganang, hujan monsun, penyakit malaria dan sebagainya lagi. Namun begitu, setelah Jepun menakluk Tanah Melayu, rancangan itu diteruskan dan mereka telah menetapkan jangka masa projek itu dari September 1942 sehinggalah Ogos 1943.

Laluan landasan kereta api Burma-Siam dan lokasi jambatan Sungai Kwai serta "Hell Firepass" yang terkenal itu. Panjang keseluruhan landasan ini ialah 258 batu, merentasi kawasan yang sukar dilalui dan beriklim ganas, dan mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan oleh tawanan perang.
Laluan landasan kereta api Burma-Siam dan lokasi jambatan Sungai Kwai serta “Hell Firepass” yang terkenal itu. Panjang keseluruhan landasan ini ialah 258 batu, merentasi kawasan yang sukar dilalui dan beriklim ganas, dan mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan oleh tawanan perang.

Pengalaman-pengalaman mereka menjadi buruh paksa cukup menderitakan. Kebanyakan buruh-buruh ini berjalan kaki sehingga beratus-ratus kilometer dan telah mengambil masa sehingga berminggu-minggu untuk sampai ke kem-kem penempatan mereka. Mereka juga dipaksa bekerja hingga 24 jam sehari semalam dan tidak boleh bercuti. Pada waktu itu, hujan monsun turun dengan lebat dan telah mengakibatkan pembiakan banyak nyamuk dan penularan wabak demam malaria. Selain kerja-kerja yang keterlaluan, mereka juga tidak dibekalkan dengan makanan dan ubat-ubatan yang mencukupi. Keadaan inilah yang menyebabkan ramai buruh diserang pelbagai penyakit yang membawa maut.

Tawanan perang Australia bekerja memasang landasan. Penyakit dan keadaan kerja yang amat dahsyat — ditambah pula dengan kekejaman pengawal Jepun — menyebabkan ribuan kematian. Serangan bom oleh pesawat tentera Berikat ke atas landasan turut mengorbankan dan mencederakan ramai lagi.
Tawanan perang Australia bekerja memasang landasan. Penyakit dan keadaan kerja yang amat dahsyat — ditambah pula dengan kekejaman pengawal Jepun — menyebabkan ribuan kematian. Serangan bom oleh pesawat tentera Berikat ke atas landasan turut mengorbankan dan mencederakan ramai lagi.

Mereka dipaksa untuk terus bekerja biarpun sedang sakit dan masih penat. Tentera Jepun telah memukul dan menyebat buruh-buruh itu sekiranya mereka minta untuk direhatkan, atau jika mereka melakukan kesilapan ketika sedang bekerja. Bahkan, dilaporkan bahawa secara purata dalam setiap kilometer landasan yang dibina, ia telah menelan 38 nyawa manusia. Maka tidak hairanlah sekiranya kereta api itu telah digelar sebagai ‘kereta api maut’. Malah, walaupun kerja-kerja pembinaan landasan kereta api itu sudah selesai, tetapi buruh-buruh yang masih hidup tidak dihantar pulang dengan segera sebagaimana yang telah dijanjikan. Bagi yang masih sihat, mereka dihantar pula ke Jepun untuk bekerja di lombong arang batu. Ada juga yang disuruh untuk bekerja sebagai penjaga jalan kereta api yang baru itu.

Adegan dari filem ‘The Railway Man’ yang memaparkan kisah buruh paksa di Siam-Burma semasa penjajahan Jepun.
Adegan dari filem ‘The Railway Man’ yang memaparkan kisah buruh paksa di Siam-Burma semasa penjajahan Jepun.

Dalam kalangan mereka yang masih hidup dan dapat kembali ke Tanah Melayu, terlintas dalam fikiran untuk menubuhkan persatuan bagi memperjuangkan nasib mereka. Matlamat mereka adalah untuk menuntut gaji yang belum diberikan, menuntut kerugian, membela nasib buruh paksa, menuntut elaun kerja dan lain-lain lagi. Oleh itu, pada awal tahun 1958, iaitu lebih kurang 12 tahun setelah mereka kembali di Tanah Melayu, dan kerana sikap kerajaan yang dingin, maka Jawatankuasa Penaja Persatuan Bekas Buruh Paksa (PBBP) pun telah ditubuhkan. Ia adalah suatu kerjasama daripada bekas buruh-buruh paksa itu dan waris-waris mereka. Dengan itu, tuntutan pertama persatuan ini adalah wang baki daripada hasil jalan kereta api maut Siam-Burma tersebut.

Sejarah buruh paksa ini menunjukkan kepada kita bahawa eksploitasi dan penyeksaan kepada golongan buruh atas kepentingan ekonomi bagi segelintir pihak sudah pun berlaku sejak dahulu lagi. Bahkan, ia lebih teruk daripada apa yang terjadi kepada pekerja-pekerja sekarang. Meskipun begitu, ia tidak sesekali mematahkan semangat perjuangan mereka untuk terus bersatu dan menuntut apa yang sepatutnya diberikan kepada mereka. Malahan, sehingga ke hari ini, bekas buruh dan waris-waris mereka masih memperjuangkan hak-hak mereka. Sejarah ini juga menggambarkan bahawa penindasan kepada golongan buruh tidak akan mengenal warna, ia akan terus dilakukan selagi terdapat pihak yang ingin mengaut keuntungan tanpa memikirkan kebajikan pekerja. Justeru, para pekerja seharus sama-sama bangkit melawan penindasan.

Sumber:

  1. Salleh Mohd. Akib. 2003. Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut Thailand-Burma 1942-1945.
  2. Mat Zin Mat Kib. 2005. Persatuan Buruh Kereta Api Maut Siam-Burma.

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Kecoh di Pameran Kerja Bekasi Indonesia: Ketidakpastian Kerja di Bawah Kapitalisme
2025 07 11 kecoh pameran kerja bekasi indonesia perserikatan sosialis sosialis alternatif Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut Siam-Burma 1942-1945 Sosialis Alternatif
Lebih dari sebulan yang lalu, tepatnya tanggal 27 Mei 2025 Pemerintahan Kabupaten Bekasi melaksanakan acara bursa kerja yang bernama “Job Fair Bekasi Pasti Kerja”. Bursa kerja yang dilaksanakan di President University Convention Center,...
BACA
“Suara yang Dibisukan”: Lebih 1,000 pekerja bank dan ahli kesatuan NUBE berhimpun di Putrajaya menuntut keadilan sempena Hari Pekerja
2025 07 08 nube protes hari pekerja foto 1 sosialis alternatif Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut Siam-Burma 1942-1945 Sosialis Alternatif
Tema yang dibawa dalam perhimpunan bukan sekadar simbolik, tetapi satu ekspresi yang menunjukkan penindasan majikan menggunakan taktik kotor untuk membisukan suara pekerja yang menuntut dan melampaui batas hak berkesatuan. Ini turut mendedahkan...
BACA
Kelas Pekerja Terkapai Dalam Lautan Krisis: MTUC lumpuh, MEF mengganas
2025 07 05 mtuc krisis kelas pekerja sosialis alternatif Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut Siam-Burma 1942-1945 Sosialis Alternatif
Pada 4 Februari 2025, akhbar New Straits Times melaporkan bahawa MTUC kini dipimpin oleh Presiden Memangku, Datuk Dauzkaply Nor Ghazali dan Setiausaha Agung, Kamarul Bahrain. Mereka telah memecat bekas Presiden Effendy Abdul Ghani, serta...
BACA

Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut Siam-Burma 1942-1945

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *