LAKSANAKAN GAJI MINIMUM RM2208 BERDASARKAN GARIS KEMISKINAN BARU!

LAKSANAKAN GAJI MINIMUM RM2208 BERDASARKAN GARIS KEMISKINAN BARU!

Posted by

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia telah menilai semula garis kemiskinan negara dan menetapkan Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional yang baru pada RM2,208 berbanding RM980 sebelum ini. Ini bermaksud bahawa peratus kemiskinan tegar di Malaysia telah di tingkatkan dari 0.4% sebelum ini ke 5.6% sekarang, merangkumi lebih 400 ribu bilangan isi rumah. Walaupun pihak kerajaan telah cuba untuk meyakinkan rakyat bahawa garis kemiskinan negara adalah sangat rendah dan tidak perlu diubah sejak 2005, akhirnya mereka terpaksa akur dengan realiti yang jauh berbeza dengan anggaran yang dibuat oleh pakar-pakar statistik negara.

Sebuah kajian yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengenal pasti kadar kemiskinan di Malaysia pada tahun lepas telah mendedahkan kepincangan pihak kerajaan yang tidak memberikan gambaran yang tepat berkenaan dengan kondisi kehidupan rakyat miskin di negara ini. Laporan daripada kajian PBB menyimpulkan bahawa kadar kemiskinan di Malaysia yang lebih tepat adalah di antara 16% – 20% daripada isi rumah. Laporan tersebut juga mendedahkan bahawa pihak kerajaan dengan sengaja menggunakan kaedah pengiraan yang ketinggalan zaman dan enggan untuk mengubah kadar kemiskinan dari tahun 2005.

Walaupun kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh PH pada waktu itu mendapat pelbagai kritikan selepas laporan PBB diumumkan kepada orang ramai, kerajaan masih bertegas untuk mengekalkan kadar yang di guna-pakai selama ini. PM Mahathir pada waktu itu juga telah menegaskan bahawa kaedah pengiraan yang digunakan oleh jabatan kerajaan Malaysia adalah lebih tepat berbanding pihak lain dan tidak mengambil sebarang usaha untuk membendung kemiskinan yang semakin parah. Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali telah mengecilkan laporan PBB dan mendakwa bahawa ia tidak berdasarkan pada realiti. Mengikut Azmin Ali, Malaysia hampir tidak ada sebarang kemiskinan dan laporan-laporan yang mendedahkan garis kemiskinan yang tinggi adalah semuanya palsu!

Tetapi, walaupun sebahagian daripada ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan sebelum ini sedang menduduki posisi-posisi penting di kerajaan sekarang, mereka terpaksa melakukan pusingan-u dan mengakui bahawa garis kemiskinan negara adalah jauh lebih tinggi daripada anggaran sebelum ini. Ironinya, kedua-dua BN dan PH telah sepakat untuk mempertahankan naratif kerajaan dan telah menyembunyikan kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia. Tetapi sekarang, kerajaan yang dibentuk melalui campuran BN, PH dan PAS kini telah mengambil langkah untuk mengubah kadar kemiskinan yang telah dipalsukan oleh mereka sendiri selama ini. 

Adakah peningkatan pendapatan garis kemiskinan akan membantu rakyat miskin?

Walaupun kadar kemiskinan nasional telah diubah secara signifikan, tetapi ianya masih lagi berada dalam kadar yang rendah dan tidak mencerminkan realiti sebenar. Walaupun laporan demi laporan daripada pertubuhan yang bebas telah mendedahkan bahawa kadar kemiskinan di Malaysia sedang mencecah sehingga 20% daripada isi rumah, kadar baru yang ditetapkan oleh kerajaan adalah hanya sebanyak 5.6%. Ini bermaksud bahawa sebahagian besar daripada masyarakat miskin di Malaysia masih tidak akan diiktiraf sebagai golongan yang memerlukan bantuan kebajikan. Hakikatnya, dengan peningkatan kadar inflasi, pemotongan kebajikan sosial daripada kerajaan dan penswastaan yang pesat, majoriti daripada rakyat di Malaysia sedang mengharungi kehidupan yang serba kekurangan.

Jika paras kemiskinan ditingkatkan ke RM3000, hampir 40% daripada isi rumah akan dianggap sebagai miskin tegar. Bagi rakyat Malaysia biasa, terutamanya yang tinggal di pusat-pusat bandar yang besar, RM3000 sebagai perbelanjaan bulanan keluarga adalah sesuatu yang tidak realistik dan tidak boleh dicapai. Sebarang krisis seperti kecemasan, masalah kesihatan atau kemalangan akan mengakibatkan keluarga tersebut untuk terus muflis dan hilang segala punca kehidupan. Oleh kerana itu, kebanyakkan daripada golongan berpendapatan rendah terpaksa mengambil hutang demi menjalankan kehidupan harian mereka. Laporan daripada Khazanah Nasional beberapa tahun lepas juga mendedahkan bahawa lebih 50% daripada pekerja di Malaysia sedang menerima gaji bulanan kurang dari RM1700 sebulan. Dengan kenaikan inflasi, harga barangan asas, kos pengangkutan, pendidikan dan kesihatan, gaji yang diterima oleh majoriti daripada rakyat adalah tidak setimpal dengan kos kehidupan yang sederhana sekalipun.

Jurang di antara orang kaya dan miskin meningkat

Pada waktu yang sama, walaupun pendapatan rakyat biasa tidak berubah untuk berdekad-dekad lamanya jika dibandingkan dengan inflasi dan nilai mata wang, pendapatan golongan kaya telah menjadi berganda-ganda dalam tempoh masa yang sama. Ini dapat dilihat dalam peningkatan jurang di antara orang kaya dan miskin di Malaysia dalam 20 tahun ini. T20 ataupun golongan berpendapatan paling tinggi 20% (6 juta orang) sedang menggondol sebanyak 46% daripada kekayaan pukal negara manakala 12 juta rakyat termiskin hanya mendapat 17% daripada keseluruhan. Pendapatan purata bagi T20 adalah di sekitar 8 kali ganda gaji purata yang diterima oleh 40% daripada rakyat dan telah meningkat hampir 2 kali ganda dalam 20 tahun. Ada juga kajian yang mendedahkan bahawa golongan 10% terkaya kini sedang memiliki lebih separuh daripada kekayaan negara dan 90% rakyat lain terpaksa bersaing antara satu sama lain bagi merebut saki baki tinggal.

Walaupun kadar garis kemiskinan telahpun ditingkatkan oleh kerajaan, tetapi kita masih belum mendengar sebarang program ekonomi yang kukuh untuk menangani isu kemiskinan di Malaysia. Kerajaan PN yang sedang memerintah tanpa melalui sebarang proses demokrasi Parlimen seperti pilihan raya sedang mengambil beberapa langkah untuk menarik sokongan rakyat biasa, bagi mengukuhkan posisi mereka yang tidak stabil di tampuk kekuasaan. Pengubahan kaedah untuk mengira kadar kemiskinan di juga merupakan satu usaha untuk memberikan gambaran yang positif terhadap pemerintahan PN. Hakikatnya, untuk berdekad-dekad lamanya, semua ahli politik arus perdana biarlah BN mahupun PH  telah bersekongkol dalam tidak mengendahkan krisis kemiskinan negara yang menjadi semakin parah pada setiap tahun. Legasi BN untuk mempertahankan keuntungan golongan kaya 1% dengan memangsakan rakyat majoriti telah disambung oleh PH hampir 2 tahun pemerintahan mereka. Janji-janji kepada rakyat dari kedua-dua pihak telah semuanya terbukti sebagai sekadar gimik politik untuk meraih undi dan akhirnya mengecewakan jutaan rakyat yang menaruh harapan.

Kini, rakyat tidak mempunyai sebarang alasan untuk menaruh harapan kepada sebuah kerajaan yang dibentuk melalui ahli-ahli politik yang telah sentiasa menggagalkan rakyat sebelum ini. Segala janji-janji manis yang di taburkan adalah sekadar retorik kosong yang akhirnya tidak akan membawa sebarang perubahan kepada jutaan rakyat biasa.

Apakah solusi sebenar bagi rakyat?

Krisis kemiskinan di Malaysia bukanlah sebuah fenomena yang baru berlaku. Isu ini sudah berpanjangan dari sebelum negara ini mendapat kemerdekaan daripada penjajah. Sistem ekonomi yang diwarisi daripada kuasa kolonial British, iaitu sistem ekonomi kapitalisme, hanya berfungsi demi kesejahteraan golongan kapitalis kaya dari dalam dan luar negara. Bagi memaksa sistem yang tidak adil ke atas masyarakat, para penguasa sistem ini (kapitalis dan ahli politik elit) menggunakan segala bentuk penindasan dan terus menghirup keuntungan dan kemewahan daripada usaha kelas pekerja dan rakyat biasa.

Masalah kemiskinan rakyat tidak boleh diselesaikan dengan hanya mengharapkan pada pertubuhan-pertubuhan politik elit yang tidak mengutamakan kehendak rakyat biasa. BN, PH dan PN yang ada sekarang adalah terdiri daripada ahli-ahli politik yang sama dan sudah mendedahkan kepada masyarakat umum bahawa mereka tidak layak untuk memimpin rakyat. Dengan pandemik Covid19 dan kemelesetan ekonomi yang bakal melanda, para pendokong sistem ekonomi kapitalis seperti ahli politik arus perdana tidak mempunyai sebarang solusi untuk melindungi kesihatan, kehidupan dan hak rakyat jelata. Walaupun kadar pengangguran negara sudah mencecah lebih 5% dan dianggarkan boleh meningkat kepada 15% dalam tahun ini, pihak kerajaan masih belum mengumumkan sebarang langkah untuk menghadapi situasi ini. Sama seperti semua kerajaan kapitalis di dunia, kerajaan lebih tertumpu kepada menyelamatkan korporasi dan syarikat swasta yang besar daripada mengambil berat mengenai kebajikan rakyat biasa. Para kapitalis tempatan dan dunia didapati sedang terus meningkatkan kekayaan mereka walaupun dalam keadaan krisis di seluruh dunia. 

Bagi membawa sebuah perubahan yang bermakna, kelas pekerja dan rakyat biasa haruslah menggabungkan tenaga mereka untuk mewujudkan kepimpinan politik yang berteraskan kepada perjuangan rakyat dan mewakili aspirasi rakyat tertindas dengan sepenuhnya. Kepimpinan ini harus dilengkapi dengan program sosialiame untuk menentang bukan sahaja segala pertubuhan politik elit yang wujud, malah juga untuk melawan sistem ekonomi kapitalis yang rakus. Sebuah pertubuhan politik dengan kepimpinan kelas pekerja juga harus mempelawa penyertaan dari golongan tertindas, anak muda dan rakyat massa bagi membina gerakan, sebuah program sosialisme dan misi perjuangan secara kolektif dan demokratik. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*