Kelas Pekerja Terkapai Dalam Lautan Krisis: MTUC lumpuh, MEF mengganas

MTUC seharusnya menjadi platform bagi perjuangan rakyat. Kelas pekerja harus bangkit membina alternatif yang demokratik dan berprinsipkan hak pekerja.

Kelas pekerja di Malaysia kini berada dalam kemelut demi kesinambungan hidup dalam krisis ekonomi kapitalisme global yang semakin ketara. Inflasi melonjak, upah kekal rendah, perlindungan sosial yang tidak stabil, dan beban sara hidup yang semakin meningkat. Namun, dalam suasana genting ini, institusi yang sepatutnya menjadi pembela utama kelas pekerja, iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), terus tenggelam dalam kemelut dalaman yang memalukan.

Pada 4 Februari 2025, akhbar New Straits Times melaporkan bahawa MTUC kini dipimpin oleh Presiden Memangku, Datuk Dauzkaply Nor Ghazali dan Setiausaha Agung, Kamarul Bahrain. Mereka telah memecat bekas Presiden Effendy Abdul Ghani, serta melarang beliau daripada mewakili MTUC dalam sebarang kapasiti perwakilan atau bertanding jawatan. Namun, tindakan ini mencetuskan dakwaan balas oleh Effendy yang mendakwa pemecatan tersebut tidak sah, serta beliau masih Presiden sah MTUC. Pertikaian ini hanyalah satu episod terkini dalam sejarah panjang kecelaruan kepimpinan MTUC.

Sejak tahun 2018, pertelingkahan antara Presiden ketika itu Abdul Halim Mansor dan Setiausaha Agung J. Solomon melibatkan campur tangan politik luar dan tuntutan mahkamah. Pilihan raya Presiden 2019 menyaksikan keputusan seri antara Halim dan Mohd Jafar Majid yang berlarutan hingga 2022. Pada 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengisytiharkan persidangan pemilihan MTUC 2022 sebagai tidak sah kerana melanggar perlembagaan kongres. Rentetan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 September 2023 mengeluarkan perintah melarang MTUC membuat sebarang keputusan dasar termasuk pengisian jawatan kosong, perubahan polisi, atau sebarang tindakan organisasi yang melibatkan mandat dasar.

Dalam bahasa mudah, MTUC telah dilumpuhkan secara sah dari segi undang-undang, sekaligus menyebabkan kapal yang seharusnya menggerakkan perjuangan pekerja melalui tuntutan dan rundingan kolektif, sedang terumbang-ambing tanpa nakhoda untuk memimpin. Ketika kelas pekerja sedang terdesak akibat tekanan ekonomi dan sosial, mereka kini terbiar tanpa institusi kukuh yang boleh menyuarakan tuntutan dan memperjuangkan hak-hak mereka.

Namun, kekosongan ini telah diambil kesempatan oleh pihak Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF). Mereka telah tampil sebagai pemain dominan dalam hubungan industri dan perundingan dasar antara syarikat. Mereka giat melobi kerajaan, mencadangkan polisi yang jelas memihak kepada kepentingan kelas kapitalis. Antaranya, mereka menolak pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) dan mendesak agar pekerja kembali bekerja di pejabat sepenuhnya. MEF juga mengambil alih peranan dalam dialog sosial tripartit (antara majikan, kerajaan dan pekerja), menekan kerajaan dalam isu dasar gaji minimum, memohon agar meningkatkan kemasukan buruh migran untuk menjimatkan kos operasi demi keuntungan mereka, dan mencadangkan insentif kepada majikan — bukan kepada pekerja.

Dalam keadaan MTUC yang lumpuh ini, suara pekerja semakin senyap, dan semakin diketepikan. Lebih parah, kadar kesatuan sekerja yang aktif terus merosot. Kadar penyertaan pekerja yang sudah pun menurun sejak tahun 1970-an dengan hanya 20% penyertaan disebabkan penswastaan dan kekangan undang-undang kerajaan melalui “union busting”, menjelang tahun 2000, kadar itu merosot secara drastik dengan kini hanya sekitar 6.2% penyertaan. Ini merupakan petunjuk yang amat membimbangkan bagi masa depan gerakan pekerja di Malaysia.

Namun, masalah sebenar bukan semata-mata pada struktur undang-undang, birokrasi, atau tekanan politik. Masalah sebenar adalah krisis kepimpinan. Dalam Program Transisional yang ditulis oleh Leon Trotsky (pemimpin gerakan pekerja dalam membentuk kerajaan pekerja di Rusia, Eropah dan sedunia di Rusia 1917) pada 1938, beliau menegaskan pentingnya kepimpinan pekerja untuk melihat kekuatan mereka sendiri sebagai pemimpin masyarakat untuk membawa perubahan yang kekal menentang kehendak kelas kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan melalui eksploitasi kelas pekerja bukannya elit birokrat mahupun terperangkap dalam kerangka sistem yang mementingkan kelas kapitalis.

MTUC gagal menjadi kepimpinan tersebut. Ia gagal berfungsi sebagai barisan hadapan perjuangan kelas. Sebaliknya, MTUC berfungsi seperti yang diinginkan oleh penjajah British dan elit kapitalis — jinak, birokratik, dan jauh dari denyut nadi perjuangan akar umbi. Ditubuhkan pada 27–28 Februari 1949, MTUC adalah pengganti kepada PMFTU (Pan-Malayan Federation of Trade Unions) yang lebih militan dan berhaluan kiri. Pemusnahan PMFTU dan penubuhan MTUC adalah sebahagian daripada strategi kolonial British untuk memadamkan semangat radikal kelas pekerja yang ketika itu memuncak.

Kelas pekerja tidak harus membiarkan agenda kelas kapitalis untuk terus melemahkan gerakan pekerja dengan birokrasi MTUC yang direstui dan dialu-alukan oleh kelas kapitalis untuk kepentingan mereka sendiri. Penjajahan kini tidak hanya dalam bentuk ketenteraan, tetapi juga dalam bentuk ekonomi dan institusi. Dan penjajah hari ini adalah syarikat multinasional, kapitalis tuan-tanah, serta birokrasi buruh seperti MTUC yang menjadi pembatas perjuangan pekerja. Krisis kepimpinan dan platform perjuangan bagi kelas pekerja di Malaysia harus dicabar melalui pembinaan semula secara akar umbi dan demokratik di tempat-tempat kerja dan jalinan solidariti merentasi sektor serta kerakyatan pekerja.

Demi sebuah sistem masyarakat yang membela kepentingan hak pekerja yang terdiri dari 99% populasi rakyat berbanding 1% kelas kapitalis kaya yang mengeksploitasi pekerja. Perjuangan kelas ini tiada siapa yang akan memperjuangkannya melainkan diri kita sendiri!

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

Kongres PKR Mencerminkan Krisis Dalaman: Bina parti pekerja massa sebagai alternatif
2025 06 28 kongres pkr krisis dalaman sosialis alternatif Kelas Pekerja Terkapai Dalam Lautan Krisis: MTUC lumpuh, MEF mengganas Sosialis Alternatif
Keputusan dari pemilihan kongres PKR yang berlangsung Mei lalu menunjukkan parti kekal di bawah pengaruh Anwar Ibrahim walaupun ditentang oleh Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi merebut jawatan Timbalan Presiden parti melalui kempennya...
BACA
Solidariti Buat Pekerja Migran di Syarikat Mediceram yang Sedang Mogok Kali Ketiga Dalam Memperjuangkan Hak Mereka!
2025 06 27 solidariti pekerja migran mediceram mogok 05 20 sosialis alternatif Kelas Pekerja Terkapai Dalam Lautan Krisis: MTUC lumpuh, MEF mengganas Sosialis Alternatif
Kami, organisasi Jaringan Solidariti Pekerja, AKSI dan juga Sekolah Merdeka, menyatakan solidariti sepenuhnya dalam menyokong tindakan pekerja yang sedang mogok demi menuntut hak mereka. Mustahil pokok boleh bergoncang jika tiada angin...
BACA
Solidarity with Migrant Workers at Mediceram on Their Third Strike for Justice!
2025 06 27 migrant workers solidarity mediceram strike statement en sosialis alternatif Kelas Pekerja Terkapai Dalam Lautan Krisis: MTUC lumpuh, MEF mengganas Sosialis Alternatif
We, Workers’ Solidarity Network, AKSI and Sekolah Merdeka, fully stand in solidarity with the striking workers at Mediceram in their struggle for justice. After all, a tree does not sway without the wind. The continued strike by workers...
BACA

Kelas Pekerja Terkapai Dalam Lautan Krisis: MTUC lumpuh, MEF mengganas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *