Protes mahasiswa di Indonesia 1998. Protes massa yang tercetus selepas krisis ekonomi Asia Tenggara pada 1997 telah menjurus kepada kejatuhan diktator Suharto

Protes mahasiswa di Indonesia 1998. Protes massa yang tercetus selepas krisis ekonomi Asia Tenggara pada 1997 telah menjurus kepada kejatuhan diktator Suharto

Krisis ekonomi dunia mengancam Asia Tenggara

Posted by

Berikutan krisis kesihatan global pandemik Covid19, negara-negara Asia Tenggara yang kebanyakannya merupakan pengekspot komoditi, dijangka akan menghadapi sebuah malapetaka ekonomi dalam bulan-bulan dan tahun-tahun yang akan datang. Kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini menegaskan bahawa kemelesetan ekonomi yang sedang berlaku pada waktu ini akan berpanjangan dan boleh mengambil masa lebih 10 tahun untuk kembali pulih. Ini merupakan berita yang kurang senang bagi negara-negara dunia ketiga yang bergantung dengan kesihatan ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang pada waktu ini sedang semakin tersungkur ke dalam krisis ekonomi. 

Krisis ekonomi yang tidak boleh dielakkan

Dalam sebuah laporan, Asian Development Bank (ADB) menganggarkan bahawa ekonomi rantau Asia Tenggara akan menyusut sebanyak 2.1% pada tahun ini. Ini merupakan pertumbuhan ekonomi yang paling perlahan semenjak tahun 1961. Kadar keluaran kasar (KDNK) dijangka menyusut sebanyak 1% di Indonesia, 2% di Vietnam, 3.8% di Philippines, 4% di Malaysia, 5.8% di Singapore dan 6.5% di Thailand. Unjuran-unjuran yang berbeza dari badan-badan lain juga memberikan gambaran yang suram seperti ADB. 

Dalam laporan yang sama, ADB juga memberikan amaran bahawa rantau Asia dan Pasifik akan terus merasai kesan Covid19 walaupun aktiviti ekonomi sedang kembali pulih sedikit demi sedikit. ADB menegaskan bahawa pemulihan aktiviti dan kesihatan ekonomi akan mengambil masa yang panjang dan amat bergantung dengan perkembangan ekonomi global yang tidak menggalakkan.

Tambahan pula, pemimpin-pemimpin Asia Tenggara dalam sidang ASEAN yang diadakan baru-baru ini telah mengeluh bahawa semua pencapaian ekonomi mereka selama ini telah lenyap akibat pandemik Covid19. Persidangan yang mengandungi 10 negara ahli ini dengan jelas menunjukkan tanda-tanda panik oleh pemimpin negara yang sedang berdepan dengan kemarahan rakyat biasa akibat keadaan ekonomi yang tidak stabil. 

Hubungan antarabangsa dalam situasi kemelesetan ekonomi global

Satu lagi fokus perbincangan di persidangan ASEAN adalah berkenaan dengan hubungan ekonomi negara China dengan rantau Asia Tenggara. Kebanyakkan pemimpin negara Asia Tenggara mempunyai hubungan yang penuh dengan percanggahan dengan China. Di satu sudut, negara-negara ini sedang berharap untuk menyertai sebuah perjanjian perdagangan dengan China yang di kenali sebagai Regional Comprehensive Economic Pertnership (RCEP). Perjanjian yang dikatakan merangkumi separuh daripada populasi dunia ini dianggap dapat meningkatkan aktiviti ekonomi untuk sementara dan mengelakkan krisis ekonomi yang parah pada waktu ini. Hanya negara India kini masih enggan untuk menyertai perjanjian RCEP akibat konflik sempadan yang sedang berterusan dengan China. 

Tetapi, di satu sudut yang bertentangan, negara-negara Asia Tenggara juga sedang semakin risau dengan peningkatan aktiviti ketenteraan China di perairan Laut Cina Selatan baru-baru ini. Kawasan perairan yang mempunyai kepentingan strategik ini menjadi pertikaian beberapa buah negara seperti China, Philippines, Vietnam dan Malaysia. 

Pada April lalu, China telah secara rasmi memberikan nama kepada 80 buah pulau tiruan yang dibina oleh di perairan yang sedang berada di bawah pertikaian pelbagai negara. Langkah ini mewujudkan kesangsian dan  kerisauan beberapa pemimpin di Asia Tenggara yang rasa terancam dengan kedudukan China yang sedang semakin rancak menuntut kawasan yang lebih banyak di rantau ini. Walaupun begitu, mengikut sebuah kajian yang dijalankan oleh Center for Strategic and International Studies mendedahkan bahawa China sedang mendahului Amerika Syarikat dalam pengaruh politik dan ekonomi di Asia Tenggara. 

Krisis pengangguran dan kondisi rakyat biasa

Secara keseluruhan, Asia Tenggara sedang menghadapi sebuah situasi ekonomi yang tidak menggalakkan. Negara-negara yang berjaya mengawal pandemik Covid19 juga sedang menjadi mangsa kemelesetan ekonomi. Vietnam misalnya, sedang menghadapi kadar pengangguran yang paling tinggi dalam 10 tahun. Seramai 5 juta pekerjaan sudah hilang dalam suku tahun pertama sahaja. Di Philippines pula, seramai 7 juta pekerja sudah kehilangan kerja mereka. Thailand, yang merupakan negara paling teruk mendapat impak Covid19 akibat pergantungan mereka dengan sektor pelancongan, kadar pengangguran dijangka akan meningkat ke 25%. 

Peningkatan pengangguran yang mendadak ini akan memberikan impak yang sangat besar rakyat yang menghuni rantau ini. Tambahan pula, di negara-negara seperti Cambodia, Thailand, Vietnam, Burma dan Laos, seramai 50 ke 80% daripada tenaga kerja adalah dalam sektor tidak formal dan ekonomi gig yang tidak mempunyai jaminan kerja. Pada masa yang sama, para pekerja migran yang sedang pulang ke negara masing-masing juga akan meningkatkan persaingan dalam pasaran pekerjaan yang semakin sengit. 

Tiada sebarang solusi dari kepimpinan kapitalis

Para pemimpin negara Asia Tenggara setakat ini belum membawa sebarang idea yang bernas untuk membawa rakyat keluar daripada malapetaka ekonomi ini. Burma dan Singapore baru-baru ini mengumumkan untuk meneruskan PRU mereka yang dijadualkan untuk berlangsung pada hujung tahun ini. Dengan keadaan yang huru-hara ini, pencapaian kerajaan-kerajaan ini di PRU belum boleh dijangkakan dengan jelas. 

Kerajaan Thailand, Cambodia dan Philippines telah masing-masing mempergunakan krisis kesihatan ini untuk meningkatkan kuasa mereka dan cuba menguatkan rejim kuku besi mereka. Pada masa yang sama, kemarahan rakyat terhadap rejim-rejim yang tidak demokratik ini juga sedang berkembang. 

Pandemik dan krisis ekonomi ini sedang mendedahkan kelemahan dan watak korup sistem ekonomi kapitalisme di setiap pelosok dunia. Langkah-langkah kerajaan yang hanya menumpukan perhatian untuk menyelamatkan para kapitalis kaya dan perniagaan besar sedang meraih kemarahan rakyat biasa yang sedang kehilangan punca kehidupan. 

Melihat kepada kerajaan-kerajaan yang berpihak kepada kapitalis kaya dan tidak berdaya untuk menyelamatkan rakyat biasa, sebarang jenis kebajikan untuk rakyat biasa hanya boleh dimenangi melalui perjuangan-perjuangan rakyat dan kelas pekerja. Apa yang pasti, rakyat massa di rantau ini sudahpun merasai keperitan hidup akibat penswastaan pesat dan penjimatan dana sosial yang berpanjangan selama lebih 10 tahun. Krisis terbaru ini akan menolak berjuta-juta rakyat biasa dan kelas pekerja ke dalam keadaan miskin dan terdesak. 

Cetusan gerakan massa dan tugas utama kita

Pada 1997, apabila sebuah krisis ekonomi melanda Asia Tenggara, rantau ini mengalami pergolakkan politik dan pelbagai gerakan-gerakan massa telah tercetus. Di negara seperti Indonesia, gerakan reformasi telah melihat kejatuhan rejim yang telah berkuasa untuk berdekad-dekad lamanya. Di Malaysia juga, gerakan reformasi yang tersebar dari Indonesia telah melemahkan koalisi pemerintah BN yang berpecah sehingga terwujudnya sebuah koalisi pembangkang yang mencabar dominasi mereka. Di tahun-tahun seterusnya, krisis-krisis politik dan sosial telah menjadi sebuah ciri di hampir semua negara di Asia Tenggara. 

Dalam masa yang akan datang, gerakan-gerakan massa dan letusan kemarahan kelas pekerja boleh dijangkakan akan berlaku, terutamanya di negara-negara yang mendapat impak paling teruk akibat pandemik Covid19 seperti Indonesia dan Thailand. Tetapi, pada masa yang sama, antara isu utama yang menjadi permasalahan adalah, ketiadaan sebuah kepimpinan dengan perspektif yang jelas dan program yang menyatukan yang boleh menginspirasikan sebuah perjuangan akar umbi rakyat yang berjaya. Semua kepimpinan yang wujud merupakan pendokong sistem ekonomi kapitalisme yang sudah terbukti tidak mampu bawa sebarang jalan penyelesaian yang munasabah untuk jutaan rakyat biasa. 

Tugasan utama yang menghadapi kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa rantau Asia Tenggara dan dunia adalah untuk mewujudkan sebuah kepimpinan politik yang mampu membawa sebuah sistem ekonomi alternatif kepada sistem kapitalisme melalui gerakan-gerakan akar umbi rakyat dan perjuangan kelas pekerja. Sistem kapitalisme yang rakus hanya menjadi penghambat kepada kemajuan manusia yang harus menangani isu-isu seperti kemelesetan ekonomi, krisis kesihatan dan kemerosotan alam sekitar yang sedang mengancam kehidupan majoriti daripada penghuni dunia.     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*