Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Bermula pada pertengahan tahun 2015, hampir semua tambang pengangkutan awam ditingkatkan melebihi 20 peratus. Salah satu alasan yang digunakan sebagai hujah adalah bahawa tambang yang dinaikkan adalah lebih rendah daripada perjanjian konsesi yang telah ditetapkan. Ditambah lagi dengan servis yang kadangkala tidak mencapai tahap keberkesanannya, rakyat secara umum telah mulai merasa kesusahan yang telah melanda. Peningkatan kos ulang alik merupakan beban yang semakin lama tidak dapat ditanggung oleh rakyat biasa. Ini juga secara tidak langsung mengakibatkan tekanan mental yang tidak terurus apabila rakyat terpaksa menghadapi kesesakan yang melampau pada waktu puncak, iaitu waktu pergi dan pulang kerja.

Tambang pengangkutan awam meningkat seiring dengan peningkatan harga tol, perlaksanaan GST dan juga tindakan pemberhentian pekerjaan yang sedang berlangsung. Kesemuanya ini adalah masalah-masalah golongan pekerja dan bukan masalah yang dirisaukan oleh golongan-golongan elit. Pihak-pihak atasan hanya perlu menggunakan aparatus kerajaan yang wujud, untuk memberi ‘laluan’ mereka yang tersendiri di atas jalan raya, menggunakan kekuatan polis untuk membimbing mereka ke mana-mana destinasi yang ingin dituju oleh mereka. Mereka alpa dan lalai terhadap kewujudan rakyat yang terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas dan juga kesesakan sewaktu menggunakan pengangkutan awam. Kedua-duanya menyatakan realiti yang sama, kesesakan yang disebabkan oleh sistem yang tidak berkesan.

Secara umumnya, peningkatan kos pengangkutan awam perlu dikaitkan dengan suatu sudut pandang yang lebih besar, iaitu impak negatif yang disebabkan oleh penswastaan pengangkutan awam dan juga krisis ekonomi negara yang dipengaruhi oleh keadaan ekonomi global.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak pada 30hb Jun yang lepas telah menyindir polisi dan perlaksanaan kerajaan yang dibimbing oleh Dr. Mahathir mengenai masalah pengangkutan awam yang berlaku pada waktu ini. Dia menjelaskan bahawa segala masalah yang berlaku telah dimulakan dari awal lagi dan turut menyatakan bahawa prasarana awam dimiliki oleh pelbagai pihak.

Harus diingatkan bahawa kenyataan sebegini rupa adalah tindakan tipikal ahli politik yang mempergunakan isu rakyat untuk mengutuk dan menyalahkan ahli politik yang lain, hanya untuk mendapatkan sokongan daripada golongan pekerja. Mereka tidak menyalahkan sistem penswastaan dan menyatakan percanggahan di antara keperluan asas dan prospek mengejar keuntungan.

Pihak pembangkang juga menggunakan pendekatan yang sama di dalam pengendalian lebuh raya baru-baru ini, di mana hampir 20 ribu penduduk kawasan perumahan bakal dilanda kesusahan. Tidak lupa juga impak negatif kepada alam sekitar dan perbelanjaan yang bakal menelan kos sebanyak satu bilion ringgit. Kedua-duanya berpihak kepada syarikat swasta yang berjaya mempengaruhi polisi kerajaan dan akhirnya tidak mengambil kira keselesaan rakyat yang sedang susah bergelut dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Kuala Lumpur 23 July 2015 .Keadaan sesak orang ramai yang menunggu tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT KL Sentral ekoran ganguan pada sistem operasi pada tren Transit Aliran Ringan (LRT). NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
Kuala Lumpur 23 July 2015 .Keadaan sesak orang ramai yang menunggu tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT KL Sentral ekoran ganguan pada sistem operasi pada tren Transit Aliran Ringan (LRT). NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Di kalangan pihak yang cenderung kepada sistem ekonomi kapitalis, mereka berpendapat bahawa keberkesanan sistem pengangkutan awam bergantung kepada kecekapan pegawai yang mengendalikan infrastruktur tersebut, samada ianya merupakan hak milik syarikat ataupun hak milik awam. Mereka menolak hujah bahawa memiliknegarakan akan menyelesaikan masalah kerana kecekapan para pegawai dijadikan sebagai faktor utama di dalam kualiti sistem tersebut.

Walaupun begitu, mereka lupa untuk menyatakan bahawa di dalam sistem ekonomi kapitalis, sistem pengendalian infrastruktur awam harus berpaksikan keuntungan sebagai objektif utama. Jadi ianya tidak akan membawa apa-apa perubahan selagi objektif dikekalkan sebegitu dan bukan berdasarkan kepentingan asas rakyat majoriti.

Kami menyarankan kawalan penuh pekerja yang dikendalikan secara demokratik bagi menghasilkan sistem pengangkutan awam yang mampu berfungsi selari dengan keinginan sebenar rakyat majoriti. Pekerja yang terlibat dengan industri pengangkutan awam memahami masalah yang sebenar dan kualiti dapat ditingkatkan secara optimum tanpa ada campur tangan daripada pihak majikan yang berlainan objektif. Pekerja juga seharusnya mengukuhkan lagi kerjasama sesama sendiri melalui kesatuan pekerja. Segala permintaan asas bagi golongan pekerja dapat dijalankan melalui kekuatan jawatankuasa kesatuan yang berpihak kepada rakyat majoriti. Rakyat biasa juga perlu bekerjasama dengan pekerja yang terlibat, agar usaha sama untuk mengurangkan beban sendiri mampu ditangani dengan jayanya dan ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan kekuatan rakyat selaku tunggak ekonomi negara dan menolak kerakusan pihak majikan yang bermotifkan keuntungan semata-mata.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *