Majoriti pekerja pada hari ini, sekali lagi menghadapi krisis yang bakal memudaratkan lagi keadaan kehidupan mereka. Kemampuan untuk terus melangsungkan kehidupan, sama ada bagi mereka yang sudah pun kehilangan kerja mahupun menerima potongan gaji dalam peratusan yang besar sekali lagi dihalang oleh kenaikan kes pandemik gelombang ketiga. Tidak lupa juga, kita telah pun mendengar berita mengenai pengisytiharan darurat, yang sekali lagi akan memberi impak yang lebih teruk kepada kita pekerja secara umumnya. Justeru, persoalan mengenai pendekatan mahupun alternatif kepada wabak pandemik menjadi sebuah persoalan yang getir, ianya tidak hanya di bincangkan di kalangan pemimpin, namun difikirkan juga keseluruhan rakyat, terutamanya setelah segala usaha untuk menurunkan kadar jangkitan menjadi sia-sia setelah berlangsung pilihan raya negeri Sabah yang lepas. 

Jaringan Solidariti Pekerja – sejak berlangsungnya pelaksanaan PKP pada bulan Mac yang lepas telah menyediakan beberapa program yang menurut kami, merupakan strategi dan perspektif yang tepat bagi membantu dan mengurangkan kesan negatif berikutan pandemik yang sedang berleluasa kini. Melalui Piagam Pekerja – pihak kami menjelaskan bagaimana kelas pekerja dan Kesatuan Sekerja mampu memberi bimbingan utama kepada rakyat kebanyakan bagi menyelesaikan masalah pandemik pada waktu ini. Sebagai contoh, kami menjelaskan bagaimana dengan menubuhkan jawatankuasa kesihatan dan keselamatan di setiap tempat kerja, ianya dapat digunakan bagi melawan segala jenis penindasan yang dilaksanakan oleh pihak majikan, terutamanya situasi pekerjaan yang senantiasa terdedah dengan jangkitan virus. Jawatankuasa yang sama juga dapat digunakan bagi melaksanakan strategi yang dapat membela pihak pekerja dari segala jenis penindasan seperti pemotongan elaun mahupun gaji. Walaupun pihak kerajaan telah memberikan arahan untuk tidak membuang pekerja mahupun memotong gaji, ini tidak menghalang para majikan dan kelas kapitalis untuk menyelamatkan aset sedia ada, dengan membuang para pekerja yang selama ini telah menghasilkan kekayaan dan keuntungan yang besar untuk mereka. 

Kerjasama JSP bersama Kesatuan Sekerja Atlas Ais, melalui pimpinan jawatankuasa di beberapa cawangan, telah menuntut pihak majikan untuk memastikan bayaran penuh sewaktu berlangsungnya PKP dan juga memastikan keadaan keselamatan dipatuhi oleh pihak majikan. Pekerja di bawah kesatuan telah sebulat suara bersetuju untuk mengutamakan keselamatan mereka sendiri dan tidak ingin meneruskan pekerjaan, selagi pihak majikan tidak menyediakan penyediaan yang benar-benar selamat untuk para pekerja. Malah sewaktu berlangsungnya arahan PKP, pihak majikan hanya mulai melaksanakan SOP yang ditentukan setelah mendapat tekanan daripada pihak kesatuan. Tidak lupa juga, bagaimana pihak Majlis Bandaraya membuat ulasan yang tidak adil – membuat kesimpulan bahawa keadaan kilang sudah terjamin bersih sedangkan keadaan kilang tidak pernah berada dalam keadaan yang selamat dan sesuai untuk para pekerja di sana, baik di kawasan pengeluaran mahupun di kalangan pemandu dan juga kelindan. Situasi kilang secara umumnya, berada di dalam keadaan yang membahayakan kelas pekerja, walaupun sebelum berlakunya wabak pandemik lagi. Pihak Majlis Bandaraya seharusnya mengambil tindakan yang lebih keras, sekaligus mengambil kira masalah-masalah yang telah pun berlanjutan dari tahun-tahun sebelumnya. Keadaan kilang, situasi jentera yang digunakan – kesemuanya perlu diambil kira bagi menentukan dan memartabatkan keadaan kelas pekerja. Sehingga sekarang, masih terdapat beberapa tindakan pihak majikan yang semakin menekan situasi pekerja di kilang Atlas dan pihak JSP akan terus berjuang membela hak pekerja. 

Situasi kritikal ini turut melibatkan pembuangan pekerjaan yang melonjak naik dan terdapat pelbagai jenis kes yang mendedahkan ketempangan pihak majikan yang sedang aktif menipu dan mencuri hasil pekerja itu sendiri dengan tidak membayar gaji ataupun dengan pelbagai pemotongan insentif atau elaun yang lain. Pada 29hb September yang lepas, pihak kerajaan mengumumkan bagaimana sejumlah RM 500,000 subsidi upah telah disalah gunakan dan tidak disalurkan kepada pekerja. Apakah kes-kes pekerja yang telah pun dibuang pada waktu ini, turut merupakan mangsa kepada pihak majikan yang mendapat bantuan kerajaan, hanya digunakan bagi menyelamatkan syarikat mereka semata-mata? Antara fenomena-fenomena utama yang seringkali berlaku sewaktu krisis ekonomi adalah bantuan dana kerajaan yang digunakan bagi menyelamatkan syarikat swasta dan para pemegang saham mereka dan pada akhirnya, kelas pekerja menjadi mangsa dan seringkali dibuang kerja. Kerajaan di seluruh dunia menggunakan retorik pakej rangsangan ekonomi, kononnya dilaksanakan bagi menyelamatkan rakyat kebanyakan yang terkesan, namun realitinya ia hanya menguntungkan golongan orang kaya yang terdiri daripada kelas pemodal. 

Tidak lupa juga, seruan kami kepada kelas pekerja bagi mewujudkan majlis-majlis yang terdiri daripada perwakilan kelas pekerja dan komuniti setempat bagi menentukan hala tuju dana negara supaya ianya dapat diagihkan untuk meringankan beban kelas pekerja – antaranya seperti penggantungan bil utiliti, penangguhan pembayaran gadai mahupun sewa dan juga dana yang cukup bagi menanggung situasi kelas pekerja yang teruk terkesan oleh situasi pandemik ini. Tambahan lagi, seruan kami untuk mengukuhkan jaringan di antara kesatuan sekerja sedia ada dan berhujah untuk memiliknegarakan industri-industri penting di negara kita, merupakan sebuah objektif yang mengambil kira kepentingan jangka masa yang lebih panjang. Hanya melalui pengambilalihan industri utama dan ditentukan arah tujunya di bawah kawalan kelas pekerja secara demokratik, dapatlah sebuah negara mengawal dan memastikan hal ehwal kebajikan rakyat kebanyakan dibela seadilnya. Kelas pekerja lah yang mempunyai hak untuk menentukan nasib kehidupan mereka sendiri dan bukannya golongan borjuis yang hanya mementingkan kepentingan sistem ekonomi kapitalis yang menguntungkan segelintir pihak saja. Namun persoalan yang telah kita nyatakan, kesemuanya bergantung kepada kemampuan pimpinan kelas pekerja sedia ada dan tidak lupa juga, sifat dan karakter kerajaan yang pernah wujud di negara kita selama ini – apakah mereka mewakili kepentingan kelas pekerja secara umumnya ataupun kelas majikan? 

Kita dapat lihat bagaimana kelas kapitalis yang sewaktu dulunya (era penswastaan yang pesat) keras mengkritik pihak kerajaan supaya tidak kerap campur tangan di dalam hal ekonomi dan pasaran bebas – kini tanpa segan silu seringkali meminta dan melaung akan bantuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah perniagaan mereka. Malah pada 24hb Oktober, persatuan majikan MEF mengeluarkan kenyataan bahawa pembayaran gaji dan elaun penuh pada pekerja yang bekerja di rumah merupakan suatu hal yang tidak munasabah, disebabkan kadar produktiviti yang lebih rendah dan secara tidak langsung, akan menjurus kepada kadar keuntungan yang tidak memberangsangkan. Walhal jika dilihat melalui lensa kepentingan kelas pekerja yang mengambil kira peningkatan kes pandemik pada waktu ini, kerajaan perlu melaksanakan arahan keselamatan dan pada masa yang sama, menjaga kebajikan kelas pekerja seperti memastikan kelas kapitalis membayar gaji yang penuh dan tidak membuang mana-mana pekerja. Kemudiannya, Asia Pacific Investment Bank (APIB) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan langkah mengurangkan cukai korporat bagi menangani impak pandemik dan dapat digunakan sebagai insentif untuk menarik pelaburan asing. Tindakan ini hanya akan memberi kelebihan kepada pihak kapitalis untuk terus menjadi rakus dan memonopoli sumber kekayaan rakyat pekerja itu sendiri. Pengurangan cukai korporat merupakan salah satu polisi yang dilaksanakan bagi menjana sistem ekonomi yang secara asasnya memberi kelebihan kepada para CEO dan pemegang saham. Jurang kekayaan yang semakin melebar pada waktu ini merupakan hasil dan terjemahan polisi kerajaan yang tidak berpihak kepada kelas pekerja. 

Ketidakmampuan pihak kerajaan untuk melaksanakan program yang dapat menyelamatkan kehidupan kelas pekerja telah mendedahkan kecenderungan mereka yang bersifat pro-kapitalis, sebuah logik yang mementingkan kepentingan pasaran bebas, keuntungan dan pembolotan kekayaan yang telah dihasilkan oleh kelas pekerja. Krisis ekonomi global pada tahun ini merupakan kesinambungan kitaran krisis ekonomi kapitalisme yang kerap kali berlaku dan percanggahan mahupun konflik yang terhasil darinya akan menjadi lebih teruk lagi. Di sinilah persoalan peranan yang signifikan dapat dimainkan oleh pihak Kesatuan Sekerja seperti MTUC, QUEPACS mahupun kesatuan-kesatuan yang lain. Seperti mana yang berlaku di Indonesia, kelas pekerja dan anak muda merupakan kuasa perubahan yang tidak dapat disangkal dan mempunyai peranan utama dalam menyelamatkan masyarakat daripada krisis yang sedang berlaku. Pada waktu ini, baik pihak MTUC mahupun QUEPACS, pihak pimpinan masih belum mengatur apa-apa langkah yang tepat bagi membendung krisis ini – sebaliknya hanya memainkan peranan selaku tekanan kepada polisi kerajaan. Pihak pimpinan kelas pekerja mempunyai peluang untuk mulai melaksanakan kempen dan membina jawatankuasa-jawatankuasa keselamatan yang dapat membela segala jenis penindasan yang dilakukan oleh pihak majikan pada waktu ini. Tindakan untuk bersiap sedia ini juga sebaiknya dimulakan bagi perjuangan rakyat akan datang, yang sedang kian tenat dibelenggu oleh krisis global ini. Kami berhujah bahawa sistem kapitalisme yang berlangsung kini, tidak dapat dilihat sebagai sistem yang mengutamakan kepentingan kelas pekerja dan hanya melalui perubahan ke arah sosialisme yang lebih demokratik, dapatlah kepentingan kelas pekerja dijamin haknya. Kelas pekerjalah yang mempunyai kuasa bagi membentuk aturan masyarakat yang tidak lagi bertunjangkan kepentingan modal, sebaliknya bertunjangkan kepentingan asasi manusia itu sendiri. Justeru, persoalan pembinaan Parti Pekerja dan membina politik alternatif yang pro-pekerja menjadi hal yang getir. Seruan Piagam Pekerja merupakan program yang kami sediakan dan kami, Jaringan Solidariti Pekerja menjemput kelas pekerja dan anak-anak muda untuk bersama kami mempersiapkan perjuangan ke arah pembinaan Sosialisme!