Walaupun Pindaan Akta Kerja 1955 yang terbaru sudahpun dibahas di Dewan Rakyat, mendapat kelulusan Dewan Negara, diwarta dan menjadi undang-undang negara, Kementerian Sumber Manusia dan kabinet kerajaan membuat keputusan untuk menangguh penguatkuasaan Pindaan ini ke Januari tahun 2023. Pada awalnya, Menteri Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan bahawa Pindaan tersebut akan dikuat kuasa bermula 1 September. Tetapi, kemungkinan besar disebabkan oleh tekanan dari pertubuhan dan badan-badan yang mewakili agenda kelas majikan kaya, pihak kerajaan telah membuat pusingan ‘u’ dan menangguh penguatkuasaan pindaan terbaru ke atas Akta Kerja 1955.  

Pindaan Akta Kerja 1955

Antara Pindaan yang dibuat adalah seperti pengurangan waktu kerja dari 48 jam ke 45 jam seminggu, cuti bersalin 98 hari untuk wanita yang mengandung dan sebagainya. Selain itu, Jadual Pertama dalam akta kerja yang meletakkan had gaji kepada pekerja yang dilindungi di bawah akta tersebut dimansuhkan, walaupun bukan sepenuhnya. 

Menurut pindaan terbaru, semua pekerja di Malaysia tanpa mengira had gaji akan dilindungi dibawah Akta Kerja 1955, kecuali untuk menuntut gaji tambahan kerja lebih masa, gaji tambahan jika kerja pada hari rehat atau cuti, had tempoh kerja syif maksimum 12 jam sehari dan faedah penamatan kerja. Perlindungan ini hanya diberikan kepada para pekerja bergaji RM4000 ke bawah. Bagi yang mendapat gaji lebih dari itu, mereka perlu merujuk kepada kontrak kerja untuk menentukan pembayaran gaji yang dipersetujui kedua-dua pihak majikan dan pekerja. 

Secara keseluruhan, walaupun pindaan terbaru ini memberikan beberapa faedah kepada sebahagian pekerja, ia masih tidak merujuk kepada situasi para pekerja miskin yang tidak berupaya untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan gaji yang kurang dan kos hidup yang meningkat setiap tahun. Pihak kerajaan yang mungkin perlu menghadapi PRU dalam masa terdekat sedang cuba menyejukkan hati rakyat dengan membuat beberapa reformasi dan pindaan kepada akta-akta tertentu. Tetapi, pada masa yang sama, tekanan daripada pertubuhan seperti MEF (Malaysia Employee Federation) juga tidak boleh diabaikan oleh ahli-ahli politik yang terikat dengan pengaruh kelas majikan atau kapitalis. Selain ditangguh sehingga ke tahun hadapan, akta terbaru ini hanya memberi faedah yang terhad kepada kelas pekerja yang sedang bertungkus lumus membina kembali ekonomi negara yang tersungkur akibat pandemik Covid.

Misalnya pengurangan waktu kerja dari 48 jam ke 45 jam, iaitu pengurangan hanya 3 jam seminggu. Adakah pengurangan ini cukup bagi para pekerja untuk mencapai keseimbangan kerja dan hidup (work life balance) sepertimana yang diheboh-hebohkan oleh pihak kerajaan? Dengan had masa terbaru ini, para pekerja masih boleh diarahkan untuk masuk kerja pada hari Sabtu untuk separuh hari selepas pekerja tersebut sudahpun bekerja selama 8 jam sehari dari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk kerja lebih masa). Tambah dengan masa yang dihabiskan untuk berulang alik ke tempat kerja dan rumah, pekerja di Malaysia tidak mempunyai masa untuk beriadah dan beristirehat bersama keluarga atau kawan mereka. 

Juga, akibat peningkatan kos kehidupan yang mendadak dan gaji yang tidak meningkat, ramai di kalangan pekerja bergaji rendah terpaksa melakukan kerja lebih masa bagi menambah pendapatan. Pengurangan waktu kerja yang tidak merujuk kepada isu gaji, tidak akan memberi kesan yang besar kepada rakyat miskin. Malah pada masa ini, ramai di kalangan pekerja penuh masa terpaksa membuat kerja-kerja sambilan selepas jam kerja mereka seperti menjadi pemandu Grab atau Foodpanda untuk menampung kehidupan yang semakin tersepit dengan peningkatan harga barangan.

Juga harus diingatkan bahawa sebahagian besar daripada tenaga kerja di Malaysia, iaitu para pekerja ekonomi ‘gig’ atau aplikasi seperti pemandu Grab, Foodpanda, Shopee dan sebagainya masih tidak diiktiraf sebagai pekerja dan tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. Adakah ini sebuah langkah yang akan memanfaatkan para pekerja yang bergaji rendah atau pihak majikan rakus yang sedang menindas pekerja mereka dengan sesuka hati? Kenapa para majikan atau pemilik syarikat aplikasi ini diberikan kelonggaran dan dibenarkan untuk menjana keuntungan bernilai jutaan ringgit apabila para pekerja mereka sedang merana?

Agenda kelas majikan kaya

Adalah amat jelas bahawa agenda pihak majikan kaya untuk terus menjana keuntungan yang besar dengan meneruskan penindasan terhadap kelas pekerja masih subur. Setiap tahun, walaupun gaji pekerja tidak melihat sebarang peningkatan, keuntungan para pemodal, pemilik syarikat besar dan para CEO sedang terus meningkat. Malah dalam keadaan pandemik juga kelas majikan telah meningkatkan kekayaan mereka dan Malaysia telah melahirkan 4 orang bilionair baru! 

Sepanjang pandemik, kelas majikan telah menerima dana kecemasan Covid yang bernilai berbilion-bilion Ringgit dari kerajaan. Pada masa yang sama, tidak kurang juga syarikat yang melihat durian runtuh sepanjang pandemik seperti syarikat pembuat sarung tangan getah Top Glove, syarikat farmaseutikal dan syarikat-syarikat penghantaran makanan dan logistik. Adakah kerajaan mengenakan sebarang cukai tambahan kepada pemilik syarikat-syarikat tersebut bagi menampung keperluan rakyat? Tidak, sebaliknya, wang simpanan hari tua rakyat telah dikosongkan dan terpaksa digunakan sebagai dana kecemasan pada waktu ‘lockdown’ dan pandemik. 

Pindaan Akta Kerja 1955 terbaru oleh kerajaan ini adalah sangat terhad dan masih memberikan kelebihan kepada pihak majikan untuk menindas para pekerja. Kebanyakan daripada seksyen daripada akta ini tidak disentuh dan tidak melihat sebarang perubahan untuk berdekad-dekad lamanya. Cuti tahunan, cuti umum, kiraan gaji untuk kerja lebih masa, jumlah pampasan henti kerja dan sebagainya masih sama seperti sebelum ini. Walaupun produktiviti kelas pekerja meningkat setiap tahun, hak dan perlindungan untuk mereka tidak melihat sebarang perubahan. Hanya kadar keuntungan majikan melihat peningkatan yang signifikan. 

Tambahan pula, Pindaan Akta Kerja 1955 ini sudahpun diwartakan dan menjadi sebahagian daripada undang-undang baru Malaysia. Kabinet tidak mempunyai hak ataupun kuasa untuk menafikan hak ini kepada pekerja Malaysia. Tetapi, atas desakan kelas kapitalis yang mempunyai kawalan keatas ekonomi dan politik negara, kerajaan sanggup mengambil langkah-langkah yang tidak demokratik dan menangguhkan penguatkuasaan terhadap pindaan Akta tersebut. 

Tuntutan rakyat

Isu utama yang sedang membelenggu fikiran semua rakyat di Malaysia, terutamanya mereka yang miskin adalah berkenaan dengan peningkatan inflasi dan kos kehidupan. Harga barangan asas seperti minyak masak, telur, ayam dan sebagainya sudah meningkat selepas kerajaan mula mengurangkan subsidi. Kos pengangkutan sudah meningkat bersama dengan harga sewa rumah. Tarif elektrik, air, kos servis dan sebagainya semua naik. Dari tahun ke tahun, rakyat Malaysia sedang menjadi semakin miskin. Tambahan pula dengan pandemik yang berlarutan untuk 2 tahun, rakyat biasa berada dalam keadaan yang terdesak. 

Gaji minimum baru sebanyak RM1500 masih tidak berupaya untuk menyelesaikan isu-isu ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat jelata. RM1500 bukanlah sebuah gaji kehidupan yang akan memberikan pekerja kebolehan untuk membina keluarga atau meningkatkan taraf kehidupan mereka. Dengan gaji minimum, para pekerja terpaksa melalui kehidupan yang sangat terbatas. Tambahan pula dengan hutang rumah dan kenderaan, pekerja bergaji minimum terpaksa hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lebih 50% daripada tenaga kerja di Malaysia hanya menerima gaji yang kurang daripada RM1700 dan kebanyakkan daripada mereka terpaksa melakukan kerja tambahan jika ingin membina kehidupan yang bermaruah.  

Selain daripada itu, ramai daripada pekerja juga tidak berpuas hati dengan gaji mereka yang tidak melihat sebarang peningkatan untuk bertahun-tahun lamanya. Baru-baru ini para pekerja dari kilang Denso Bangi telah melancarkan piket untuk menuntut penyelarasan gaji kepada para pekerja yang sedang menghadapi beban kehidupan yang tinggi. Sepatutnya, kerajaan harus melaksanakan penyelarasan gaji kepada pekerja dari tangga gaji tertentu (gaji yang rendah) mengikut peningkatan inflasi dan kos kehidupan setiap tahun.  

Mengikut kajian dari Bank Negara yang dibuat pada tahun 2017 (sudah 5 tahun dan harus dikemas kini), gaji wajar seorang bujang di bandar seperti Kuala Lumpur adalah sekitar RM2700 manakala untuk pasangan dengan 2 anak adalah RM 6500. Mengikut laporan tersebut, gaji wajar ini adalah pendapatan minimum bagi seorang individu atau pasangan untuk turut serta dalam masyarakat, membina keluarga dan membebaskan diri dari tekanan kewangan yang teruk. 

Laporan seperti ini mendedahkan kekurangan yang dirasai oleh kelas pekerja dan rakyat biasa yang tidak berupaya untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka walaupun terpaksa menghabiskan hampir semua masa mereka di tempat kerja. 

Kelas pekerja dan rakyat sudah tidak boleh menempuh kehidupan yang tidak mendatangkan sebarang kegembiraan dan hanya dipenuhi dengan dugaan. Gaji pekerja adalah sangat rendah berbanding keperluan mereka. Kelas majikan kaya, syarikat-syarikat besar dan para pemodal pula sedang menjadi kaya raya manakala kelas pekerja dan rakyat miskin menjadi semakin tertekan dan dibebankan dengan hutang.

Perjuangan rakyat

Dalam beberapa tahun ini, kerakusan ahli-ahli politik dari semua parti arus perdana yang wujud sudah terdedah. Masing-masing menaburkan pelbagai janji pada waktu pilihan raya tetapi mengabaikan janji tersebut sejurus mengangkat kuasa. Setiap tahun berlalu dengan pemerintahan baru, tetapi keadaan rakyat miskin tidak berubah, malah menjadi semakin teruk. Manakala, kelas majikan kaya sedang menjadi semakin selesa dalam menindas para pekerja demi keuntungan dan sedang meningkatkan kekayaan mereka.

Adalah sangat  jelas bahawa semua pertubuhan politik yang wujud pada waktu ini merupakan perwakilan kelas majikan dan akan sentiasa mengangkat agenda pihak kapitalis. Oleh itu, kelas pekerja dan rakyat biasa tidak mempunyai sebarang pilihan yang munasabah di pilihan raya. Melainkan jika kelas pekerja, anak muda dan rakyat tertindas boleh menggabungkan tenaga dan membina sebuah perwakilan politik yang mengangkat tuntutan-tuntutan massa dalam masa terdekat, kita tidak mempunyai sebarang solusi untuk keluar daripada krisis yang sedang dihadapi. 

Kami menyeru kepada semua pertubuhan kelas pekerja dan akar umbi rakyat untuk mengangkat persoalan perwakilan politik sebagai isu yang penting dan dijadikan sebagai agenda utama mereka. Jika sebuah Parti Kelas Pekerja dan Massa boleh dibina dengan tuntutan rakyat dan sokongan yang lebar, maka, perubahan yang nyata dapat dilihat untuk rakyat biasa. Tetapi, jika kuasa ekonomi dan politik di biarkan di bawah kawalan ahli-ahli politik dan kapitalis yang sedia ada, pastinya kehidupan rakyat akan dihumban ke dalam krisis ekonomi dan sosial yang berpanjangan.    

Sudah tiba masanya untuk negara kita dan dunia untuk meninggalkan ekonomi kapitalisme dan mula membina sistem sosialisme yang demokratik dan mampan. Kekayaan yang digondol oleh segelintir kapitalis perlu dituntut demi kesejahteraan majoriti rakyat biasa dan diagihkan secara saksama. Sistem kapitalisme yang hanya mengutamakan keuntungan golongan kapitalis harus ditolak dan sistem sosialisme yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai landasan utama harus di bina. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika kelas pekerja dan rakyat biasa dapat membina sebuah kepimpinan politik massa yang mempunyai perspektif untuk menentang agenda kelas kapitalis dan membawa agenda rakyat biasa ke hadapan.