KERAJAAN PINTU BELAKANG DIGUGAT OLEH COVID19, KEGAWATAN EKONOMI DAN KONFLIK DALAMAN  BERAPA LAMA PERIKATAN NASIONAL MAMPU BERTAHAN? APA POLITIK ALTERNATIF KEPADA RAKYAT BIASA?

KERAJAAN PINTU BELAKANG DIGUGAT OLEH COVID19, KEGAWATAN EKONOMI DAN KONFLIK DALAMAN BERAPA LAMA PERIKATAN NASIONAL MAMPU BERTAHAN? APA POLITIK ALTERNATIF KEPADA RAKYAT BIASA?

Posted by

Belum sampai dua tahun memerintah Malaysia, kerajaan Pakatan Harapan telah kehilangan majoriti di Parlimen dan telah berjaya digulingkan oleh pihak pembangkang. Perpecahan dalaman PKR, keputusan PPBM keluar dari PH dan muslihat pihak-pihak pembangkang yang menukar-nukar calon Perdana Menteri mengikut keadaan telah mendedahkan kelemahan sistem politik di negara ini kepada rakyat umum.

Selain perubahan kuasa kerajaan persekutuan, satu demi satu kerajaan negeri sudah jatuh dan digantikan dengan formasi baru yang di kenali secara tidak formal sebagai Perikatan Nasional (PN). Muhyiddin Yassin yang telah memimpin PPBM keluar dari PH, dilantik sebagai Perdana Menteri baru dengan andaian dia mempunyai mandat dan sokongan seramai 114 ahli parlimen. Walaupun sokongan ini belum lagi disahkan secara rasmi, segala upacara pentabalan PM dan sebagainya sudah berjalan tanpa sebarang sekatan.

Belum sampai sebulan lagi menjadi kerajaan, kerekahan dalam PN sudah mula timbul apabila pemimpin-pemimpin UMNO secara terbuka mengecam Muhyiddin yang telah memilih pemimpin-pemimpin partinya termasuk Azmin dalam jawatan-jawatan utama kabinet. Konflik ini dijangka akan menjadi besar apabila wabak Covid19 dan kejatuhan ekonomi tidak mampu ditangani oleh kerajaan. Dengan kepincangan dalaman PN dan keadaan ekonomi yang semakin teruk akibat Covid19 dan kejatuhan harga minyak berserta dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, sama ada kerajaan PN mampu bertahan sehingga bulan Mei apabila Parlimen bersidang, menjadi persoalan.

Dengan kerajaan PN dengan latarbelakang ekonomi yang semakin merosot, pertembungan kuasa dan ketidakstabilan politik dijangka berterusan. Dalam keadaan ini PH atau satu koalisi baru mungkin dibentuk untuk menubuhkan kerajaan. Tetapi adakah dengan perubahan satu kerajaan kepada kerajaan yang lain, harapan dan tuntutan rakyat biasa iatu pekerja, petani, nelayan, peneroka, orang asal, anak muda, wanita dan lain, mampu dipenuhi ?

Percanggahan agenda di kalangan komponen PH

Walaupun insiden terbaru datang sebagai satu kejutan kepada ramai, tetapi, faktor-faktor yang mengakibatkan ketidakstabilan di dalam kerajaan sudah lama bermula. Perpecahan dalaman di kalangan parti-parti komponen PH bukanlah sebuah rahsia dan sudahpun diketahui umum. Pergaduhan dan kekecohan yang berlaku di dalam majlis-majlis PKR seperti kongres pemuda telah mendedahkan sedikit sebanyak rekahan yang wujud di dalam parti tersebut. Tambahan pula dengan persaingan di antara Azmin Ali dan Rafizi Ramli untuk posisi Timbalan Presiden parti, pembentukkan kem atau faksi pembangkang di dalam PKR yang diketuai oleh Azmin Ali dan disokong oleh figura-figura yang prominen seperti Zuraida Kamaruddin (MP Ampang) dan Naib Presiden parti Tian Chua telah melemahkan kepimpinan parti itu( PKR hanya mempunyai 39 ahli Parlimen di belakang DAP dan UMNO). Pertelingkahan di antara kedua-dua faksi pro-Azmin dan pro-Anwar merupakan naratif utama yang telah mendominasi media tempatan untuk hampir 2 tahun.

PPBM pula telah menumpukan perhatian mereka bukan untuk kebajikan rakyat tetapi untuk mengukuhkan parti mereka yang bercita-cita untuk menjadi representasi politik utama bagi masyarakat Melayu. Dengan mempergunakan posisi bekas Pengerusi mereka yang menduduki kerusi PM dan ahli-ahli yang menduduki jawatan penting di dalam kerajaan, PPBM yang hanya mendapat 13 orang MP di PRU lepas telah menggandakan kerusi mereka ke 26 dengan menarik masuk ahli-ahli Parlimen yang berpecah dari UMNO. PPBM telah mempergunakan momentum yang terbina di belakang agenda reformasi di kalangan rakyat untuk cuba menjadi ‘UMNO baru’ yang dianggap sebagai mampu membawa balik kestabilan politik di Malaysia. Tidak ada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan bahawa PPBM benar-benar komited terhadap agenda ‘reformasi’ yang dilaungkan oleh ahli-ahli politik PH dari awal lagi.

Parti-parti DAP dan AMANAH tidak menghadapi cabaran-cabaran atau perubahan yang drastik seperti yang dilalui oleh parti-parti lain, tetapi mereka masih gagal untuk memainkan sebarang peranan untuk menguatkan posisi PH di dalam kerajaan. Apabila ahli-ahli parlimen dari kem pembangkang mula menyertai PPBM dalam angka yang banyak, kebanyakkan daripada pihak kepimpinan PH hanya berdiam diri tanpa melontarkan sebarang kritikan. Harus diingatkan bahawa kebanyakkan daripada kepimpinan PH ini tidak habis-habis mengkritik kelakuan ‘melompat parti’ semasa mereka menjadi pembangkang kerajaan dan apabila BN melakukan perkara yang sama. Kepimpinan PH juga tidak mengkritik hala tuju kerajaan dan barisan eksekutif negara yang telah mengkhianati rakyat Malaysia apabila mereka mengabaikan segala janji pilihan raya dan ikrar mereka sendiri untuk ‘reformasi’ sistem politik.

Aturan pasaran bebas dan kelemahan sistem kapitalisme telah membataskan kerajaan PH.

Masyarakat Malaysia juga terkejut dan kecewa dengan kebanyakkan daripada barisan kepimpinan PH yang telah menukar nada sejurus menjadi kepimpinan dan menunjukkan keangkuhan mereka dalam menjawab persoalan daripada masyarakat umum. Apabila dipersoal mengenai manifesto PRU kerajaan PH yang belum tertunai, PM Mahathir telah memperlekehkan soalan itu dengan mengatakan bahawa manifesto tersebut bukanlah sebuah kitab suci yang perlu dipatuhi. Ini mendedahkan sikap kerajaan yang tidak komited untuk memperjuangkan manifesto mereka sendiri dan hanya melemparkan retorik dan janji-janji kosong bagi memenangi PRU dan menduduki kuasa kerajaan.

Pemimpin PH yang dikawal dan dibataskan oleh aturan pasaran bebas tidak berupaya untuk menunaikan janji-janji mereka kepada hampir semua komuniti yang memerlukan bantuan kerajaan. Subsidi musim tengkujuh bagi nelayan dan petani telah di potong pada bajet pertama di bawah kerajaan PH. Apabila dipersoal, dengan nada yang serupa dengan bekas PM Najib yang menyarankan orang ramai untuk makan kangkung jika kekurangan duit, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mencadangkan para nelayan untuk menoreh getah pada musim hujan!

Walaupun menjanjikan bahawa hutang PTPTN akan dimansuhkan dan sistem pendidikan tinggi yang percuma akan diusahakan, sejurus mengambil kuasa kerajaan, segala janji tersebut telah dilupakan oleh semua ahli politik yang berkenaan. Jutaan anak muda yang telah berharap untuk bebas dari beban hutang yang berat dan jutaan lagi anak muda yang mengidamkan sebuah ijazah dari institut pendidikan tinggi, kini sedang rasa hampa dengan hala tuju kerajaan setakat ini.

Golongan kelas pekerja merupakan golongan yang paling terkesan dengan polisi-polisi kerajaan PH yang tidak memihak kepada kepentingan mereka. Kerajaan PH seringkali akur dengan kehendak kelas majikan yang membantah sebarang kenaikan gaji minimum. Malah dalam salah satu kenyataan, PM Mahathir telah mengugut para pekerja dengan mengatakan bahawa “lebih baik pekerja dapat gaji yang sedikit berbanding tiada gaji langsung”. Hujah ini hanya menegaskan propaganda kelas kapitalis yang mendakwa bahawa kelas pekerja akan kehilangan pekerjaan akibat pelaburan yang lari daripada negara ini jika gaji minimum negara ditingkatkan.

Selain itu, kerajaan PH juga telah menyambung legasi BN untuk meneruskan penswastaan segala prasarana pendidikan, kesihatan dan pengangkutan yang telah meningkatkan keuntungan bagi pemilik-pimilik syarikat yang kaya disamping meningkatkan kos kehidupan bagi rakyat biasa yang miskin. Pada masa yang sama, kedua-dua bajet yang dikendalikan oleh PH melihat pemotongan-pemotongan dana kebajikan rakyat.

Dalam keadaan ekonomi global dan tempatan yang tidak sihat, kerajaan PH yang beroperasi di dalam kerangka sistem ekonomi ini dan mematuhi segala kemahuan pasaran bebas, tidak berupaya untuk menunaikan janji-janji mereka. Kejatuhan harga komoditi seperti sawit, kenaikan harga barangan asas, peningkatan harga spekulasi hartanah dan peningkatan pengangguran adalah berpunca daripada kemelesetan sistem ekonomi dan ianya tidak boleh dikawal oleh kerajaan yang ingin mempertahankan sistem ini.

Golongan kapitalis kaya yang sedang berwaspada dengan situasi ekonomi dunia, sudahpun mula mengurangkan pelaburan mereka dan tidak bersedia untuk memberi sebarang konsesi kepada rakyat biasa. Kemahuan para kapitalis sedang mendesak pihak kerajaan untuk memulas keluar segala tenaga rakyat semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan mereka. Kerajaan PH pula tidak mengambil langkah konkrit untuk mencabar sistem ini dan hanya menjadi pak turut kepada golongan kapitalis kaya, sama seperti kerajaan BN sebelum ini.

PH gagal untuk mengekalkan sokongan rakyat

Kepincangan kerajaan ini sudahpun terdedah dari awal lagi apabila bekas PM Mahathir mewujudkan sebuah badan yang dikenali sebagai Council of Elders yang terdiri daripada individu-individu yang tidak dipilih melalui sebarang proses pemilihan yang demokratik untuk mengawal hala tuju ekonomi negara. Badan tersebut yang mengandungi pendokong kapitalis seperti Robert Kwok (orang terkaya Malaysia) dan Daim Zainuddin ini mendedahkan sifat kerajaan ‘Malaysia Baru’ yang dengan konsisten telah mengetepikan suara kolektif kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja atau organisasi masyarakat sivil bagi memberi ruang kepada kehendak kelas pemodal kaya. Hasilnya, perjuangan-perjuangan rakyat yang telah dilihat di zaman BN dahulu, juga dilihat berterusan di bawah kepimpinan kerajaan PH.

Bermula dengan protes pekerja membantah peningkatan gaji minimum yang tidak berpatutan, protes terhadap perlantikan Menteri Pendidikan Mazlee Malik sebagai Pengerusi UIA, protes tolak pembinaan tambak di Pulau Pinang, mogok pemandu lori di Putrajaya, mogok pemandu bas di Kelantan dan banyak lagi aksi rakyat telah menyusuli sehingga ke hari ini.

Bukan sekadar itu, malah kerajaan ini juga sudah mula kehilangan sokongan di pilihanraya apabila telah kalah di 5 daripada 10 pilihan raya kecil yang berlangsung selepas PRU lepas. Hasilnya, pihak pembangkang UMNO dan PAS telah memulakan kerjasama yang melihat kepada pembentukkan koalisi Muafakat Nasional yang juga mendapat sokongan daripada komponen-komponen lain dari BN. Pengukuhan kembali sokongan UMNO dan PAS di PRK telah berjaya menghentikan aliran ahli Parlimen yang keluar dari UMNO dan masuk ke PPBM dan telah memaksa PPBM untuk akhirnya menghulurkan tangan kepada pihak pembangkang untuk menjalinkan kerjasama bagi menggulingkan kerajaan PH. Kegagalan PH untuk mengekalkan sokongan mereka dikalangan rakyat merupakan antara faktor utama yang membawa kepada kejatuhan mereka.

Agenda Perikatan Nasional dan masa depan kerajaan

Koalisi baru yang dibentuk melalui kepimpinan PPBM Muhyidin Yassin dengan UMNO, PAS dan pecahan daripada PKR (diketuai oleh Azmin) mempunyai agenda mereka tersendiri dan langsung tidak membawa naratif ‘reformasi’ walaupun sekadar retorik. Pastinya beberapa ahli Parlimen UMNO yang sedang menghadapi perbicaraan akan melihat ini sebagai peluang untuk menggugurkan kes mereka dan melepaskan diri daripada hukuman. Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin lain dari PAS dan kumpulan Azmin juga akan dapat menikmati pangkat-pangkat eksekutif dan kementerian yang direbut-rebut. Ramai juga penganalisa politik yang sedang menjangkakan sebuah gabungan di antara PPBM dan UMNO yang boleh berlaku dalam masa terdekat disebabkan hala tuju dan dasar kedua-dua parti itu yang hampir serupa.

Jika Muhyiddin Yassin berjaya mengukuhkan sokongannya di kalangan majoriti ahli Parlimen dan berjaya menubuhkan sebuah kerajaan dengan kerjasama pemimpin-pemimpin yang korup seperti Najib Razak dan Zahid Hamidi, perkara ini pastinya akan mendatangkan ketidaksenangan di kalangan rakyat. Walaupun gabungan UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional telah mendapat sokongan di beberapa PRK sebelum ini, tetapi, ia tidak membawa maksud bahawa keyakinan rakyat terhadap BN sudah pulih. Rakyat yang kecewa dengan kepimpinan PH telah mengambil keputusan untuk menghukum mereka dengan membuang undi ke arah UMNO, tetapi ini tidak boleh disimpulkan sebagai UMNO mempunyai sokongan yang kuat dari rakyat. Kerajaan ‘pintu belakang’ yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang terbukti korup akan hanya menghasilkan lebih banyak pergolakkan dan ketidakstabilan yang akan memberi kesan yang dalam bagi rakyat biasa.

Tambahan pula, kerajaan baru yang diwar-warkan ini rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu. Cuma terdapat beberapa wakil dari MIC dan MCA berserta dengan beberapa orang asal dari Sarawak di bawah GPS yang datang dari latar belakang yang berbeza. Situasi ini akan melebarkan lagi jurang di antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu apabila pihak-pihak tertentu mula mempergunakan situasi ini untuk menyemarakkan api perkauman di kalangan rakyat biasa untuk kepentingan politik diri sendiri. Sebuah kerajaan yang tidak mencerminkan komposisi demografi negara akan pastinya menjadi tidak popular ataupun mewujudkan polarisasi di kalangan rakyat.

Rancangan parti PKR, AMANAH, DAP dan pecahan PPBM yang di ketuai oleh Mahathir adalah untuk mencabar kedudukan PM baru dengan mengemukakan undi tidak percaya di persidangan Parlimen. Persidangan Parlimen dijadualkan berlangsung pada bulan Mei nanti. Masa ini akan digunakan oleh kem Muhyiddin untuk menarik sokongan di kalangan ahli Parlimen lain dan mengukuhkan posisinya sebagai PM. Maka, terdapat dua kemungkinan: PM Muhyiddin dapat mengukuhkan sokongan dan membina sebuah kerajaan baru di bawah koalisi baru (PN), ataupun sebuah undi tidak percaya di Parlimen yang memaksa situasi ke arah Pilihan Raya Umum ke 15 atau satu lagi kerajaan baru dibentuk.

Parti-parti dan penyokong PH telah meluahkan keengganan mereka untuk memilih jalan Pilihan Raya Umum untuk menyelesaikan masalah ini kerana tidak yakin dengan kebolehan mereka untuk mengaut undi majoriti Parlimen untuk kali kedua dalam 2 tahun. Tetapi, akibat kekurangan kerusi Parlimen selepas pemergian PPBM, dan dengan perlantikkan Muhyiddin sebagai PM baru, PRU merupakan satu-satunya jalan untuk mencuba nasib dan merebut kembali kuasa kerajaan.

Pada masa yang sama, sebuah PRU baru juga mungkin tidak akan menghasilkan seorang pemenang yang jelas atau menubuhkan kerajaan yang kukuh. Dengan kekecewaan yang wujud di kalangan rakyat terhadap kedua-dua pihak pembangkang dan pemerintah, kebanyakkan besar daripada rakyat mungkin tidak akan teruja untuk keluar mengundi dan menjadi lesu dengan drama politik negara.

Tidak kira pihak mana yang akhirnya menjadi kerajaan, mereka akan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi (sebanyak RM45 billion telah lesap dari pasaran saham dalam beberapa hari semenjak kejatuhan kerajaan PH), krisis virus Covid-19 dan kemerosotan pasaran ekspot yang berterusan dari tahun lalu. Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kerajaan baru akan mendapati diri mereka dalam situasi yang sukar dan penuh dengan penentangan.

Politik perkauman

Propaganda berbentuk perkauman dan unsur-unsur rasisme yang telah berkembang di kalangan masyarakat Malaysia juga telah memainkan peranan dalam pergolakkan politik yang dirasai pada waktu ini. Berserta dengan kegagalan pihak kerajaan untuk memenangi keyakinan rakyat biasa, pihak pembangkang telah mempergunakan kemarahan rakyat untuk mewujudkan propaganda rasis yang tidak benar dan telah mewujudkan sifat prasangka antara kaum-kaum yang berbeza di negara ini. Parti UMNO dan PAS telah menuding jari ke arah parti DAP yang mempunyai ahli Parlimen yang banyak dan menduduki posisi penting di kerajaan sebagai punca kepada segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Walaupun rakyat biasa juga menghadapi penindasan dan eksploitasi yang hampir sama di bawah kepimpinan BN sebelum ini, dan walaupun semua rakyat miskin, tidak kira kaum dan agama sedang menghadapi ancaman-ancaman yang serupa dari segi ekonomi, masih lagi ada segolongan daripada rakyat yang akan termakan dengan propaganda yang ditaburkan oleh ahli-ahli politik atau demagog.

Tetapi, kerajaan PH yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang berpengalaman dan pernah berada di arena utama politik negara untuk berdekad lamanya, pasti sudah menjangkakan bahawa segala propaganda dan serangan berbentuk kaum akan dilemparkan ke arah mereka. Bukan sahaja PH, walau apapun koalisi yang menjadi kerajaan di Malaysia, haruslah menyedari bahawa struktur politik negara yang disusun mengikut perpecahan kaum akan sentiasa menjadi penghalang kepada sebarang usaha untuk meningkatkan demokrasi atau untuk menjalinkan hubungan baik di kalangan rakyat dari latar belakang yang pelbagai. Walaupun pada awalnya mendapat sokongan rakyat, apabila PH gagal untuk meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan mereka, situasi itu menjadi senjata yang baik untuk pihak pembangkang bagi menghidupkan tuduhan-tuduhan berbentuk perkauman.

Sememangnya, dengan pendirian yang berpaksikan kepada sistem kapitalisme yang hanya mengutamakan keuntungan para kapitalis kaya, PH tidak akan mampu untuk membawa program ekonomi yang berkesan bagi rakyat untuk memerangi agenda perkauman yang disebarkan oleh golongan tertentu. Ini adalah disebabkan oleh struktur politik negara, serupa dengan sistem politik yang diasaskan oleh kapitalisme di seluruh dunia, dibina dengan tujuan untuk memecah belahkan rakyat di atas garis kaum, agama dan identiti berbeza. Ini merupakan antara taktik yang digunakan oleh kelas kapitalis yang bilangannya kurang daripada 1% untuk terus menindas 99% daripada populasi dunia. Jika rakyat biasa dapat disatupadukan di bawah garis kelas atau perjuangan bersama, kelas kapitalis akan menghadapi ancaman yang besar dengan penentangan massa terhadap sistem ekonomi yang tidak adil ini.

PN atau PH bukan alternatif yang mampu membawa solusi kepada rakyat

Malangnya, PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP, Amanah dan PPBM merupakan parti-parti yang mempunyai agenda dan kepentingan politik masing-masing dan tidak sepakat dalam memperjuangkan hak rakyat sepertimana yang diwar-warkan. Mereka juga merupakan ahli-ahli politik yang percaya dan mendewa-dewakan sistem kapitalisme. Mungkin ada diantara mereka yang mengimpikan untuk membawa sebuah sistem kapitalisme yang mampu berfungsi secara adil bagi semua. Tetapi, ini merupakan sebuah utopia, dan di dalam situasi krisis ekonomi yang dikatakan akan melanda tidak lama lagi, perkara ini mustahil untuk dicapai. Bagi mempertahankan dan meningkatkan hak rakyat biasa yang terdiri daripada 99% daripada populasi, tidak ada cara lain selain untuk melancarkan sebuah perjuangan massa untuk menentang sistem kapitalisme dan menggantikannya dengan sebuah alternatif sosialisme yang akan berfungsi demi kepentingan rakyat tertindas.

Sejak awal pemerintahan, kerajaan PH hanya menggunakan keadaan ekonomi global yang sedang merudum sebagai alasan untuk melarikan diri daripada menunaikan janji-janji PRU mereka. Tetapi, walaupun terdapat kemelesetan ekonomi di skala global, para pemodal, pemilik syarikat dan kapitalis kaya yang bilangannya kurang daripada 1% daripada populasi negara didapati berjaya menggandakan kadar keuntungan mereka ke tahap-tahap bersejarah. Manakala, kondisi kehidupan rakyat biasa sedang merosot setiap hari dengan pengumuman-pengumuman baru dari kerajaan yang sedang memotong segala kebajikan dan melaksanakan polisi-polisi ekonomi yang berpihak kepada kelas kapitalis sahaja.

Daripada pengalaman di bawah kerajaan PH, tidak ada sebarang perubahan yang ketara telah berlaku bagi kehidupan rakyat majoriti jika dibandingkan dengan zaman pemerintahan BN sebelum ini. Kos kehidupan bagi rakyat biasa sedang meningkat, krisis pengangguran di kalangan anak muda sedang berkembang, berpuluh-ribu kelas pekerja sedang menghadapi pemotongan kerja dan kualiti alam sekitar sedang merosot akibat pembangunan yang tidak terkawal dan berpandukan kepada keuntungan swasta. Rakyat biasa yang telah mengharapkan sebuah perubahan yang ketara di dalam kehidupan mereka sedang menghadapi prospek yang sangat malap untuk mereka dan ahli keluarga mereka.

Ada sebilangan daripada ahli politik PH yang semangnya ingin meningkatkan kebajikan rakyat dan warga miskin dengan ikhlas. Tetapi, akibat keterikatan mereka dengan agenda kapitalisme dan pasaran bebas, mereka tidak berjaya melakukan sebarang perubahan yang bermakna dan percubaan mereka akan sentiasa dicantas oleh golongan berkepentingan. Perkara ini mendedahkan bahawa, kemajuan bagi kelas pekerja dan rakyat miskin hanya boleh dicapai dengan berjuang menentang sistem kapitalisme dan bukannya melalui menghadkan diri di dalam kerangka dan aturan sistem ini. PN juga dijangka akan dicengkam oleh kepincangan sistem kapitalisme dan harapan rakyat tidak mampu dipenuhi.

Pembinaan alternatif menentang sistem kapitalisme yang mencengkam manusia

Hakikatnya, rakyat biasa sudah mula menyedari bahawa mereka tidak mempunyai sebarang suara politik yang benar-benar mengangkat aspirasi mereka di dalam sistem ekonomi dan politik kapitalisme. Ahli-ahli politik yang menggelar diri mereka sebagai pejuang rakyat, bangsa dan agama seringkali didapati mengkhianati rakyat semata-mata untuk kepentingan pangkat dan wang. Dengan kemelut politik terkini, pastinya sebilangan besar daripada rakyat sudah mula hilang harapan dengan proses pilihan raya yang langsung tidak membawa sebarang makna atau kelebihan bagi mereka.

Selama lebih dari 20 tahun, sejak bermulanya gerakan ‘reformasi’ yang memuncak dengan kejatuhan kerajaan BN pada PRU lepas, pelbagai lapisan anak muda, organisasi sivil, organisasi hak asasi dan parti politik telah menerima koalisi PR atau PH sebagai kepimpinan mereka dan telah berjuang tanpa jemu untuk menjatuhkan BN yang dianggap sebagai zalim. Ramai yang berhujah bahawa tugasan utama rakyat yang berjuang adalah untuk menjatuhkan BN, dan PH merupakan satu-satunya kuasa yang mampu melakukannya. Tetapi, perjuangan selama 20 tahun itu telah dikuburkan dalam masa kurang daripada 2 tahun selepas PH mengambil alih pemerintahan. Dalam masa beberapa hari sahaja, hujah-hujah pejuang-pejuang rakyat yang menyokong PH telah terbukti salah dan tidak berjaya membawa sebarang perubahan yang kekal. Akhirnya, kuasa-kuasa penindas lama telah berjaya masuk balik ke tampuk kekuasaan melalui pintu belakang dan menggulingkan PH dengan mudah. Dengan kejatuhan PH, polarisasi yang akan berkembang di kalangan pengundi bandar dan luar bandar juga akan semakin membesar dan akan mewujudkan ketidakstabilan politik yang berpanjangan.

Dengan pengalaman ini, golongan anak muda dan pejuang-pejuang rakyat dari kelas pekerja harus menyedari kesilapan mereka selama ini dan harus mengambil langkah untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman PH. Sudah terbukti dengan jelas bahawa ahli-ahli politik PH bukan sahaja tidak komited untuk membawa sebarang agenda ‘reformasi’, malah, masing-masing mempunyai kepentingan peribadi yang terikat dengan kepentingan golongan kaya.

Perjuangan untuk perubahan sistem politik yang lebih demokratik haruslah bermula dengan sebuah program ekonomi yang mengangkat taraf kehidupan rakyat majoriti dan mampu memenangi keyakinan mereka. Kepimpinan PH yang terdiri daripada pendokong sistem kapitalis tidak akan bersedia untuk melakukan perkara ini dan akan sentiasa gagal untuk mengekalkan sokongan rakyat.

Oleh itu, organisasi kelas pekerja, organisasi yang berhaluan kiri, kumpulan-kumpulan anak muda yang ingin mempertahankan hak demokrasi dan hak asasi haruslah menyatukan tenaga mereka dengan jutaan rakyat yang sedang berada di dalam krisis dan membina sebuah kepimpinan yang memperjuangkan aspirasi rakyat 99%. Kepimpinan politik ini haruslah berbekalkan dengan program-program ekonomi yang popular di kalangan rakyat seperti peningkatan gaji minimum, pendidikan percuma, sistem perumahan awam, meningkatkan cukai terhadap korporat dan orang kaya bagi membiayai dana kebajikan rakyat awam dan sebagainya. Pada masa yang sama, kepimpinan ini juga haruslah bersedia untuk menentang pendokong-pendokong sistem kapitalisme dengan mengatur aksi-aksi mogok di tempat kerja, protes, demonstrasi dan sebagainya untuk membina perjuangan rakyat.

Sistem kapitalisme yang sedang menghasilkan pergolakkan ekonomi, politik dan sosial di seluruh dunia juga sedang mewujudkan porak peranda di arena politik negara. Walaupun terdapat pelbagai pihak yang mencalonkan diri mereka sebagai penawar kepada masalah ini, tidak ada seorang pun daripada ahli-ahli politik tersebut yang telah membuktikan keikhlasan mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat biasa. Dalam situasi sebegini, rakyat majoriti yang tidak mempunyai sebarang harapan dengan mana-mana pilihan politik yang ada, sedang mencari sebuah alternatif yang benar-benar mampu akan mengangkat suara mereka. Jika sebuah alternatif yang munasabah tidak dibentangkan kepada rakyat dalam masa yang terdekat, terdapat bahaya besar di mana ruang tersebut boleh dipergunakan oleh orang-orang politik untuk menyebarkan propaganda perkauman bagi kepentingan diri sendiri.

Oleh itu, tugasan yang amat penting yang sedang dihadapi oleh anak muda dan kelas pekerja yang tersusun adalah untuk membina sebuah parti pekerja massa yang terdiri daripada rakyat biasa sebagai sebuah matlamat untuk menggantikan sistem kapitalisme dengan sistem sosialisme yang demokratik, adil dan mampu menjalinkan silaturahim di kalangan rakyat yang berbeza latar belakang dan identiti. Tolak segala alternatif politik yang bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat dan mulakan perjuangan berdasarkan kepada semangat solidariti di kalangan kelas pekerja, anak muda dan rakyat tertindas yang lain!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*