Kepentingan untuk Membina Alternatif Politik

Kepentingan untuk Membina Alternatif Politik

Posted by

Dengan kejatuhan rejim BN yang telah memerintah negara selama lebih 6 dekad pada Mei lalu, rakyat Malaysia telah mengharapkan sebuah kepimpinan baru yang boleh meningkatkan taraf hidup kelas pekerja dan rakyat miskin dan pada masa yang sama mampu menguatkan perpaduan di kalangan rakyat dari latar belakang berbeza. Tetapi, selepas hampir setahun di bawah pemerintahan pihak PH yang telah menabur pelbagai janji-janji manis pada PRU lepas, rakyat biasa masih berhadapan dengan krisis ekonomi, krisis sosial dan pelbagai masalah yang telah bermula di bawah rejim BN dan kini terus bersambung di bawah kerajaan baru.

Berhadapan dengan inflasi yang tinggi, peningkatan kos kehidupan, sokongan sosial yang tidak cukup, hutang isi rumah yang menggunung, kadar pengangguran yang banyak dan banyak lagi masalah kehidupan, rakyat biasa telah mengundi dengan kadar yang banyak untuk menjatuhkan BN. Mereka sudah muak dengan polisi dan kepimpinan BN yang hanya mengutamakan kekayaan golongan kapitalis atau pemilik korporat kaya yang bilangannya kurang 1% daripada populasi. Kebajikan rakyat biasa pula diabaikan sepenuhnya dan hanya dipergunakan sebagai gula-gula untuk merebut undi setibanya pilihanraya umum. Sejurus selepas PRU habis, rakyat biasa tidak lagi diberikan ruang untuk berpartisipasi dalam menentukan hala tuju ekonomi atau politik negara dan segalanya akan diputuskan oleh segelintir minoriti yang mempunyai penguasaan terhadap seluruh sistem ekonomi negara.

Malangnya bagi jutaan rakyat terutamanya dari kalangan kelas pekerja yang tertindas, kerajaan PH yang juga diperbuat daripada acuan yang sama dengan BN tidak menawarkan sebarang alternatif yang mampu mengubah nasib mereka. Sejurus selepas mendapat kuasa pemerintahan negara, kerajaan PH terus melupakan segala janji PRU mereka dan agenda ‘reformasi’ yang dilaung-laungkan oleh pemimpin komponen PH sudah tidak didengari lagi. Bajet 2019 mendedahkan kegagalan kerajaan ini untuk memenuhi aspirasi rakyat biasa dan sebaliknya memberikan pelbagai kelonggaran dan pelepasan cukai untuk segelintir pemilik syarikat. Dengan konsesi yang diterima, para pemilik syarikat ini akan meningkatkan keuntungan peribadi mereka dan menambah kekayaan yang sudahpun melimpah-limpah hasil eksploitasi pekerja miskin. Sebaliknya, jika kerajaan dapat meningkatkan cukai bagi korporat kaya untuk menambah dana kebajikan sosial rakyat, atau memaksa syarikat besar untuk membayar gaji minimum yang lebih tinggi untuk pekerja mereka, langkah ini akan dianggap sebagai menyebelahi aspirasi kelas pekerja biasa dan akan mendapat sokongan padu daripada majoriti rakyat. Tetapi kerajaan PH, sama seperti kerajaan BN sebelum ini sedang dikawal secara sepenuhnya oleh tangan-tangan ghaib korporat atau kapitalis kaya.

Selain daripada para nelayan, petani dan pekerja miskin yang sedang rasa tertipu dengan kerajaan PH, anak muda dan para mahasiswa juga sedang kecewa dengan hala tuju kepimpinan ‘Malaysia baru’. Komponen PH telah menaburkan pelbagai janji untuk menguatkan tunas demokrasi, menghapuskan beberapa akta yang zalim seperti Akta Hasutan dan Akta Kolej dan Universiti, meringankan beban kos pendidikan termasuk hutang pendidikan dan sebagainya sebelum menjadi kerajaan. Walaupun majoriti anak muda telah memberikan sokongan kuat kepada PH pada PRU lepas, kini, aspirasi mereka tidak dilayan dan dipinggirkan begitu sahaja. Apabila dipersoalkan, Perdana Menteri Mahathir mampu memperlekehkan janji-janji tersebut dan mengatakan bahawa manifesto PRU bukanlah sebuah kitab dan oleh itu tidak perlu ditunaikan. Ini merupakkan sebuah tamparan kepada bukan sahaja jutaan rakyat yang telah mengundi untuk perubahan kerajaan, malah ia merupakan sebuah kejutan bagi pelbagai organisasi sivil, NGO, kumpulan anak muda dan mahasiswa yang telah bertungkus-lumus berkempen bagi memenangkan PH di PRU lepas.

Daripada pengalaman ini kita harus sedar bahawa kerajaan PH tidak akan memenuhi aspirasi majoriti untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat biasa dan tidak bersedia untuk mengamalkan demokrasi yang lebih telus bagi memberikan kuasa kepada rakyat biasa untuk menentukan hala tuju kehidupan masing-masing. Ini adalah kerana semua komponen PH merupakan pendokong sistem ekonomi kapitalisme yang memberikan kuasa ekonomi kepada kelas kapitalis. Begitu juga dengan parti-parti pembangkang lain yang walaupun membawa retorik dan penerampilan yang berbeza, tidak merujuk kepada sistem kapitalisme sebagai punca permasalahan rakyat majoriti dan gagal untuk membawa solusi yang boleh menggantikan sistem ini.  

Sepertimana yang sedang berlaku di seluruh dunia, segala langkah untuk mereformasi sistem kapitalisme ini dihadapi dengan kegawatan ekonomi yang lebih teruk yang menjurus kepada krisis ekonomi dan sosial bagi jutaan rakyat biasa. Di setiap pelosok dunia pada masa ini, sistem kapitalisme yang telah mengecewakan rakyat majoriti sedang menghadapi penentangan yang hebat daripada gerakan-gerakan massa rakyat dan aksi mogok daripada kelas pekerja. Bagi mempertahankan sistem ini daripada runtuh, pihak kapitalis sedang cuba untuk memecah belahkan perpaduan rakyat dengan menggunakan propaganda dan sentimen perkauman dalam kempen politik mereka. Pada waktu yang sama, kepimpinan politik yang mengancam kesejahteraan rakyat ini pula tidak mendapat penentangan yang secukupnya daripada pihak yang membawa sebuah solusi untuk keluar daripada krisis yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat biasa.

Krisis ekonomi dan sosial yang sedang melanda di negara-negara lain juga sedang menghampiri negara kita dan pelbagai gerakan massa juga boleh tercetus di sini. Pada waktu itu, kelas pekerja dan rakyat biasa harus mempunyai kepimpinan politik yang membawa solusi sosialisme yang demokratik bagi menggantikan sistem ekonomi kapitalisme. Sosialisme merupakan sistem ekonomi yang berdasarkan kepada pemilikan kuasa produksi secara awam yang meletakkan kuasa ekonomi dan kuasa politik di bawah kawalan demokratik rakyat terbanyak. Kelas pekerja dan rakyat biasa majoriti akan dibekalkan dengan kuasa untuk menentukan polisi-polisi ekonomi dan sosial yang akan memberikan kesan kepada hidup mereka. Sistem ini memberikan kepentingan kepada kebajikan dan kehendak rakyat majoriti yang berkerja dan tidak akan berfungsi untuk kelas yang memiliki kekayaan sahaja.  

Rakyat biasa, kelas pekerja dan anak muda dari lapisan tertindas tidak boleh bergantung dengan ahli-ahli politik yang ada untuk memenuhi kehendak rakyat majoriti. Kewujudan ahli-ahli politik pertubuhan ini adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada punca sebenar bagi permasalahan mereka dan memaksa rakyat untuk mengikut kehendak kelas majikan kaya. Sebaliknya kita harus bergantung dengan kekuatan gerakan-gerakan rakyat akar umbi yang memperjuangkan hak rakyat tertindas sebagai kuasa perubahan dalam masyarakat. Perjuangan rakyat yang muncul akibat kekecewaan terhadap kerajaan PH haruslah mempunyai sebuah kepimpinan politik yang mengasaskan dirinya dengan kuasa gerakan rakyat, mempunyai program yang mengangkat aspirasi rakyat tertindas dan mempunyai sebuah solusi sistem sosialisme yang demokratik untuk menangani masalah sistem ekonomi kapitalisme. Kepimpinan politik seperti itu akan berjaya menyatukan rakyat melalui program ekonomi dan sosial yang adil untuk semua dan pada masa yang sama mampu menjatuhkan dominasi kapitalis elit yang sedang menguasai ekonomi dan politik negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*