Solidariti Buat Pekerja Migran di Syarikat Mediceram yang Sedang Mogok Kali Ketiga Dalam Memperjuangkan Hak Mereka!
Kenyataan Umum Jaringan Solidariti Pekerja, AKSI dan Sekolah Merdeka
Gelombang mogok di Mediceram: Seramai 190 orang pekerja migran dari Bangladesh berjuang menuntut hak mereka. Pengkhianatan kelas kapitalis perlu ditentang dan solidariti sesama kelas pekerja perlu dibina.
Mediceram Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuat acuan seramik untuk industri sarung tangan yang menjadi pembekal kepada pelbagai jenama multinasional seperti Ansell, YTY dan juga Top Glove, telah didakwa mengeksploitasi pekerja migran sejak tahun 2017. Para pekerja ini direkrut melalui sindiket pemerdagangan manusia, sebagaimana yang telah disahkan dalam pelbagai laporan media dan badan antarabangsa termasuk PBB.
Mereka dipaksa membayar yuran pengambilan mencecah purata RM22,500, menyebabkan ramai terperangkap dalam belenggu hutang jangka panjang — dengan kadar faedah tinggi dan tanpa jaringan sokongan. Dalam keadaan ini, gaji mereka sering dipotong secara tidak tetap, pasport dirampas, dan mereka diugut akan dipecat atau dihantar pulang sekiranya bersuara menuntut hak.
Mogok yang bermula pada 1 Mac 2025 membawa bersama tuntutan jelas: pembayaran tunggakan gaji dan kerja lebih masa, pemulangan pasport, pembaharuan permit kerja, pembaikan kondisi penginapan, serta pembayaran semula semua kos pengambilan. Namun, tekanan terhadap mereka semakin meningkat. Terdapat dakwaan bahawa sebelas ahli jawatankuasa pekerja telah diugut bunuh oleh pihak pengurusan — suatu taktik yang jijik dan memaparkan keangkuhan kelas kapitalis dalam menghadapi tuntutan sah pekerja. Walhal, para pekerja telah pun menyatakan kesediaan untuk terus bekerja sekiranya pihak majikan menyelesaikan isu-isu asas yang telah lama berlarutan.
Hasil daripada tekanan kolektif para pekerja, dengan sokongan penyiasat hak buruh antarabangsa Andy Hall, Mediceram akhirnya bersetuju bersama pihak pembelinya untuk membayar semula kos pengambilan purata sebanyak RM22,500 kepada setiap pekerja, sebagaimana yang ditemui melalui proses audit yang dikendalikan oleh badan pihak ketiga (RBA), dengan tarikh akhir pembayaran ditetapkan pada Januari 2026. Syarikat itu juga bersetuju untuk membayar semula kos tersebut kepada bekas pekerja.
Pekerja migran di mana-mana negara sekalipun sering terperangkap dalam situasi pekerjaan yang tidak banyak bezanya daripada bentuk perhambaan moden. Keadaan tempat tinggal yang tidak selamat, sempit, dan kotor; belenggu hutang serta kadar faedah yang tinggi sehingga mengikat dan memburukkan lagi kehidupan seluruh keluarga di kampung-kampung; pekerjaan yang berisiko dan tidak selamat; serta ketiadaan jaringan sokongan sosial yang benar-benar membantu — kesemuanya memperlihatkan realiti bahawa pekerja migran telah lama dieksploitasi dan ditindas semaksimum mungkin oleh kelas majikan.
Di Malaysia, satu kajian oleh Verité, Sheva Consultants, BOMSA dan WARBE-DF (2024) menunjukkan bahawa 96% pekerja migran terpaksa mengambil pinjaman semata-mata untuk menampung kos pengambilan kerja, termasuk bayaran dokumen, pemeriksaan kesihatan, dan tambang perjalanan; manakala 73% daripada mereka membelanjakan antara separuh hingga seluruh gaji bulanan untuk melunaskan hutang tersebut. Tambahan pula, ramai yang menjadi mangsa janji palsu mengenai kadar gaji dan syarat kerja, lalu terpaksa menanggung tekanan mental akibat beban kewangan yang berpanjangan.
Laporan oleh International Organization for Migration (2023) pula mendedahkan bahawa ramai pekerja yang asalnya tiba secara sah akhirnya menjadi tidak berdokumen setelah dipaksa meninggalkan pekerjaan akibat eksploitasi berat oleh majikan, kelewatan pembaharuan permit, penipuan kontrak, serta penahanan pasport oleh majikan atau ejen. Situasi pekerjaan yang berbahaya dan keadaan tempat tinggal yang amat daif turut menjadi faktor utama yang menekan pekerja untuk keluar dari tempat kerja. Dalam masa yang sama, pihak majikan terus bebas membolot keuntungan secara tidak terkawal, tanpa sebarang bentuk pertanggungjawaban yang mampu mengekang kerakusan mereka. Sementara itu, para pekerja terus hidup dalam ketakutan — tanpa akses kepada keadilan, tanpa saluran aduan yang berfungsi, dan tanpa sebarang jaminan hak asasi manusia yang sepatutnya mendasari setiap bentuk pekerjaan.
Situasi ekonomi global yang sedang dilanda krisis semakin memburukkan keadaan kelas pekerja secara umum. Dalam konteks ini, pekerja migran menjadi mangsa penindasan yang berlipat ganda demi memastikan kos pengeluaran dapat ditekan serendah mungkin. Pekerja Bangladesh bukan sahaja dieksploitasi oleh majikan antarabangsa dan kerajaan Malaysia, tetapi juga oleh kerajaan Bangladesh sendiri, yang berada di bawah cengkaman imperialisme dan tidak memiliki kuasa untuk melindungi serta membangkitkan buruh migran Bangladesh daripada pelbagai ancaman yang mereka hadapi di seluruh dunia. Kelas kapitalis, dalam usaha menjamin keuntungan yang berterusan, akan terus mencari pelbagai cara untuk mengeksploitasi buruh. Bagi menuntut keadilan dan memenuhi tuntutan asas, para pekerja telah mengambil keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa dan membuat keputusan secara sebulat suara untuk melancarkan mogok sebagai langkah besar melawan penindasan dan pengkhianatan pihak majikan.
Mogok pekerja merupakan senjata paling ampuh untuk membuktikan bahawa kuasa sebenar dalam ekonomi terletak di tangan mereka sendiri. Ia juga merupakan kaedah yang berkesan untuk menuntut hak yang adil dan saksama. Namun begitu, setiap tindakan mereka pasti akan ditentang habis-habisan oleh kelas kapitalis. Oleh itu, sokongan daripada organisasi buruh lain — terutamanya organisasi anak muda dan pekerja tempatan — amat diperlukan bagi memastikan mogok ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sehingga segala tuntutan asas mereka dipenuhi dan dipertanggungjawabkan oleh pihak majikan.
Kami menyatakan solidariti sepenuhnya dalam menyokong tindakan pekerja yang sedang mogok demi menuntut hak mereka. Mustahil pokok boleh bergoncang jika tiada angin yang meniupnya. Tindakan mogok yang diteruskan oleh pekerja di Mediceram merupakan reaksi terhadap penindasan yang dilakukan oleh pihak majikan itu sendiri. Perjuangan pekerja migran di Malaysia perlu disokong dan diperkukuhkan oleh organisasi pekerja tempatan — khususnya kesatuan sekerja yang kuat dan berprinsip.
Penindasan yang sedang berlaku terhadap mereka juga mencerminkan dengan jelas bagaimana kelas kapitalis tidak mengendahkan hak asasi golongan pekerja. Maka menjadi tanggungjawab kesatuan sekerja dan organisasi buruh untuk membina jambatan sokongan serta solidariti dalam memperkukuh perjuangan pekerja di Mediceram. Bahkan pembinaan jawatankuasa sedia ada ini perlu diperkembangkan lagi dan dikukuhkan ke dalam sebuah kesatuan sekerja yang militan serta berkemampuan untuk membela dan menentang penindasan kelas kapitalis terhadap pekerja migran di negara-negara serantau. Perjuangan ini, tidak lagi berpaksikan hal ekonomi semata-mata, namun berhubungan dengan perjuangan politik yang mandiri dan bebas daripada pengaruh kelas kapitalis dan perwakilan mereka di dalam parlimen.
Kami, organisasi Jaringan Solidariti Pekerja, AKSI dan juga Sekolah Merdeka, berpandangan bahawa tindakan majikan yang berterusan mengkhianati persetujuan sedia ada menunjukkan sikap acuh tak acuh pihak pengurusan terhadap tuntutan asas para pekerja. Sebaliknya, pengurusan hanya mementingkan keuntungan syarikat semata-mata, sehingga sanggup bertindak secara sesuka hati dan memanipulasi pekerja yang sedang berjuang.
Bahkan kami turut mendapat berita bagaimana pihak pengurusan melakukan intimidasi terhadap pekerja Mediceram dengan memanggil polis dan pihak berkuasa — dengan sengaja menakut-nakutkan pekerja, walhal kelas pekerja hanya menuntut hak asas mereka secara adil! Ternyata kelas majikan, berserta kuasa aparatus kerajaan bersekongkol bersama dalam membungkam penentangan kelas pekerja. Kami melihat perjuangan pekerja Mediceram sebagai sebahagian daripada perjuangan kelas yang lebih meluas — yakni sebagai perjuangan menentang kerakusan ekonomi kapitalisme itu sendiri. Hanya dengan membina gerakan kelas pekerja yang menjangkaui batas negara, etnik, bahasa dan agama — sebuah perjuangan yang seutuhnya dapat dibina — ke arah sebuah dunia sosialisme.
Seiring dengan kenyataan ini, Jaringan Solidariti Pekerja turut melampirkan senarai tuntutan asas para pekerja yang terlibat dalam mogok ini.
Aduan Serius Mengenai Hak dan Keselamatan Pekerja
Dengan penuh kesal dan kekecewaan, kami memaklumkan bahawa hampir 190 orang pekerja sedang berdepan dengan gangguan yang berterusan. Janji-janji terdahulu — sama ada melalui perjanjian bertulis mahupun lisan — telah berulang kali dimungkiri oleh pihak pengurusan, menyebabkan layanan tidak adil terhadap pekerja.
Kami menuntut satu penyelesaian yang kekal, bermaruah, dan berkesan. Isu-isu berikut disenaraikan mengikut keutamaan:
Ancaman dan Salah Laku oleh Pegawai Keselamatan:
Pada 24 Jun jam 4:50 petang, pihak pengurusan telah menganjurkan satu mesyuarat di mana para pekerja diminta menandatangani satu dokumen tanpa penjelasan yang jelas. Apabila pekerja bertanya tentang sebabnya, Pegawai Keselamatan telah mengugut dan memarahi mereka.
Tingkah laku ini bukan sahaja tidak profesional, malah sangat tidak hormat dan menjatuhkan semangat para pekerja.
Ancaman Bunuh Terhadap 11 Ahli Jawatankuasa:
Dalam satu mesyuarat baru-baru ini, majikan secara langsung mengugut untuk membunuh 11 orang ahli jawatankuasa kerana menyuarakan kebimbangan dan tuntutan pekerja.
Ini bukan sekadar ancaman peribadi — ia merupakan ancaman serius terhadap keselamatan dan maruah seluruh tenaga kerja.
Kelewatan Visa dan Pemungkiran Janji:
Pihak pengurusan telah berjanji bahawa menjelang 15 haribulan, semua pekerja akan menerima visa dan passport mereka. Namun realitinya, lebih 90 pekerja masih belum menerima visa.
Ini adalah satu bentuk penipuan yang jelas dan mengancam masa depan serta kestabilan hidup pekerja.
Penghantaran Pulang Secara Paksa Terhadap Pekerja yang Disahkan Sihat:
Seorang pekerja yang pada awalnya diklasifikasikan tidak sihat dalam ujian perubatan, kemudiannya telah disahkan sihat dalam ujian kedua oleh pihak berkuasa yang diiktiraf. Walaupun begitu, tiket penerbangan untuk menghantarnya pulang ke Bangladesh pada 1 haribulan telah disahkan.
Menurut perjanjian sebelum ini, mana-mana pekerja yang dihantar pulang harus diberikan bayaran balik penuh bagi yuran pengambilan. Tiada jaminan sedemikian diberikan, menyebabkan pekerja dan keluarganya mengalami tekanan kewangan dan emosi yang berat.
Pengabaian Rawatan Perubatan dan Ketidakhormatan terhadap Jawatankuasa:
Apabila pekerja jatuh sakit, rawatan segera sering dilewatkan. Jika ahli jawatankuasa campur tangan, pihak pengurusan memberikan layanan yang kasar dan tidak menghormati.
Tuntutan: Pihak pengurusan mesti menghormati peranan jawatankuasa dan memastikan tindakan segera diambil untuk kesihatan dan kebajikan pekerja.
Penipuan Berkaitan Yuran Pengambilan:
Walaupun pelanggan telah membayar yuran pengambilan, pihak pengurusan tidak mengagihkan bayaran tersebut secara adil kepada pekerja. Dalam satu perbincangan dengan jawatankuasa, majikan telah berjanji untuk membayar RM2800, tetapi kemudian mengurangkannya kepada RM1800. Ini telah menyebabkan kesulitan kewangan dan tekanan emosi yang serius kepada pekerja.
Tuntutan: Bayar keseluruhan yuran pengambilan secara sekaligus bagi mengurangkan tekanan kewangan ke atas pekerja.
Yuran Pengambilan untuk Pekerja yang Telah Dihantar Pulang:
Mengikut perjanjian, pekerja yang telah pulang ke Bangladesh sepatutnya menerima bayaran balik yuran pengambilan mereka. Namun, pihak pengurusan tidak mengambil sebarang tindakan, dan pekerja tersebut kini hidup dalam keadaan sangat sukar.
Pelanggaran Perjanjian:
Selepas jawatankuasa baharu dibentuk, pihak pengurusan telah menandatangani satu perjanjian bersama untuk menerima tuntutan pekerja. Namun, dalam mesyuarat terkini, majikan menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau tidak akan mematuhi perjanjian tersebut.
Ini adalah satu pelanggaran kepercayaan dan komitmen yang amat serius.
Kesempitan Bilik dan Risiko Kesihatan:
Di asrama baharu, setiap bilik kecil dipaksa menampung 6 orang pekerja, sedangkan pekerja dari syarikat lain hanya menempatkan 3 orang sebilik. Disebabkan cuaca panas melampau dan kesesakan, ramai pekerja jatuh sakit.
Tuntutan: Pastikan pengagihan bilik yang adil dan kurangkan bilangan penghuni untuk menjaga kesihatan dan keselamatan.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan



Berita & Analisa Terkini




