Kenyataan Hari Buruh 2025 oleh Sosialis Alternatif: Kelas pekerja harus bangkit bina perjuangan dalam era cabaran baru!
Sepanduk Sosialis Alternatif yang menyeru untuk membina kesatuan sekerja dan membantah union-busting boleh dilihat ketika kami turun ke jalan untuk berkempen dengan surat khabar dan bahan bacaan pekerja kami. Selamat Hari Buruh 2025!
Tahun ini, kelas pekerja di seluruh dunia menyambut Hari Pekerja dalam ketidaktentuan ekonomi dan politik yang mencerminkan cabaran era baru. Perang dagang antara AS dan China, konflik dan kemusnahan di Timur Tengah, telah menjadi ciri utama dalam sambutan hari pekerja tahun ini. Gelombang kebangkitan semula gerakan massa terutama dalam menentang kekejaman Israel, turut menjadi ciri utama sambutan Hari Pekerja. Pasca Pandemik COVID 19 menyaksikan semula pemulihan ekonomi yang minimum kemudian berkembang perlahan bagi kelas pekerja dan rakyat biasa di seluruh dunia.
Tekanan kos sara hidup
KDNK Global telah menunjukkan pencapaian 25 kali ganda lebih tinggi berbanding pada tahun 1950. Iaitu daripada AS$4.08 trillion kepada AS$106.7 trillion. Manakala purata pendapatan kelas pekerja di seluruh dunia berbanding tahun 1950 dan 2023 menunjukkan peningkatan iaitu AS$3300 pada tahun 1950 dan AS$15, 200 pada tahun 2023. Tetapi jika kadar inflasi dan nilai mata wang diselarikan mengikut tahun 2023, purata pendapatan pada tahun 1950 menjadi AS$40,969. Jauh lebih rendah dari apa yang selayaknya diperoleh kelas pekerja. Ini bermakna kelas pekerja di seluruh dunia sedang mengalami penurunan gaji pendapatan dan kemerosotan taraf hidup sementara harta dan kekayaan kelas kapitalis terus meningkat.
Krisis pendapatan kelas pekerja secara global ini turut dapat dirasai dalam negara. Bank Negara pada tahun 2017 mengatakan gaji lestari bagi individu bujang yang tinggal di bandar seperti Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur adalah RM 2700. Namun pewartaan peningkatan gaji minimum Februari yang lalu adalah RM 1700 sahaja. RM 1000 lebih rendah dari apa yang disarankan oleh Bank Negara. Sedangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berkembang pesat telah meningkatkan KDNK sebanyak 2764% jika dibandingkan dengan KDNK pada tahun 1971, iaitu pada tahun Dasar Ekonomi Pertama diperkenalkan. Namun berbanding pewartaan gaji minimum yang pertama negara pada tahun 2013 sebanyak RM 900, dan peningkatan tahun ini menunjukkan peningkatan suku peratus saja berbanding perkembangan KDNK negara.
Keuntungan pendapatan hasil tenaga kelas pekerja yang diterjemah melalui KDNK ini jelas tidak selari dengan peningkatan gaji pendapatan kelas pekerja yang telah melipatgandakan keuntungan ekonomi negara selama ini. Peningkatan gaji RM 1700 ibarat gerimis di tengah terik tengahari. Rintik-rintik air hanya membasah seketika dan kering segera dek terik matahari.
Serangan ke atas servis awam dan pemotongan perbelanjaan kerajaan
Kelas pekerja dan rakyat miskin yang bertahan hidup dengan pendapatan yang rendah pula amat bergantung dengan servis-servis awam seperti klinik komuniti, hospital, sekolah awam, dan pusat jagaan kanak-kanak. Tetapi sistem kapitalisme yang berasaskan persaingan dan pengumpulan harta untuk kelas kapitalis yang segelintir serta kronisme yang berleluasa telah menyebabkan pemotongan dan penjimatan dalam servis-servis awam di seluruh dunia.
Seperti di Indonesia, walaupun telah memperoleh jumlah pelaburan asing tertinggi dalam sejarahnya pada tahun 2022, pemotongan perbelanjaan kerajaan tetap berlaku. Projek Danantara yang secara rasmi dilancarkan pada 24 Februari yang lalu dijangkakan bakal mengurus aset bernilai bernilai lebih AS$900 billion — menjadikannya antara entiti pengurusan aset terbesar di dunia. Tetapi Prabowo telah memotong pelbagai projek instruktur — mencecah 70% pemotongan daripada perbelanjaan kerajaan berbanding tahun sebelum untuk memberi keutamaan pada projek Danantara. Pemotongan yang dilakukan Prabowo telah menyebabkan lebih 60 000 pekerja hilang pekerjaan dari bulan Januari ke Februari tahun ini.
Di Malaysia, krisis kesihatan dalam negara sedang melihatkan pekerja-pekerja kesihatan seperti doktor kontrak dan jururawat bangkit menuntut keadilan seperti jam bekerja dan gaji yang adil, penambahbaikkan infrastruktur dan sebagainya. Tetapi tuntutan mereka sedang dihalang dengan birokrasi kerajaan dan sebarang reformasi yang dilakukan sekadar dalam isu-isu teknikal. Malah sistem kesihatan negara terus diratah kronisme. Seperti pengenalan program Sahabat KKM baru-baru ini yang kononnya menawarkan servis kesihatan tahap T20 dengan harga yang lebih rendah di hospital kerajaan, sementara isu-isu lain yang berkaitan seperti ketidakcukupan pakar kesihatan, jam masa menunggu yang panjang, telah diabaikan oleh kerajaan.
Gelombang pemecatan pekerjaan
Sistem ekonomi kapitalisme dalam krisis sedang menyaksikan kuasa imperialis terbesar AS di bawah kerajaan Trump 2.0 mengambil langkah-langkah mengutamakan pasaran domestik. Slogan seperti ‘America first’ dan industrialisasi semula AS sedang memberikan kesan terhadap pasaran buruh di seluruh dunia. Seperti syarikat Intel di Bayan Lepas Pulau Pinang melaporkan akan menghentikan lebih 2000 pekerja pada tahun ini untuk berpindah lokasi bagi menjimatkan kos operasi. Peningkatan harga bahan mentah seperti simen dan logam disebabkan gangguan laluan maritim di Laut Merah juga menjadi antara faktor gelombang pemecatan pekerjaan. Syarikat-syarikat yang ingin menjimatkan kos untuk mendapatkan keuntungan maksimum kemudian berpindah ke negara yang mempunyai buruh lebih murah dan regulasi sumber alam yang minimum telah memangsakan pekerja dengan pemecatan atau penindasan seperti pemotongan jam kerja, memansuhkan jawatan, sehingga pekerja sendiri yang beransur-ansur meninggalkan syarikat. Kaedah yang dipanggil down sizing ini sedang berleluasa berlaku pada pekerja-pekerja di syarikat Petronas pada waktu ini.
Selain itu faktor teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence AI) turut menjadi isu yang besar terhadap gelombang pemecatan kerja di seluruh dunia. Di Malaysia, syarikat TikTok telah memecat lebih 700 pekerja Oktober tahun lepas, dan Kementerian Sumber Manusia turut menjangkakan 620,000 pekerja lagi akan hilang pekerjaan dalam tempoh 3 ke 5 tahun akan datang.
Manakala dalam negara bergolak dan menghadapi konflik serta peperangan seperti di Myanmar, Lebanon, dan Syria, hak demokrasi bagi kelas pekerja dan rakyat biasa hampir lenyap. Kekejaman dan penindasan sistemik kapitalis dunia terhadap kelas pekerja yang telah bertungkus lumus menggerakkan ekonomi, menunjukkan pentingnya perjuangan yang berasaskan solidariti kelas pekerja yang ditindas merentasi batas bangsa dan negara.
Kemerosotan taraf kehidupan disebabkan kadar inflasi dan pendapatan yang tidak berkembang seiring, isu keterjaminan pekerjaan, sedang menjanjikan situasi yang lebih melarat bagi kelas pekerja di seluruh dunia sekiranya sebuah penentangan dan perjuangan untuk sebuah alternatif terhadap sistem kapitalisme tidak diperjuangkan secara serius. Dan Malaysia selaku negara yang berasaskan ekonomi pasaran bebas sama sekali tidak kebal dari krisis ekonomi global yang sedang wujud.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Ketika perintah kawalan pergerakan PKP diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran khas daripada simpanan. Menurut kerajaan ini bagi menyuburkan semula ekonomi yang tenat akibat pandemik COVID 19. Akibatnya, kini hanya 15% rakyat Malaysia mempunyai pendapatan pencen untuk menampung kehidupan setelah bersara.
Menurut kerajaan pengeluaran wang KWSP adalah pilihan masing-masing. Tetapi kos sara hidup sudah pun menekan kebanyakan kelas pekerja sejak sebelum pandemik lagi. Hutang isi rumah misalnya mencecah 83.8% jika dibandingkan dengan KDNK pada tahun 2018 – 61% darinya merupakan hutang perumahan. Oleh itu apa saja bentuk bantuan kewangan amat diperlukan oleh kelas pekerja walaupun untuk jangka masa yang singkat. Tambahan pula lebih dari 150 ribu pekerja telah hilang pekerjaan ketika PKP. Kadar pengangguran ini cukup tinggi berbanding tahun 1990. Ini tidak termasuk pemotongan gaji disebabkan jam bekerja yang dipendekkan.
Keputusan untuk mengubah fungsi KWSP demi ‘menyelamatkan’ ekonomi, tidak diwakili satu pun perwakilan dari kepimpinan kelas pekerja. Disebabkan itu tidak ada jaminan jika wang persaraan ini akan dikembalikan semula kepada pekerja untuk menjamin usia bersara. Krisis warga tua dalam negara kini menjadi antara isu utama yang mendepani kelas pekerja dalam negara. Sedangkan mereka telah pun selama ini membina ekonomi negara dan meningkatkan keuntungan saban tahun.
Kuasa pekerja kuasa perubahan
Sememangnya sejarah perjuangan pekerja dalam sesebuah negara memainkan faktor yang penting dalam sebuah gerakan pekerja. Dan situasi boleh berubah dengan pantas. Seperti siri protes Bersih yang berjaya mempamerkan kekuatan massa dan kemudian diterjemah dengan penggulingan UMNO yang telah berkuasa selama 61 tahun, kemudian menggantikannya dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dalam pilihanraya tahun 2018.
Namun kekuatan sebenar terletak pada kuasa kolektif kelas pekerja yang tersusun. Misalnya sejarah perjuangan kelas pekerja pada tahun 1947 apabila kelas pekerja melancarkan mogok nasional ataupun Hartal pada 20 Oktober. Seluruh ekonomi negara berhenti serta merta. Sebarang keuntungan untuk mana-mana kapitalis langsung lenyap disebabkan aksi pekerja. Ini cukup menakutkan bagi kelas kapitalis. Kekuatan kelas pekerja apabila bersolidariti cukup digeruni. Tuntutan kemerdekaan bagi Tanah Melayu dan membantah konstitusi British bergema seluasnya di seluruh dunia.
Kesatuan PMFTU (Pan Malayan Federation of Trade Union), sebuah kesatuan yang telah memainkan peranan yang cukup besar menentang kapitalis dan penjajah British pada tahun itu, telah dihapuskan dan digantikan dengan kesatuan MTUC (Malaysian Trade Union Congress). MTUC tidak mempunyai sejarah penubuhan seperti PMFTU yang jelas membawa perjuangan pekerja. Tetapi lebih kepada tempat bagi pekerja untuk menyelesaikan masalah kerja ataupun mendapatkan nasihat berkaitan undang-undang buruh. Pemansuhan PMFTU dan menggantikannya dengan MTUC – badan kesatuan yang lebih lemah – merupakan agenda kelas kapitalis untuk meredam gerakan kelas pekerja. Ini diikuti dengan pelbagai pengenalan akta dan undang-undang birokratik berkaitan penubuhan kesatuan untuk mencantas gerakan pekerja.
Walaubagaimanapun gerakan pekerja sedang wujud secara sporadik. Seperti kesatuan jururawat yang sedang berjuang menuntut jam dan upah yang lebih adil, gabungan pekerja e-hailing menuntut jaminan pekerjaan yang stabil, dan kesatuan pekerja bank NUBE yang sedang giat berkempen membantah isu gangguan seksual di tempat kerja. Berita perjuangan kesatuan-kesatuan dan berita berkaitan isu pekerja ini bukan saja tidak mendapat perhatian media utama justeru tidak diketahui oleh khalayak untuk mendapatkan sokongan, malah turut juga dihalang dengan pelbagai bentuk birokrasi syarikat dan undang-undang kerajaan yang diwarisi kerajaan Madani daripada kepimpinan UMNO lagi.
Kepentingan kesatuan merentasi identiti bangsa, agama, dan nasional
Sebuah kesatuan sekerja seharusnya memainkan peranan seperti payung yang dapat menyatukan pekerja yang menyumbang kepada syarikat dan ekonomi tidak kira apa jua identiti bangsa, agama, nasional, mahupun umur. Seperti pekerja migran yang menyumbang kepada ekonomi dalam keadaan serba sukar, sering dipersalahkan kerana ‘mencuri’ pekerjaan rakyat tempatan. Tetapi realitinya kelas majikan sedang menikmati kos harga buruh yang rendah dengan mengambil pekerja migran dan perpecahan disebabkan ketiadaan kesatuan yang dapat menyatukan pekerja, memudahkan kelas majikan untuk menekan hak dan gaji pekerja. Begitu juga pekerja intern yang harus dianggap sebagai sebahagian dari kelas pekerja tetapi ditindas dengan pelbagai regulasi dan syarat.
Kesedaran yang berasaskan solidariti kelas pekerja ini seharusnya dipupuk dan dipimpin melalui kesatuan sekerja seperti MTUC. Tetapi hari ini sebuah kesatuan sekerja yang mandiri dan demokratik harus dibina semula dan dalam masa yang sama mengambil iktibar dari kesilapan-kesilapan pemimpin terdahulu yang gagal untuk melihat kuasa kelas pekerja untuk memimpin masyarakat ke arah masyarakat yang lebih progresif.
Bina parti pekerja massa ke arah perubahan masyarakat yang dipimpin kelas pekerja
Bagi kami tiada cara lain bagi kelas pekerja untuk bangkit berjuang menuntut kuasa politik kelas pekerja membantah agenda kapitalis selain dari sebuah pembinaan Parti Pekerja Massa yang berasaskan perjuangan politik pekerja secara demokratik dan membawa tuntutan kelas pekerja. Reformasi yang kekal misalnya menuntut untuk memilikrakyatkan aset utama seperti tenaga minyak dan gas, air, elektrik, melalui perjuangan menentang agenda kapitalis yang menindas kelas pekerja. Ini hanya dapat dilakukan oleh kepimpinan kelas pekerja secara demokratik. Perjuangan ini juga harus berdasarkan solidariti kelas pekerja sedunia sebagai perjuangan menentang sistem kapitalisme global yang menindas pekerja secara sistemik.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua — pekerja, anak muda dan golongan minoriti yang tertindas untuk bergabung tenaga dalam membina sebuah gerakan politik yang berpaksikan kepentingan kelas pekerja, tanpa apa-apa campur tangan kelas kapitalis. Iaitu ke arah perubahan sosialisme dan hanya kelas pekerja lah, melalui organisasi politiknya yang dapat memainkan peranan yang bersejarah ini.
Tuntutan dan program
- Menuntut gaji minimum RM 20 sejam @RM3,200–RM3,600 sebulan. Peningkatan gaji yang selayaknya dan bermaruah buat kelas pekerja. Berjuang demi kadar gaji yang selaras dan adil mengikut inflasi dan kos kehidupan yang semakin meningkat!
- Menuntut pemansuhan akta-akta yang menindas gerakan kebangkitan rakyat. Termasuk akta-akta yang menghalang pembinaan kesatuan di tempat kerja (union-busting) dan hak mahasiswa berpolitik di institusi pendidikan. Akta seperti AUKU dan Akta Hasutan 1948 contohnya — hanyalah bukti bagaimana ianya dikuatkuasakan bagi membungkam kebangkitan gerakan rakyat yang ingin menuntut hak keadilan buat mereka.
- Menuntut hak buat pekerja buruh migran untuk berjuang melalui kesatuan sekerja dan organisasi buruh yang lainnya. Pembinaan solidariti antarabangsa di antara kelas pekerja tempatan dan buruh migran — selaku kelas pekerja yang ditindas di bawah kapitalisme seluruh dunia.
- Menuntut pengiktirafan pekerja gig dan juga pekerja tidak formal bagi mendapatkan hak yang sama seperti mana yang termaktub di dalam Akta Kerja 1955 dan juga hak untuk berkesatuan dan berjuang secara kolektif bagi mendapatkan hak pekerjaan yang bermaruah.
- Perikatan politik independen di antara kelas pekerja, kelas petani, mahasiswa dan golongan minoriti yang ditindas; ke arah pembinaan parti pekerja massa yang revolusioner — sebagai platform politik alternatif untuk menggantikan politik kelas kapitalis dan membawa politik kelas pekerja ke arena politik negara dan seluruh dunia!
- Menuntut pendidikan percuma dan memansuhkan hutang PTPTN — kelas pekerja dan anak muda tidak perlu dibebankan dengan hutang pendidikan dan bebas untuk menuntut ilmu secara percuma demi kebaikan masyarakat secara umum.
- Menghakmilikrakyatkan industri, aset dan perkhidmatan utama negara seperti minyak, air, sektor perumahan dan perkhidmatan kesihatan — hala tuju ekonomi perlu ditentukan oleh kelas pekerja secara demokratik dan tidak didominasi oleh logik keuntungan kelas kapitalis semata-mata.
- Hapuskan sistem ekonomi kapitalis yang menghasilkan rasuah, ketirisan dan kesenjangan ekonomi yang ekstrem! Ke arah pembinaan sebuah masyarakat yang berpaksikan kepentingan kelas pekerja dan bukannya kelas kapitalis; ke arah sistem Sosialis!
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan



Berita & Analisa Terkini




