Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik

“Jadikan sekolah tempat selamat” harus menghubungkan perjuangan dengan solidariti kelas pekerja dan komuniti setempat seperti guru, para kaunselor dan ibu bapa. Bukan sekadar sokongan atas dasar simpatisan tetapi membina perjuangan bersama. Tuntutan agar kerajaan meringankan beban guru dengan menambah bilangan kakitangan yang bertauliah harus disatukan dalam tuntutan anti keganasan seksual terhadap pelajar.

Kes keganasan seksual dan rogol di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan. Antara Januari hingga April tahun lalu, sebanyak 1,300 kes rogol, sumbang mahram dan cabul kehormatan melibatkan mangsa berumur lebih 18 tahun telah direkodkan — bersamaan kira-kira 11 kes dilaporkan setiap hari. Pada masa yang sama, kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak juga meningkat. Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily, Polis Diraja Malaysia merekodkan 6,462 kes penderaan seksual kanak-kanak antara 2020 hingga 2024, dengan peningkatan setiap tahun.

Keadaan ini diperburukkan lagi oleh kelemahan sistem keadilan dalam mengendalikan kes keganasan seksual. Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, hanya sekitar 40% daripada kes tersebut berjaya memulakan proses siasatan, menunjukkan kelemahan serius dalam sistem perlindungan dan keadilan bagi mangsa. Menurut kajian NGO hak wanita WAO, kurang dari 8% mangsa keganasan seksual sebenarnya tampil ke hadapan untuk melaporkan pada pihak penguatkuasa undang-undang. Faktor malu, kebergantungan ekonomi, dan sistem sokongan yang lemah menjadi punca utama mengapa mangsa tidak ke hadapan untuk membuat laporan. Kerajaan telah memulakan beberapa usaha untuk memudahkan proses. Antaranya Akta Gangguan Seksual 2022 dan pindaan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan memperluaskan jenis kesalahan seksual terutamanya yang berlaku dalam talian. Walau bagaimanapun usaha ini masih gagal memberikan impak dalam kehidupan masyarakat biasa, dengan trend peningkatan dari tahun ke tahun walaupun fasa pandemik telah pun berakhir.

Misalnya kes di sebuah sekolah berasrama penuh negeri Melaka baru-baru ini yang mana seorang murid perempuan tingkatan 3 menjadi mangsa rogol berkumpulan di dalam kelas. Si pelaku merupakan pelajar SPM. Lebih menyedihkan lagi, perbuatan itu dirakam oleh mereka dan disebarkan ke media sosial. Keganasan seksual terhadap wanita, remaja dan kanak-kanak perempuan harus dianggap sebagai krisis sosial. Satu kegagalan yang wujud disebabkan asas masyarakat yang lemah. Kami berhujah krisis ini memerlukan penyelesaian ekonomi, politik dan sosial dengan keterlibatan kelas pekerja dan massa secara penuh dan demokratik.

Keganasan seksual terhadap wanita remaja dan kanak-kanak perempuan meningkat seiring dengan penswastaan

Penswastaan yang bermaksud pemotongan dan penjimatan perbelanjaan kerajaan terhadap subsidi rakyat, servis-servis awam seperti pengangkutan sedang menghakis hak kelas pekerja dan rakyat miskin dari segi taraf kehidupan yang semakin merosot. Sistem perkhidmatan kesihatan awam merupakan antara servis awam yang paling kritikal pada waktu ini dengan ketidak cukupan kakitangan dan pakar. Menurut Kementerian Kesihatan, daripada jumlah kekosongan yang perlu diisi hanya 10% saja yang dipenuhi. Ini sudah pasti memberikan kesan pada kelas pekerja dan rakyat miskin yang amat bergantung dengan servis kesihatan awam. Khususnya bagi wanita dan perempuan bawah umur yang menjadi mangsa keganasan seksual dan domestik, pihak KKM telah pun mewujudkan Pusat Aduan Krisis atau One Stop Crisis Center (OSCC) sejak awal 2000 yang mana mangsa boleh membuat aduan tanpa perlu ke balai polis.

Inisiatif ini harus disebar luaskan lagi memandangkan tugas-tugas awam seperti jururawat dan doktor lebih dekat dengan masyarakat. Apatah lagi kemudahan sedia ada di klinik dan hospital seperti rawatan dan kaunseling serta psikologi untuk membantu mangsa, ini memberi sokongan secara langsung kepada wanita dan masyarakat. Tetapi skopnya masih terlalu kecil dan sistem kesihatan negara sedang berada dalam krisis disebabkan program penjimatan kerajaan.

Penindasan ekonomi yang sistemik terhadap wanita dan golongan yang dianggap lemah – penyelesaian yang berasaskan program sosialisme diperlukan

Realiti bahawa ekonomi negara sedang stabil dan pulih dengan baik selepas pandemik merupakan ilusi yang menyembunyikan kondisi sebenar kelas pekerja yang sedang bekerja lebih masa atau lebih dari 1 kerja untuk menampung kos kehidupan yang semakin meningkat. Dan keadaan ekonomi ini membebankan wanita secara berganda — menjerat mereka untuk kekal di dalam hubungan yang mendera disebabkan ketergantungan ekonomi terhadap suami atau keluarga selagi tidak bekerja. Dan meskipun kelas pekerja wanita bekerja, mereka secara umum dianggap sebagai pekerja yang lebih rendah dari segi status berbanding pekerja lelaki. Ini menjelaskan mengapa secara global dan juga dalam negara wanita memperoleh gaji kurang dari lelaki walaupun untuk kerja yang sama. Tugas-tugas yang dianggap tradisi seperti menjaga, memasak, dan mengemas juga reproduksi wanita turut memerangkap wanita dari keluar untuk mencapai kebebasan untuk diri mereka sendiri.

Sebuah NGO liberal berhujah kerja-kerja rumah harus diiktiraf sebagai kerja yang berbayar. Idea di sebaliknya elaun bagi kerja-kerja suri rumah membolehkan wanita untuk mempunyai simpanan sendiri untuk sebarang kegunaan atau kecemasan. Juga kononnya mengiktiraf tugas suri rumah sebagai tugas yang penting dalam masyarakat. Namun status kedudukan wanita dalam masyarakat yang lebih rendah dari segi ekonomi dan sosial hanyalah sebahagian dari punca penindasan terhadap wanita yang merupakan masalah yang sistemik. Kerja-kerja di dalam rumah seperti memasak, mengemas dan menjaga bagi kami Sosialis Alternatif perlu menjadi tanggungjawab sosial melalui intervensi dari kerajaan. Pusat dobi dan kantin awam misalnya meringankan bebanan tugas di dalam rumah. Begitu juga pusat jagaan kanak-kanak yang percuma, berkualiti dan sentiasa tersedia apabila diperlukan.

Ini dapat direalisasikan sekiranya kerajaan mempunyai kehendak politik yang sama seperti kelas pekerja. Namun realitinya tidak, objektif kerajaan sentiasa demi memelihara keuntungan ekonomi pasaran bebas yang hanya menguntungkan segelintir kapitalis berbanding keperluan massa. Sama ada di bawah pimpinan UMNO mahupun PKR masing-masing merupakan perwakilan elit kapitalis yang memenuhi jawatan dalam kerajaan. PKR yang telah menggantikan UMNO, pada dasarnya mewarisi dan memperkembangkan lagi agenda neoliberalisme melalui penstrukturan semula dan pemotongan subsidi, pengenalan cukai SST dan langkah penswastaan seperti krisis yang berterusan dalam sistem kesihatan negara pada waktu ini. Janji-janji PKR seperti meningkatkan peratus penyertaan wanita dalam parlimen juga terus dilupakan dan individu-individu korup terus dilantik dalam kerajaan.

Penyelesaian sistemik terhadap keganasan wanita memerlukan penyelesaian politik dengan kepimpinan yang anti-kapitalis dan mengangkat program serta tuntutan sosialis demi memperjuangkan hak wanita

Keraguan yang menganggap isu-isu keganasan seksual dan domestik ini sebagai isu peribadi yang harus menjadi rahsia di kalangan ahli keluarga terdekat harus dipecah dan dihapuskan dengan membawa tuntutan anti-seksisme dan keganasan seksual ke dalam perjuangan politik massa seperti kesatuan sekerja. NUBE, iaitu kesatuan pekerja-pekerja bank nasional misalnya sedang memperjuangkan tuntutan keganasan seksual dan rasisme di tempat kerja. Selain itu kami turut berhujah perjuangan yang muncul disebabkan krisis keganasan yang semakin meningkat seperti kempen “Jadikan sekolah tempat selamat” harus menghubungkan perjuangan dengan solidariti kelas pekerja dan komuniti setempat seperti guru, para kaunselor dan ibu bapa.

Bukan sekadar sokongan atas dasar simpatisan tetapi membina perjuangan bersama. Tuntutan agar kerajaan meringankan beban guru dengan menambah bilangan kakitangan yang bertauliah harus disatukan dalam tuntutan anti keganasan seksual terhadap pelajar. Kami berhujah penyatuan kelas pekerja dan masyarakat yang tertindas secara maksimum untuk mengakhiri penindasan terhadap wanita dalam masyarakat kapitalis. Mungkin ada sesetengah pihak yang berkata, malangnya tingkah laku seksual yang menyebabkan sekolah tidak selamat itu sendiri datang dari guru sekolah.

Justeru lebih tinggi alasannya gerakan ini harus membawa tuntutan yang menyeluruh. Menyentuh segala bentuk seksisme di sekolah dan pusat pengajian termasuklah menghapuskan budaya pornografi. Semua pihak harus terlibat secara demokratik dan harus bersifat anti-kapitalis — kerana pada dasarnya sistem kapitalis mengaut untung dari imej-imej seksual dengan menggunakan alasan pembebasan seksualiti wanita untuk terus melegitimasi eksploitasi terhadap tubuh badan wanita. Pada hari ini kita sedang menyaksikan krisis moral yang lebih buruk dalam masyarakat disebabkan ideologi kapitalis ini.

Situasi krisis geopolitik yang menyebabkan perang sedang menyaksikan krisis pelarian, kemusnahan harta benda juga keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Peperangan di Palestin sedang mendedahkan kekejaman Israel mempergunakan tubuh badan wanita secara brutal seperti rogol sebagai alat untuk melemahkan penentangan dari rakyat Palestin. Ini termasuk pendedahan kes keganasan seksual terhadap wanita dan perempuan bawah umur di kalangan ahli politik elit di US, kes Jeffrey Epstein.

Krisis yang memangsakan wanita disebabkan krisis kapitalisme global juga akan memberikan kesan terhadap kesedaran hak wanita terutama anak muda, dan kanak-kanak perempuan yang terpaksa menerima realiti penindasan wanita dan keganasan wanita adalah kebiasaan atau takdir malang beberapa individu. Oleh itu kami menyeru keperluan utama bagi organisasi yang memperjuangkan hak wanita untuk membina program perjuangan yang menyeluruh bagi sebuah pembinaan masyarakat baru yang dipimpin secara demokratik oleh rakyat biasa dan kepimpinan kelas pekerja untuk menghapuskan keganasan seksual yang menjadi ciri dalam sistem masyarakat kapitalis.

Ayuh bina perjuangan bersama, hapus kapitalisme, hapus keganasan terhadap wanita, ayuh bina sosialisme!

Kongsi Artikel Ini

Tinggalkan Komen Anda

Artikel Berkaitan

5 Reports of Rape Every Day: What is to be done while Parliament laments low prosecution rate?
2026 03 03 womens march 2020 against rape sexual violence sosialis alternatif Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik Sosialis Alternatif
Between 2015 and 2025, Malaysia witnessed a staggering 17,609 reported rape cases — an average of five rape reports every single day… Only 7,090 of these cases, or roughly 40%, resulted in charges being filed… in an earlier decade only...
BACA
Mesyuarat Nasional Sosialis Alternatif (SA) Malaysia 2026, Berlangsung Dengan Jayanya
2026 02 21 mesyuarat nasional 2026 sosialis alternatif Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik Sosialis Alternatif
Sosialis Alternatif (SA) Malaysia, CWI di Malaysia, telah diadakan dari 16 hingga 18 Januari 2026 di Pulau Pangkor, di luar pesisir Perak di Selat Melaka. Perbincangan melibatkan beberapa anak muda yang baru serta sebagai ahli dan menandakan...
BACA
International Solidarity Campaign: Justice for the 177 Fired Mediceram Workers
2025 11 25 international solidarity campaign mediceram workers bangladesh malaysia 2 sosialis alternatif Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik Sosialis Alternatif
We, the socialist, labour, and youth organisations endorsing this statement, demand that the Malaysian government, particularly the Department of Industrial Relations and the Department of Labour, take action to resolve the crisis faced...
BACA

Keganasan Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-kanak: Krisis sosial yang memerlukan penyelesaian sistemik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *