Lebih satu dekad lalu, berikutan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia pada 2008, sidang pengarang Financial Times telah mengucapkan tahniah kepada sistem kapitalisme yang berjaya berpegang pada kuasa dan tidak dicabar oleh kuasa-kuasa ‘kiri’ yang seharusnya boleh menentang sistem tersebut. Dalam krisis ekonomi yang paling buruk sejak Perang Dunia Kedua, tidak ada sebarang usaha dari mana-mana pihak untuk mengubah sistem ekonomi ini secara fundamental. 

Kapitalisme yang berada dalam krisis telah menghumban jutaan rakyat ke dalam kemiskinan, tetapi, pihak elit yang menguasai sistem ekonomi ini masih tenang dan selesa kerana tidak ada sebarang sistem ekonomi alternatif yang sedang diajukan oleh mana-mana pihak. 

Tetapi, walaupun sistem kapitalisme telah berjaya bertahan selama ini, ia masih belum pulih sepenuhnya. Sistem ini juga telah digegarkan dengan gerakan-gerakan massa seperti mogok-mogok umum di Eropah dan gelombang revolusi di Afrika Utara dan Timur Tengah. Pada masa yang sama, krisis ekonomi yang digelar sebagai ‘kemelesetan yang hebat’ juga tidak melahirkan sebarang solusi untuk pulih atau mencatatkan pertumbuhan yang sihat selepas lebih sedekad ia berlalu. Sebaliknya, semua kelemahan-kelemahan yang wujud pada waktu krisis 2008 masih belum dibaiki dan ketempangan sistem kapitalisme masih membelenggu masyarakat hari ini.   

Satu lagi krisis ekonomi baru yang sedang berkembang di seluruh dunia sudah kembali mengancam kehidupan jutaan rakyat miskin dan tertindas. Sebagai respon, pihak kapitalis telah menyumbat bertrillion-trillion Dolar Amerika (USD) ke dalam sistem kewangan bagi mengelakkan kejatuhan sistem ekonomi. Inilah yang digelar sebagai ‘sosialisme untuk si kaya’. Pemilik syarikat besar, pemegang saham dan para pemodal yang telah mencetuskan krisis ekonomi ini mendapat penghargaan dan bantuan kewangan yang lumayan manakala kelas pekerja dan rakyat biasa dari seluruh dunia sedang menghadapi sekatan gaji dan kehilangan kerja dalam skala yang paling teruk sejak 1930-an.

Gaji pekerja dibekukan dan semua pelaburan ke arah sains dan teknologi sudah merosot dengan teruk. Tetapi, para kapitalis yang menganggap diri mereka sebagai ‘tuan tanah’ dunia sedang meningkatkan kekayaan mereka dengan memberikan penghargaan demi penghargaan kepada diri mereka sendiri. Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, 500 syarikat terkaya yang di senaraikan dalam ‘Fortune 500’ telah membeli balik saham mereka sendiri dengan nilai lebih dari 3 trilion USD.   

Pembelian balik saham ini digunakan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham yang besar dan untuk membayar pakej gaji yang lumayan kepada para eksekutif syarikat. Sementara itu, tahap hutang korporat yang melambung tinggi tidak dihiraukan dan dibiarkan untuk di tangani oleh kerajaan. Bahkan sebelum ketibaan pandemik Covid-19 sekalipun, kapitalisme merupakan sistem yang sedang nazak dan sedang menjurus ke arah sebuah krisis ekonomi yang baru. 

Kesan Pandemik

Pandemik Covid-19 tiba sebagai satu kejutan besar yang telah mendedahkan semua kepincangan sistem kapitalisme. Sekali lagi, golongan berada, para CEO, pemodal dan pemegang saham besar telah berjaya meningkatkan kekayaan mereka apabila majoriti daripada rakyat biasa sedang menghadapi penderitaan. Di AS misalnya, kekayaan 643 orang jutawan telah meningkat pada kadar 4.7 Bilion USD setiap hari! Kebanyakan daripada golongan elit kaya yang kurang daripada 1% daripada populasi telah melihat kekayaan mereka meningkat sebanyak ⅓ dalam waktu pandemik yang sedang menghancurkan kehidupan jutaan rakyat. 

Pada masa yang sama, di AS sahaja, kononnya negara yang paling kaya di dalam sejarah dunia, lebih 50 juta pekerja telah kehilangan kerja dan 37 juta orang di laporkan sebagai tidak mempunyai makanan yang cukup untuk meneruskan kehidupan. Lebih 200 ribu orang telah kehilangan nyawa akibat serangan Covid-19 dan sebahagian besar daripada mangsa adalah dari kalangan rakyat miskin yang tidak mempunyai kemudahan asas yang secukupnya untuk melindungi kesihatan mereka. Jika ini merupakan realiti negara-negara maju pada waktu ini, apakah nasib negara-negara yang jauh lebih miskin dan juga di dominasi oleh sistem kapitalisme dan para kapitalis yang tamak?

Sejumlah wang yang besar telah dimasukkan ke dalam ekonomi oleh golongan pemerintah dari seluruh dunia dalam usaha untuk mengawal krisis ekonomi yang sedang berkembang. Walaupun usaha-usaha ini mempunyai sedikit kesan, ianya masih tidak akan berjaya untuk mengelakkan sebuah krisis ekonomi yang dahsyat, yang sedang menjurus ke arah kemusnahan bagi jutaan komuniti di seluruh dunia. 

Walaupun terdapat sedikit pemulihan aktiviti ekonomi di negara-negara yang telah melonggarkan ‘lockdown’ atau sekatan pergerakan, ianya masih tidak memberikan sebarang harapan kepada majoriti daripada rakyat. Sistem ekonomi yang sememangnya tidak di bina untuk kesejahteraan rakyat biasa dan hanya berfungsi demi keuntungan kelas majikan kaya tidak menunjukkan sebarang jalan keluar yang munasabah untuk krisis ini. Akhirnya, kelas pekerja dan rakyat biasa juga yang akan dipaksa untuk menanggung segala kos untuk membendung penularan Covid-19 dan untuk memulihkan sistem ekonomi yang rakus. 

Pada April tahun ini, Bank Dunia telah menganggarkan bahawa pengeluaran global akan merosot sebanyak 20%. Menjelang bulan September, ramalan ini merosot ke 34% dan tidak menunjukkan sebarang harapan untuk pemulihan yang cepat. Tambahan pula dengan gelombang kedua pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia, ramalan ini juga akan terus merosot dan memberi kesan yang dalam untuk ekonomi dunia. Pada waktu ini, kadar KDNK dunia dijangka akan mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 5% untuk tahun ini. Juga, kebanyakan daripada pakar-pakar ekonomi bersetuju bahawa kemelesetan ini akan berpanjangan ke tahun depan dan tidak akan berjaya pulih untuk satu jangka masa yang sangat lama. 

Ini merupakan krisis yang jauh lebih parah berbanding dengan krisis kewangan 2008-9. Sepertimana yang diramalkan oleh Committee for A Workers International (CWI – organisasi antarabangsa sosialis yang mempunyai keahlian di seluruh dunia), ketegangan di kalangan kuasa-kuasa imperialis dunia telah menjadi salah satu ciri utama dalam gerakan sosio-ekonomi kapitalisme untuk lebih satu dekad ini. 

Walaupun AS masih merupakan kuasa imperialis yang paling dominan di dunia, tetapi pengaruh mereka sudah mula merosot akibat krisis sistem kapitalisme sedunia. Oleh itu, ketegangan di kalangan kuasa-kuasa besar dunia telah menjurus ke arah nyah-globalisasi dan ‘perang dagang’ di antara AS dan China. Ini memburukkan lagi keadaan apabila dilanda dengan pandemik Covid-19 di mana kerjasama dan koordinasi di antara negara-negara berbeza tidak dapat dicapai dengan lancar. 

Tambahan pula, akibat keadaan kebanyakan daripada syarikat dari negara-negara maju yang dibelenggu dengan hutang yang banyak, Suruhanjaya Eropah telah meramalkan bahawa setiap satu daripada empat syarikat Eropah yang mempunyai lebih daripada 20 orang pekerja akan disahkan muflis sebelum akhir tahun ini! Ini dijangka akan berlaku walaupun tanpa sebarang peningkatan kes Covid-19 yang mendadak. 

Di hampir setiap negara, kerajaan kapitalis telah mengumpul hutang yang sangat besar bagi membantu syarikat-syarikat besar untuk bertahan dalam krisis ini melalui pelbagai subsidi dan pinjaman. Di Malaysia juga, pihak kerajaan tidak terhenti-henti menyediakan pakej bantuan bernilai berbilion-bilion USD bagi syarikat-syarikat gergasi dan hanya menaburkan beberapa cebisan kepada majoriti rakyat. Baru-baru ini, syarikat penerbangan AirAsia menerima pinjaman bernilai hampir 1 Bilion Ringgit daripada kerajaan walaupun syarikat ini telah memecat seramai 2000 pekerja secara tidak sah pada tahun ini!

Namun, langkah ini tidak boleh diteruskan selama-lamanya tanpa menghadapi krisis-krisis baru. Tetapi, apabila berlaku krisis ekonomi akibat hutang negara yang melampau, pihak kerajaan akan meletakkan beban ini di bahu jutaan rakyat yang terpaksa menanggung kerugian dan kerja yang berat untuk menampung hutang tersebut. Walaupun hutang ini hanya digunakan untuk meningkatkan kekayaan segelintir individu yang sudahpun kaya, rakyat biasa yang miskin juga akan dijadikan mangsa kelak. 

Kapitalisme tidak menawarkan sebarang jalan keluar

Pada waktu ini, para kapitalis dari seluruh dunia sedang mengimpikan sebuah situasi di mana kekuasaan mereka tidak akan di cabar untuk dekad yang seterusnya sepertimana yang berlaku pada dekad sebelum ini. Akibat ketiadaan Parti Pekerja Massa yang menawarkan alternatif sosialis yang jelas kepada massa, para kapitalis boleh menarik nafas lega untuk seketika bahawa sistem kapitalisme akan berjaya dipertahankan. Tetapi, terdapat potensi yang tinggi bahawa kali ini, para kapitalis tidak akan dirahmati dengan nasib yang sama dan prospek untuk menggulingkan sistem ini sudah mula kelihatan di beberapa negara dunia. 

Langkah-langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan dunia untuk lebih satu dekad yang lalu telah melemahkan kekuasaan semua institut di bawah kapitalisme. Kerajaan dunia telah memotong subsidi, dana kebajikan sosial dan program-program bantuan rakyat bagi menampung kos kerugian yang dialami oleh para kapitalis akibat kemelesetan ekonomi. Oleh itu, kedudukan kerajaan kapitalis, para elit kaya dan pihak berkuasa telah menjadi jauh lebih lemah berbanding 10 tahun lalu. 

Sejumlah negara telah melihat kebangkitan massa dan krisis-krisis politik yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Di Malaysia misalnya, krisis ekonomi 2008 yang melemahkan sistem ini telah menyumbang ke arah krisis politik yang sedang menjadi lebih parah pada hari ini dengan ancaman krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dunia yang baru. 

Protes-protes massa yang gergasi sedang tercetus di setiap pelosok dunia. Di rantau ini, anak muda dan kelas pekerja dari Thailand dan Indonesia sudah mula bergerak untuk menentang penindasan yang berlaku ke atas rakyat biasa. Apabila rakyat biasa sedang merana, didapati bahawa golongan elit dan kapitalis kaya sedang menikmati keuntungan yang lumayan. Walaupun ini merupakan hakikat sistem kapitalisme, tetapi, pandemik Covid-19 yang juga mencetuskan sebuah krisis ekonomi yang sudah lama terpendam sedang mendedahkan kepincangan sistem ini dengan jelas kepada majoriti daripada penghuni dunia. 

Pertubuhan-pertubuhan kelas pekerja dan anak muda yang membawa idea-idea alternatif kepada sistem kapitalisme sedang muncul seperti cendawan selepas musim hujan di banyak negara. Gerakan-gerakan rakyat yang berkembang juga sedang melalui proses pengajaran yang boleh menjurus kepada konklusi yang tepat untuk mencabar dan menggantikan sistem kapitalisme kepada sosialisme. 

Program Sosialis

Hanya sosialisme akan berjaya menggunakan segala kekayaan, ilmu, sains dan teknologi yang dihasilkan melalui tenaga kerja rakyat biasa di bawah kapitalisme untuk memenuhi keperluan masyarakat. Pada masa yang sama, hanya sistem ekonomi yang menitik beratkan kehendak rakyat tertindas seperti sosialisme yang akan mampu melindungi alam sekitar dan membina sebuah dunia yang mampu menjamin kesejahteraan kehidupan bagi generasi yang akan datang. Sistem kapitalisme sudah membuktikan bahawa ianya bukan sahaja meminggirkan kehendak rakyat majoriti, malah ia juga menghancurkan alam sekitar dan melibatkan negara-negara dunia dalam peperangan yang tiada kesudahan.

Tetapi, ini memerlukan sebuah gerakan rakyat yang bertujuan untuk memecahkan dominasi politik kelas kapitalis dan meletakkan semua industri-industri yang besar di bawah pemilikan awam dan diuruskan sepenuhnya secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa.  

Segala keputusan di bawah sistem sosialisme akan diambil secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Di bawah sistem kapitalisme, semua keputusan di buat oleh elit-elit politik-ekonomi yang pastinya akan berpihak kepada golongan minoriti yang tidak berkerja. Di bawah sosialisme, keutamaan akan diberikan untuk pengagihan kekayaan yang saksama, pembinaan perumahan, institusi pendidikan dan kesihatan awam yang berkualiti dan boleh diakses oleh semua. 

Seperti yang dinyatakan oleh ‘Financial Times’ pada 2010, para kapitalis sedang dalam ketakutan bahawa idea-idea sosialisme boleh merebak dan membina penentangan terhadap dominasi mereka ke atas ekonomi dan politik dunia. Daripada analisa-analisa kami (CWI), kami sangat yakin bahawa ketakutan para kapitalis tersebut akan akhirnya direalisasi pada era yang akan datang.