Langkah Presiden Amerika Trump untuk mengiktirafkan Jerusalem sebagai ibu kota unilateral bagi Israel sambil mengabaikan kepentingan rakyat Palestin yang mempunyai hak ke atas bandar tersebut, telah mencetuskan gelombang protes di seluruh dunia dan sudahpun menaikkan jumlah kematian di kalangan rakyat Palestin.

Seramai empat orang Palestin sudah terbunuh, beratus lagi tercedera, Israel sudah mula melancarkan roket ke selatan Palestin, pengeboman di jalur Gaza dan pelbagai tragedi ngeri sudah mula berlaku akibat deklarasi Trump yang tidak bertanggungjawab itu.

Pengisytiharan Trump jelas berpihak kepada rejim kejam Israel yang ingin meneruskan penjajahan mereka di Timur Jerusalem sambil menafikan hak rakyat Palestin untuk berjuang demi pembebasan nasional dengan Jerusalem sebagai ibu kota mereka.

Akibatnya, kenyataan Trump telah mencetuskan protes rakyat di seluruh dunia khususnya di Palestin. Beribu-ribu rakyat telah berhimpun di Aman, Jordan, Ramallah, di beberapa bahagian semenanjung Gaza dan di sepanjang Tebing Barat. Dalam lingkungan apa yang digelar sebagai kawasan garis hijau di Israel, protes-protes besar telah tercetus di Umm al-Fahm, Jaljulia, Kafr Kanna, Qalansuwa, Nazareth dan bandar-bandar lain. Selain itu, pertubuhan Jawatankuasa Warga Arab Israel juga telah menganjurkan protes di hadapan kedutaan besar Amerika Syarikat yang terletak di Tel Aviv.

Disebabkan oleh penindasan yang kejam oleh pihak berkuasa ke atas himpunan dan protes massa ini, dijangkakan lebih banyak kehilangan nyawa akan dirasai dalam minggu-minggu yang akan datang. Angkatan Pertahanan Israel juga dikenali dengan rekod yang buruk dalam melakukan kekejaman yang melampau ke atas rakyat Palestin dan juga terhadap rakyat mereka sendiri.

Berikutan kejadian-kejadian ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengarahkan semua diplomat mereka untuk mengelakkan daripada berkunjung ke Israel dalam masa terdekat untuk mengelakkan sebarang peristiwa buruk. Tetapi, peristiwa keganasan sedang menimpa ribuan isi rumah rakyat Palestin yang langsung tidak diendahkan oleh mana-mana pihak.

Rejim Netanyahu dan Trump ingin mengekalkan dominasi mereka di Timur Tengah dan bersedia untuk membuat apa sahaja bagi mengekalkan kuasa mereka walaupun ia akan memangsakan ribuan rakyat biasa dan akan mencetuskan protes-protes daripada komuniti dunia. Perdana Menteri Israel dan kepimpinan parti pembangkang juga telah memuji demagogi Trump dan memberikan sokongan penuh terhadap deklarasi tersebut. Seperti yang dijangkakan, kumpulan politik sayap kanan yang sedang berkempen untuk merampas tanah yang diduduki oleh rakyat Palestin juga memberikan sokongan penuh kepada Trump dan Netanyahu. Aktiviti rampasan tanah ini sedang meningkat mendadak kebelakangan ini dengan Menteri Perumahan Yoav Gallant mengumumkan bahawa ribuan unit rumah akan didirikan di Timur Jerusalem oleh kerajaan Israel dalam masa terdekat.

Langkah-langkah untuk menafikan hak rakyat Palestin terhadap bandar Jerusalem memang sudah lama wujud dan mendapat sokongan secara senyap daripada Amerika Syarikat. Tetapi, kali ini, Trump telah memecahkan kesenyapan dan mendedahkan secara jelas posisi Amerika Syarikat dalam isu Israel/Palestin dan dalam isu Jerusalem. Tambahan pula Trump mendeklarasi bahawa dia menyokong solusi 2 negara di Israel/Palestin mengikut persetujuan dan syarat-syarat yang ditentukan oleh rejim Israel. Segala aspirasi rakyat Palestin tidak ingin didengari oleh kuasa-kuasa tersebut yang hanya mementingkan pengaruh geopolitik mereka di rantau ini. Sebenarnya, Trump dan rejim Israel menyokong penyambungan untuk merampas tanah daripada rakyat Palestin dalam skala yang besar dan membantutkan segala suara dan gerakan pembebasan yang boleh muncul daripada golongan rakyat tertindas.

Reaksi Antarabangsa

Trump juga mengumumkan penempatan semula kedutaan Amerika Syarikat ke Jerusalem mengikut undang-undang AS yang telah diluluskan oleh kongres mereka pada tahun 1995. Ini adalah untuk meletakkan kedutaan AS di Jerusalem dan mendeklarasi bahawa Jerusalem adalah ibu kota Israel tanpa melayan tuntutan daripada mana-mana pihak lain. Walaubagaimanapun, perlaksanaan undang-undang tersebut telah ditangguhkan oleh semua Presiden lain sehinggalah Trump. Trump sekalipun telah menunggu hampir setahun sebelum mengeluarkan kenyataan terbarunya dan ini adalah berkaitan dengan akibat-akibat yang dijangka akan berlaku sejurus membuat pengumuman ini.

Pada masa ini, Setiausaha Negara, Setiausaha Pertahanan dan Pengarah CIA semuanya membantah tindakan Trump yang dilihat sebagai membahayakan kedudukan AS di dunia. Mereka khuatir bahawa kepentingan imperialisme AS di rantau ini akan menjadi semakin lemah akibat tindakan melulu Trump yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat biasa dalam skala antarabangsa. Ini boleh menjurus kepada kelemahan sokongan dan pengaruh terhadap AS di rantau ini daripada pertubuhan-pertubuhan yang berbeza. Malah, langkah Trump sudahpun mencerminkan kegelisahan daripada pelbagai pihak. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengadakan perjumpaan kecemasan, angota Kesatuan Eropah telah mengeluarkan kritikan mereka dan pertubuhan-pertubuhan Arab lain seperti Liga Arab dari Mesir juga telah mengeluarkan kenyataan untuk memutuskan hubungan dengan AS.

Hanya beberapa negara dunia yang telah memberikan sokongan kepada deklarasi Trump terhadap Jerusalem. Taiwan dan Filipina telah mengikuti jejak Trump dan mengeluarkan kenyataan sokongan kepada AS, manakala beberapa negara dibawah kepimpinan sayap kanan seperti Czech dan Hungary juga telah menyokong deklarasi tersebut. Kebanyakkan negara dunia tidak berani menyokong posisi Trump disebabkan oleh pertimbangan strategik geo-politik dan juga disebabkan oleh penentangan dari kalangan rakyat yang signifikan dalam membantah tindakan Israel di negara masing-masing.

Netanyahu nampaknya bangga dengan pengukuhan hubungan dengan penguasa di seluruh dunia, tetapi di bawah permukaan – di AS, Eropah dan di tempat lain – terdapat kritikan yang signifikan daripada rakyat biasa terhadap dasar Israel yang dianggap tidak adil dan kejam. Di Timur Tengah, walaupun rejim-rejim Sunni Arab bertindak untuk mengetatkan satu pakatan strategik dengan negara Israel, mereka juga perlu mempertimbangkan sentimen awam dan solidariti yang meluas dengan perjuangan pembebasan nasional rakyat Palestin.

Walaupun kepimpinan negara Saudi termasuk putera Mohammed bin Salman sebenarnya menyokong deklarasi AS dan ingin mempunyai hubungan baik dengan Israel, tetapi mereka terpaksa memainkan irama yang berbeza dalam ruang awam. Mirip dengan sekutunya di Jordan, Saudi juga telah mengecam deklarasi Trump di media massa dan di ucapan-ucapan umum. Mereka gentar dengan prospek tercetusnya protes-protes di dalam negara mereka sendiri di mana rakyat biasa semakin banyak menunjukkan bantahan terhadap jalinan hubungan dengan rejim Israel dan AS.

Perjanjian Damai?

Trump telah sekali lagi mendedahkan watak imperialisme yang dimainkan oleh AS dengan menyamar sebagai pendamai yang adil dalam konflik Israel-Palestin. Sehingga pengisytiharan Trump baru-baru ini, Presiden Palestin (PA) Mahmoud Abbas bersungguh-sungguh meletakkan harapan pada Trump, dan pada bulan September lalu memberikan ucapan bahawa, “Kami berada di ambang kedamaian sejati antara Palestin dan Israel”.

Tetapi pada masa yang sama, majoriti rakyat Palestin tidak mempercayai hujah ini dan memilih untuk menekan Abbas meletakkan jawatan. Sekarang, Trump telah memerangkap para pemimpin PA dengan langkah terbarunya. Bersama pemutusan hubungan dengan Amerika Syarikat, dilaporkan bahawa Abbas akan menolak untuk bertemu dengan wakil presiden AS Mike Pence yang merancang untuk melawat Bethlehem semasa perayaan Krismas. Ia juga kelihatan seperti Abbas akan menolak jemputan untuk bertemu Trump di Rumah Putih, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Kepimpinan Hamas juga telah meletakkan harapan kosong terhadap Trump yang dianggap sebagai bersifat lebih berani daripada pemimpin-pemimpin AS sebelum ini. Pemimpin Hamas pernah berhujah bahawa rakyat Palestin mempunyai ‘peluang istimewa’ dengan situasi baru ini dan telah cuba untuk berdamai dengan Fatah dibawah anjuran Presiden Mesir, Sisi. Tetapi usaha ini tidak terhasil, PA tidak bersetuju untuk menarik balik sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Gaza dan pihak Hamas pula enggan untuk melucutkan senjata mereka.

Peningkatan konfrontasi dengan Israel datang pada masa yang tidak baik untuk kepimpinan Hamas. Dengan latarbelakang krisis di Gaza, mereka tidak dapat membentangkan sebarang pencapaian positif dalam tempoh pemerintahan yang lalu. Oleh itu mereka lebih sudi mengelakkan sebarang serangan roket ke Israel (organisasi Salafist telah mengambil tanggungjawab untuk pelancaran roket yang terbaru). Tanpa dapat menampilkan sebarang penyelesaian untuk Gaza, Hamas menyeru untuk sebuah  ‘Intifada baru’ (pemberontakan) di wilayah Tebing Barat dan di Jerusalem. Ini adalah bertujuan untuk menutupi segala kelemahan dalam kepimpinan dan strategi Hamas dalam membawa perjuangan rakyat Palestin ke hadapan.

Protes Rakyat

Idea untuk kebangkitan massa menentang pendudukan haram rejim Israel memang mempunyai sokongan yang luas di kalangan rakyat Palestin. Pada masa yang sama, terdapat juga pesimisme dalam bentuk-bentuk perjuangan yang mampu membawa perubahan yang nyata. Memandangkan penindasan ketenteraan yang melampau di mana sudah ada 2 orang penunjuk perasaan mati dibunuh, semua pilihan yang wujud bagi rakyat Gaza adalah sangat terbatas.

Julai lalu, pemberontakan ribuan penunjuk perasaan di timur Jerusalem telah berjaya mengalahkan provokasi sombong kerajaan Netanyahu yang cuba untuk menafikan akses kepada rakyat di bahagian-bahagian tertentu Jerusalam. Selepas perisytiharan Trump, beribu-ribu lagi telah turun ke jalan-jalan di timur Jerusalem, selari dengan demonstrasi di tempat lain. Tetapi pada peringkat ini, ianya tidaklah jelas jika protes ‘kemarahan’ rakyat Palestin ini akan berkembang menjadi kebangkitan massa yang lebih luas.

Trump dan Netanyahu sudah bersedia untuk memainkan propaganda nasionalisme untuk terus memegang kuasa dan memangsakan jutaan rakyat biasa. Jawapan balas yang paling sesuai adalah untuk keluar dan berjuang menentang ketidakadilan ini dengan dasar gerakan massa. Kepimpinan rakyat harus menyusun gerakan-gerakan massa di seluruh rantau ini dan juga menjalinkan solidariti dengan kelas pekerja Yahudi yang juga terancam dengan langkah-langkah sayap kanan rejim Israel. Perjuangan demi pendamaian adalah berkait rapat dengan pembinaan sebuah gerakan massa yang merangkumi semua yang tertindas berdasarkan program dan polisi yang memihak kepada kelas pekerja dan rakyat miskin.

Netanyahu sedang cuba untuk mempergunakan deklarasi Trump untuk mengalihkan perhatian semua pihak daripada krisis kepimpinan yang sedang dihadapinya dengan peningkatan protes anti-korupsi di kalangan rakyat Israel terhadap kerajaan.

Dengan latar belakang protes yang sedang berkembang di skala dunia dan untuk menghadapi penindasan kejam tentera Israel terhadap Palestin, adalah perlu untuk membina sebuah solidariti dengan perjuangan-perjuangan yang wujud termasuk perjuangan anti-korupsi dan membina gerakan yang lebih luas. Solidariti di kalangan kelas pekerja dan belia dari kedua-dua Irael dan Palestin akan dengan serta merta memberikan jalan keluar yang nyata bagi kesengsaraan rakyat di rantau ini.

Propaganda yang munafik yang cuba menggambarkan Jerusalem sebagai kota yang “bersatu” dan makmur yang memelihara kebebasan beribadat bersama dengan kebebasan untuk semua adalah bertujuan untuk menyembunyikan realiti perpecahan yang wujud. Ia tidak menghuraikan dinding pemisah, tempat pemeriksaan polis, hasutan berdasarkan bangsa dan agama yang tidak pernah berakhir, diskriminasi berat, kemiskinan yang memalukan, pencurian rumah dan tanah dari penduduk, rasisme yang dipromosikan oleh kerajaan dan penyalahgunaan kuasa oleh Magav [‘Polis Sempadan’, pasukan polis separa tentera] dan pihak berkuasa.

Sebagai sebahagian daripada perjuangan menentang pendudukan haram Israel dan ke arah perdamaian, Gerakan Perjuangan Sosialis (CWI Israel/Palestin) menuntut penubuhan dua ibu negara di Jerusalem, sambil memastikan kesejahteraan, hak yang saksama, kebebasan untuk bergerak, kebebasan beribadat dan kebebasan dari sebarang paksaan agama. Dalam konteks dua negara sosialis, demokratik dan saksama, ia dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang akan membolehkan Jerusalem benar-benar berkembang sebagai bandar pluralis tanpa setingan yang dilanda kemiskinan, tanpa diskriminasi dan tanpa dinding pemisah konkrit.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *