Sejurus selepas berlangsungnya pilihanraya presiden di Iran pada Jun yang lepas, sebuah mogok nasional menyusul di sektor yang penting iaitu minyak, gas dan petrokimia dan masih berlangsung sehingga kini. Sebuah inisiatif yang digerakkan secara akar umbi, tindakan mogok ini mendapat sokongan yang meluas. Ini disebabkan tuntutan yang di bawa oleh mereka dan juga tuntutan yang lebih luas seperti hak untuk mengatur dan menyusun di bawah organisasi secara bebas.

Mogok yang bermula pada 19hb Jun ini pada awalnya hanya melibatkan pekerja kontrak dan sambilan yang kemudiannya merebak dan turut merangkumi pekerja yang sudah pun berada di dalam posisi kekal. Kini, lebih kurang 60,000 pekerja sedang mogok. Perjuangan yang sedang berlangsung sekarang menggunakan nama “Campaign 1400” – merujuk kepada nama tahun di bawah kalendar orang Iran. Perjuangan ini dengan pantas menerima mesej-mesej sokongan daripada pekerja tebu di Haft Tappeh, pemandu bas di Tehran, pekerja kilang besi Ahvaz, kesatuan sekerja pemandu, guru-guru, organisasi golongan pesara dan lain-lain.

Pilihanraya menunjukkan asas sokongan rejim yang kecil

Mogok ini berlangsung sewaktu Ibrahim Raisi – calon Principlist yang konservatif dan mendapat sokongan daripada rejim, memenangi pilihanraya presiden. Namun begitu, walaupun dengan keputusan sebegini rupa, pilihanraya ini sebenarnya mendedahkan asas sokongan rejim yang lemah. Raisi tidak mendapat sokongan majoriti, hanya memenangi 18 juta undi dari jumlah total iaitu 59.3 juta undi. Walaupun pimpinan tertinggi Khameini merayu kesemua rakyat untuk turun mengundi, namun hanya 48.8% yang mengundi – sebuah rekod yang rendah di negara Republik Islam tersebut. Antara 29 juta pengundi, dianggar sekitar 4.16 juta membuat undi rosak – sebuah tindakan yang menurut Khomeini adalah dilarang di sisi agama. Justeru, tiada sesiapa pun yang dapat mengatakan Raisi mendapat sokongan yang popular di kalangan rakyat.

Sewaktu berlangsungnya kempen pilihanraya, Raisi terpaksa menutup penglibatannya di dalam insiden pembunuhan berskala besar pada waktu dahulu. Presiden Rouhani yang bakal tamat nanti, turut menyatakan bahawa rekod Raisi tidak mempunyai apa-apa melainkan perlaksanaan hukuman mati dan penjara. Walaupun begitu, Raisi sedar akan skala penentangan yang wujud terhadap kelompok pimpinan konservatif dan mulai berkempen sebagai calon anti-rasuah dan menekankan latar belakangnya yang berasal daripada golongan orang miskin. Raisi juga seringkali mengkritik Rouhani kerana tidak melakukan usaha yang lebih bagi membela hak wanita namun malangnya kesemua ini tidak berjaya meluaskan pengaruhnya.

Kata-kata yang dilaungkannya sewaktu pra-pilihanraya tidak bermaksud bahawa Raisi dan kuncunya tidak akan melaksanakan apa-apa bentuk penindasan dalam masa yang akan datang. Mereka masih mengawal aparatus keselamatan kerajaan. Namun, mereka juga menghadapi dilema yang jika dipertingkatkan lagi kadar penindasan, secara tidak langsung ianya akan membangkitkan kemarahan rakyat dan penentangan yang lebih meluas. Seperti apa yang dikatakan oleh saudara kepada “Pimpinan Tertinggi” kepada Financial Times: “Rakyat sedang marah dan sakit. Kamu tidak boleh menyalakan tong-tong yang penuh dengan bahan letupan” (Jun 30 2021)

Serangan

Berlatar belakangkan krisis ekonomi dan sosial yang semakin melarat, begitu juga dengan kewujudan rejim yang mendapat sokongan yang kecil, para pekerja mulai sedar akan ketibaan waktu untuk melancarkan serangan yang baru. Mereka juga sedar dan dipengaruhi oleh fakta bahawa, secara formalnya Raisi tidak mulai bertugas sehingga awal Ogos. Rouhani, iaitu presiden ketika ini, telah berjanji akan menyelesaikan kesemua masalah pekerja. Namun, sehingga kini masalah yang ada masih belum selesai.

Sejak 2017, telah pun muncul beberapa konflik yang berulang semenjak berkembangnya gerakan buruh yang mandiri di Iran. Ianya merangkumi perjuangan di beberapa tempat kerja dan pada 2019, berlangsungnya beberapa protes jalanan di seluruh Iran berikutan kenaikan harga minyak. Sejak itu juga, terdapat juga beberapa protes awam di ibu kota Tehran dan tempat yang lain – menentang insiden bekalan elektrik yang terputus tanpa apa-apa pengumuman. Disiarkan juga beberapa klip video yang memaparkan kemarahan rakyat melalui jeritan “Matilah diktator” dan juga “Matilah Khameini”.

Setahun yang lepas, mogok secara meluasnya mulai berkembang. Pada mulanya tuntutan memberi fokus kepada pembayaran gaji dan hal ehwal kebajikan sosial. Pada kemuncak perjuangan pekerja Ogos yang lepas, pekerja dari 40 syarikat yang berasal dari sektor-sektor yang berbeza turut terlibat di dalam perjuangan ini dan dilihat sebagai tindakan mogok yang terbesar sejak tertubuhnya Republik Islam ini berikutan gerakan revolusioner pada tahun 1978/79.

Sebuah deklarasi yang ditandai oleh 50 organisasi yang terdiri daripada kesatuan sekerja, organisasi mahasiswa dan lain-lain di Iran menandakan skala sokongan yang wujud terhadap gerakan buruh ini. Dengan menyenaraikan beberapa tuntutan segera para pekerja, deklarasi yang sama juga turut berhujah untuk “menubuhkan organisasi-organisasi pekerja yang mandiri – sebagai elemen penting untuk memajukan gerakan kelas pekerja”. Ia juga turut menyatakan “bagi menjayakan tugasan yang monumental ini, ianya memerlukan sokongan bersatu daripada kumpulan-kumpulan sosial yang pelbagai”.

Kini, tuntutan bersama turut dilaksanakan bagi menyokong perjuangan yang dimulakan oleh pekerja dari sektor minyak, gas dan juga petrokimia. Tuntutan ini, yang ditandatangani oleh pekerja tebu Haft Tappeh dan antara yang lainnya kesatuan pemandu bas Tehran, turut menambah “bagi meneruskan usaha dalam mencapai tuntutan-tuntutan ini, kita mesti menubuhkan kesatuan sekerja dan organisasi buruh yang mandiri; menggalakkan kesatuan dan komunikasi yang padu di antara para pekerja yang berasal daripada sektor-sektor yang berlainan; mengukuhkan solidariti di antara pekerja tetap; terus-menerus bersikap berjaga-jaga dalam menghadapi para majikan dan memantapkan lagi dana-dana bantuan pekerja yang sedang mogok dan begitu juga, keluarga mereka yang semakin mudah untuk diserang”.

Langkah seterusnya

Dengan impak yang besar berikutan tindakan mogok baru-baru ini, terutamanya berhubungan dengan tuntutan gaji minima sebanyak 12 juta tomans (RM 1,197) – secara tidak langsung menjurus kepada persoalan akan langkah-langkah yang perlu diambil oleh mereka selepas ini.

Penindasan dan keganasan oleh pihak kerajaan kerap berterusan. Setakat ini, hampir 100 pemogok telah dibuang kerja. Langkah-langkah yang tepat perlu diambil untuk menguatkan dan meluaskan lagi organisasi para pekerja yang sedang berkembang ini. Dengan berlangsungnya mogok ini, pembentukan jawatankuasa sokongan/tindakan di peringkat tempatan, daerah dan juga kebangsaan adalah hal yang penting. Dengan adanya jawatankuasa yang membumi ini, perkembangan ini akan turut membantu perbincangan akan tindakan yang perlu dilakukan dan dilihat sebagai langkah kedepan bagi pembinaan organisasi para pekerja yang lebih mandiri.

Tindakan mogok dan protes akan menjurus kepada persoalan koordinasi di antara perjuangan sedia ada dan penyusunan aktiviti solidariti sesama pekerja. Pihak kepimpinan yang sedang melakukan mogok ini secara tepat menekankan kepentingan para pemogok untuk berada dekat di kawasan kerja mereka. Mereka turut menyeru para pemogok untuk kekal bersama dan tidak pulang ke rumah.

Jika berjaya, gabungan para pemogok di kawasan kota ataupun bandar dari kawasan-kawasan yang berbeza dapat menunjukkan kekuatan mereka pada masa yang sama. Ini dapat dijadikan sebagai titik permulaan untuk bertindak bagi menuntut hal-hal utama – termasuklah perlaksanaan gaji minimum dan juga hak untuk menyusun organisasi secara bebas. Program ini dapat dijadikan sebagai asas bagi memulakan perbincangan untuk melaksanakan mogok nasional – yang pada awalnya dilakukan selama 24/28 jam secara nasional ataupun rantau – sebagai tanda kekuatan sokongan tuntutan sedia ada dan sebuah langkah kedepan bagi perjuangan yang seterusnya.

Tidak lupa juga, solidariti antarabangsa dapat memainkan peranan yang penting dalam menyatakan sokongan kepada pekerja di Iran, namun begitu, solidariti ini perlulah dilakukan secara ikhlas. Berikutan konflik yang sedang berlaku di antara kuasa imperialis barat dengan rejim Iran, seringkali penindasan di Iran ditekankan dan secara talam dua muka, mengendahkan penindasan yang berlaku di Arab Saudi, Mesir dan negara-negara lain yang bersekutu dengan mereka. Gerakan buruh yang bersolidariti dengan perjuangan buruh di Iran, perlu dibezakan dan menentang, dwistandard para imperialis yang sinikal.

Penyediaan untuk mencabar rejim

Gabungan keputusan pilihanraya yang disusuli dengan tindakan mogok yang baru telah menunjukkan kelemahan sokongan terhadap rejim dan kesanggupan para pekerja untuk terus berjuang. Dengan itu, persoalan yang dapat kita nyatakan adalah apakah alternatifnya dan siapa yang akan berjuang untuknya?

Perjuangan pekerja pada tahun lepas merangkumi tuntutan bagi pekerja untuk mengawal tempat kerja mereka, di samping slogan-slogan umum yang menyatakan kemarahan sedia ada terhadap rejim. Perkembangan ini memerlukan kelas pekerja untuk menubuhkan parti mandiri mereka yang tersendiri. Parti sebegini merupakan hal yang perlu bagi menggabungkan perjuangan kelas pekerja, anak muda dan golongan lain yang tertindas – pada masa yang sama kekal mandiri daripada pengaruh kuasa para kapitalis.

Apapun langkah ke arah penubuhan parti sebegitu, walaupun pada awalnya bergerak secara bawah tanah berikutan penindasan yang ada, pada akhirnya akan menjurus kepada perbincangan perihal program yang patut diperjuangkan. Sosialis perlu terus menerus membina kekuatan yang tersendiri, tetapi pada masa yang sama turut berhujah bahawa parti pekerja yang baru perlu, dari segi politik berbeza dengan golongan pro-kapitalis – yang hanya menginginkan perubahan rejim dan bukannya perubahan yang sistemik. Ia perlu menyelesaikan masalah majoriti rakyat dengan berhujah bahawa program sosialis mampu menggerakkan kelas pekerja dan rakyat termiskin untuk berpisah daripada sistem kapitalis.

Sebuah parti pekerja perlu mengangkat kedua-dua tuntutan demokratik seperti hak untuk menyusun di bawah organisasi secara bebas dan pilihanraya yang bebas, bergabung dengan tuntutan ekonomi dan juga sosial. Persoalan perihal pemilikan negara dan kawalan pekerja ke atas ekonomi, yang turut dibawa oleh pekerja Haft Tappeh akan menjadi program sosialis yang signifikan bagi melakukan perubahan masyarakat. Sebuah parti pekerja yang membawa program sosialis sebegini dapat menyatukan perjuangan para pekerja, begitu juga dengan perjuangan bagi gerakan sosial dan ekologikal yang lain. Ia dapat menyediakan sebuah jalan yang jelas untuk menghancurkan penindasan dan kapitalisme – iaitu dengan menubuhkan kerajaan yang dipimpin oleh perwakilan pekerja dan rakyat tertindas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *