Inflasi global dan tempatan meningkat. Apa nasib rakyat miskin?

Selepas terbelenggu selama hampir 2 tahun akibat pandemik Covid-19, pihak kerajaan telah mula membuka balik kebanyakan sektor industri dan sedang cuba untuk memulihkan ekonomi negara. Tetapi, kenaikan inflasi dan harga barangan pada tahun ini sedang mewujudkan persoalan mengenai pemulihan ekonomi yang diajukan oleh pihak kerajaan. Harga barangan yang naik bukan sahaja meningkatkan beban terhadap rakyat yang miskin, malah ia juga sedang menghambat pemulihan ekonomi yang menjadi punca pendapatan bagi jutaan kelas pekerja. 

Pada April lalu, kadar inflasi negara meningkat sebanyak 4.8% daripada kadar negatif pada bulan Januari. Selepas beberapa bulan, kadar inflasi jatuh ke 2% sebelum mula meningkat kembali ke hampir 3% pada bulan Oktober. Apabila bermulanya peningkatan inflasi pada April, pihak kerajaan mengecilkan perkara ini dan mengumumkan bahawa ini merupakan fenomena yang sementara, dan ekonomi negara akan terus pulih tanpa halangan. Tetapi, selepas lebih 8 bulan dalam keadaan inflasi, pakar-pakar ekonomi sedang mengakui bahawa kadar inflasi akan terus meningkat pada tahun hadapan juga.  

Siapa mendapat kesan dengan peningkatan inflasi?

Peningkatan harga barangan yang mencerminkan peningkatan kadar inflasi akan memberi kesan yang sangat besar kepada jutaan kelas pekerja dan rakyat, terutamanya masyarakat miskin. Kelas majikan dan kapitalis kaya yang segelintir pula tidak akan merasai sebarang beban dan akan mengalihkan segala peningkatan kos ke atas bahu para pelanggan ataupun majoriti rakyat biasa. 

Ironinya, walaupun kelas majikan kaya mempunyai kekayaan yang secukupnya untuk menyediakan kehidupan yang mewah bagi beberapa generasi mereka yang akan datang, masih lagi mereka enggan untuk menampung sebarang kerugian dan dengan mudah meletakkan semua beban peningkatan inflasi ke atas kelas pekerja dan rakyat yang tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka.   

Tambahan pula, majoriti daripada kelas pekerja yang belum menerima peningkatan gaji untuk bertahun-tahun lamanya akan bertambah miskin akibat peningkatan inflasi dan harga barangan. Masyarakat yang semakin kehilangan kuasa beli juga akan memberi impak kepada para peniaga kecil yang bergantung dengan transaksi jual beli dengan rakyat biasa. Keadaan ini akan meningkatkan beban terhadap rakyat biasa yang telah menghadapi pelbagai dugaan untuk dua tahun yang lalu dan sedang mengharapkan pemulihan ekonomi yang lancar.  

Apakah yang menyebabkan kadar inflasi naik?

Pihak kapitalis dan kerajaan akan memberikan pelbagai alasan untuk peningkatan inflasi. Kadar inflasi seringkali dipersembahkan sebagai sesuatu yang bermisteri di dalam alam ekonomi kapitalisme dan ia kononnya akan naik dan turun tanpa sebarang sebab yang konkrit. Pihak kerajaan pula bertanggung jawab untuk menyukat kadar inflasi pada setiap tahun dan perlu berusaha untuk mengawal kadar inflasi ini daripada meningkat mendadak. Di beberapa negara dalam sejarah, kadar inflasi pernah meningkat ke angka beribu-ribu peratus dalam jangka masa yang sangat singkat dan mengakibatkan keruntuhan seluruh masyarakat. 

Tetapi, jika diteliti, alasan-alasan yang diberikan oleh pihak kapitalis dan kerajaan adalah sekadar sebuah penipuan. Sebab utama untuk peningkatan kadar inflasi adalah kerana para pemilik perniagaan-perniagaan besar mengambil keputusan untuk meningkatkan harga barangan ataupun perkhidmatan mereka. Dalam usaha untuk mengejar keuntungan yang maksimum, para kapitalis yang rakus akan meningkatkan harga dan menyalahkan kadar inflasi yang kononnya meningkat. 

Sebenarnya, pihak kapitalis yang memiliki segala produksi ini tidak perlu meningkatkan harga barangan, terutamanya pada waktu ini di mana majoriti daripada rakyat sedang tersepit akibat kesan pandemik. Tetapi malangnya, dalam sistem ekonomi kapitalisme, rakyat majoriti tidak mempunyai kuasa untuk menentukan harga barangan dan kuasa itu berada sepenuhnya di tangan kelas kapitalis. Oleh itu, walaupun seluruh masyarakat terpaksa menghadapi pandemik yang meningkatkan beban kehidupan, hanya kelas kapitalis sahaja yang dibenarkan untuk mengaut keuntungan dan menikmati kehidupan yang lebih selesa. 

Dalam suasana ekonomi moden, kebanyakkan daripada sektor ekonomi utama sedang di monopoli oleh segelintir individu. Syarikat tenaga seperti elektrik dan minyak, syarikat pengeluar komoditi seperti sawit, getah dan tembaga, syarikat kewangan, syarikat pemasaran dan sebagainya semua di miliki oleh beberapa individu yang tidak mempunyai persaingan. Oleh itu, kelas kapitalis minoriti ini mempunyai kuasa untuk meningkatkan harga barangan pada bila-bila masa sahaja dan sebarang peningkatan harga untuk mana-mana sektor akan memberi kesan kepada seluruh ekonomi. 

Pada waktu ini, kelas kapitalis telah mengambil keputusan untuk meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan yang dikawal oleh mereka. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia sahaja tetapi juga di seluruh dunia. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melihat peningkatan kadar inflasi yang paling banyak dalam 10 tahun. Beberapa negara lain seperti Turkey pula sedang dilanda dengan krisis inflasi yang terburuk dalam sejarah mereka. 

Kenapa kapitalis meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan pada waktu ini?

Jawapan yang ringkas untuk persoalan ini adalah akibat motif keuntungan yang tersemai di dalam jiwa setiap kapitalis dan kuasa mutlak mereka ke atas perjalanan ekonomi. Dalam keadaan pandemik, walaupun sebahagian daripada para kapitalis seperti Top Glove dan Pharmaniaga dalam sektor farmaseutikal telah melihat keuntungan durian runtuh untuk 2 tahun lepas, tetapi, sebahagian daripada kapitalis dari sektor-sektor lain tidak mendapat sebarang keuntungan. Batasan-batasan kawalan pergerakkan telah menjejaskan perniagaan dan keuntungan mereka. Oleh itu, apabila ekonomi mula di buka kembali, para kapitalis dari sektor-sektor tersebut telah mula meningkatkan harga barangan sebagai langkah untuk memulihkan keuntungan yang hilang pada tahun-tahun lepas. 

Walaupun syarikat-syarikat besar telah menikmati pelbagai subsidi dan bantuan kebajikan daripada kerajaan yang telah mengosongkan rizab awam, masih lagi pemilik syarikat-syarikat tersebut ingin meningkatkan keuntungan mereka tanpa mempedulikan nasib rakyat biasa. Bukankah kelas pekerja dan rakyat yang mengambil risiko ke atas nyawa mereka setiap hari untuk memerangi Covid-19 berhak untuk mendapatkan kebajikan dan bantuan untuk membina kembali hidup mereka? 

Para kapitalis juga sedang memberikan alasan bahawa kos operasi mereka meningkat akibat peningkatan gaji untuk para pekerja. Ini juga merupakan alasan yang tidak munasabah dan sebenarnya bersangkut paut dengan persoalan berkenaan kekurangan buruh.

Pada waktu ini, kebanyakan negara-negara maju sedang mengalami fenomena kekurangan pekerja, walaupun kadar pengangguran negara tersebut masih tinggi. Di Malaysia juga sudah kedengaran rungutan daripada pertubuhan-pertubuhan majikan yang mendakwa bahawa tidak cukup pekerja. Ini adalah kerana ramai di kalangan para pekerja migran yang bergaji rendah telah terpaksa balik ke negara masing-masing akibat dilanda pandemik. Oleh itu, kelas majikan telah kehilangan sumber tenaga kerja murah yang boleh dieksploitasi dengan teruk. 

Kelas pekerja tempatan yang mempunyai gaji minimum dan dilindungi oleh beberapa undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 adalah lebih sukar untuk dieksploitasi oleh kelas majikan berbanding pekerja migran yang hampir tidak mempunyai sebarang perlindungan. Oleh sebab itu, kelas majikan kaya tidak ingin mengambil tenaga kerja tempatan dan sanggup untuk mengecilkan operasi mereka. Pada masa yang sama, mereka juga meningkatkan harga barangan atau perkhidmatan mereka untuk meningkatkan kadar keuntungan yang terkesan akibat pengecilan perniagaan mereka. 

Realitinya, jika kelas majikan meningkatkan gaji dan taraf kondisi kerja, kelas pekerja tempatan bersedia untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Tetapi sebaliknya, kelas majikan mengambil keputusan untuk mengecilkan operasi mereka dan meningkatkan harga barangan. Ini bukan sahaja akan menyumbang ke arah peningkatan kemiskinan di kalangan masyarakat, malah ia juga akan meningkatkan kadar pengangguran negara yang semakin merosot. 

Apakah peranan kerajaan dalam isu inflasi?

Pihak kerajaan pula langsung tidak memainkan sebarang peranan dalam melindungi rakyat biasa dan hanya menjadi pemerhati kepada semua tingkah laku para kapitalis yang mengheret ekonomi dunia mengikut kehendak mereka. Setakat ini pihak kerajaan hanya berperanan untuk reka alasan-alasan yang berbeza untuk menjelaskan fenomena inflasi. Kononnya Covid-19 dan faktor-faktor ekonomi yang kompleks telah mengakibatkan peningkatan inflasi dan pihak kerajaan tidak berupaya untuk memulihkan keadaan ini.

Ini mencerminkan sebuah kerajaan yang sepenuhnya dikongkong oleh kepentingan kapitalis dan para elit. Walaupun mendapat undi daripada rakyat biasa, tetapi, kesetiaan kerjaaan adalah sentiasa kepada kelas kapitalis yang mencurahkan harta benda sebagai balasan kepada sokongan tersebut. Kerajaan boleh memperkenalkan kawalan harga, mencukai syarikat-syarikat kaya untuk menyediakan kebajikan untuk rakyat dan meletakkan polisi-polisi yang menyekat pihak kapitalis daripada mengeksploitasi tenaga kerja rakyat biasa dengan tidak adil. Tetapi, kuasa politik yang dipegang kerajaan hanya digunakan untuk melindungi keuntungan golongan elit dan untuk memastikan kesinambungan sistem ekonomi kapitalis yang rakus. 

Walaupun berbagai jenis parti politik telah mengambil giliran dan memegang kuasa kerajaan, masing-masing telah membuktikan bahawa mereka adalah semuanya hamba kepada kelas kapitalis dan tidak mengendahkan kepentingan rakyat biasa. Oleh sebab itu, kita tidak boleh berhenti dengan hanya mengkritik pihak kerajaan dan harus melanjutkan kritikan kita terhadap sistem ekonomi kapitalisme yang mengawal sistem politik dan sosial masyarakat. Tidak kira parti mana yang memerintah negara, nasib kelas pekerja dan rakyat biasa tidak akan terbela selagi sistem kapitalisme terus bermaharajalela dengan bebas. 

Perjuangan rakyat?

Walaupun kelas kapitalis memegang kuasa kerajaan pada waktu ini, kelas pekerja merupakan kuasa sebenar yang sedang menggerakkan ekonomi dunia setiap hari dengan titik peluh mereka. Jika kelas pekerja turun berjuang dengan sepakat dan menghentikan aktiviti ekonomi di tempat-tempat produksi, kelas kapitalis dan kerajaan akan kehilangan kuasa mereka dalam masa yang sangat singkat. Kelas kapitalis yang hanya segelintir tidak boleh mempertahankan diri mereka jika majoriti daripada kelas pekerja dapat menyatukan tenaga mereka dan berjuang di bawah satu payung. 

Perjuangan-perjuangan pekerja yang sudah mula berlaku di beberapa kilang secara spontan dan berselerak menunjukkan bahawa gerakan kelas pekerja dan rakyat biasa sudah mula bercambah. Tetapi, ia memerlukan satu kepimpinan yang jelas untuk di perluaskan ke semua sektor-sektor industri dan berkembang menjadi sebuah gerakan perjuangan yang hebat. Kepimpinan ini haruslah terdiri daripada organisasi yang berlandaskan kepada kelas pekerja, membawa program sosialis yang melawan sistem kapitalisme dan mengangkat nilai-nilai demokrasi dalam mengundang penyertaan massa ke dalam kepimpinan tersebut. 

Sudah tiba masanya untuk kelas pekerja dan rakyat biasa untuk menolak ahli-ahli politik arus perdana yang talam dua muka dan hanya berkhidmat demi kepentingan kelas kapitalis. Bagi melindungi hak dan kebajikan rakyat biasa, rakyat harus terlibat dalam pembinaan sebuah kepimpinan yang mampu mencabar sistem kapitalisme dan menggantikan sistem tersebut dengan ekonomi sosialis yang mengutamakan kepentingan rakyat majoriti. 

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top