Hukuman ke atas Najib: Korupsi tidak dapat dilawan dengan undang-undang, gerakan rakyat dengan politik alternatif perlu dibina untuk membina kerajaan telus dan berlandaskan keperluan rakyat

Hukuman ke atas Najib: Korupsi tidak dapat dilawan dengan undang-undang, gerakan rakyat dengan politik alternatif perlu dibina untuk membina kerajaan telus dan berlandaskan keperluan rakyat

Posted by

Pada 28 Julai lalu, rakyat Malaysia digegarkan dengan berita bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak yang tidak asing dengan skandal-skandal korupsi yang besar telah disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun berserta denda sebanyak 210 juta ringgit. Najib didapati bersalah untuk tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Pada masa yang sama, kes korupsi 1MDB masih akan diteruskan bermula Ogos ini yang bukan sahaja melibatkan Najib, malah isteri bekas PM, Rosmah Mansor juga sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan-tuduhan korupsi. Berita ini membawa kejutan kepada para penganalisis politik yang telah merumuskan bahawa kes terhadap Najib akan pastinya digugurkan oleh Peguam Negara baru yang dipengaruhi oleh ahli-ahli politik UMNO yang rapat dengan bekas PM Najib. Malah, bekas PM Mahathir Mohammad juga telah cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa tuduhan rasuah dalam kes 1MDB ke atas Naib akan digugurkan oleh kerajaan baru. 

Selepas bertahun-tahun dibebankan dengan skandal 1MDB yang telah menjadi berita sensasi di seluruh dunia, akhirnya rakyat Malaysia boleh merasa lega untuk seketika apabila  institusi guaman negara telah mengambil keputusan untuk menjatuhkan hukuman yang berat ke atas penjenayah yang menggondol harta rakyat biasa. Tetapi, keputusan Najib untuk membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan telah menimbulkan kerisauan jika dia masih boleh melepaskan dirinya daripada menjalani sebarang hukuman penjara. Tambahan pula, motif sebenar kerajaan PN untuk menghukum Najib adalah masih tidak jelas dan perlu dihalusi sebelum menaruh kepercayaan kepada kerajaan baru yang sebenarnya masih dikawal oleh ahli-ahli politik yang korup dan tidak beretika.

Keikhlasan kerajaan PN dalam memerangi korupsi di Malaysia masih menjadi sebuah persoalan dan tingkah laku mereka telah mewujudkan pelbagai kecurigaan setakat ini. Sejurus mengambil kuasa, semua posisi-posisi penting dalam institusi kehakiman, legislatif (Parlimen) dan eksekutif (kabinet) telah ditukar mengikut kehendak penguasa baru. Semua ‘boneka’ yang menurut kata kerajaan PH sebelum ini telah ditukar dengan ‘boneka’ yang akan taat kepada ahli politik PN. Kerajaan BN, PH dan kini PN semuanya tidak pernah mengusahakan sebarang institusi negara yang bersifat bebas dan tiada pengaruh daripada mana-mana pihak berkepentingan.

Dengan menggunakan institusi negara yang juga korup dan tidak beramanah, kerajaan PN telah menggugurkan tuduhan korupsi bagi beberapa individu berprofil tinggi seperti Musa Aman, bekas Menteri Besar Sarawak yang mempunyai skandal rasuah dalam industri pembalakan. Selain itu anak tiri Najib Razak, Riza Aziz yang dengan jelas terlibat dalam skandal korupsi 1MDB sepertimana yang dilaporkan oleh penyiasatan kerajaan Amerika Syarikat juga dibebaskan tanpa hukuman penjara. Walaupun Najib telah dijatuhkan hukuman, terdapat ramai lagi anggota UMNO, termasuk presiden parti Zahid Hamidi yang juga sedang menghadapi tuduhan rasuah dan sedang dalam penyiasatan pada waktu ini. Pada masa ini, ianya masih menjadi sebuah persoalan jika adakah Najib telah dijadikan kambing hitam bagi melepaskan individu-individu lain yang turut terlibat dalam pelbagai skandal korupsi di sepanjang pemerintahan mereka.

Pada masa yang sama, kerajaan PN juga telah mula menindas beberapa organisasi bukan kerajaan atau NGO yang telah membawa skandal 1MDB dan skandal-skandal rasuah lain ke perhatian umum. Baru-baru ini, beberapa aktivis dan pemimpin organisasi seperti Centre to Combat Corruption and Cronyism telah di panggil untuk dipersoal oleh pihak polis hanya kerana ‘kesalahan’ mengkritik kerajaan PN. Sebarang bentuk kritikan terhadap kerajaan baru dibalas dengan ancaman dari pihak berkuasa. Malah, para wartawan dan media berita juga menjadi sasaran. Baru-baru ini, kerajaan telah melancarkan penyiasatan jenayah ke atas Al-Jazeera yang telah mendedahkan penindasan yang berlaku terhadap warga migran di negara ini di dalam laporan media mereka.

Kerajaan PN juga mempergunakan situasi huru-hara yang sedang berlangsung di seluruh dunia akibat pandemik Covid19 untuk mengukuhkan posisi mereka di tampuk kuasa. Situasi kecemasan yang wujud akan dijadikan sebagai alasan untuk menggubal dan memperkenalkan undang-undang baru yang pastinya akan berpihak kepada kerajaan PN. Bulan-bulan yang akan datang akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai perancangan kerajaan PN dalam usaha untuk mengukuhkan sokongan dan kedudukan politik mereka. Tetapi, ianya tidak mudah, dan dengan keadaan ekonomi global yang semakin merudum, kerajaan ini akan menghadapi cabaran-cabaran yang tidak pernah dihadapi sebelum ini dan boleh menjurus kepada perpecahan dalaman di kalangan komponen politik yang ada.

PN yang telah mengambil kuasa dengan menggunakan ‘pintu belakang’ ataupun tanpa melalui PRU, merupakan sebuah kerajaan yang tidak stabil. Kuasa-kuasa yang membentuk kerajaan ini masing-masing mempunyai agenda yang berbeza dan belum lagi berjaya untuk mengukuhkan posisi mereka di Parlimen dan meningkatkan sokongan mereka daripada rakyat. Tambahan pula, selepas Najib dijatuhkan hukuman penjara, berita ini mula mewujudkan kerenganggan didalam koalisi PN di mana beberapa ahli politik yang rapat dengan Najib telah mula menjauhkan diri mereka daripada PM Muhyiddin Yassin. Najib yang masih mempunyai sokongan dari sebilangan rakyat mempunyai pengaruh di dalam parti UMNO.

Pastinya langkah untuk menjatuhkan hukuman penjara ke atas Najib adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan oleh Muhyiddin yang sedang mengharapkan sokongan daripada parti UMNO untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai PM. Tetapi, kerajaan ini juga terpaksa meyakinkan rakyat biasa bahawa ianya komited untuk memerangi korupsi yang berleluasa di kalangan ahli-ahli politik yang kebanyakkannya daripada kerajaan BN sebelum ini.

Pada 2018, majoriti daripada rakyat Malaysia telah mengambil keputusan untuk menolak korupsi yang berleluasa di sistem politik negara dengan membuang undi ke arah PH yang menjanjikan sebuah pembaharuan dan keadilan. Kemarahan rakyat terhadap skandal-skandal rasuah oleh ahli politik BN, terutamanya skandal rasuah 1MDB yang diterajui oleh PM Najib telah menjadi propaganda utama PH pada waktu itu untuk mendapatkan sokongan rakyat. Hasilnya, kerajaan BN yang merupakan kerajaan pemerintah yang paling lama berkuasa di dunia moden telah akhirnya jatuh selepas lebih enam dekad berkuasa. Perkara ini disedari oleh PN Muhyiddin sendiri yang telah berpecah dengan UMNO untuk menyertai kem pembangkang Bersatu pada waktu itu. Oleh itu, langkah untuk tidak menggugurkan tuduhan terhadap Najib adalah sesuatu yang terpaksa di ambil bagi meyakinkan kembali rakyat biasa bahawa kerajaan ini tidak akan bertindak berat sebelah. Oleh itu, langkah ini terpaksa di ambil walaupun dengan risiko perpecahan dalaman di dalam koalisi PN. 

Dari sudut pandang rakyat biasa, kejatuhan hukuman terhadap Najib adalah sebuah langkah yang terdesak oleh kerajaan yang tidak stabil untuk cuba mendapatkan sokongan rakyat. Percaturan politik ini tidak menjamin sebarang perubahan bagi kehidupan jutaan rakyat biasa. Ianya hanya sekadar manipulasi terhadap sentimen rakyat dan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada krisis kemelesetan ekonomi yang bakal dihadapi.

Pembangkang PH yang telah kehilangan kuasa kepimpinan selepas hanya dua tahun memerintah juga tidak berjaya memikat hati rakyat biasa. Walaupun kerajaan PH telah membawa kes-kes rasuah oleh ahli politik BN ke muka pengadilan, tetapi, pada masa yang sama, kes rasuah daripada ahli koalisi PH pula digugurkan tanpa perbicaraan. Langkah bekas peguam negara Tommy Thomas untuk menggugurkan kes rasuah ‘banglo’ pemimpin DAP Lim Guan Eng dilihat sebagai tidak beretika dan hipokrit di mata rakyat biasa. Oleh itu, walaupun skandal rasuah Najib merupakan jenayah yang jauh lebih berat berbanding skandal ‘banglo’ LGE, Najib telah mempergunakan kepincangan yang berlaku di bawah kepimpinan PH untuk meningkatkan sokongan terhadap dirinya daripada sebilangan rakyat. Oleh itu, Najib yang sudahpun terbukti sebagai seorang penjenayah, masih mempunyai pengikut-pengikut setia yang menyokongnya sehingga ke hari ini.

Kerajaan PH juga tidak membuat sebarang perubahan dari segi struktur politik negara yang sudah lama korup. Walaupun menjanjikan pelbagai perubahan, tetapi selepas mengambil tampuk kuasa, ahli-ahli politik PH juga mula mempergunakan struktur politik yang ada untuk mengukuhkan kedudukan politik masing-masing. Tidak ada sebarang usaha untuk mewujudkan institusi-institusi yang bebas daripada pengaruh ahli politik. Semua institusi kehakiman, pencegahan rasuah, pilihanraya dan sebagainya di kawal sepenuhnya oleh PH dan dipergunakan untuk meneruskan agenda mereka, bukan untuk mempertahankan kehendak majoriti rakyat yang mengundi untuk mereka. Akta-akta yang menindas dan menghadkan demokrasi seperti Akta Hasutan juga tidak digubal dan dibiarkan seperti sedia ada. Pada waktu ini, akta-akta yang sama akan digunakan untuk memangsakan ahli politik pembangkang dan untuk menghadkan demokrasi.

BN, PH dan PN merupakan perwakilan politik yang hanya mementingkan agenda peribadi dan tidak ikhlas dalam perjuangan mereka. Sebarang retorik anti-korupsi daripada ahli-ahli politik ini adalah hanya sekadar permainan politik dan bukanlah bertujuan untuk membaiki sistem politik negara yang korup. Korupsi merupakan sebuah ciri daripada sistem ekonomi kapitalisme dan akan wujud selagi sistem ini berkuasa. Sistem kapitalisme global yang menguasai ekonomi dunia akan sentiasa dijangkiti dengan penyakit korupsi yang dilihat di seluruh dunia di sepanjang sejarah. Kes rasuah LGE misalnya mendedahkan bahawa amalan korupsi boleh juga wujud di kalangan golongan PH yang dianggap sebagai beramanah dan bersifat anti-korupsi. Jika PH dapat berkuasa untuk jangka masa yang lebih lama, pastinya lebih banyak skandal-skandal korupsi yang mirip dengan pemerintahan BN akan boleh dilihat. Ini merupakan hakikat yang harus diterima oleh rakyat Malaysia selepas melihat kerenah daripada semua pertubuhan politik yang wujud.

Rakyat memerlukan sebuah perwakilan yang bukan sahaja berani melawan korupsi, tetapi juga mampu membawa sebuah agenda untuk menentang sistem kapitalisme yang merupakan akar kepada semua korupsi yang berlaku. Semua perwakilan politik yang hanya melafazkan ucapan yang berbentuk anti-korupsi sebenarnya hanya ingin menggunakan sentimen rakyat untuk memenangi PRU. Tidak ada mana-mana pihak di kalangan ahli politik arus perdana yang mengangkat rentang untuk berjuang menentang kapitalisme yang bukan sahaja merupakan punca kepada korupsi, malah ia juga merupakan punca kepada kesengsaraan hidup yang dirasai oleh jutaan rakyat miskin.

Kerajaan yang bersilih ganti semuanya membuktikan bahawa ketaatan mereka adalah kepada kelas kapitalis kaya yang kurang daripada 1% populasi negara dan bukannya kepada kebajikan rakyat biasa. Oleh itu, walaupun kelas pekerja dan rakyat biasa di Malaysia sedang semakin miskin setiap tahun dan dibebankan dengan hutang negara, kelas kapitalis kaya sedang menikmati peningkatan keuntungan yang bersejarah. Apabila rakyat biasa menghadapi krisis pengangguran, inflasi harga barangan dan rumah yang melampau, pembekuan gaji, kos kehidupan yang berganda-ganda, kelas kapitalis kaya sedang menikmati kehidupan yang selesa dengan kadar keuntungan yang banyak dan pengecualian cukai dari kerajaan.

Dalam situasi pandemik Covid19 yang sedang mencetuskan sebuah krisis ekonomi global, kehidupan rakyat biasa sedang menjadi lebih tercabar dengan prospek pengangguran yang tinggi dan pemotongan kebajikan sosial daripada kerajaan yang sedang hampir muflis. Walaupun pada waktu ini jutaan rakyat biasa sedang mengharapkan bantuan kecemasan daripada kerajaan, ahli-ahli politik yang seharusnya mewakili kepentingan rakyat sedang asyik dengan percubaan untuk merebut kuasa daripada pihak lawan. Setakat ini, kerajaan masih belum mendedahkan situasi ekonomi sebenar negara yang sedang menghampiri sebuah resesi dengan kadar pengangguran yang meningkat mendadak. Malah, koalisi pembangkang juga tidak mempunyai sebarang solusi untuk membawa rakyat keluar daripada krisis yang bakal dihadapi.

Bagi mencari sebuah penyelesaian yang berkesan, dan untuk menjamin masa depan yang bahagia untuk generasi yang akan datang, kelas pekerja dan rakyat harus menolak semua perwakilan kapitalis yang wujud di parlimen pada waktu ini dan mula membina sebuah alternatif politik yang benar-benar komited untuk menentang sistem kapitalisme. Jutaan rakyat tertindas yang telah berulang kali ditipu dan dikecewakan oleh ahli-ahli politik daripada kem berbeza sedang mencari sebuah alternatif politik yang boleh meyakinkan mereka. Maka sebuah perwakilan politik yang membawa program-program rakyat seperti gaji kehidupan bagi semua pekerja, pendidikan percuma, sistem kesihatan percuma yang mantap, pengenalan cukai kepada kapitalis besar, meningkatkan dana kebajikan rakyat dan sebagainya akan mampu membina perjuangan bersama di kalangan rakyat yang boleh dimanifestasi dalam sebuah gerakan massa.

Pertubuhan kelas pekerja seperti kesatuan sekerja dan organisasi akar umbi rakyat merupakan kepimpinan yang boleh membawa alternatif politik ini. Oleh itu, pertubuhan-pertubuhan rakyat harus bersatu untuk mewujudkan kepimpinan politik yang demokratik, membawa aspirasi jutaan rakyat tertindas dan mempunyai hala tuju yang jelas untuk menggantikan sistem ekonomi kapitalisme dengan sistem sosialisme yang akan mewakili kepentingan rakyat biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*