Hikayat Tanah Tikus (The Story of Mouseland)

Ini adalah kisah mengenai sebuah tempat yang bernama Tanah Tikus. Tanah Tikus adalah tempat di mana semua tikus kecil tinggal dan beriadah, dilahirkan dan meninggal dunia. Dan mereka tinggal lebih kurang sama seperti kamu dan saya.

Mereka juga mempunyai sebuah Parlimen. Setiap lima tahun mereka mempunyai pilihan raya. Dahulu, mereka sering berjalan ke tempat mengundi. Ada di antaranya yang menaiki kenderaan atau dibawa ke tempat mengundi oleh kawan. Sama seperti kamu dan saya. Dan setiap kali pada hari pilihan raya, semua tikus kecil pergi ke peti undi dan memilih kerajaan. Kerajaan yang terdiri daripada kucing hitam yang besar dan gemuk!

Sekarang jika kamu merasa hairan bahawa kenapa tikus perlu memilih kerajaan yang terdiri daripada kucing, kamu hanya perlu melihat kepada sejarah dunia, terutamanya di negara-negara yang mempunyai demokrasi parlimen selama 150 tahun lepas, dan mungkin kita akan faham bahawa tikus itu tidak jauh berbeza daripada kita.

Saya tidak mempunyai dendam atau tidak menyalahkan si kucing. Mereka sangat bagus. Mereka menguruskan kerajaan mereka dengan penuh ketekunan. Mereka meluluskan undang-undang yang baik – iaitu, undang-undang yang baik untuk kucing. Tetapi undang-undang yang baik untuk kucing seringkali tidak begitu baik untuk tikus.

Salah satu contoh undang-undang itu adalah seperti “semua lubang tikus perlu dibina lebih besar daripada tapak kaki kucing”. Satu lagi undang-undang berkata bahawa “tikus hanya boleh bergerak pada kelajuan yang tertentu” – supaya golongan kucing boleh melahap mereka tanpa terlalu banyak usaha.

Semua undang-undang yang dilaksana adalah undang-undang yang baik. Baik untuk kucing. Tetapi, ia amat tidak adil bagi tikus. Dan kehidupan tikus bertambah perit setiap hari. Apabila golongan tikus tidak dapat bersabar lagi, mereka memutuskan untuk mengambil tindakan. Mereka pergi beramai-ramai ke tempat pemilihan. Mereka beramai-ramai mengundi kucing hitam keluar dan mengangkat kucing putih!

Kucing putih telah melancarkan sebuah kempen yang hebat. Ia berhujah : “Perkara yang paling penting bagi Tanah Tikus adalah sebuah visi yang baik”. Ia sambung : ” Masalah paling besar di Tanah Tikus adalah bentuk lubang tikus yang sudah ketinggalan zaman. Jika kalian mengundi kami, kami akan menggantikan semua lubang tikus yang berbentuk bulat kepada lubang tikus berbentuk segi empat”. Maka, itulah yang dilaksanakan oleh Kucing Putih. Sebenarnya, lubang tikus empat segi yang dimaksudkan itu adalah dua kali ganda lebih besar daripada lubang tikus bulat, dan sekarang golongan kucing boleh memuatkan kedua-dua kaki mereka ke dalam sarang tikus dengan lebih selesa. Dan hidup populasi tikus menjadi lebih sukar berbanding sebelum ini.

Apabila mereka tidak boleh bersabar lagi, mereka akan mengundi keluar kucing putih dan balik kepada kucing hitam. Kemudian mereka akan kembali kepada kucing putih. Kemudian ke kucing hitam. Mereka juga mencuba kucing separuh hitam dan separuh putih. Ini dinamakan sebagai Koalisi atau Pakatan. Mereka juga memilih sebuah kerajaan yang terdiri daripada kucing putih bertompok hitam : ia terdiri daripada golongan kucing yang membuat bunyi seakan-akan tikus tetapi melahap seperti kucing.

Jom kita lihat kembali, masalahnya bukanlah dengan warna ataupun rupa kucing tersebut. Masalahnya ialah mereka kucing. Dan kerana mereka kucing, mereka secara semula jadi akan menjaga kebajikan kucing dan bukan tikus.

Tiba-tiba muncul seekor tikus kecil yang mempunyai sebuah idea. Berhati-hati dengan si kecil yang membawa sesuatu idea. Dan dia berkata kepada tikus yang lain, ” lihat, mengapa kita terus memilih sebuah kerajaan yang terdiri daripada kucing? Kenapa kita tidak memilih kerajaan yang terdiri daripada tikus?” “Oh,” teriak mereka, “dia adalah seorang Komunis. Kunci dia!”

Jadi mereka mengunci tikus kecil yang membawa idea itu di dalam penjara.

Tetapi kami ingin mengingatkan kamu : yang kamu boleh mengunci seekor tikus, tetapi kamu tidak boleh mengunci sesuatu idea.

(Hikayat Tanah Tikus (The Story of Mouseland) merupakan sebuah satira yang diucap oleh kepimpinan kelas pekerja yang membawa naratif untuk menolak penguasaan politik kelas kapitalis di pilihan raya pada zaman 1940 an di Canada. Ia diterjemah dan diolah untuk tatapan kelas pekerja Malaysia.)

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top