Hentikan keganasan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin

Penindasan yang kejam dan ganas oleh pasukan bersenjata Israel terhadap rakyat Palestin telah mencetuskan satu lagi situasi kecemasan di rantau itu dengan ancaman perang yang boleh berpanjangan. Kali ini, pihak berkuasa Israel sedang menghadapi sebuah pemberontakan dan protes dari seluruh masyarakat Palestin yang sudah tidak berupaya untuk memendam kemarahan mereka untuk lebih lama lagi. 

Pada bulan April lalu, pasukan keselamatan Israel membuat rintangan untuk mencegah orang Palestin berkumpul di sebelah pintu gerbang Damaskus ke kota lama. Ini dilakukan dengan sengaja dan dengan pengetahuan bahawa masyarakat Islam Palestin akan berhimpun di kawasan tersebut pada bulan Ramadhan setiap tahun. Pada masa yang sama, komuniti Israel pula dibenarkan untuk mengadakan pelbagai perhimpunan agama dan perayaan tradisional mereka sesuka hati. Ini menyebabkan tercetusnya protes-protes dari rakyat Palestin bagi mempertahankan hak mereka. Walaupun dengan serangan daripada pihak berkuasa dengan gas pemedih mata dan peluru getah, protes tersebut telah berjaya memaksa Israel menarik balik rintangan yang dipasang untuk mencegah masyarakat Palestin daripada menunaikan ibadat mereka. 

Pada waktu yang sama, juga terdapat protes-protes yang tercetus di Jerusalem Timur bagi menentang pengusiran paksa rakyat Palestin daripada rumah mereka oleh nasionalis Israel. Di Sheikh Jarrah, sebuah kawasan majoriti rakyat Palestin, polis telah menggunakan senjata api seperti bom tangan untuk menyerang para penunjuk perasaan yang melancarkan aksi protes aman dan tidak bersenjata. 

Kemudian, pada 10 Mei, di tengah provokasi nasionalis dari Israel – termasuk percubaan untuk mengadakan acara ‘Hari Yerusalem’ yang ‘merayakan’ penyitaan Yerusalem Timur tahun 1967 – polis melepaskan peluru getah, bom tangan dan gas pemedih mata ke arah ratusan orang Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Penindasan yang keterlaluan yang berlaku di salah satu Masjid yang dianggap suci dan penting di dunia, pada akhir bulan Ramadhan, telah mencetuskan kemarahan jutaan rakyat Palestin dari Yerusalem Timur, West Bank dan Gaza. 

Sebagai tindak balas, pasukan bersenjata Hamas dan militia Palestin lain telah melancarkan roket dan belon berapi dari Gaza ke arah penduduk Israel. Ini dipergunakan sebagai alasan daripada pemerintah Israel, Benjamin Netanyahu untuk melancarkan serangan peluru berpandu yang dilengkapi dengan teknologi moden ke arah Gaza dan telah membunuh seramai 230 rakyat Palestin, termasuk 64 kanak-kanak setakat ini. 

Tentera Israel telah menyasarkan dan mengebom bangunan pejabat, pangsapuri dan tempat-tempat awam yang telah memakan ratusan nyawa dan menyebabkan ribuan kecederaan parah di kalangan penduduk Gaza. Israel juga tidak teragak-agak untuk menghancurkan pejabat badan-badan media seperti Al-Jazeera dan AP yang bertapak di dalam Gaza untuk melaporkan situasi di sana. Hospital, pusat rawatan, sekolah dan bangunan-bangunan awam juga diratakan tanpa sebarang kesal. Alasan yang digunakan adalah bahawa terdapat pusat operasi Hamas di tempat-tempat tersebut. Namun, setakat ini, tidak ada sebarang bukti yang kukuh dikemukakan oleh kementerian pertahanan Israel. 

Penduduk di Gaza, yang berada di dalam sebuah penjara akibat dikepung dari semua sisi oleh tentera Israel dan tidak dibenarkan keluar masuk ke Gaza, sedang dihujani dengan peluru berpandu dan serangan udara yang bertubi-tubi dari tentera Israel secara berterusan. Walaupun dengan jelas melanggar aturan dan tatatertib perang yang ditetapkan oleh badan-badan antarabangsa seperti UN, kerajaan Israel sedang meneruskan penindasan mereka terhadap masyarakat Palestin tanpa sebarang batasan dan peri kemanusiaan. 

Netanyahu

Punca utama tercetusnya tragedi perang ini adalah disebabkan oleh kegagalan Netanyahu untuk membentuk sebuah kerajaan persekutuan akibat gagal mencapai undi majoriti di empat Pilihan Raya Umum yang berlangsung di Israel sebelum ini. Oleh itu, Parti Likud dan sekutunya tidak habis-habis mendendangkan propaganda nasionalis yang bertujuan untuk mewujudkan ketegangan di kalangan rakyat Palestin dan Israel. Secara sengaja, pihak polis telah meningkatkan penindasan terhadap rakyat Palestin pada bulan Ramadhan untuk merangsang tindak balas yang boleh dipergunakan sebagai alasan untuk menyerang penduduk Palestin. 

Situasi ini pula dipergunakan oleh Netanyahu dan sekutunya untuk tonjol sebagai ‘pejuang bangsa’ dan menggalakkan rakyat Israel dan Palestin untuk membenci antara satu sama lain. Keadaan cemas yang menyelubungi masyarakat akibat ancaman perang akan dipergunakan oleh kepimpinan sayap kanan Israel untuk cuba meraih undi di Pilihan Raya Umum yang dijangkakan akan berlangsung tidak lama lagi. 

Sebagai contoh, pada 10 Mei lalu, ketua parti Zionis, Bezalel Smotrich, secara provokatif mengunjungi Sheikh Jarrah dan menuntut pihak berkuasa agar meningkatkan penindasan terhadap para penunjuk perasaan Palestin. Dia dengan tegas mengatakan: “Kita harus membentuk kerajaan yang stabil yang akan menggariskan dengan jelas, siapakah yang berkuasa ke atas negara Israel.”

Sama ada putaran konflik ini berjaya dihentikan seketika ataupun akan terus meningkat, kemarahan di kalangan anak muda Palestin akan tetap memuncak dan mencetuskan konflik-konflik yang tidak dapat dielakkan. 

Selain daripada penjajahan tentera yang kejam, mereka sedang mengalami pengangguran yang kronik, kemiskinan dan kekurangan kemudahan dan perkhidmatan awam yang minimum. Tidak ada pihak pro-kapitalis yang berpusat di Palestin yang dapat memperbaiki kehidupan mereka dalam aspek ini. Apa yang disebut sebagai ‘komuniti antarabangsa’ dan  kuasa kapitalis dunia juga telah menunjukkan kebuntuan dalam mencapai sebarang solusi kepada krisis yang dihadapi oleh masyarakat Palestin. 

Sosialisme

Walaupun ianya mencerminkan kemarahan rakyat, roket dan tindak balas individu tidak akan membantu rakyat Palestin untuk mencapai matlamat mereka. Sebaliknya, ia akan hanya mendorong kerajaan Israel untuk meningkatkan serangan dan pada masa yang sama juga menolak kelas pekerja dan rakyat biasa Israel Yahudi ke pangkuan pemerintah yang rakus seperti Netanyahu. 

Keselamatan bagi penduduk Yahudi juga tidak akan dicapai dengan kaedah ketenteraan ataupun dengan menaruh harapan terhadap mana-mana kepimpinan politik kapitalis yang menolak keamanan. Kelas pekerja Yahudi Israel bersama-sama dengan kelas pekerja Palestin haruslah membina parti mereka sendiri yang bebas dari kawalan dan cengkaman kelas kapitalis. 

Bagi rakyat Palestin yang sedang dijajah oleh kuasa tentera Israel, mereka harus dengan segera membentuk sebuah jawatankuasa tempatan yang dikendalikan secara demokratik untuk mengatur sebarang aksi tindak balas untuk mempertahankan hak mereka. Mereka tidak boleh mengikut kepimpinan Fatah atau Hamas, yang tidak memiliki sebarang solusi yang nyata. Sebaliknya, sebuah kepimpinan rakyat yang berdasarkan kepada kuasa kelas pekerja haruslah dibentuk dengan segera. 

Perjuangan rakyat massa yang telah memaksa kerajaan Israel untuk mengalihkan rintangan yang dipasang untuk menghalang himpunan masyarakat Palestin dan perjuangan menentang pengusiran paksa di Shiekh Jarrah telah menunjukkan bagaimana kemenangan boleh dicapai melalui perjuangan massa. Pada masa yang sama, mogok umum yang dilancarkan oleh rakyat Palestin di Yerusalem Timur, Gaza dan di seluruh West Bank akan menjadi titik tolak yang penting untuk membina sebuah Jawatankuasa kelas pekerja dan rakyat biasa yang boleh berkembang menjadi sebuah kepimpinan politik yang kukuh. 

Mogok umum yang sedang dilancar di hampir seluruh Israel-Palestin, merupakan sebuah aksi solidariti yang paling besar sejak 1936 dan memberikan inspirasi kepada seluruh masyarakat Palestin untuk berjuang menentang penindasan kerajaan Israel. Mogok umum ini menunjukkan keupayaan untuk menyatukan semua masyarakat Palestin di bawah kepimpinan kelas pekerja yang demokratik dan memperjuangkan sebuah masa depan yang tidak mampu dibawa oleh semua kepimpinan politik sayap kanan yang pernah wujud. 

Kelas pekerja dan rakyat tertindas di Palestin tidak boleh berhenti sekadar melancarkan aksi mogok dan harus terus mengorak langkah ke arah pembinaan sebuah parti kelas pekerja yang membawa mesej solidariti di kalangan rakyat tertindas dan mengalahkan agenda kapitalis dan Zionis yang sedang mendominasi kerajaan Israel.

Dengan program Sosialis yang adil dan mendahulukan rakyat biasa, sebuah perpaduan mampu diwujudkan di antara kelas pekerja Palestin dan kelas pekerja Israel bagi membina negara masing-masing berdasarkan kehendak rakyat majoriti, berdasarkan perpaduan di antara kelas tertindas dan bebas dari pengaruh perkauman. 

Hentikan serangan peluru berpandu tentera Israel di Gaza!

  • Hentikan penindasan terhadap rakyat Palestin yang mempertahankan kediaman dan tempat keagamaan mereka!
  • Hentikan pengusiran paksa keluarga rakyat Palestin dari kediaman mereka!
  • Tarik balik semua tentera Israel dari wilayah-wilayah yang dijajah!
  • Bina jawatankuasa tindakan dan pertahanan yang disusun secara demokratik dalam komuniti Palestin
  • Bina perjuangan besar-besaran rakyat Palestin bagi menuntut hak untuk negara sendiri
  • Bina organisasi pekerja bebas di Palestin dan Israel
  • Berjuang untuk sebuah negara Palestin sosialis demokratik, bersama dengan negara sosialis demokratik Israel, dengan dua ibu kota di Yerusalem, jaminan hak demokratik untuk semua minoriti dan sebagai sebahagian daripada perjuangan untuk Sosialisme di seluruh Timur Tengah. 

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top