Hartal Doktor Kontrak

Baru-baru ini, para doktor yang diambil kerja oleh institut kesihatan awam di bawah kontrak tahunan telah melancarkan sebuah kempen media dan media sosial untuk berjuang menuntut hak mereka. Kempen yang bernama ‘Hartal Doktor Kontrak’ ini sedang bersiap sedia untuk melancarkan satu aksi mogok pada 26 Julai yang akan datang jika pihak kerajaan gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Lebih dari 15 ribu doktor kontrak boleh mengambil keputusan untuk tidak melaporkan diri untuk kerja pada hari tersebut.

Sejak 2016, kerajaan Malaysia telah mengurangkan pengambilan doktor sebagai pekerja tetap di hospital awam dan memperkenalkan sistem kontrak yang diperbaharui setiap 2 tahun. Ini adalah akibat kekurangan hospital awam untuk menempatkan semua graduan baru dan akibat kekurangan dana untuk pembiayaan hospital yang ada. Walaupun populasi yang meningkat memerlukan doktor yang lebih ramai, tetapi, sistem kesihatan awam yang tidak diperkembangkan untuk berdekad-dekad lamanya sudah tidak boleh menampung doktor-doktor baru. 

Walaupun hospital-hospital kerajaan menjadi semakin sesak dengan bilangan pengunjung yang banyak dalam beberapa tahun ini, pihak kerajaan masih belum merujuk kepada isu ini dan menawarkan sebarang solusi yang munasabah. Pada setiap pengumuman bajet, dana kesihatan awam terus dipotong dan tidak ada usaha untuk meningkatkan jumlah kemudahan kesihatan awam untuk menampung kedua-dua doktor baru dan rakyat jelata. 

Para doktor yang menjadi petugas utama dalam menyelamatkan mangsa-mangsa pandemik sedang ditindas teruk sehingga mereka terpaksa berjuang demi hak mereka secara terbuka. Jika inilah layanan yang diberikan kepada petugas barisan hadapan, apakah nasib jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang memikul beban ekonomi yang sangat besar pada waktu ini?

Doktor kontrak, berbeza daripada doktor tetap, tidak mempunyai gred kenaikan gaji seperti kakitangan kerajaan lain. Oleh itu, seorang pekerja doktor kontrak yang sudah bekerja selama 5 tahun misalnya, akan menerima hanya separuh daripada gaji seorang doktor tetap bagi tugasan kerja yang sama akibat perbezaan yang besar dalam kenaikan gaji tahunan. Tambahan pula, walaupun pekerja tetap boleh terus menyambung kerja dan mempunyai jaminan kerja yang kukuh, doktor kontrak terpaksa meninggalkan khidmat kerajaan selepas 5 tahun. Hanya segelintir daripada pekerja kontrak ini diserap menjadi kakitangan kerajaan dan selebihnya terpaksa mencari kerja di syarikat-syarikat swasta. 

Lebih kurang 4000 pegawai perubatan kontrak akan kehilangan kerja menjelang Mei tahun hadapan dan masa depan mereka masih kabur pada masa ini. Pada waktu ini, terdapat seramai 23 ribu orang doktor kontrak bertugas di hospital dan pusat perubatan awam. 

Selain itu, sepanjang perkhidmatan mereka, doktor kontrak tidak dapat menikmati manfaat yang sama dengan doktor lantikkan tetap seperti cuti khas perubatan, cuti tanpa rekod untuk peperiksaan, cuti sakit atau kemalangan dan peluang latihan persekutuan untuk melanjutkan pendidikan mereka. Ini merupakan sebuah penindasan yang tidak adil oleh pihak KKM dan kerajaan. Walaupun doktor kontrak ini menampung beban kerja yang sama dengan doktor lantikan tetap, terutamanya pada waktu pandemik yang penuh dengan cabaran, mereka masih ditindas dan dilayan seperti pekerja yang tidak mempunyai hak. 

Para doktor kontrak sudah tidak berupaya untuk mendiamkan diri dan membiarkan diri mereka ditindas teruk oleh kerajaan. Kempen ‘Hartal Doktor Kontrak’ bukan sekadar mendapat sokongan daripada pertubuhan seperti Pertubuhan Perubatan Malaysia, malah juga mendapat sambutan daripada masyarakat yang prihatin di laman media sosial yang tersebar luas. Aksi ‘Hartal’ ataupun mogok yang diumumkan merupakan tindakan industri yang sangat berkesan dan dapat menekan pihak berkuasa untuk menumpukan perhatian terhadap kesusahan yang sedang dihadapi oleh para pekerja kesihatan di Malaysia. Pada masa yang sama, aksi ini juga sedang mendedahkan sistem kesihatan awam yang berada dalam keadaan yang sangat lemah dan kerakusan kerajaan yang tidak mengutamakan kebajikan para pekerja dan rakyat biasa. 

Respon daripada kerajaan berkenaan pengumuman ‘Hartal’ ini juga mendedahkan sifat dan sikap para kepimpinan yang memegang kuasa kerajaan. Doktor kontrak ini diberikan amaran supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aksi mogok dan diugut dengan hukuman berat bagi yang mengingkari arahan mereka. Pada masa yang sama, pihak kerajaan masih belum mengakui rungutan para doktor kontrak dan menawarkan sebarang solusi yang munasabah. 

Kempen ‘Hartal Doktor Kontrak’ telah mengetengahkan 4 tuntutan utama dalam perjuangan mereka. 

  1. Sediakan kemudahan untuk melanjutkan pelajaran untuk doktor kontrak.
  2. Sediakan kriteria yang jelas bagi pegawai perubatan yang diserap masuk menjadi doktor lantikan tetap kerajaan.
  3. Gaji dan manfaat yang saksama bagi semua petugas yang melakukan kerja yang sama.
  4. Jaminan kerja untuk semua doktor dan pekerja kesihatan. 

Jaringan Solidariti Pekerja juga ingin memberikan sokongan kepada perjuangan doktor kontrak dan mengalu-alukan penglibatan semua pekerja kesihatan di dalam gerakan ini. Pada masa yang sama kami juga ingin menyeru kepada semua pertubuhan pekerja dan kesatuan sekerja terutamanya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk turut memberikan solidariti dengan perjuangan ini. 

Kami beranggapan bahawa gerakan ini haruslah dikuatkan dengan mewujudkan sebuah kesatuan sekerja bagi semua pekerja kesihatan di Malaysia. Kepimpinan kempen Hartal Doktor kontrak mempunyai asas untuk meneruskan perjuangan ini sehingga ke kesudahannya dan harus mengukuhkan pertubuhan mereka sebaik mungkin. Ini adalah bagi menyangkal segala serangan dari para kerajaan secara tersusun dan untuk mengatur aksi-aksi yang sesuai untuk melanjutkan perjuangan ini.

Kami juga ingin menyeru kepada kepimpinan perjuangan ini untuk mengungkit persoalan-persoalan yang lebih mendalam berkenaan dengan sistem kesihatan negara dan peruntukkan untuk sektor kesihatan di Malaysia. Kepimpinan dan pertubuhan pekerja yang kukuh, bukan sahaja boleh membawa isu-isu ekonomi dan sosial yang menyentuh semua lapisan masyarakat, malah mampu memperjuangkan isu-isu tersebut sehingga mencari sebuah penyelesaian yang wajar. 

Alternatif sosialisme sebagai solusi

Pandemik Covid-19 yang melanda penghuni dunia telah mendedahkan kelemahan sistem kesihatan dan sistem ekonomi yang berkuat kuasa di seluruh dunia. Sistem kapitalisme yang berpaksikan kepada keuntungan syarikat-syarikat swasta merupakan sebuah sistem yang membawa kemewahan yang lumayan kepada segelintir pihak di dalam masyarakat manakala majoriti daripada populasi terpaksa hidup dengan serba kekurangan. Apabila situasi global stabil dan sihat, sistem kapitalisme menawarkan peluang-peluang yang terhad kepada rakyat untuk menambah baik kehidupan mereka. Oleh itu, kerakusan sistem ini terselindung dan berjaya ditutup oleh ahli-ahli politik arus perdana dengan pelbagai taktik untuk mengaburi mata rakyat. Tetapi, pandemik Covid-19 yang melanda dunia dalam latar belakang kegawatan ekonomi global telah mendedahkan kepincangan-kepincangan yang wujud di dalam sistem ini. 

Walaupun hampir 8 ribu graduan doktor baru keluar dari institut pengajian tinggi setiap tahun, rakyat Malaysia masih terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk berjumpa dengan doktor. Akibat dana yang dipotong setiap tahun, bekalan perubatan yang diperlukan oleh rakyat sedang semakin berkurangan sehingga banyak kes-kes yang kritikal terpaksa di abaikan. Terdapat juga kekurangan doktor-doktor pakar di dalam khidmat kesihatan awam akibat kekurangan tawaran latihan kepakaran atau pengkhususan untuk doktor biasa. Pada masa yang sama, kebanyakkan doktor-doktor yang ada diserap ke dalam pusat kesihatan swasta yang hanya menawarkan perkhidmatan yang mahal dan berada di luar kemampuan rakyat biasa. 

Pandemik Covid-19 bukan sahaja mendedahkan kelemahan sistem kesihatan negara, malah ia juga mendedahkan kelemahan sistem ekonomi, sosial dan politik kita yang sedang terumbang-ambing pada waktu ini. Walaupun jutaan rakyat sedang merana, segelintir ahli politik dan kelas kapitalis kaya sedang menikmati kekayaan yang bertimbun-timbun. Ya, walaupun pada waktu pandemik yang sedang mengheret jutaan rakyat ke arah kemiskinan, golongan kaya di Malaysia dan di negara-negara lain sedang terus membuat keuntungan dan luar biasa. Tahun lepas melihat penambahan bilionair yang terbanyak dalam sejarah walaupun dunia dilanda pandemik! 

Oleh kerana itu, sehingga ke hari ini, ahli-ahli politik arus perdana tidak mempunyai sebarang solusi yang mampu memberi keyakinan kepada rakyat akan keberlangsungan kehidupan mereka di tahun-tahun yang akan datang. Masing-masing menabur janji-janji manis dan menjual harapan palsu apabila sistem kapitalisme sedang mengheret semua ke arah sebuah bencana ekonomi yang tidak boleh dielakkan. Tambahan pula, bencana Covid-19 ini pula dipergunakan untuk merebut kerusi politik dan harta kekayaan tanpa menghiraukan nasib jutaan rakyat biasa. 

Gerakan-gerakan kelas pekerja seperti Hartal Doktor Kontrak ini haruslah disanjung dan disokong oleh semua kelas pekerja lain. Ini merupakan perjuangan yang boleh dicontohi oleh jutaan pekerja lain yang juga sedang menghadapi masalah-masalah yang serupa pada waktu pandemik ini. Malah para pekerja di kilang, pekerja ‘gig’ seperti penghantar makanan dan pekerja servis di negara ini sedang menghadapi penindasan yang melampau dari pihak majikan. Dengan jalinan solidariti daripada semua kelas pekerja dan aksi-aksi yang tersusun, kelas pekerja boleh melangkah ke hadapan dan menuntut perubahan-perubahan yang lebih bermakna bagi semua rakyat. 

Kelas pekerja, yang menjadi nadi utama dalam menguruskan semua keperluan masyarakat dalam keadaan pendemik haruslah disanjung dan diiktiraf sebagai kepimpinan yang betul-betul layak untuk memegang kuasa kerajaan. Kelas pekerja barisan hadapan seperti doktor kontrak, kakitangan kesihatan, bersama dengan pekerja industri, penghantar makanan, pekerja pembersihan dan sebagainya telah mengambil risiko yang besar dan berkorban selama lebih satu tahun demi kepentingan rakyat. Manakala, para CEO, pemegang saham syarikat besar, ahli-ahli politik dan kelas majikan kaya pula didapati menyembunyikan diri, menghabiskan masa dengan bercuti dan membuat helah untuk menghirup duit rakyat. 

Oleh itu, selagi kelas majikan, CEO kaya dan ahli politik pro-kapitalis sedang bermaharajalela, kelas pekerja dan rakyat biasa akan sentiasa ditindas demi kepentingan sebuah minoriti kecil. Kelas pekerja dan rakyat biasa memerlukan sebuah perwakilan politik yang mampu membawa aspirasi dan tuntutan rakyat ke hadapan. Sebuah program sosialis yang membawa tuntutan untuk sistem kesihatan percuma yang mencukupi, sistem pendidikan awam percuma, gaji kehidupan kepada semua pekerja, bantuan kebajikan rakyat dalam waktu kecemasan, pengawalan ke atas ekonomi secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa merupakan satu-satunya solusi kepada semua krisis yang wujud. 

Kelas pekerja dari semua latar belakang haruslah bersatu dan membawa sebuah alternatif sosialisme kepada sistem kapitalisme yang sedia ada secara tersusun dan melalui perjuangan rakyat. Sebuah parti pekerja massa haruslah di bina melalui perwakilan dari kelas pekerja sendiri dan berpaksikan kepada kehendak majoriti rakyat. Hanya sebuah pertubuhan politik yang mempunyai sokongan massa, program yang kukuh dan gerakan yang kuat boleh menjadi kepimpinan yang boleh menggantikan penguasaan sistem kapitalisme dengan sosialisme demokratik yang adil kepada semua.  

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top