Dalam dua tahun terakhir, hari pekerja sedunia (Hari 1 Mei) di Kuala Lumpur telah diperingati dengan demonstrasi menolak GST. Beribu-ribu rakyat yang tidak berpuas hati turun ke jalan membantah dasar kerajaan yang mencekik rakyat. Walaupun bantahan tersebut dan pelbagai usaha lain tidak berjaya memaksa kerajaan memansuhkan GST, tetapi rakyat Malaysia boleh mendapatkan beberapa pengajaran berharga. Pertama, segolongan rakyat ingin turun berdemonstrasi kerana melihat sudah tidak ada cara lain yang boleh dilakukan untuk membuat tuntutan. Meskipun selama ini banyak ketidakpuasan terhadap dasar dan ketidakadilan kerajaan dalam pelbagai isu, kenaikan kos barangan dan perkhidmatan yang amat berkaitan dengan isi poket dan perut mereka, maka tidak ada apa yang boleh menghalang kemarahan rakyat. Kedua, keuntungan lebih RM31 bilion setahun yang dikutip daripada rakyat itu telah menutupi telinga kerajaan sehingga mereka pekak terhadap tuntutan untuk memansuhkan GST. Pada masa yang sama rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang terus meningkat. Di sebalik itu, mereka juga didedahkan dengan pelbagai salah laku dan skandal yang melibatkan pemimpin-pemimpin di dalam kerajaan, termasuk perdana menteri. Pengajaran terakhir yang menunjukkan kelemahan di pihak pekerja ialah tidak adanya kepimpinan daripada pekerja dan kesatuan sekerja dalam isu tersebut. Perkara ini membolehkan elit politik pembangkang mempergunakan momentum hari pekerja untuk kepentingan politik dengan memimpin demonstrasi dan memaksakan agenda mereka. Padahal jika pekerja yang memimpin kemarahan rakyat dan mampu membawa agenda kelasnya, maka hasil yang lebih maksimum boleh dicapai. Sosialis Alternatif dengan perspektif politik kelas pekerja dan slogan “Pekerja Kuasa Perubahan” sedang berkempen untuk mewujudkan satu kepimpinan kelas pekerja supaya pekerja boleh memimpin perjuangannya sendiri tanpa perlu bergantung kepada ahli politik borjuis.

Saat ini keperluan untuk menyuarakan lagi tuntutan dan menekan kerajaan yang hanya berpihak kepada kepentingan majikan kapitalis semakin penting. Untuk itu diperlukan satu gerak kerja rakyat yang melibatkan semua unsur pro perubahan yang dipimpin oleh kelas pekerja. Kelas pekerja merupakan kelompok yang paling penting dalam masyarakat kerana merekalah yang menjana ekonomi dengan memastikan proses pengeluaran berjalan. Ironinya merekalah yang selalu dipinggirkan oleh penindasan majikan mahupun dasar kerajaan. Masalahnya, masih banyak pekerja yang percaya bahawa mereka hanya perlu menyerahkan harapan, aspirasi dan kepentingan mereka kepada segelintir elit kesatuan sekerja atau ahli politik untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Langkah yang diambil oleh MTUC menjemput Mahathir dan pemimpin politik pembangkang untuk peringatan hari pekerja tahun ini menunjukkan bahawa kesatuan sekerja terbesar di negara ini tidak percaya dengan kuasa pekerja. Mereka seolah-olah mahu menyerahkan nasib mereka kepada ahli politik. Padahal sejarah telah menunjukkan bahawa di bawah kepimpinan Mahathir, kelas pekerja di Malaysia telah ditindas dan hak-hak kesatuan dipinggirkan. Dengan memberikan platform kepada Mahathir, MTUC membelakangkan maruah dan perjuangan pekerja.

labour day 2016 q

Pekerja mesti sedar bahawa sistem perwakilan hanya berkesan jika semua pekerja sedar akan hak dan tanggung jawab mereka. Namun apakah tugas itu sudah dilakukan dengan baik oleh wakil pekerja dan elit politik? Apakah mereka mahu memberitahu bahawa kepentingan pekerja selama ini ditolak ke belakang berbanding kepentingan majikan dan pemilik modal yang hanya menginginkan keuntungan? Dari manakah keuntungan majikan? Jawapannya: dari titik peluh pekerja. Lantas mengapa terlalu sukar untuk menaikkan gaji mereka di tengah peningkatan kos sara hidup sekarang ini? Mengapa kenaikan gaji minima hanya sebanyak RM100 selepas tiga tahun? Apakah dengan gaji RM1000 mencukupi untuk menjalankan hidup sekeluarga pada masa sekarang ini? Ya, majikan atau kerajaan akan mengatakan, jika pekerja hendak hidup selesa mesti melakukan kerja lebih masa atau melakukan dua kerja pada satu-satu masa. Bagaimana hendak hidup selesa jika sebahagian besar masa yang pekerja hanya ditumpukan untuk bekerja? Bukankah sebagai manusia kita layak untuk mendapatkanmasa bersosial dan berehat dengan keluarga? Terlalu banyak persoalan yang berlegar di kepala golongan pekerja. Persoalan itu akan tetap menjadi persoalan jika kelas pekerja tidak berbuat sesuatu untuk merubah keadaan itu.

Apa yang mesti dilakukan? Untuk menjawab pertanyaan tersebut, maka penting bagi pekerja memahami erti peringatan hari pekerja itu sendiri. Hari Mei atau May Day tercetus lebih seratus tahun dahulu di Amerika Syarikat kerana pekerja mogok menuntut masa kerja yang adil. Pada waktu itu, pekerja di sana dipaksa bekerja selama 20 jam sehari. Dalam sehari mereka hanya punya masa 4 jam untuk berehat, sedangkan selebihnya terpaksa menjadi hamba kepada majikan yang menggaji mereka. Pada 5 September 1882, 20 ribu pekerja di kota New York melakukan demonstrasi. Tuntutan mereka ialah: 8 jam bekerja, 8 jam istirahat, dan 8 jam riadah. Itulah 24 jam kehidupan ideal dalam sehari yang diinginkan kelas pekerja Amerika Serikat lebih seratus tahun dahulu. Tuntutan pengurangan jam kerja itu pada akhirnya menjadi perjuangan kelas pekerja sedunia.

13076528_961629227289671_3178450904856577821_n

Kongres pekerja peringkat antarabangsa pertama diadakan di Geneva, Swiss, pada tahun 1886, dan dihadiri organisasi pekerja dari pelbagai negara. Kongres buruh internasional ini menetapkan tuntutan pengurangan jam kerja menjadi 8 jam sehari sebagai perjuangan rasmi buruh sedunia. Namun ketika aksi empat ratus ribu pekerja menuntut perkara yang sama di Amerika Syarikat pada tahun itu, lebih seratus pekerja terkorban akibat tembakan polis. Sebagai penghormatan terhadap para pekerja yang menjadi mangsa dalam aksi demonstrasi itu, Kongres Sosialis Dunia yang diadakan di Paris pada Julai 1889 menetapkan tanggal 1 Mei sebagai Hari Buruh Sedunia (May Day). Dari sejarah itu kita mendapat tahu bahawa apa yang kita dapatkan hari ini ialah hasil daripada perjuangan pekerja terdahulu. Tetapi selama sistem kapitalisme masih menindas pekerja, perjuangan masih perlu diteruskan. Dan perjuangan sebenar ialah perjuangan yang dipimpin oleh kelas pekerja sendiri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *