Pihak kerajaan telah meluluskan perintah gaji minimum baru pada tahun 2020 ke RM1200 di 57 buah kawasan yang dianggap sebagai bandar utama. Kawasan- kawasan lain yang tidak tersenarai akan masih menerima gaji minimum RM1100 seperti sebelum ini. Berita ini telah mewujudkan kekecewaan di kalangan majoriti daripada pekerja yang telah mengharapkan peningkatan gaji yang lebih banyak dan setara dengan peningkatan kos kehidupan yang sedang naik mendadak setiap tahun, terutamanya di bandar-bandar besar. Tambahan pula, para pekerja yang berada di luar 57 kawasan yang disenaraikan tidak akan menerima sebarang kenaikan gaji minimum walaupun taraf kehidupan mereka juga sedang merosot sama seperti pekerja yang berada di kawasan bandar utama.

Majoriti daripada 14 juta orang pekerja di Malaysia telah menyokong koalisi politik PH di PRU lepas dengan harapan bahawa kerajaan baru akan menyelesaikan masalah mereka dengan menunaikan janji-janji PRU yang dibentangkan kepada rakyat. Tetapi, walaupun sudah hampir 2 tahun memegang kuasa kerajaan, PH tidak mampu membawa sebarang polisi atau program yang dapat memulihkan keadaan rakyat miskin di negara ini yang sedang semakin tersepit dengan beban ekonomi yang meningkat. Majoriti daripada janji PRU mereka sudah terbengkalai atau diubah suai dengan janji yang baru. Misalnya, PH telah menjanjikan untuk memperkenalkan peningkatan gaji minimum ke Rm1500 sebelum PRU lepas, tetapi, sejurus mengambil alih tampuk pemerintahan, pihak kerajaan mendakwa bahawa perlaksanaan gaji minimum RM1500 akan mengambil masa 5 tahun. Alasan yang diberikan adalah bahawa keadaan ekonomi negara dan global yang tidak mengizinkan pihak kerajaan untuk melaksanakan peningkatan gaji minimum yang besar.

Penyelewengan kerajaan PH sudah terdedah di kalangan kelas pekerja dan semakin ramai sudah tidak ingin mempercayai janji-janji kosong yang sedang ditaburkan. Jika pihak kerajaan benar-benar ingin meningkatkan gaji minimum ke RM 1500 dalam terma pertama mereka, seharusnya perkara tersebut boleh dibawa ke Parlimen dan sebuah struktur peningkatan gaji berperingkat bagi setiap tahun boleh diluluskan pada waktu ini. Sebaliknya, perkara itu tidak dibuat dan kadar kenaikan gaji minimum akan terpaksa dibincang dan di bahas pada setiap hujung tahun. Tambahan pula, pengenalan kenaikan gaji mengikut kawasan tertentu pada tahun ini menimbulkan rasa curiga di kalangan para pekerja bahawa jika pihak kerajaan benar-benar akan meningkatkan gaji minimum ke tahap yang berpatutan dalam masa terdekat dan akan berpegang kepada janji PRU mereka untuk mengutamakan kebajikan pekerja.

Pengumuman perintah gaji minimum terbaru ini sudahpun mencetuskan pelbagai reaksi negatif dari kalangan para pekerja yang telah dipinggirkan oleh kerajaan. Dalam keadaan peningkatan kos kehidupan, kesihatan, pendidikan dan inflasi harga barangan, seorang pekerja yang menerima gaji minimum tidak akan mampu untuk menjalankan sebuah kehidupan yang bermakna dan bermaruah. Beberapa kajian yang dibuat oleh badan-badan kerajaan sendiri telah mendedahkan bahawa majoriti daripada pekerja di Malaysia sedang menerima gaji yang tidak berpatutan dan tidak setara dengan kos hidup yang tinggi. Bank Negara sendiri pernah megeluarkan kajian bahawa seorang individu di bandar memerlukan sekurang-kurangnya RM2700 sebulan bagi menjalankan kehidupan yang biasa. Tetapi, lebih daripada 50% daripada pekerja di negara ini menerima kurang daripada RM1700 sebulan. Dalam keadaan ini, sasaran kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum ke RM1500 dalam masa 5 tahun merupakan sebuah usaha yang tidak akan memberi kesan yang besar. Tambahan lagi, langkah-langkah pihak kerajaan setakat ini gagal untuk meyakinkan jutaan para pekerja bahawa kebajikan hidup mereka akan terpelihara di bawah ‘Malaysia baru’ PH.

Ianya semakin jelas bahawa pihak kerajaan baru, sama seperti kerajaan BN sebelum ini, tidak menghargai pengorbanan kelas pekerja yang bukan sahaja berusaha membina kemudahan yang ada di negara ini, malah bertungkus lumus demi kemewahan yang dinikmati oleh kelas majikan dan korporat kaya. Sepadan dengan perjuangan mereka, Pertubuhan Majikan-majikan (MEF) juga telah membantah kenaikan gaji minimum yang sangat sedikit itu dengan mendakwa bahawa ia akan mengakibatkan kelesuan pasaran dagang di Malaysia. Ini mencerminkan sifat para majikan kaya yang ingin mengekalkan pengagihan kekayaan yang sangat tidak adil demi mengekalkan status dan kehidupan mewah mereka yang melampau. Di ‘Malaysia baru’, sama seperti di ‘Malaysia lama’, kelas kapitalis dan golongan majikan merupakan penguasa utama dan pihak kerajaan sentiasa patuh dengan kehendak mereka sambil meminggirkan jutaan rakyat biasa.

Walaupun pihak PH telah mengecewakan para pekerja yang telah mengundi untuk mereka di PRU lepas, tetapi, rakyat biasa tidak ada alternatif kepimpinan politik yang lain yang boleh mengangkat aspirasi mereka. Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang adalah pendokong kelas majikan dan sudah terbukti tidak akan berusaha untuk meningkatkan kebajikan bagi rakyat biasa. Di bawah kepimpinan BN dan PH, golongan kapitalis kaya yang bilangannya kurang dari 1% daripada populasi telah berjaya menggandakan keuntungan mereka manakala rakyat miskin menjadi semakin tertindas dan berhadapan dengan kondisi kehidupan yang merosot setiap hari.

Bagi mengubah nasib jutaan rakyat yang sedang tertindas di bawah aturan sistem kapitalisme yang hanya berpihak kepada pihak korporat kaya, sebuah kuasa rakyat yang mampu mencabar aturan sistem ini haruslah di bina melalui perjuangan akar umbi rakyat. Sebuah kepimpinan politik yang berteraskan kepada kuasa kelas pekerja dan rakyat biasa amatlah diperlukan untuk membawa aspirasi massa ke hadapan dan mengalahkan aspirasi golongan kaya 1% di arena politik. Pada masa yang sama, kepimpinan politik itu perlu bersifat demokratik dan mempunyai program yang kukuh untuk menarik penyertaan dari jutaan rakyat tertindas dalam satu gerakan untuk memperjuangkan kebajikan dan hak kelas pekerja dan rakyat biasa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *