Penahanan Flotilla Gaza oleh Israel Cetuskan Mogok Umum di Serata Itali
Mogok umum di Itali disebabkan penahanan Global Sumud Flotilla oleh tentera Israel pada 3 Oktober yang lalu.
Artikel berikut merupakan terjemahan dan diubah suai bagi memudahkan pembaca. Artikel asal boleh didapatkan di sini.
Di Genoa pada bulan Ogos yang lalu, sebuah demonstrasi besar-besaran melibatkan 50,000 termasuk pekerja pelabuhan telah berlangsung setelah flotilla singgah untuk berlabuh di pelabuhan. Mereka berikrar untuk memboikot sebarang barangan menuju ke Israel sekiranya flotilla gagal menyampaikan bantuan ke Gaza. Kepungan, pengeboman, dan dasar sekatan makanan dan nutrisi sehingga menyebabkan krisis kebuluran di kalangan rakyat Palestin telah membangkitkan kemarahan pekerja serta anak muda Itali, yang turut menentang sokongan berterusan kerajaan sayap kanan pimpinan Giorgia Meloni terhadap tindakan genosida Israel.
Kesatuan akar umbi Unione Sindacale di Base (USB) menyokong tindakan pekerja pelabuhan dengan mengisytiharkan mogok umum pada 22 September. Menjelang hari tersebut, jelas bahawa pekerja pelabuhan di seluruh Itali, bersama pekerja pengangkutan dan sekolah, bersedia untuk bertindak. Setiausaha agung USB, Guido Lutrano, menyeru tindakan bersama kelas pekerja pada hari tersebut. Tekanan ini memaksa kesatuan terbesar, CGIL, untuk menganjurkan tindakan separa pada 19 September.
Mogok 22 September itu menutup pelabuhan, menghentikan perkhidmatan kereta api nasional dan wilayah, serta menutup sekolah-sekolah di seluruh Itali. Demonstrasi di lebih 80 bandar dan pekan menghimpunkan puluhan ribu pekerja, aktivis pro-Palestin, dan anak muda. Tindakan-tindakan ini, walaupun mematuhi undang-undang, telah memecahkan kebuntuan yang sekian lama dialami kelas pekerja Itali. Ramai kini melihat nasib rakyat Palestin sebagai lambang perjuangan mereka sendiri menentang dasar penjimatan, pengangguran, dan pekerjaan tidak stabil. Golongan muda melihat perjuangan ini sebagai perjuangan untuk masa depan mereka. Seorang pemimpin USB berkata: “Hentikan Israel, hentikan kerajaan ini… hari ini memberi kita harapan,” sambil menyeru ahli-ahlinya memulakan kempen militan menentang penswastaan sekolah oleh kerajaan Meloni.
Pekerja pelabuhan kini mencabar pemerintahan Meloni secara terbuka. Antara tindakan pertama kerajaannya adalah menjadikan sekatan barangan dari pelabuhan Itali sebagai tindakan jenayah, dengan hukuman termasuk penjara. Namun ini tidak menghalang pekerja daripada terus menghalang penghantaran senjata ke Israel.
Dengan notis dua hari, USB bersama beberapa kesatuan kecil lain dan kemudiannya CGIL, menyeru mogok umum pada 3 Oktober. Berita tentang penangkapan flotilla, termasuk seorang pekerja pelabuhan dari Genoa, mencetuskan reaksi pantas daripada golongan muda. Bangunan universiti dipenuhi demonstrasi, juga di beberapa kampus, dan perhimpunan serta perarakan spontan berlaku di tempat-tempat lain. Pelajar sekolah turut berarak di kawasan bandar termasuk Genoa sehari sebelum hari mogok.
Di Genoa, pekerja berkumpul untuk menyekat semua laluan masuk ke pelabuhan, dan menyebabkan penghantaran laut tergendala selama 24 jam. Beberapa perhimpunan demonstrasi lain turut berlangsung seawal jam 8 pagi. Ribuan anak muda berarak bersama pekerja melalui bandar.
50,000 berarak di Genoa
Mogok umum 3 Oktober kemudian dikecam sebagai “tidak sah” oleh kerajaan, namun 50,000 orang tetap berarak di jalanan Genoa pada waktu pagi. Satu lagi demonstrasi di stesen kereta api utama dan massa menyekat laluan kereta api. Slogan utama bergema “Jika Israel menyekat bantuan, kami akan sekat semuanya!”
Di pelabuhan tentera La Spezia, di sepanjang pantai, 10,000 lagi berdemonstrasi. Di bandar-bandar besar seperti Rome, Naples, dan Milan, ratusan ribu turun ke jalan. Pelabuhan utama lain seperti Livorno dan Ancona turut dipenuhi para demonstran. Di sesetengah tempat, polis rusuhan menyerang pekerja kemudian menggambarkan demonstrasi sebagai ganas. Ini memberi alasan kepada kerajaan Itali untuk mengetatkan undang-undang.
Namun tindak balas besar-besaran kelas pekerja Itali bagi kelas pemerintah dianggap sebagai mencabar kekuasaan mereka. Matteo Salvini, menteri infrastruktur dan pengangkutan dalam kerajaan, mengancam akan mengambil tindakan lebih keras terhadap aksi protes. Ini, menurut Setiausaha Agung CGIL, Maurizio Landini, merupakan serangan yang tidak pernah berlaku terhadap “hak untuk mogok”.
Meloni kini ditekan oleh kekuatan kelas pekerja yang tersusun. Tindakan massa ini membuka ruang luas untuk perjuangan ekonomi dan politik. Kerajaannya kini terpaksa menyokong Israel secara lebih berhati-hati akibat tekanan massa — malah terpaksa menghantar dua kapal tentera laut mengiringi sebahagian dari perjalanan flotilla ke Gaza, sebelum menarik balik kapal-kapal tersebut beberapa hari kemudian. Pekerja dan anak muda kini sedang berkumpul di Rome untuk satu lagi demonstrasi besar. Ini bakal memperkukuh keyakinan pekerja untuk memboikot penghantaran barangan ke Israel walau diancam tindakan balas oleh kerajaan sayap kanan Meloni.
USB juga telah menganjurkan mesyuarat antarabangsa pekerja pelabuhan bagi menyeru tindakan solidariti di pelabuhan-pelabuhan Mediterranean lain. Solidariti antarabangsa ini bukan sahaja penting untuk menjamin kejayaan flotilla akan datang, tetapi juga berpotensi menjadi faktor besar dalam menamatkan perang di Gaza.
Kelas pekerja dan anak muda Itali kini mempunyai peluang untuk menggulingkan kerajaan Meloni. Landini mendakwa beliau turut menerima “restu” dari ketua gereja Katolik untuk terus melakukan aksi. Menurut Landini, “Sudah tiba masanya untuk membuat bising, untuk memberi suara kepada mereka yang tiada suara.” Tindakan massa kelas pekerja dan belia pada 3 Oktober adalah suara yang berkuasa dan memerlukan program jelas untuk menumbangkan rejim sayap kanan Itali yang memerintah bagi kelas kapitalis elit. Dan mereka tidak mempunyai apa-apa jawapan terhadap krisis kapitalisme yang melanda negara itu.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan