Filipina : Bagaimana Marcos Jr., Anak Kepada Diktator Yang Terkenal Telah Berjaya Menawan Kerajaan

Dalam kemenangan besar, Ferdinand Marcos Jr., lebih dikenali sebagai Bong Bong Marcos atau ringkasannya BBM, bakal menjadi presiden Filipina pada akhir Mei. Anak kepada diktator terkenal Ferdinand Marcos itu telah berjaya memperoleh 31 juta undi, lebih daripada dua kali ganda jumlah saingan terdekatnya dan naib presiden semasa, Leni Robredo.

Ini merupakan Presiden pertama yang menerima majoriti undi (lebih 50%) sejak Ferdinand Marcos (bapa BBM) kononnya mengalahkan Corazon Aquino dengan majoriti 53% dalam pilihan raya yang sangat kontroversi dan dipertikaikan pada 1986. Diktator Marcos kemudiannya digulingkan oleh rakyat jelata dalam hanya beberapa bulan dari tarikh pilihan raya tersebut dalam satu siri demonstrasi popular yang dikenali sebagai ‘Revolusi Kuasa Rakyat’ (People’s Power Revolution).

Bersama dengan Presiden Marcos, Sara Duterte, iaitu datuk bandar Davao dan anak perempuan kepada Presiden Rodrigo Duterte, juga memenangi majoriti undi pilihan raya untuk menjadi Naib Presiden. Walaupun diangkat sebagai calon Presiden pada tahun-tahun menjelang pilihan raya, Sara Duterte memutuskan untuk bergabung tenaga dengan kem Marcos dan menawan kedua-dua jawatan Presiden dan Naib Presiden. Ini dilihat sebagai penyatuan dua dinasti politik dengan agenda untuk menguatkan kawalan mereka ke atas politik negara. 

Keputusan pilihan raya ini akan memberi manfaat kepada presiden yang akan keluar, Rodrigo Duterte yang boleh terus mengekalkan pengaruhnya dalam kerajaan Filipina. Ini penting untuk kelangsungan politiknya. Pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan NGO berbeza sedang menunggu peluang untuk mengheret Duterte menghadapi mahkamah dan tribunal atas tuduhan pembunuhan haram yang meluas di sepanjang enam tahun menjadi Presiden.

Pemulihan Seorang Diktator

Dengan memenangi pilihan raya Presiden secara selesa, Bong Bong Marcos mencapai matlamatnya untuk memulihkan imej arwah bapanya. BBM tidak pernah mengakui sebarang jenayah yang dilakukan oleh rejim Marcos atau menyatakan kekesalan. Keluarga Marcos telah bergerak secara senyap selama bertahun-tahun untuk mendapatkan kembali kuasa politik di Filipina. Mereka berjaya merangkak kembali ke tampuk kuasa dengan menafikan semua korupsi dan jenayah yang dilakukan oleh keluarga mereka. Tambahan pula, jika bukan kerana campur tangan Duterte, BBM tidak akan dapat bertanding dalam pilihan raya yang telah berlangsung akibat mempunyai pertuduhan jenayah mengelak cukai.

Sepanjang menjadi Presiden, Duterte telah menggunakan sokongan keluarga Marcos, yang mempunyai pengaruh politik di utara negara itu, untuk memperkukuh kuasanya dalam Kongres Filipina. Sebagai balasan, Duterte memberikan keluarga Marcos bantuan politik dan ekonomi untuk meningkatkan lagi kuasa mereka. Pada 2016, mayat Ferdinand Marcos, diktator dan kleptokrat yang dikenali telah dipindahkan dari tapak pengebumian di Hawaii ke Filipina, walaupun terdapat bantahan keras oleh banyak kumpulan hak asasi manusia. Dia dikebumikan di Libingan ng mga Bayani (Tanah Perkuburan Pahlawan) sebagai sebahagian daripada kempen pemulihan imej Marcos.

‘Kem Marcos’, menggunakan pakar kempen politik yang mahal dan ribuan ‘troll’ dalam talian dan penulis blog bebas untuk memaksa versi sejarah alternatif, di mana tempoh rejim tentera di bawah presiden Marcos (1972 ke 1986) telah digambarkan sebagai ‘zaman kegemilangan’ bagi rakyat Filipina . Sepanjang kempen politik, BBM mengelak semua media arus perdana dan memilih untuk memberikan wawancaranya kepada blogger tertentu sahaja. Dia berkempen hampir secara eksklusif di platform media sosial dan berjaya elakkan diri daripada dihadapi dengan persoalan mengenai legasi bapanya.

Peranan Media Sosial

Kebanyakan media arus perdana dan ahli politik yang menentang Marcos menyalahkan media sosial atas kemenangan BBM dan Sara Duterte. Walaupun media sosial sememangnya memainkan peranan besar dalam pilihan raya tersebut, ia bukanlah punca utama kepada keputusan yang dibuat oleh jutaan pengundi.

Ahli politik seperti BBM dan Sara yang mengambil taktik yang mirip dengan Donald Trump atau Narenda Modi, menyedari bahawa media arus perdana sedang semakin kehilangan kredibiliti di kalangan rakyat. Rakyat secara umumnya sedar mengenai peranan media arus perdana yang sering memutar belitkan kebenaran bagi memberi kelebihan kepada sekutu politik mereka. Krisiskrisis politik yang berlaku di seluruh dunia sedang mendedahkan kepada rakyat akan peranan sebenar mediamedia arus perdana yang dikawal oleh kerajaan ataupun pertubuhan kapitalis besar yang mempunyai agendanya tersendiri. 

Disebabkan ini, semakin ramai orang memilih untuk mendapatkan berita politik mereka daripada laman media sosial seperti Facebook dan Twitter. Sekurangkurangnya mediamedia sosial dilihat sebagai bebas dari pengaruh pertubuhan, walaupun seringkali tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Tambahan pula, dalam masyarakat yang tidak mempunyai demokrasi sebenar, media sosial adalah satu-satunya cara untuk menyuarakan kebimbangan dan keluhan mereka ke khalayak umum.

Setelah melihat fenomena ini di seluruh dunia, BBM dan Sara memutuskan untuk menumpukan semua usaha mereka di kempenkempen media sosial. Penduduk Filipina sudah menjadi lebih ‘cerdas teknologi’ (tech savvy) sejak wabak Covid memaksa mereka berkurung di dalam rumah dan bekerja melalui talian. Malah generasi yang lebih tua juga terpaksa belajar berkomunikasi melalui internet. Ini juga banyak membantu kempen BBM dan Sara.

Namun begitu, fenomena ini sahaja tidak dapat menjelaskan kemenangan Marcos dan Sara memandangkan sokongan paling kuat mereka adalah di kawasan kawasan luar bandar yang tidak mempunyai penggunaan teknologi yang meluas seperti di bandar. Melihat daripada pengiraan undi awal, Marcos dan Sara dijangka akan menguasai kawasan‐kawasan yang kurang maju dan miskin. Misalnya di Selatan Filipina, atau dikenali sebagai kepulauan Mindanao, BBM dan Sara dijangka akan menang di hampir semua kerusi. Selain itu, caloncalon lain yang mencurahkan masa dan wang yang banyak ke dalam kempenkempen media sosial, seperti Naib Presiden Leni Robredo, dan bekas pelakon Isko Moreno, tidak berjaya meraih sokongan yang banyak dari rakyat.

Kemuflisan Alternatif Politik

Marcos dan Sara mendakwa bahawa diri mereka mempunyai ‘kemahuan politik’ (political will) untuk mewujudkan ketenteraman, mengurangkan kemiskinan dan menghapuskan golongan elit politik lain yang dilabel sebagai lemah dan korup. Walaupun tidak mempunyai sebarang program konkrit, Marcos dan Sara berjaya menggunakan kondisi kehidupan rakyat yang semakin merosot sebagai landasan untuk membawa harapanharapan palsu.

Walaupun berasal dari dinasti politik, Duterte berjaya menggambarkan dirinya sebagai ‘orang luar’ dari pedalaman Mindanao yang mampu menghancurkan ‘golongan elit’ yang menguasai politik Filipina selama beberapa dekad selepas kejatuhan diktator Marcos. Kini, dengan berikrar untuk meneruskan semua dasar ekonomi dan politik Duterte, BBM dan Sara mengikut jejaknya dan menggambarkan diri mereka sebagai ‘orang luar’ politik.

Sejak kejatuhan diktator Marcos pada tahun 1986, tiada seorang pun daripada Presiden atau kerajaan yang menggantikan Marcos telah berjaya membebaskan rakyat daripada kesengsaraan kapitalisme. Walaupun revolusi tersebut telah membawa beberapa hak demokrasi dan perlembagaan baharu, majoriti daripada rakyat tidak menikmati hasil daripada perjuangan bersejarah mereka menentang pemerintahan diktator yang kejam. Hubungan ekonomi dan ketenteraan yang erat dengan Amerika Syarikat dan imperialis barat lain yang dijalin oleh kerajaan FIlipina telah mengakibatkan eksploitasi dan kemiskinan yang berterusan bagi majoriti daripada rakyat.

Para Presiden dan kerajaan yang kononnya dipilih secara demokratik selepas Marcos, seperti Joseph Estrada dan Gloria Arroyo, juga merupakan korup dan menggondol harta rakyat dan memerintah secara kuku besi. Bukan sahaja rakyat terus miskin dan dieksploitasi, malah Filipina juga menjadi kurang stabil. Setiap kerajaan berikutnya telah menghadapi konflik dengan pemberontakan bersenjata di wilayah selatan dan gagal menyelesaikan persoalan nasional yang telah lama berlarutan di negara ini.

Duterte dan kini Marcos Jr. telah berjaya mendapat manfaat daripada kekecewaan rakyat terhadap apa yang digelar sebagai ‘demokrasi liberal’ yang menggantikan diktator Marcos. Kini, BBM berhujah bahawa kepentingan rakyat akan lebih terpelihara di bawah seorang diktator seperti bapanya – yang mampu membuat keputusan yang sukar dan tidak bergantung kepada ahliahli politik yang terikat kepada golongan elit kaya dan imperialis barat.

Tiada calon lain yang berjaya mencabar hujah-hujah ini. Leni Robredo, calon presiden kedua paling popular dan pilihan utama bagi komuniti perniagaan, tidak mempunyai program untuk mendapatkan sokongan massa. Leni menumpukan perhatian kepada isu memerangi rasuah, mengembangkan demokrasi dan menambah baik perniagaan kecil dan sederhana. Tetapi, dia tidak mempunyai rancangan konkrit untuk merampas kawalan ekonomi negara daripada kelas kapitalis dan pemerintah elit yang korup. Tanpa strategi yang merujuk kepada kawalan ekonomi, rakyat tidak dapat diyakinkan dengan hanya sekadar janji. Marcos dan Sara sebaliknya, membawa hujah untuk melawan golongan elit untuk merebut kawalan ekonomi dan politik. Walaupun tidak ikhlas dan secara jelas menyeleweng, Marcos dan Sara berjaya mengisi kekosongan yang wujud kerana kelemahan program politik daripada caloncalon lain. 

Walaupun menukar warna kempen politik parti daripada kuning yang secara tradisi mewakili calon liberal kepada merah jambu gelap, Leni tidak mempunyai program untuk menangani nasib golongan pekerja dan miskin. Dalam dasar luar negara, dia lebih suka mengambil pendirian keras menentang perluasan ketenteraan China di Laut China Selatan dan membina hubungan yang lebih erat dengan AS. Walau bagaimanapun, pendirian untuk melibatkan diri dalam konflik antarabangsa dengan kuasa besar global adalah agenda yang tidak popular di kalangan rakyat. Ia juga telah membantu kempen Marcos untuk menyebarkan khabar angin bahawa Leni merupakan boneka AS dan calon pilihan imperialis.

Pada harihari akhir sebelum pilihan raya berlangsung, apabila ternyata dari tinjauan umum bahawa BBM dan Sara Duterte berada di landasan untuk menang, terdapat percubaan untuk membentuk gabungan anti-Marcos dengan Leni Robredo sebagai calon tunggal untuk Presiden. Bagaimanapun, pelbagai perselisihan faham politik dikalangan parti‐parti yang berbeza telah menggagalkan usaha ini.

Demokrasi atau Diktator

Calon seperti Robredo mengemukakan soalan, “demokrasi atau diktator?” untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya pemerintahan diktator ala 1970-an di bawah Ferdinand Marcos. Tetapi,dengan program politik yang tidak mencukupi, mereka gagal meraih sokongan rakyat.

Sebagai balasan, pemenang – BBM – mendakwa bahawa demokrasi di Filipina telah dilebih-lebihkan dan digunakan sebagai alat untuk merampas kekayaan negara oleh pelbagai kumpulan elit. Oleh itu, BBM mendakwa bahawa sebuah kerajaan kuku besi seperti bapanya akan dapat menjayakan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Menurutnya lagi, walaupun tidak ada demokrasi politik semasa era rejim tentera Marcos, tetapi terdapat pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi yang banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Pada permulaan jawatan Presiden Ferdinand Marcos pada tahun 1965, memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat tempoh pertumbuhan ekonomi yang stabil di Filipina. Ini terhenti pada pertengahan tahun 70-an iaitu pada penghujung penggal kedua Marcos. Ekonomi negara telah tersekat dengan hutang yang terkumpul, salah urus kerajaan, rasuah yang berleluasa dan masalahmasalah lain. Enggan berundur daripada jawatan Presiden, Marcos mengenakan darurat dan memegang kuasa selama 14 tahun lagi tanpa sebarang mandat daripada rakyat. Di sepanjang pemerintahannya, Marcos dituduh membunuh dan memenjarakan ribuan aktivis dan pembangkang politik serta menggelapkan lebih AS$10 bilion daripada duit rakyat. 

Di sebalik sejarah ini, majoriti penduduk negara yang berada dalam keadaan terdesak akibat kemelesetan ekonomi, terutamanya semasa keadaan pandemik Covid 19, tidak mempunyai sebarang pilihan yang sah dalam pilihan raya. Menghadapi persoalan ‘demokrasi atau diktator?’, ramai yang memilih untuk menyokong anak kepada seorang diktator yang sekurang-kurangnya kelihatan sebagai menjanjikan masa depan yang lebih baik. Apa yang mereka ada selain itu adalah kumpulan ahli politik kerjaya yang hanya mengulangi hujah yang sama dan menghujani orang ramai dengan janjijanji kosong, tanpa sebarang prospek untuk menunaikannya.

Keadaan ekonomi yang semakin teruk

Ekonomi Filipina merosot pada tahun 2020 akibat pandemik apabila KDNK jatuh sebanyak 9.6%. Walaupun kerajaan dapat menguruskan pertumbuhan yang sederhana sejak itu, ekonomi masih sedang bergelut dengan peningkatan inflasi, hutang dan defisit akaun semasa. Memetik ketidaktentuan dalam prospek pertumbuhan jangka sederhana, agensi penarafan Fitch mengekalkan penarafan BBB untuk ekonomi Filipina dengan tinjauan negatif pada Februari lalu.

Dengan konflik di Ukraine yang meningkatkan harga tenaga dan komoditi serta mencetuskan inflasi yang berterusan, dan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di China, bakal Presiden BBM tidak mempunyai jalan keluar yang jelas daripada krisis ekonomi yang sedang meruncing. Tidak ada sebarang solusi jelas untuk mengawal inflasi bagi meningkatkan pemulihan ekonomi. Juga, kerajaan tidak mempunyai dana untuk meneruskan projek infrastruktur yang dijanjikan dalam program ‘Bina, Bina, Bina’ yang diterajui oleh Presiden Duterte dan kini diangkat oleh Marcos dan Sara.

Walaupun BBM dan Sara Duterte dipilih atas dasar menjanjikan kestabilan dan kemakmuran ekonomi, mereka sebenarnya tidak berdaya di bawah keadaan ekonomi semasa untuk menunaikan sebarang janji mereka.

Memenangi 50% daripada undi pilihan raya sahaja tidak menjamin sebuah kerajaan yang stabil. Seperti Duterte, Presiden Bong Bong Marcos dan Sara adalah sosok yang penuh dengan kontroversi. Di kalangan kelas pertengahan dan sebahagian golongan belia dan pelajar, terutamanya dari kawasan bandar, BBM dan Sara dilihat sebagai sebahagian daripada keluarga kleptokrat yang korup. Mereka juga telah menggunakan kedudukan mereka untuk terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia, termasuk apabila mereka menutup mulut terhadap puluhan ribuan pembunuhan haram yang dilakukan oleh Presiden Duterte.

Jika rejim baru Filipina tidak berjaya memulihkan keadaan ekonomi rakyat yang sedang semakin meruncing pada waktu ini dengan cepat, ia tidak akan mengambil masa yang lama bagi golongan miskin dan yang tertindas untuk mencari sebuah perubahan. Dari segi sejarah, kelas pekerja dan miskin Filipina telah memainkan peranan besar dalam menjatuhkan diktator Marcos yang kejam melalui gerakan massa dan protes. Gerakan yang aman pada Revolusi Kuasa Rakyat 1986 merupakan inspirasi bagi gerakan Reformasi di Indonesia dan Malaysia pada tahun 1998.

Memandangkan sejarah itu, ia tidak mustahil untuk membayangkan bahawa satu lagi gerakan rakyat yang bersejarah boleh berkembang di Filipina, terutamanya jika pentadbiran yang akan datang gagal untuk menyelesaikan krisis ekonomi dan cuba menggunakan kekerasan untuk menutup suara rakyat.

Pengajaran Sejarah

Malangnya, belum ada sebarang kepimpinan daripada mana-mana parti kiri atau kesatuan sekerja yang tampil sebagai kepimpinan kepada perjuangan rakyat. Tiada satu pun daripada mereka yang menawarkan perspektif untuk membina organisasi politik massa berasaskan kelas pekerja dengan tujuan untuk menggantikan sistem kapitalis yang rakus. Parti Komunis Filipina (CPP) yang telah terlibat dalam peperangan gerila yang berterusan dengan kerajaan Filipina sejak penubuhannya, telah melakukan kesilapankesilapan yang besar sehingga ke hari ini. Misalnya CPP langsung tidak mengambil bahagian dalam gerakan Kuasa Rakyat menentang Ferdinand Marcos. Bersama-sama dengan semua pertubuhan berhaluan kiri lain di Filipina, mereka memilih untuk memboikot sepenuhnya pilihan raya presiden 1986 kerana takut bahawa penglibatan mereka akan menghalalkan pemerintahan diktator Marcos, jika dia menang.

Bagaimanapun, organisasi liberal lain telah bersatu di belakang Corazon Aquino, isteri kepada ketua pembangkang yang yang baru ditembak mati. Oleh itu, Corazon telah menjadi ketua ‘de facto’ bagi Gerakan Kuasa Rakyat dan telah mengangkat sumpah sebagai Presiden baru.

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan penindasan berterusan terhadap organisasi kiri dan pengukuhan sistem ekonomi kapitalisme oleh semua presiden yang datang seterusnya. CPP telah meneruskan perjuangan bersenjata mereka dengan kerajaan dari kawasan luar bandar dan cuba membuat beberapa rundingan damai yang telah gagal.

Pada tahun 2016, ketua CPP, Jose Sison (pelarian politik di Belanda), secara tidak rasmi telah menyokong Duterte untuk jawatan Presiden, dengan menyatakan bahawa rundingan damai dengan kerajaan Duterte adalah satu kemungkinan. Pada mulanya, Duterte menggunakan kenyataan dari ketua CPP ini untuk mendapatkan lebih banyak sokongan dalam pilihan raya. Malah, Duterte menawarkan jawatan kabinet untuk ahli-ahli  CPP. Tetapi, selepas mengukuhkan kuasanya dengan teguh sebagai presiden, Duterte mengisytiharkan bahawa Parti Komunis Filipina (CPP) dan sayap bersenjatanya Tentera Rakyat Baru (NPA), sebagai pertubuhan pengganas (teroris). Sejak itu, ahli CPP bersama dengan penyokong dan kumpulan kiri yang lain telah diserang dan diburu secara berterusan oleh kerajaan Duterte. 

Kepimpinan

Dalam iklim kekosongan politik, pemimpin sayap kanan seperti Duterte dan kini BBM telah dapat memenangi pilihan raya dan memperoleh kuasa dengan mudah dan tanpa cabaran. Tetapi dalam tempoh yang akan datang, apabila kerakusan rejim ini terdedah di khalayak umum, rakyat akan sekali lagi berhadapan dengan persoalan berkenaan dengan kepimpinan yang mampu memperjuangkan hak dan kebajikan mereka. 

Partido Lakas ng Masa ialah parti politik kiri yang bergabung dengan BMP (Solidarity Pekerja Filipino) dan meletakkan seorang aktivis buruh terkenal, Leody de Guzman sebagai calon Presiden di Pilihan Raya ini. Leody juga merupakan Pengerusi semasa BMP, yang terdiri daripada lebih 200 kesatuan sekerja dengan jumlah keahlian melebihi 100,000 pekerja. Walaupun terpaksa menarik diri kerana jumlah undi yang rendah, Leody berjaya mengemukakan program kelas pekerja seperti gaji yang lebih tinggi dan pemansuhan kerja kontrak yang menindas.

Walau bagaimanapun, Leody gagal membawa solusi kepada persoalan-persoalan yang menjadi kerisauan rakyat. Bagaimana dengan persoalan ekonomi dunia yang meleset, jurang kekayaan yang semakin meningkat, kekurangan peluang pekerjaan, hubungan antarabangsa dan isu-isu lain yang sedang menghantui pemikiran rakyat biasa? Program Leody juga tidak menggambarkan dengan jelas bagaimana janji-janji pilihan raya akan dibiayai dan tidak membawa perspektif yang jelas untuk mencabar sistem kapitalis dan pusat kuasanya untuk membawa perubahan yang bermakna dalam masyarakat.

Dengan sokongan daripada organisasi pekerja massa seperti BMP, Leody dan Partido Lakas ng Masa seharusnya mampu membina sebuah parti politik yang kukuh berdasarkan perjuangan massa, dengan perspektif yang jelas. Dasar sosialis yang berani, seperti gaji sara hidup yang tinggi untuk semua pekerja, penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma dan berkualiti untuk semua, program perumahan awam, perkembangan infrastruktur awam dan peningkatan dana pembangunan sosial dan sebagainya, harus dijunjung tinggi. Bagi memenuhi janji-janji ini, parti ini harus komited untuk berkempen menentang kepentingan kelas kapitalis. Kepimpinan juga harus mengemukakan idea untuk memilik negarakan semua industri utama di bawah pengurusan dan kawalan demokratik kelas pekerja sebagai salah satu program utama mereka.

Perjuangan

Kelas pekerja Filipina dan Asia Tenggara berada di bawah tekanan yang melampau daripada ekonomi global yang merosot dan bersedia untuk menghumban diri mereka ke dalam perjuangan untuk menentang kelas pemerintah. Walaupun pandemik Covid 19 telah reda buat masa ini, dan kebanyakannya aktiviti ekonomi telah dimulakan kembali, orang ramai masih belum melihat sebarang pemulihan dalam taraf kehidupan mereka sepertimana yang dijanjikan. Krisis bekalan global, peperangan yang tiada kesudahan dan ekonomi yang dibelenggu hutang sedang menjunam negara-negara dunia dari satu krisis ke krisis yang lain secara berterusan. 

Kelas pekerja dan rakyat Filipina yang tertindas sangat memerlukan kepimpinan yang jelas untuk memimpin perjuangan-perjuangan rakyat seperti mogok umum atau protes besar-besaran. Pada masa yang sama, kepimpinan itu juga perlu membawa perspektif untuk merampas kuasa politik daripada cengkaman elit pemerintah kapitalis pada waktu yang sesuai.

Jelas sekali, tidak akan ada kemajuan sebenar di bawah aturan sistem ekonomi kapitalisme dan keadaan rakyat jelata akan terus merosot. Hanya masyarakat sosialis, di bawah kawalan penuh demokrasi kelas pekerja dan rakyat, akan dapat membawa masyarakat keluar daripada krisis kapitalis dan menuju ke arah membina masa depan yang makmur dan aman untuk semua.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top