Darurat tidak membawa solusi kepada krisis ekonomi dan politik : Bina kepimpinan rakyat yang mampu melawan sistem kapitalisme!

Kecamuk politik di Malaysia yang sudah berpanjangan untuk hampir satu tahun telah mengambil liku baru dan mewujudkan seribu tanda tanya berikutan pengumuman Darurat oleh PM Muhyiddin pada 12 Januari lalu. Walaupun peningkatan kes Covid-19 yang mendadak telah dirujuk sebagai motif utama untuk mengumumkan darurat pada waktu ini, terdapat kecurigaan jika pandemik ini hanya dipergunakan sebagai alasan oleh parti pemerintah untuk berpegang pada kuasa kerajaan. 

Koalisi PN yang telah mengambil alih kerajaan menggunakan taktik ‘pintu belakang’ pada Februari tahun lalu tidak berjaya membina sebuah kesepakatan dikalangan komponen mereka. Walaupun PN pada awalnya telah berjaya menggulingkan beberapa kerajaan negeri dan dilihat sebagai mendapat sokongan rakyat, tetapi akhir-akhir ini, rebutan kerusi politik dan persoalan berkenaan pengagihan kuasa eksekutif kerajaan telah mewujudkan pertelinkahan terbuka di antara komponen utama UMNO dan PPBM. Pada PRN Sabah yang lepas misalnya, BN dan PN telah bertanding dibawah pendaftaran dan bendera yang berasingan dan telah bertembung di 17 buah kerusi DUN. 

Tambahan pula dengan deklarasi daripada majoriti daripada ahli-ahli UMNO yang enggan untuk meneruskan kerjasama dengan PPBM dan perpecahan dalaman yang berlaku di dalam parti itu telah mendedahkan sebuah situasi politik yang tidak stabil dan sedang menanti keruntuhan. Bekas Setiausaha Agung UMNO Annuar Musa yang dipecat oleh partinya baru-baru ini juga mendedahkan bahawa ahli-ahli UMNO berprofil tinggi seperti Zahid Hamidi sedang berkomplot dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk menggulingkan PM Muhyiddin dan kerajaan PPBM. 

Motif di belakang pengumuman Darurat

Oleh itu, ramai yang berpendapat bahawa PM Muhyiddin telah mengambil langkah untuk mengumumkan Darurat bagi mengelakkan sebarang percubaan untuk rampasan kuasa daripada pihak lain. Di bawah ordinan-ordinan yang di aktifkan di bawah Darurat, bukan sahaja semua tugasan pengurusan negara akan berpindah kepada eksekutif tanpa persidangan Parlimen, malah kuasa PM juga akan bertambah dan melampaui batasan demokrasi yang wujud. 

PM Muhyiddin telah cuba untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober tahun lalu apabila gelombang pandemik Covid kedua telah mula meningkatkan kes di Malaysia. Tetapi, pihak Istana telah menolak cadangan tersebut pada masa itu dan membiarkan Parlimen untuk memutuskan hala tuju politik negara. Sebuah campur tangan daripada institusi Raja yang menyelamatkan Muhyiddin, walaupun dengan sokongannya yang semakin merosot, tidak akan diterjemah sebagai sebuah langkah yang adil dan tidak berat sebelah di kalangan rakyat. Tambahan pula, institusi Raja di Malaysia masih mempunyai jalinan dengan ahli-ahli politik lain yang sering mempergunakan satu sama lain untuk memperkukuhkan posisi masing-masing.

Tetapi, dengan kes Covid-19 yang mencecah lebih 3000 kes sehari dan dengan desakkan daripada ahli-ahli politik UMNO yang ingin memaksa sebuah Pilihanraya Umum untuk merebut kuasa kerajaan, langkah untuk mengumumkan Darurat pada waktu ini telah diterima dengan lebih terbuka. Malah dalam Perutusan Khas Darurat, Muhyiddin sendiri telah mengakui bahawa salah satu sebab utama untuk melaksanakan Darurat adalah untuk mengelakkan sebarang krisis politik yang boleh menjurus kepada PRU dalam masa yang terdekat. Peningkatan kes Covid yang tersebar melalui kluster di Sabah pada waktu PRN telah digunakan sebagai alasan untuk melancarkan Darurat bagi mengelakkan sebarang Pilihan raya pada waktu ini. 

Adakah Darurat membawa solusi kepada krisis yang dihadapi?

Walaupun ramai di kalangan rakyat yang sedang memerhati semua gelagat ahli-ahli politik dapat memahami bahawa situasi Covid yang merosot memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan dapat bertindak secara berkesan, tetapi, adakah kerajaan sekarang dapat memikul tanggung jawab tersebut dengan ikhlas? Malah, gelombang kedua Covid-19 yang tersebar ke seluruh Malaysia adalah akibat rebutan kuasa politik yang dianjurkan oleh kerajaan PN yang memaksa PRN di Sabah. 

Sejak mengambil kuasa, kerajaan ini telah memaksa penukaran speaker Parlimen secara tidak demokratik, menolak sebarang undi tidak percaya terhadap PM yang ingin dikemukakan oleh ahli Parlimen pembangkang, dan telah menarik masuk ahli politik dari kem-kem berbeza untuk menggulingkan kerajaan di beberapa negeri. Walaupun kadar pengangguran semakin meningkat dan krisis ekonomi sedang memberikan kesan kepada rakyat miskin, kerajaan PN telah hanya mempergunakan situasi kecemasan pandemik ini untuk mencekik sebarang saki baki demokrasi yang tinggal. 

Pada masa yang sama, kerajaan ini juga gagal untuk memberi kebajikan yang secukupnya kepada rakyat yang sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakkan ataupun ‘lockdown’ yang menjejaskan pendapatan mereka. Walaupun lebih 300 bilion ringgit daripada rizab awam telahpun dibelanjakan dalam jangka masa kurang daripada satu tahun ini, majoriti daripada dana tersebut telah disalurkan kepada syarikat-syarikat swasta besar. Jutaan rakyat miskin hanya menerima cebisan yang langsung tidak merujuk kepada krisis yang sedang dihadapi pada masa ini.  

Pengumuman Bajet 2021 dengan jumlah dana yang terbesar dalam sejarah Malaysia masih gagal untuk memberi peruntukan yang adil kepada kelas pekerja dan rakyat biasa yang telah selama ini bertungkus lumus demi kemajuan negara. Sebaliknya, semua polisi kerajaan PN, sama seperti semua kerajaan yang pernah wujud di Malaysia sebelum ini, hanya memberi keutamaan kepada kehendak pihak kapitalis kaya dan pemilik syarikat besar yang akan mencurahkan sedikit kekayaan mereka kepada ahli-ahli politik kerajaan. Di samping itu, kelas pekerja yang bertanggung jawab untuk mewujudkan semua kekayaan negara dan semua  keuntungan syarikat swasta pula di pinggirkan begitu sahaja. 

Walaupun syarikat swasta gergasi seperti Top Glove telah menimbun keuntungan yang luar biasa pada waktu pandemik, kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai ‘durian runtuh’ (windfall tax) ke atas kekayaan mereka yang melimpah-limpah. Seharusnya, syarikat-syarikat yang mendapat kadar keuntungan yang besar pada tahun lepas patut menyumbang sebahagian daripada keuntungan mereka untuk membantu negara memerangi Covid-19. Tambahan pula, syarikat-syarikat tersebut juga harus bertanggung jawab atas penularan kes Covid di kalangan pekerja migran mereka yang di layan dengan buruk dan diberikan penempatan yang tidak mempunyai kemudahan asas, di samping melanggar penetapan undang-undang. 

Syarikat-syarikat besar yang tamak dan mengeksploitasi kedua-dua pekerja migran dan tempatan di benarkan beroperasi seperti biasa dan meraih keuntungan yang besar manakala rakyat biasa diarahkan untuk berkorban demi kebaikan negara. Walaupun pelbagai alasan diberikan pada rakyat biasa yang menuntut kebajikan, syarikat-syarikat besar terus menerima bantuan kewangan dan kebajikan daripada kerajaan. Syarikat gergasi AirAsia yang sedang mengalami kerugian akibat keruntuhan sektor pelancongan ekoran pandemik telah diberikan pinjaman sebanyak 1 bilion ringgit. Manakala rakyat biasa hanya dapat mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka sendiri untuk menampung kehidupan dalam keadaan krisis ini.

Semua ahli politik kapitalis sudah menggagalkan rakyat

Bukan sekadar kerajaan PN, malah semua bentuk kerajaan yang di bina melalui parti-parti politik yang wujud pada waktu ini akan hanya membawa hasil yang hampir sama bagi rakyat jelata. Semua ahli politik arus perdana adalah pendokong sistem kapitalisme dan akan sentiasa memelihara kepentingan pihak kapitalis elit yang memiliki segala kekayaan. Tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang sanggup untuk menentang kehendak pihak korporat kaya dan memperjuangkan nasib kelas pekerja dan rakyat biasa. 

Ahli-ahli politik pembangkang PH juga sudah lama mendedahkan wajah sebenar mereka apabila memegang kerajaan untuk dua tahun. Kerajaan yang kononnya akan membawa reformasi untuk negara ini juga di dapati hanya mementingkan posisi politik dan wang ringgit dan telah menyambung legasi BN untuk mempertahankan sistem kapitalisme yang rakus. Di bawah kerajaan PH juga, rakyat miskin menjadi semakin miskin dan sengsara apabila orang kaya elit menambah kekayaan dengan konsisten. 

PH juga gagal untuk memainkan peranan kepimpinan dalam memperjuangkan kebajikan untuk rakyat dalam masa pandemik ini. Ahli-ahli politik PH dan bekas PM Mahathir yang menubuhkan parti Pejuang telah hanya mengkritik Bajet 2021 sebagai tidak realistik dan tidak boleh dilaksanakan kerana kelemahan ekonomi dunia. Tidak ada sebarang tuntutan yang membawa kepentingan dan kebajikan rakyat ke hadapan.

Malah, kegagalan PH untuk membawa sebuah solusi yang munasabah kepada masalah ekonomi yang dihadapi oleh rakyat merupakan punca utama kepada keruntuhan kerajaan itu pada awal 2020. Dalam keadaan populariti PH semakin merosot di kalangan rakyat yang kecewa, ia membuka ruang kepada golongan oportunis untuk menggulingkan mereka dan mengambil alih kuasa kerajaan secara paksa. 

Akan tetapi, sepertimana yang diperjelaskan, kerajaan PN juga tidak mempunyai sebarang asas yang kuat dan sedang terumbang ambing dengan perpecahan dalaman. Hanya pandemik Covid-19 yang telah membolehkan PM Muhyiddin untuk berpegang pada kuasa dengan mempergunakan institusi Raja dan deklarasi Darurat.  

Dalam keadaan kecemasan kesihatan dunia dan dengan rakyat menghadapi beban ekonomi yang parah, ahli-ahli politik di dapati hanya tertumpu untuk merebut kuasa dan menyelamatkan kapitalisme. Semua aksi ‘lompat parti’, menikam belakang, merampas kuasa dengan taktik kotor yang berlaku dalam satu tahun ini, telah mewujudkan kehampaan dari kalangan rakyat yang keliru dan semakin hilang harapan dengan semua formasi politik yang wujud pada waktu ini. 

Rakyat memerlukan kepimpinan yang membawa alternatif kepada sistem kapitalisme

Kepimpinan rakyat seperti Kesatuan Sekerja, organisasi akar umbi, NGO-NGO dan sebagainya juga tidak kelihatan sebagai memainkan peranan dalam memperjuangkan kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa. Masing-masing sedang menjadi sekadar pemerhati yang pasif dalam situasi yang menghampakan ini dan hanya menaruh harapan kepada sistem politik dan ekonomi yang sama dan sudahpun terbukti untuk menggagalkan rakyat selama ini. 

Jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang memendam kemarahan mereka terhadap kedua-dua sistem ekonomi dan politik negara sedang mengharapkan sebuah kepimpinan yang mampu membawa mereka keluar daripada krisis yang sedang dihadapi. Satu yang pasti, sebarang jenis perubahan yang nyata bagi kehidupan rakyat tidak boleh di bawa tanpa sebuah pertarungan dengan kelas kapitalis yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap semua ahli politik di Malaysia.

Oleh itu, kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa harus membina sebuah organisasi politik massa yang membawa perspektif yang jelas untuk melawan sistem ekonomi dan politik kapitalisme dan menggantikannya dengan alternatif sosialis yang berteraskan kepada demokrasi dan kehendak rakyat biasa. Hanya sebuah kuasa politik yang membawa program kebajikan rakyat dan hala tuju yang jelas boleh menyatukan semua rakyat yang berbeza latar belakang di bawah satu panji perjuangan kelas dan menuntut perubahan yang nyata. 

Dalam waktu krisis ini, satu program sosialis yang menuntut pengagihan kekayaan yang saksama, gaji yang bermaruah, jaminan pendidikan dan kerja bagi anak muda, akses kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti, perlindungan terhadap alam sekitar dan pentadbiran yang demokratik harus di diangkat sebagai titik perjuangan rakyat. Dengan program yang mampu menyatukan kelas pekerja dan rakyat biasa ke dalam satu perjuangan yang bersatu, sebuah kepimpinan rakyat yang benar-benar demokratik dan membawa aspirasi rakyat boleh di bina. Hanya dengan menggantikan sistem kapitalisme yang menindas rakyat jelata dengan sistem sosialisme yang memberikan keutamaan kepada kemahuan rakyat, sebuah masa depan yang sejahtera bagi umat manusia dapat di bina.   

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top