Pengumuman pihak kerajaan bahawa harga kawalan untuk beberapa bahan makanan asas seperti ayam, telur dan minyak yang akan dimansuhkan bermula Julai ini telah mewujudkan keresahan di kalangan rakyat biasa. Ekoran kritikan dari rakyat dan ahli politik lain, PM Ismail Sabri dengan tergopoh-gopoh memperkenalkan kembali harga kawalan untuk ayam dengan penambahan sebanyak 50 sen pada RM9.40 sekilo. Namun, tiada sebarang pengumuman berkenaan dengan harga minyak masak, telur dan bahan makanan lain yang dijangka meningkat mendadak dalam bulan-bulan yang akan datang. 

Pemulihan ekonomi negara selepas menghadapi kelembaban selama 2 tahun akibat Pandemik Covid-19 sedang dibelenggu dengan kenaikan inflasi global. Menurut kajian ‘United Nations’, harga bahan makanan telah melihat peningkatan sebanyak 30% di serata dunia dalam hanya beberapa bulan ini. Faktor peperangan di Ukraine, sekatan ekonomi Amerika Syarikat ke atas Russia, perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kekurangan bekalan dan pelbagai faktor yang berbeza sedang menimbulkan krisis inflasi yang dirasai di seluruh dunia. 

Negara-negara Eropah sedang mengalami kadar kenaikan harga barangan yang tidak pernah dilihat sejak 1980 an. Akibatnya, kebanyakan negara-negara maju dan negara berkembang seperti Malaysia, telah meningkatkan kadar bunga (interest rate) untuk semua pinjaman Bank Pusat Negara. Langkah ini diambil untuk mengawal peningkatan inflasi dengan mengurangkan aktiviti ekonomi dan tidak menggalakkan pengambilan hutang-hutang baru. Tetapi malangnya, bukan sahaja ini tidak membuahkan sebarang hasil dan kadar inflasi terus meningkat, malah peningkatan kadar bunga di negara-negara maju telah mengakibatkan kejatuhan matawang bagi negara-negara kurang maju. 

Krisis Hutang Menghantui Dunia

Negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Selatan pula berada di ambang kemuflisan sepertimana yang berlaku di Sri Lanka baru-baru ini. Sri Lanka di istihar muflis akibat kegagalan kerajaan untuk membayar hutang negara yang tinggi, terutamanya dengan negara China. Rakyat Sri Lanka yang menghadapi kekurangan bekalan makanan dan peningkatan harga barangan yang melampau sedang melancarkan aksi protes dan bertempur dengan pihak kerajaan sejak April lalu tanpa sebarang solusi yang munasabah. 

Situasi yang serupa dengan Sri Lanka juga boleh berlaku di negara-negara lain yang mempunyai hutang negara yang tinggi. Ramai penganalisa ekonomi sedang meramalkan bahawa Laos yang mempunyai kadar hutang yang tinggi akan menjadi negara seterusnya selepas Sri Lanka untuk diisytiharkan sebagai muflis. Jika krisis ekonomi global berterusan, negara-negara yang mempunyai hutang yang tinggi seperti Malaysia juga haruslah bersedia untuk menghadapi situasi yang sama dengan Sri Lanka. 

Dengan kadar hutang negara yang tinggi dan rizab awam yang kosong selepas digunakan untuk membiayai pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia sedang berada dalam kekusutan dan tidak berupaya untuk mengawal harga barangan yang semakin meningkat. Tambahan pula, Malaysia juga bergantung dengan negara-negara luar untuk mendapatkan lebih 60% daripada bekalan makanan keseluruhan negara. Ini juga mendedahkan kita kepada krisis kekurangan bekalan makanan jika situasi ekonomi global terus merosot sepertimana yang diramalkan oleh kebanyakkan pertubuhan kapitalis besar seperti Bank-bank Pusat dan badan kewangan seperti IMF dan World Bank. 

Walaupun pihak kerajaan mendakwa bahawa kadar kenaikan inflasi negara adalah terkawal dan di sekitar 3%, ini merupakan gambaran yang tidak menepati realiti. Harga bagi bahan makanan tertentu seperti sayur dan ikan sedang melihat peningkatan harga melebihi 10% dan di beberapa kes menghampiri 20%. Tambahan pula dengan subsidi minyak masak dan telur yang akan dicabut bermula Julai ini, kos sara hidup akan terus meningkat untuk jutaan rakyat biasa yang sudahpun berada dalam keadaan tertekan. 

Ketandusan Pilihan Politik

Bukan sahaja banyak kilang-kilang dari industri besar telah ditutup, malah kedai-kedai kecil dan sederhana juga tidak dapat memulihkan perniagaan mereka akibat keadaan ekonomi yang lemah dan inflasi yang tinggi. Oleh itu, kadar pengangguran negara juga sedang semakin meningkat, seiring dengan kemelesetan ekonomi. Majoriti daripada kelas pekerja yang mempunyai pekerjaan pada waktu ini juga tidak menerima gaji yang setimpal dengan peningkatan inflasi dan harga barangan. Malah, kebanyakan daripada kelas pekerja hari ini sedang menghadapi masalah untuk membiayai keperluan asas mereka dan terpaksa berhutang ataupun bergantung dengan bantuan-bantuan tertentu untuk meneruskan kehidupan harian.

Pihak kerajaan yang diketuai oleh Barisan Nasional dan UMNO pada waktu ini tidak mempunyai sebarang solusi yang munasabah kepada krisis ekonomi yang sedang menjadi beban kepada rakyat jelata. Subsidi untuk kawalan harga barangan sedang dikurangkan pada waktu di mana rakyat biasa sedang menghadapi peningkatan kos hidup yang tinggi selepas 2 tahun bertarung di bawah situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakkan. 

Pihak pembangkang PH dan ahli-ahli politik lain telah mengkritik langkah kerajaan BN untuk mengurangkan subsidi rakyat dengan lantang. Tetapi, sama seperti sebelum ini, semua kritikan tersebut adalah hanya untuk merebut kuasa kerajaan di PRU yang bakal berlangsung dan bukan bertujuan untuk benar-benar menyelesaikan masalah rakyat. Hakikatnya, semua ahli politik yang wujud di Parlimen hari ini sudah mendedahkan diri mereka sebagai korup, tidak beramanah dan tidak pernah berjuang demi kepentingan rakyat. 

Walaupun kritikan demi kritikan dilontarkan, pihak pembangkang juga tidak mempunyai sebarang solusi untuk mengawal peningkatan harga barangan yang sedang berlaku. Tiada seorang pun di kalangan mereka yang menggariskan langkah-langkah yang harus diambil untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berkembang dengan jelas. Hujah mereka untuk mengembalikan subsidi tidak mempunyai sebarang asas apabila kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi dan terpaksa mengambil hutang-hutang baru untuk membiayai perbelanjaan negara yang sedang meningkat. Pada masa yang sama, hutang-hutang baru dalam situasi krisis ekonomi global dan kadar bunga yang tinggi akan hanya memburukkan situasi ekonomi negara yang semakin tenggelam dengan hutang yang tinggi.  

Kerakusan Ekonomi Kapitalisme 

Krisis ekonomi yang sedang menghancurkan kehidupan jutaan rakyat di seluruh dunia adalah berakar dari kerakusan sistem ekonomi yang berpandukan kepada keuntungan kelas kapitalis atau kelas majikan kaya. Dunia hari ini di dominasi oleh sistem ekonomi kapitalisme yang hanya memelihara kepentingan kelas pemodal, pemilik industri dan kapitalis kaya yang memiliki segala kekayaan. Dengan menggunakan kekayaan yang luar biasa, kelas kapitalis telah berjaya mengekalkan kekuasaan mereka ke atas sistem ekonomi dengan mempengaruhi ahli-ahli politik, pertubuhan politik dan kerajaan itu sendiri. Dalam konteks negara Malaysia dan kebanyakkan negara dunia hari ini, kelas kapitalis sendiri telah membentuk kerajaan dan mewujudkan pertubuhan-pertubuhan politik untuk memelihara kepentingan mereka.  

Semua pertubuhan parti politik arus perdana dari BN, PN atau PH merupakan perwakilan kelas kapitalis yang mempunyai hala tuju dan kepentingan yang bertentangan dengan kehendak dan keperluan rakyat biasa. Oleh itu, tidak kira pertubuhan mana yang memerintah kuasa negara, selagi pertubuhan tersebut tidak mempunyai hala tuju untuk menentang agenda para kapitalis kaya, sistem ekonomi kapitalisme akan terus dipelihara dan keuntungan pihak kelas kapitalis akan diutamakan berbanding kebahagiaan rakyat biasa.

Walaupun pelbagai pertubuhan politik dengan jenama tersendiri telah bersilih ganti mengambil kuasa kerajaan, oleh kerana hala tuju yang terpesong, kelas pekerja dan rakyat biasa hanya menjadi lebih miskin di bawah pemerintahan mereka manakala kelas kapitalis boleh terus meningkatkan kekayaan. Walaupun dalam waktu Pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang melihat sebahagian besar daripada penghuni dunia menghadapi tekanan kehidupan yang tinggi, kelas kapitalis masih berjaya meraih keuntungan yang berlipat ganda. Kerajaan yang diamanahkan untuk memelihara kepentingan rakyat pula bersekongkol dengan pihak kapitalis untuk menyalurkan semua dana daripada rizab negara ke dalam dompet para jutawan yang sudahpun memiliki harta yang berlimpah-limpah. Selain itu, kelas kapitalis yang membuat keuntungan yang luar biasa pada waktu pandemik juga tidak dikenakan cukai yang setimpal supaya sebahagian daripada keuntungan tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat biasa.  

Bina Perjuangan Kelas Pekerja dan Rakyat 

Kelas pekerja dan rakyat biasa yang bertungkus lumus menjana semua kekayaan dan keuntungan yang dinikmati dunia haruslah mendapat penghargaan yang tinggi  di khalayak masyarakat. Sebaliknya mereka dilayan seperti hamba dan dibiarkan untuk berhadapan dengan krisis ekonomi yang dikawal sepenuhnya oleh kelas kapitalis dan kelas pemerintah. Dalam bulan-bulan yang akan datang, pihak kerajaan, di atas desakan kelas kapitalis, akan melaksanakan polisi-polisi yang akan meletakkan semua beban hutang negara ke atas bahu kelas pekerja dan rakyat biasa. Tambah dengan krisis inflasi dan pengangguran, kelas pekerja tidak mempunyai pillihan lain selain untuk memulakan perjuangan dan gerakan massa untuk mempertahankan kebajikan, hak dan kehidupan kita bersama. 

Kelas pekerja dan rakyat, bersama dengan anak muda yang mempunyai kesedaran, haruslah bergabung tenaga dan membentuk sebuah pertubuhan politik baru yang dapat memperjuangkan dan memelihara kepentingan rakyat biasa dalam keadaan krisis. Rakyat boleh disatukan di bawah pertubuhan ini dengan membawa program-program ekonomi yang menyebelahi rakyat seperti gaji kehidupan yang tinggi untuk semua pekerja, pendidikan dan kesihatan awam yang mencukupi dan berkualiti, pengagihan kekayaan yang adil, milik negara industri besar untuk digunakan demi memenuhi keperluan rakyat, meningkatkan cukai ke atas orang kaya untuk membiayai kebajikan rakyat dan banyak lagi. 

Pada masa yang sama, pertubuhan politik rakyat juga haruslah membezakan diri mereka dengan pertubuhan politik kelas kapitalis yang tidak demokratik. Pertubuhan politik rakyat haruslah didirikan dengan penyertaan yang ramai dari kalangan kelas pekerja dan rakyat biasa dan mengikut segala nilai demokrasi dalam proses membuat keputusan. Pada masa yang sama, pertubuhan tersebut juga haruslah mempunyai hala tuju politik yang jelas untuk mencabar kekuasaan kelas kapitalis, merampas kuasa ekonomi dan politik dari cengkaman mereka dan mengemudi kerajaan bagi melindungi kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa.

Kelas pekerja dan rakyat biasa haruslah berusaha untuk menubuhkan sistem ekonomi yang lebih adil untuk menggantikan ekonomi kapitalis yang rakus. Sistem ekonomi sosialisme merupakan sistem yang meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan berfungsi secara demokratik dari tahap tempat kerja ke pemerintahan negara. Di bawah Sosialisme, kelas pekerja yang menjana segala kekayaan negara akan diberi kuasa untuk mengawal dan mengagihkan kekayaan tersebut secara adil dan rakyat biasa akan mempunyai kuasa untuk menentukan segala pembangunan yang berlangsung di kawasan masing-masing disamping mempunyai kuasa politik untuk mengangkat aspirasi mereka. Segala keputusan ekonomi, pembangunan dan sosial akan di buat secara demokratik, di mana kelas pekerja dan rakyat biasa mempunyai kuasa penuh untuk melibatkan diri dalam politik negara dan secara aktif mencorak kehidupan masing-masing.