Secara purata, seramai 18 individu didapati meninggal dunia di dalam tahanan polis setiap tahun sejak tahun 2000. Mengikut laporan dan kajian yang dikeluarkan oleh pertubuhan tertentu, sebahagian daripada kematian di dalam tahanan polis tersebut adalah berpunca daripada kelalaian dan keganasan pihak polis dalam melayan orang dalam tahanan mereka. Kenyataan ini bukan sekadar sebuah andaian semata-mata dan sudah berulang kali didedahkan melalui kes mahkamah dan hasil kajian badan-badan bebas. 

Dalam satu kes baru-baru ini yang menjadi buah mulut rakyat negara, A. Ganapathy, seorang pengedar susu lembu telah menghembus nafas terakhir beliau selepas bertarung demi nyawa di ICU Hospital Selayang selama hampir satu bulan. Beliau telah di tahan oleh pihak polis atas alasan untuk membantu penyiasatan kes adiknya yang didakwa sebagai terlibat dalam beberapa jenayah berat. Mengikut kenyataan polis sendiri, mereka tidak mendakwa Ganapathy untuk sebarang kesalahan jenayah dan hanya diletak dibawah tahanan untuk melakukan penyiasatan.

Akan tetapi, tanpa memberikan sebarang maklumat kepada saudara-mara Ganapathy, pihak polis telah meminta mahkamah untuk menyambung reman beliau untuk 13 hari. Pihak polis juga sudah menyedari dengan masalah kesihatan yang dihadapi oleh Ganapathy kerana mereka telah meminta keluarganya untuk membekalkan ubat kencing manis dan sakit jantung beberapa kali sepanjang tempoh tahanan tersebut. Tetapi, walaupun dirayu berulang kali, ahli keluarganya tidak diberikan sebarang peluang untuk bersemuka dengan Ganapathy. 

Selepas habis tempoh 13 hari tersebut, ahli keluarga Ganapathy mendapat panggilan daripada pihak polis  yang mengatakan bahawa Ganapathy sudah di bebaskan daripada tahanan dan kini berada di Hospital Selayang dengan keadaan yang tenat. Ibu Ganapathy yang sempat untuk lawat dan berkomunikasi dengan anaknya mendakwa bahawa Ganapathy mengakui dirinya dipukul berulang kali oleh pihak polis dengan kejam. Ibunya juga mendapati bahawa kaki Ganapathy dipenuhi dengan luka dan lebam. 

Selepas terpaksa memotong kedua belah kaki akibat jangkitan teruk, akhirnya Ganapathy meninggal dunia, meninggalkan isteri dan 2 orang anak. Penyakit kencing manis yang dihidapi mangsa mengakibatkan perebakan jangkitan yang tidak dapat dikawal dan kegagalan buah pinggang untuk berfungsi. Sehingga ke hari ini, sebuah laporan bedah siasat yang menyeluruh belum diperoleh dan jabatan polis sedang menafikan sebarang salah laku dari pihak mereka. Tetapi, mengikut peguam keluarga mangsa yang mendapat laporan autopsi secara lisan daripada jabatan patologi hospital mendedahkan bahawa Ganapathy telah dipukul di bahagian kaki dan bahu sehingga menyebabkan jangkitan. 

Keganasan polis terhadap masyarakat awam 

Berita-berita seperti ini bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia dan sememangnya kerap berlaku walaupun mendapat kurang perhatian dari media. Rakyat miskin, terutamanya dari etnik India, sangat terdedah dengan keganasan dari pihak polis yang menggunakan birokrasi dan korupsi untuk menutup kesalahan mereka. Daripada ratusan kematian dalam tahanan yang mencurigakan, 23% merangkumi etnik India yang tidak mencecah 7% daripada populasi negara. Memandangkan ketidakseimbangan ini, pelbagai pihak telah merujuk kepada institusi polis di Malaysia sebagai sebuah institusi yang rasis dan berat sebelah selain birokratik, korup dan ganas. 

Walaupun dengan bukti yang jelas bahawa pegawai polis dan kerajaan telah menyalah gunakan kuasa dan mengakibatkan kematian orang awam, biasanya mereka akan terlepas daripada sebarang hukuman. Ambil contoh kes Kugan Ananthan yang mati di balai polis pada 2009. Walaupun doktor yang bertugas di dapati membuat laporan palsu dan kematian Kugan telah diistiharkan sebagai pembunuhan yang berpunca daripada keganasan anggota polis, cuma seorang polis di sabit kesalahan dan di penjara selama hanya 3 tahun. Doktor yang didapati mengeluarkan laporan palsu pula sedang meneruskan praktiknya tanpa sebarang halangan. 

Begitu juga dengan kes Sugumar Chelladury (2013), P.Karuna Nithi (2013), N. Dharmendran (2013), S. Balamurugan (2017), V. Mugilarasu (2020) dan banyak lagi. Walaupun di dapati bersalah oleh pelbagai badan-badan penyiasatan bukan kerajaan dan kerajaan, termasuk perintah mahkamah, tidak ada sebarang pihak dari Jabatan Polis yang mengaku kesalahan dan berikhtiar untuk mengubah situasi ini. Sebaliknya mereka akan menafikan sebarang kesalahan dan meneruskan penindasan mereka tanpa halangan. 

Kelas pekerja dan rakyat biasa menjadi mangsa keganasan polis

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, ketua polis Gombak Arifai Tarawe telah memberikan amaran supaya orang ramai harus berhenti memberikan komen berkenaan dengan kes Ganapathy dan mengaitkan isu ini kepada isu perkauman. Mengikutnya, tidak ada sebarang unsur perkauman yang boleh dikaitkan dengan kes ini. 

Akan tetapi, statistik-statistik yang wujud sememangnya menunjukkan bahawa wujud unsur-unsur perkauman dalam layanan polis terhadap kaum-kaum yang berbeza. Ini merupakan sebuah isu yang penting dan rakyat umum seharusnya diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat dan keresahan mereka. Lebih daripada itu, isu berkenaan dengan salah laku pegawai berkuasa, keganasan dan korupsi yang berleluasa di Jabatan Polis juga haruslah di bawa ke perbincangan umum dan diteliti dengan rapi. 

Walaupun terdapat ketidakseimbangan antara etnik yang berbeza dalam statistik kematian dalam tahanan, terdapat juga ketidakseimbangan yang lebih ketara antara kelas-kelas yang berbeza. Sebahagian besar daripada individu yang mati di dalam tahanan polis merupakan kelas pekerja ataupun rakyat biasa yang tidak mempunyai kemewahan ataupun kuasa politik. Kelas kapitalis kaya dan elit di dalam masyarakat bukan sahaja di layan dengan istimewa, malah mereka sering menerima hukuman yang jauh lebih ringan berbanding seorang rakyat miskin. Mereka juga mempunyai kemudahan untuk mendapatkan peguam yang mahal dan seringkali mempunyai pengaruh politik.

Dalam keadaan yang miskin dan tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan guaman yang secukupnya, rakyat miskin sering menjadi mangsa penindasan mereka-mereka yang berada. Selain ditindas di tempat kerja untuk menghasilkan keuntungan untuk majikan, mereka juga menghadapi penindasan dari pegawai kerajaan, pihak polis dan mana-mana aparatus kerajaan setiap hari. 

Seharusnya jabatan-jabatan kerajaan seperti Polis merupakan sebahagian daripada khidmat awam dan perlu  melindungi keamanan dan keselamatan rakyat biasa. Ia dibiayai sepenuhnya oleh dana awam dan harus bertanggung jawab kepada rakyat. Sebaliknya, kita lihat hari ini bagaimana seorang pegawai polis berpangkat tinggi dengan sewena-wenanya mengancam orang awam dan menyekat kebebasan bersuara mereka yang dijamin di bawah perlembagaan negara. Bukan sekadar perlembagaan negara, seringkali jabatan Polis bertindak sesuka hati mereka dan dengan senang melanggar perintah mahkamah.

Apabila ahli-ahli politik kapitalis yang korup dan terbukti melakukan jenayah dan menggondol harta awam sedang memegang jawatan penting dan disanjung tinggi, kelas pekerja dan rakyat miskin ditindas dengan teruk dan dibunuh dengan alasan kecurigaan.  

Bantah keganasan polis dan aturan kapitalisme

Satu-satunya solusi untuk mengatasi masalah keganasan polis yang nampak seperti tiada kesudahan dan semakin merosot setiap tahun adalah untuk membebaskan jabatan Polis dari birokrasi kerajaan dan letakkannya di bawah kawalan rakyat biasa. Ketua-ketua polis daerah, negeri dan negara semuanya harus dipilih melalui pilihanraya dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa oleh rakyat yang mengundi mereka. Segala laporan salah laku polis harus dipantau oleh pertubuhan awam yang demokratik dan dikawal oleh rakyat.

Tetapi, kelas kapitalis yang sedang mengawal sistem ekonomi dan politik negara tidak akan membenarkan Jabatan Polis untuk di demokrasikan dan di letak di bawah kawalan rakyat biasa. Ini akan bercanggah dengan kehendak mereka untuk mempergunakan pihak polis untuk melindungi harta mereka sendiri dan untuk menindas rakyat biasa yang membantah para elit yang berkuasa. Di bawah sistem kapitalisme, aparatus kerajaan seperti polis dan tentera diwujudkan untuk berkhidmat hanya untuk kepentingan segelintir individu, bukannya untuk keamanan awam. 

Oleh itu, solusi-solusi yang dicadangkan oleh NGO dan aktivis hak asasi manusia untuk menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan untuk memantau tingkah laku jabatan polis hanya akan membawa kepada reformasi yang terhad dan kesan yang minimum kepada rakyat. Selagi pihak kapitalis kaya masih berkuasa dan mempunyai pengaruh politik yang kuat, perkhidmatan awam seperti polis tidak boleh digunakan untuk manfaat rakyat terbanyak. Ia akan sentiasa berat sebelah dan berpihak kepada kelas pemerintah dan kapitalis. 

Selain untuk bersuara demi yang terkorban dan menuntut reformasi dan pemantauan Jabatan Polis, kita juga harus membina penentangan terhadap sistem kapitalisme yang bukan sahaja menyemai sentimen perkauman di antara komuniti, ia juga menindas rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang pertahanan. Sistem kapitalisme yang mewujudkan ketidaksamarataan harta dan perpecahan dalam masyarakat merupakan sebuah sistem yang tidak boleh berfungsi tanpa perkauman dan birokrasi badan-badan berkuasa. Perjuangan menentang rasisme dan keganasan polis adalah juga merupakan sebuah perjuangan untuk menentang sistem kapitalisme yang rakus.

Alternatif sosialisme 

Sistem sosialisme yang meletakkan segala pemilikan dan kawalan produksi negara di bawah kelas pekerja biasa, bukan sahaja akan membebaskan rakyat dari belenggu politik dan ekonomi kapitalis, malah akan dapat membina kemuafakatan antara masyarakat yang berbilang latar belakang. Pada masa kerakusan sistem kapitalisme terdedah kepada khalayak umum, idea-idea sosialisme sudah mula berkembang dan mula diangkat oleh kelas pekerja dan rakyat biasa dari seluruh dunia. Kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa rakyat massa yang berjuang pada waktu ini akan mencapai kesimpulan untuk membawa sosialisme apabila menghadapi kebuntuan dari kepimpinan kapitalis yang wujud. 

Sosialisme yang bertumpu pada perpaduan antara kelas pekerja, petani, anak muda dan rakyat miskin akan mampu menghapuskan agenda rasisme para kapitalis dan membina sebuah dunia yang aman dan adil, tanpa keganasan polis dan birokrasi kerajaan. Dengan organisasi yang demokratik dan berasaskan rakyat biasa, di bawah sebuah program sosialis yang membawa tuntutan rakyat, kita boleh menyatukan perjuangan-perjuangan akar umbi rakyat dan membina sebuah gerakan yang mampu mencabar dominasi politik kelas kapitalis.