­­­Bajet 2021 : Peruntukan tinggi untuk menyelematkan pasaran bebas, tetapi tanpa penyelesaian konkrit untuk meningkatkan taraf hidup dan keperluan rakyat

Bajet 2021 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul pada awal November lalu di dalam keadaan yang penuh dengan keraguan dan ketidakpastian. Parti pemerintah PN yang menyediakan Bajet ini belum pasti mempunyai majoriti daripada sokongan Parlimen dan belum ada sebarang kepastian jika Bajet ini akan diluluskan tanpa bantahan. Malah pada waktu ini, pihak pembangkang PH sudahpun memberikan beberapa bantahan dan menekan PN untuk meminda beberapa polisi yang tidak dipersetujui oleh mereka. Bekas PM Mahathir juga mendakwa bahawa Bajet ini tidak realistik dan tidak akan berjaya dilaksanakan dengan lancar akibat kedudukan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan. 

Pembentangan Bajet 2021 dimulakan dengan merujuk kepada keadaan ekonomi tempatan dan global yang berada dalam keadaan yang tidak sihat. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengunjurkan bahawa ekonomi global akan mencatat penyusutan sebanyak 4.4% pada tahun ini dan perdagangan dunia pula akan menyusut sebanyak 10.4%. Kerajaan juga menyedari bahawa krisis ekonomi yang sedang berlaku di seluruh dunia pada waktu ini merupakan krisis yang terburuk sejak era ‘Kemelesetan yang hebat’ (The Great Depression) yang melanda dunia pada 1930-an. 

Bajet menghadapi krisis ekonomi 

Akibat kesan pandemik Covid-19 ke atas sektor servis, pelancongan, pembuatan dan akibat kejatuhan harga komoditi yang sudahpun bermula sejak beberapa tahun lalu, Malaysia juga akan menjadi salah satu daripada 150 negara dunia yang akan mencatat pertumbuhan yang negative, iaitu pada -4.5% tahun ini. Tambahan pula, kesan pelaksanaan PKP untuk membendung penularan wabak Covid-19 telah memberi kesan mendadak kepada aktiviti ekonomi dan Bank Negara telah mencatatkan kerugian sehingga RM2.4 bilion setiap hari. Oleh itu, Menteri Kewangan telah memulakan pembentangan Bajet 2021 dengan keluhan bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan Bajet ini tanpa defisit yang besar. 

Bajet 2021 melihat peruntukkan dana yang paling besar dalam sejarah negara, bernilai RM322.5 Bilion. Peruntukan ini akan mengakibatkan defisit sebanyak 6% daripada KDNK dan dijangka akan meningkatkan hutang kerajaan persekutuan sebanyak RM81.3 Bilion. Hutang negara juga akan meningkat dari 55% ke 60% daripada KDNK. Kerajaan PN memberikan hujah bahawa defisit dan hutang ini akan dapat ditebus apabila aktiviti ekonomi negara kembali aktif pada tahun hadapan. Mengikut penilaian kerajaan, Malaysia boleh menjangkakan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.5 ke 7.5 peratus untuk tahun hadapan berdasarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi dunia susulan daripada penemuan vaksin untuk mengekang penyebaran Covid-19. 

Ini merupakan sebuah ramalan yang terlalu idealistik tanpa mengambilkira faktor-faktor lain seperti isu pengagihan vaksin kepada majoriti rakyat di sesuatu negara dan di negara-negara yang mempunyai penduduk  miskin dan padat. Syarikat-syarikat pengeluar ubatan dan vaksin seperti Pfizer dan Moderna sedang rancak bersaing di antara satu sama lain untuk mengaut keuntungan maksimum dengan memasarkan vaksin untuk covid-19 secara besar-besaran. Tetapi dengan kos vaksin yang tinggi, majoriti daripada rakyat biasa dan miskin tidak akan mampu untuk menanggung perbelanjaan tersebut dan akan terus menjadi mangsa pendemik.  Sama seperti apabila kos saringan Covid-19 melambung tinggi dan kerajaan gagal untuk mengawal harga tersebut, akhirnya, golongan miskin juga yang akan dipinggirkan. Justeru, masalah pendemik ini akan berterusan selagi tiada pengagihan vaksin yang adil dan saksama kepada semua, dan ini boleh memberikan kesan berterusan kepada ekonomi tempatan dan dunia. 

Selama beberapa tahun sebelum ini, KDNK Malaysia terkesan dengan kejatuhan harga komoditi dan pasaran ekspot yang menjadi nadi utama ekonomi Malaysia. Tetapi, ekonomi negara masih berjaya mencatatkan pertumbuhan yang sederhana disebabkan oleh sektor servis, sektor pelancongan dan ekonomi domestik yang digerakkan oleh Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME). Sejak 2017, KDNK Malaysia tidak berjaya mencapai pertumbuhan sebanyak 5% dan dengan kemerosotan ekonomi SME, servis dan pelancongan akibat Covid-19, unjuran pertumbuhan KDNK yang mencecah 7.5% untuk tahun depan adalah satu anggapan yang tidak mengambil kira kesan-kesan lain ke atas ekonomi. 

Kandungan Bajet 2021 

Sebahagian besar daripada Bajet ini ditumpukan ke arah usaha pembendungan penularan pandemik Covid-19. Had dana untuk kecemasan Covid-19 ditingkatkan dari RM28 Bilion ke RM65 Bilion. Peruntukkan ini akan di agihkan untuk pelbagai kegunaan seperti untuk menyediakan peralatan perubatan yang mencukupi dan juga untuk membeli vaksin Covid-19 untuk tahun hadapan. Selain itu, petugas barisan hadapan di pusat perubatan kerajaan dan sebagainya juga dijangka menerima elaun dalam bentuk wang tunai.

Bantuan Sara Hidup (BSH) yang menggantikan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BRIM) sebelum ini ditukar lagi kepada nama baru iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Peruntukkan BPR juga meningkat sedikit dari RM5 Bilion sebelum ini ke RM6.5 Bilion dan beberapa kategori baru telah diwujudkan. Walaupun bantuan wang tunai sekali setahun ini dapat sedikit membantu rakyat miskin, tetapi jumlah dana yang diagihkan adalah sangat tidak mencukupi dan tidak mengambil kira keadaan rakyat yang sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang parah. BPR juga langsung tidak membawa sebarang solusi kepada 400 ribu pekerja yang telah kehilangan punca pendapatan mereka sejak bermulanya pandemik Covid-19. 

Beberapa langkah bantuan kecemasan Covid-19 telah diteruskan, seperti membenarkan pekerja untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP mereka. Tetapi, beberapa langkah lain seperti memberi moratorium untuk pembayaran balik pinjaman bank secara otomatik tidak diteruskan. Bagi yang masih inginkan pelepasan pembayaran, mereka perlu memohon kepada pihak bank dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. 

Program subsidi upah yang memberikan subsidi kepada pihak majikan untuk terus kekalkan pekerja mereka akan diteruskan sehingga Jun tahun depan. Tetapi, skop program ini akan ditumpukan kepada sektor pelancongan dan servis perniagaan sahaja. Nasib para pekerja dari sektor-sektor lain pula langsung tidak dirujuk dan tidak ada penjelasan yang lanjut berkenaan perkara ini. Skim Insurans Pekerja yang memberi bantuan kewangan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan selama 6 bulan kini ditingkatkan ke 9 bulan. Tetapi, ini juga berdasarkan pelbagai syarat dan kebanyakan pekerja akan hanya menerima batuan ini selama 3 bulan sahaja. Tambahan pula, skim ini hanya tertakluk kepada para pekerja yang merupakan pencarum SIP.

Bagi jutaan pekerja informal, pekerja ekonomi ‘gig’ (aplikasi) seperti penghantar barangan dan makanan atau pekerja ‘freelance’ yang tidak mempunyai kontrak kerja atau majikan, Bajet ini langsung tidak membawa sebarang berita gembira untuk mereka.

Pembeli rumah baru dari program perumahan kerajaan yang terhad akan mendapat pengecualian cukai stem. Tetapi, langkah ini langsung tidak mengambil kira peningkatan harga spekulasi rumah yang sedang membebankan rakyat biasa secara tidak adil. Bilangan pemilik rumah di negara ini sedang menyusut dengan mendadak tetapi pihak pemaju masih meletakkan harga yang tinggi dan terus membina rumah-rumah mewah yang hanya boleh dimiliki oleh orang kaya. Pihak kerajaan seharusnya memperkenalkan kawalan harga rumah termasuk harga sewa dan mengenakan cukai ke atas keuntungan yang dibuat oleh pemaju-pemaju swasta daripada sektor hartanah. Hasil cukai itu harus digunakan untuk membina rumah-rumah murah untuk rakyat miskin yang amat memerlukan bantuan perumahan pada masa ini.

Walaupun dana kecemasan Covid-19 telah ditingkatkan, tetapi, peruntukkan untuk sistem perubatan negara telah dipotong sebanyak hampir 12%. Peruntukan untuk bidang rawatan barah, penyakit ginjal, penyakit pernafasan dan termasuk pergigian semuanya mengalami pemotongan yang mendadak. Dalam situasi krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19, peningkatan jumlah pesakit kronik disebabkan oleh tekanan kehidupan atau kerja dan pencemaran alam sekitar, langkah kerajaan untuk memotong dana perubatan akan membawa padah kepada rakyat, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Bajet 2021 ini pastinya membawa kelegaan dan kegembiraan untuk ahli-ahli korporat besar, pemaju dan pemilik syarikat-syarikat gergasi. Semua projek mega seperti ECRL, Lebuhraya Pan-Borneo, MRT3, HSR, Double Tracking Rail dan sebagainya dijamin akan diteruskan pada tahun hadapan tanpa sebarang sekatan. Mendengar berita ini, saham untuk syarikat-syarikat pemaju seperti Gamuda Bhd, Sunway Construction, IJM Corp dan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) akan melonjak naik dan membuahkan keuntungan yang lumayan kepada pemilik dan pemegang saham besar syarikat ini. 

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pelbagai pelepasan cukai untuk entiti korporat dan tidak memperkenalkan sebarang cukai keuntungan yang berlebihan (windfall tax) terhadap sebilangan sektor yang telah mendapat keuntungan yang berganda-ganda akibat pandemik Covid-19. Misalnya syarikat pembuat sarung tangan getah seperti Top Glove telah mencatatkan kadar peningkatan keuntungan lebih 400% berbanding tahun lepas. Begitu juga dengan pengeluar bahan bekalan perubatan seperti Hartalega, Supermax, Kossan Rubber yang menjadi kaya-raya apabila permintaan untuk peralatan perubatan seperti sarung tangan getah melambung tinggi. Kerajaan seharusnya mengenaklan cukai yang sewajarnya bagi menambah dana kebajikan sosial dan untuk menutup jurang defisit perbelanjaan tahunan.

Adakah Bajet ini akan memulihkan ekonomi negara?

Daripada pembentangan Bajet 2021, adalah jelas bahawa pihak kerajaan sedang cuba untuk merangsang ekonomi domestik sebagai harapan untuk mencapai pemulihan yang penuh pada tahun hadapan. Oleh itu, semua projek mega akan diteruskan, pelbagai hutang untuk perniagaan kecil dan sederhana di sediakan dan pelepasan cukai diberikan kepada perniagaan besar bagi meningkatkan aktiviti ekonomi. Malah, peningkatan dalam bantuan BPR juga merupakan sebuah stimulus ekonomi bagi menggalakkan rakyat untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi dan menjadi konsumer baranganan. Malangnya, jumlah bantuan tersebut amat tidak mencukupi untuk memberi sebarang rangsangan ekonomi yang nyata.

Sistem ekonomi negara yang terikat dengan ekonomi dunia, sebenarnya berada dalam keadaan yang tidak stabil dan sedang menuju ke arah kemelesetan yang berpanjangan. Walaupun sebelum ketibaan pandemik Covid-19, kadar pertumbuhan Malaysia sudahpun mula merudum akibat kejatuhan permintaan dan harga komoditi seperti sawit dan minyak. Akibat pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dunia, sektor pelancongan, servis dan pembuatan juga sedang semakin merosot. Lebih-lebih lagi dengan sektor SME yang tidak mempunyai harapan untuk meneruskan perniagaan mereka di dalam suasana ekonomi hari ini.

Syarikat-syarikat GLC, terutamanya yang berhubung rapat dengan pasaran dunia juga sedang mencatatkan pertumbuhan yang lemah dan tidak stabil. Dalam keadaan ini, pihak kerajaan sedang terus terlibat dalam usaha untuk menyelamatkan syarikat-syarikat besar dan meminggirkan rakyat terbanyak. Perkara ini juga mencetuskan tanda tanya berkenaan dengan pembiayaan Bajet 2021 yang akan memakan belanja yang tinggi dalam situasi GLC-GLC utama sedang menghadapi masa depan yang malap dan sudahpun dibelenggu dengan beban hutang yang tinggi.

Pada waktu ini, rakyat Malaysia sedang menghadapi kadar pengangguran yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Lebih 800 ribu pekerja sedang menganggur dan selebihnya sedang menghadapi pemotongan gaji yang mendadak. Para pekerja yang kehilangan kerja rata-rata datang dari masyarakat B40 yang tidak mempunyai sokongan dana kecemasan yang mencukupi. Dalam keadaan ini, semua bantuan kerajaan seperti BPR dan sebagainya adalah jauh sangat sedikit dan tidak mencukupi. Pihak kelas majikan juga bersikap kejam terhadap para pekerja dan memotong kerja mereka dengan sewena-wenanya dan tanpa mengikut penetapan undang-undang yang tersedia. Tidak kurang juga bilangan majikan yang menerima subsidi daripada kerajaan dan masih melakukan pemotongan kerja dan pemotongan gaji, melanggar syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tidak lama lagi, keadaan ekonomi dan sosial rakyat Malaysia akan menjadi bertambah teruk dan Bajet 2021 langsung tidak merujuk kepada situasi yang sedang berkembang di lapangan. Sebaliknya, kerajaan sanggup memberi peruntukan kepada badan-badan propaganda kerajaan seperti JASA yang dicadangkan untuk menerima lebih RM 80 juta. Pihak kerajaan juga sedang menanam kepala mereka ke dalam tanah dan sedang menafikan segala indikasi yang menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara dan dunia akan bertambah parah pada tahun akan datang. Malah, negara-negara dunia, termasuk negara dunia pertama yang kononnya maju dari segi teknologi juga sedang mencapai kebuntuan apabila berhadapan dengan krisis kesihatan Covid-19 dan krisis ekonomi dunia.

Jalan keluar 

Kelas pekerja dan rakyat biasa harus menyedari bahawa kerajaan ini sedang memperjudikan nyawa dan kesejahteraan jutaan orang demi keuntungan segelintir elit kaya yang memiliki segala harta benda di negara ini. Krisis kesihatan dan krisis ekonomi global adalah kedua-duanya berpunca daripada ketempangan sistem kapitalisme yang gagal untuk menangani kedua-dua krisis tersebut. Di bawah aturan sistem pasaran bebas kapitalis, keuntungan golongan kaya yang memiliki syarikat-syarikat gergasi akan sentiasa dijamin manakala kelas pekerja yang bertungkus lumus demi keuntungan tersebut akan dipinggirkan tanpa sebarang sokongan sosial. Malah pada waktu krisis di mana jutaan rakyat sedang merana, para kapitalis korporat sedang mencatatkan keuntungan yang berganda-ganda dan direstui oleh pihak kerajaan yang mendokong mereka.

Bajet 2021 merupakan sebuah Bajet yang besar, tetapi ia tidak memberikan sebarang jaminan kehidupan kepada majoriti daripada kelas pekerja dan rakyat biasa. Walaupun kelas majikan dan kapitalis kaya akan menikmati segala jenis pelepasan cukai dan keuntungan, rakyat biasa akan dibebankan dengan pembuangan kerja, pengurangan gaji dan pemotongan dana sosial. 

Hakikatnya, dengan keadaan hutang yang tinggi dan ekonomi global yang meleset, pihak kerajaan tidak akan mampu untuk meneruskan pentadbiran seperti yang dirancang dan akan melakukan pemotongan-pemotongan dana sosial yang lebih banyak bagi menampung perbelanjaan mereka. Akhirnya, kelas pekerja dan rakyat biasa juga akan menjadi mangsa dan terpaksa menanggung segala hutang kerajaan. 

Alternatif Sosialisme 

Sistem ekonomi kapitalisme sudah membuktikan bahawa ia tidak akan membawa umat manusia keluar daripada krisis yang sedang dihadapi dan ke arah kemajuan. Sistem ini bukan sahaja gagal untuk menangani krisis ekonomi dan kesihatan, malah ia juga sedang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang sedang memberi kesan buruk kepada semua kehidupan. Tambahan dengan perang yang tidak berkesudahan, kebuluran dan krisis sosial di setiap pelosok dunia, sistem kapitalisme sedang membawa umat manusia ke arah kemusnahan.

Anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedar dan memahami apa yang sedang berlaku pada waktu ini harus mengambil langkah untuk menyusun perjuangan menentang kapitalisme dan ahli-ahli politik yang mendokong sistem ini. Pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja, pertubuhan akar umbi rakyat dan sebagainya harus membawa satu program sosialis yang bukan sahaja membawa tuntutan rakyat seperti gaji kehidupan, pendidikan percuma, sistem kesihatan awam yang berkualiti dan sebagainya, malah juga perlu menentang sistem kapitalisme yang mengekang segala aspirasi rakyat biasa. 

Kita harus menyusun semua perjuangan yang wujud ke dalam satu kepimpinan politik, sebuah Parti Massa yang berfungsi secara demokratik dan disertai oleh kelas pekerja dan rakyat biasa bagi memperjuangkan kebajikan dan hak mereka. Parti ini harus membawa program dan idea ekonomi sosialisme yang berhujah untuk meletakkan semua produksi besar-besaran di bawah kawalan awam dan di kendalikan secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Sebuah kerajaan kelas pekerja dan sosialis akan mengutamakan kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat biasa dan akan bergerak mengikut kehendak majoriti.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top